JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



07 Mei 2011

ISU MEDIA BAHARU : FACEBOOK RANGSANG SEKS REMAJA


Facebook dianggap laman web rangkaian sosial paling popular ketika ini, malah sudah melangkaui populariti laman sosial seperti Friendster dan Myspace yang suatu ketika dulu menjadi kegilaan hampir generasi muda untuk mencari kenalan dan berkongsi pelbagai maklumat. Mungkin kerana konsep laman sosial yang diasaskan Mark Zuckerberg bersama rakannya, Eduardo Saverin, Dustin Moskovitz dan Chris Hughes, dilihat lebih terbuka dan memudahkan sesiapa saja berkongsi pelbagai maklumat selain membolehkan proses rangkaian hubungan sosial berlangsung lebih mudah. Kegilaan terhadap Facebook yang mula digunakan 4 Februari 2004 bukan saja menular di kalangan kaki internet, malah menguasai sesiapa saja termasuk mereka yang selama ini tidak pernah mempunyai akaun dalam laman sosiald dan turut turut digunakan mereka yang tidak begitu mahir dengan teknologi maklumat (IT). Pendek kata, sesiapa boleh mempunyai akaun Facebook, malah agak janggal jika ada rakan kita tidak membuka akaun Facebook.

Lebih tepat laman web sosial ini jadi pilihan utama untuk dilayari sejurus membuka komputer, juga perisian paling kerap digunakan dalam telefon bimbit pintar seperti iPhone, Blackberry dan sistem Android. Tidak hairanlah laman web itu pernah disekat sementara di beberapa negara termasuk Syria, China, Vietnam dan Iran, malah kebanyakan tempat kerja melarang penggunaannya bagi menghindarkan pekerja membuang masa melayarinya.  Fenomena ini semakin hebat di negara kita dengan statistik dikeluarkan 77Agency Limited, agensi yang menghimpunkan data pengguna Facebook seluruh dunia merekodkan 10.27 juta rakyat Malaysia mempunyai akaun Facebook, iaitu lebih satu pertiga daripada penduduk Malaysia.  Angka ini mungkin tidak begitu mengejutkan tetapi apabila diteliti walaupun ada kesan positif, lebih banyak kesan negatif berlaku akibat kegilaan yang lebih tujuh tahun melanda dunia.

Daripada 10.27 juta pemilik akaun Facebook di negara ini, 5.5 juta daripadanya lelaki yang menunjukkan meskipun penduduk wanita lebih ramai, lelaki lebih suka menghabiskan masa dengan laman sosial sebegitu, mungkin untuk tujuan baik iaitu mengembangkan perniagaan tetapi tidak dapat dinafikan peranannya turut menyuntik gaya hidup negatif.  Lebih mengejutkan apabila statistik menunjukkan 2.7 juta penggunanya berumur di bawah 13 tahun iaitu peringkat pendidikan rendah. Pendek kata, lebih 20 peratus pengguna Facebook ialah kanak-kanak!  Untuk diperhalusi, 11,800 pengguna Facebook di negara ini menunjukkan minat terhadap hubungan seks dan daripada jumlah itu lebih 2,000 daripadanya berusia bawah 13 tahun. Kenapa mereka semuda ini berminat dengan hubungan seks dan apa yang mempengaruhi mereka? Pakar Perunding Keluarga dan Motivasi, Dr Rubiah Kulop Hamzah, berkata di sebalik peranan Facebook meluaskan rangkaian hubungan sosial dan prospek perniagaan, ia sebenarnya lebih banyak mengubah karakter dan cara hidup masyarakat terutama kanak-kanak dan remaja kerana kelompok ini lebih mudah terdedah kepada gejala tidak sihat.

“Facebook atau apa saja laman sosial adalah cara paling berkesan berinteraksi kerana mempunyai tarikan tersendiri seperti status diri yang sentiasa dikemas kini dan koleksi gambar lebih interaktif. Secara positifnya, hubungan kekeluargaan dan persahabatan menjadi lebih dekat dan tiada halangan. “Dalam konteks ini, jarak fizikal bukan lagi masalah, malah sesiapa saja boleh membina rangkaian termasuk menghimpunkan saudara-mara, rakan dan mewujudkan alumni. Dengan cara itu, dunia akan terasa lebih kecil sekali gus menghapuskan jarak antara sesiapa saja. “Tidak perlu buang masa melepak dengan rakan kerana ia boleh berlaku secara maya. Secara positifnya, ia mungkin menyelamatkan seseorang daripada ancaman sosial kerana sentiasa di rumah. Namun itu hanya secara fizikal tetapi perhubungan yang kerap ini juga menimbulkan keakraban yang berisiko,” katanya.

Beliau berkata, ancaman besar yang dimaksudkan ialah keakraban itu akhirnya menyebabkan remaja atau kanak-kanak berkongsi sesuatu yang boleh merangsang minda negatif seperti hubungan seks. “Gaya bahasa terbuka dan tidak ada tapisan dan perkongsian gambar seksi menarik perhatian ramai mengenali mereka. Sekarang di Facebook, orang tidak kisah menelanjangkan maruah dengan berkongsi gambar seksi semata-mata untuk meraih perhatian.  “Senario itu menambahkan populariti mereka dan tentu sesuatu yang tidak sihat. Gejala sebegini menjadi trend kanak-kanak dan remaja. Paling membimbangkan, jaringan tanpa had ini menjadi ruang orang menabur fitnah mengenai politik dan apa saja yang dikongsi seluruh dunia. “Bagi saya, penggunaan Facebook untuk semua tujuan ini lebih berbahaya dan lebih mudah mengubah karakter kanak-kanak. Ia lebih berbahaya daripada atom dan lebih tajam daripada pedang.

Melihat statistik ini, dikhuatiri kanak-kanak semakin berubah karakter termasuk program hidup mereka kerana lebih banyak membuang masa di Facebook,” katanya. Beliau sebenarnya merujuk sifat kanak-kanak yang berada pada tahap pembentukan karakter kerana ketika usia sebegitu, mereka sangat rapuh dan mudah terjebak dengan gejala tidak sihat. Dengan penggunaan Facebook, pembentukan karakter negatif mereka menjadi lebih mudah. Apa yang dilihat dan dilayari saban hari melekat dalam minda, malah trend semasa pengguna Facebook tidak segan silu berkongsi gambar seksi semakin mudah diakses pengguna muda. “Percaya atau tidak ada yang gelisah jika tidak dapat membuka Facebook dalam sehari. Ia kini bukan setakat sumber maklumat dan hiburan tetapi juga ejen pembentukan karakter. Mangsanya ialah kanak-kanak. Jika bangga menelanjangkan diri (bergambar seksi), mereka juga tidak kisah menjual diri.

“Di Facebook tiada lagi rahsia. Inilah yang dinamakan hidup yang telanjang. Saya juga selalu berdepan kes suami isteri bercerai kerana Facebook.  Maksudnya, isteri dapat hidu kecurangan suami dalam laman sosial atau cemburu melihat koleksi rakan Facebook suami yang seksi. Berdasarkan statistik itu juga menunjukkan golongan usia antara 20 hingga 30 tahun adalah pengguna Facebook paling ramai iaitu lebih 4.6 juta orang manakala terdapat hampir 345 ribu pengguna yang melebihi usia 50 tahun. Seramai 67,700 pengguna Facebook di negara ini menunjukkan minat terhadap peluang perniagaan dan 211,200 daripada mereka mahu mencari kenalan.

BERITA HARIAN
07.05.2011

ISU EKONOMI : PENGAWALAN INFLASI ATAU PERTUMBUHAN?

DATO' SALLEH MAJID ialah bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia).


Minggu ini kita dikejutkan dengan keputusan Bank Negara menaikkan Kadar Dasar Semalaman (Overnight Policy Rate) 25 mata asas kepada 3 peratus dan Keperluan Rizab Berkanun (Statutory Reserve Requirement -SRR) dinaikkan 1 peratus. Dengan keputusan ini terdapat pelbagai reaksi. Ada yang menyatakan bahawa keputusan ini menunjukkan kebimbangan Bank Negara lebih kepada kenaikan inflasi daripada pertumbuhan. Kenaikan SRR bertujuan mengurangkan kecairan dalam pasaran supaya tidak menyemarakkan lagi inflasi. Semua negara di rantau ini termasuk China bimbang akan kenaikan inflasi dan telah mengambil langkah-langkah untuk membendung gejala ini. Kenaikan harga makanan menjadi bualan utama di mana saja. Kita juga tidak terlepas daripada masalah kenaikan harga makanan. Tanyalah saja suri rumah yang pergi ke pasar dan mereka akan memberitahu betapa harga barang-barang makanan naik melambung, seolah-olah tiada sesiapa boleh berbuat sesuatu untuk mengawal keadaan.

Peniaga tidak payah memberi alasan yang munasabah untuk menaikkan harga barang-barang makanan, mereka boleh melakukannya sesuka hati dan meletakkan kesalahan kepada pembekal dan seterusnya. Kalau dipercayai kadar inflasi kita memanglah tidak tinggi, 3 peratus tetapi adakah itu yang kita lihat berlaku dengan kenaikan harga barang-barang makanan. Pengguna seolah-olah sudah tidak ada pilihan, suka tak suka kena beli juga. Keadaan begini bukannya sesuatu yang tidak pernah berlaku. Malangnya pengguna nampaknya tidak dapat berbuat apa-apa. Dengan kenaikan harga barang-barang makanan, kos sara hidup akan terus meningkat sedangkan gaji dan upah masih di takuk lama. Baru-baru ini Persatuan Pembeli-pembeli Rumah membuat kenyataan tentang keadaan yang mana orang muda hari ini tidak akan mampu untuk membeli rumah kerana adanya pihak-pihak seperti pemaju dan bank yang bersekongkol menaikkan harga rumah. Rumah jadi bahan spekulasi berleluasa juga dengan tiada kawalan oleh pihak berkuasa.

Nisbah pinjaman susulan yang direndahkan tidak dapat membendung spekulasi dan mungkin lebih murah membeli hartanah di luar negara daripada negara kita sendiri. Susulan kenaikan kadar faedah semalaman ini akan mengurangkan pertumbuhan kerana ahli perniagaan akan mengurangkan pendedahan mereka kepada pinjaman. Jadi, pandangan sesetengah pihak inflasi lebih penting daripada pertumbuhan. Angka pertumbuhan untuk 2011 yang diuar-uarkan oleh pakar-pakar ekonomi seperti Prof. Emeritus Datuk Dr. Mohamed Ariff ialah 5.5 peratus untuk tahun ini dan 5.2 peratus untuk 2012. Tetapi kita memerlukan sekurang-kurangnya 6 peratus sehingga 2020 untuk mencapai tahap negara berpendapatan tinggi iaitu AS$15,000 seorang. Ada juga pihak yang bersetuju kadar faedah ini dinaikkan kerana inilah langkah yang terbaik untuk mengekalkan kedudukan mata wang ringgit berbanding dolar Amerika.

Kita telah menyaksikan pengukuhan mata wang ringgit sehingga RM2.97 berbanding 1 Dolar Amerika. Pengukuhan ini membantu kita ketika mengimport peralatan dan perkakasan untuk prasarana negara. Berita terkini yang kita diberitahu, pemulihan ekonomi di Amerika masih lagi tidak menentu dengan angka pengangguran terakhir tertinggi dalam masa lapan bulan. Keadaan di Eropah pun tidak juga baik dengan Portugal pula memerlukan bantuan kewangan. Jadi di Eropah sudah ramai "orang sakit" mereka yang dari segi eksport kita pun tidak boleh mengharapkan sangat untuk mendatangkan sesuatu perubahan yang lebih baik. Semalam harga minyak di New York jatuh di bawah paras AS$100 setong dan banyak pasaran saham di Asia yang jatuh ekoran harga komoditi yang jatuh. Begitulah keadaan ekonomi dunia. Yang pasti ialah ketidakpastian. Sementara itu kumpulan kerja Majlis Ekonomi yang telah berbincang menyarankan tumpuan semula ke arah Model Baru Ekonomi daripada Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) untuk membangun asas berdaya saing.

Keputusan mereka ialah ekonomi kita dianggap kurang prestasinya dan pelabur dalam dan luar negara perlu diyakinkan dengan keupayaan kita. Masalah modal insan menjadi agenda utama ke arah pembangunan asas daya saing yang kukuh. Banyak faktor yang perlu dirombak untuk mewujudkan suatu suasana yang berdaya saing termasuklah keupayaan institusi-institusi kita dan insentif yang kita berikan kepada sektor swasta kita. Misalnya cukai korporat kita berbanding negara-negara di rantau ini masih tinggi dan ini perlu dilihat dengan segera. Begitu juga dengan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang kita teragak-agak melaksanakannya sedangkan 225 negara lain sudah pun melakukanya. Suasana urus tadbir di pihak awam dan swasta juga perlukan perubahan untuk menjayakan transformasi yang dihajatkan. Kedua-dua sektor ini perlu bergerak dengan kadar yang berpuluh kali ganda daripada biasa. Tuduhan ketidakadilan sosial yang diberikan oleh Bank Dunia sebagai salah satu sebab penghijrahan rakyat Malaysia ke luar negara dengan sendirinya melenyapkan lain-lain sebab penting yang menyebabkan ramai yang berhijrah keluar.

UTUSAN MALAYSIA
7 MEI 2011

ISU SOSIAL : BAHANA JENAYAH MENCURI


Boleh dikatakan seorang dalam 10 rakan dan jiran atau ahli keluarga kita mempunyai pengalaman 'rumah dimasuki orang' atau 'orang' itu lebih tepat dipanggil pencuri. Sekurang-kurangnya sekali dalam hidup, kita dikejutkan daripada tidur oleh jeritan 'Pencuri! Pencuri!, 'Rumah jiran sudah dimasuki orang!'. Atau apabila bangun pagi, kita menerima berita bahawa seseorang mengalami kecurian. Kejadian ini sering berlaku. Bukan barang berharga sahaja dicuri, tayar kereta pun dicuri. Besi pagar pun dicuri. Sekarang pengepam air pun dicuri, dan baru beberapa hari lepas, polis menemui berlonggok besi landasan kereta api yang telah dicuri. Mencuri, perbuatan jenayah ini boleh dikurangkan namun untuk membendungnya sama sekali tidak mungkin. Kebiasaannya, perbuatan mencuri ini dilakukan secara 'tersembunyi' daripada penglihatan orang. Kalau merompak lain pula kaedahnya. Rompakan dilakukan secara terang-terangan.

Apabila si pencuri ditangkap dengan bukti maka barulah dia dituduh melakukan jenayah di bawah undang-undang iaitu mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan. Kesalahan ini membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali. Akhbar pula setiap hari melaporkan bermacam-macam jenis kes kecurian. Antaranya kecurian baja, sindiket mencuri kereta dan kecurian kelapa sawit. Malah, sebuah syarikat telekom pada tahun lalu dilaporkan kerugian berjuta ringgit disebabkan kes kecurian kabel. Aku masih ingat kawan aku merungut kerana berhari-hari tidak dapat menggunakan telefon talian tetap dan melayari Internet kerana kawasan rumahnya kecurian kabel! Masih jelas di ingatan apabila seorang lelaki berusia 20-an dihadapkan ke Mahkamah Majistret di ibu negara gara-gara mencuri tiga ekor ayam. Dia ditangkap oleh beberapa orang kampung yang mengesyaki sesuatu tidak kena apabila melihat ada benda bergerak-gerak di dalam kain sarung pelikat tertuduh.

Mahkamah diberitahu bahawa tertuduh cuba melarikan diri. Dan, beberapa ekor ayam berterbangan keluar dari dalam kain sarungnya! Majistret menyoal: ''Mengapa kamu mencuri ayam?'' Lelaki yang dilihat memakai kain sarung itu menjawab dengan alasan dia perlukan duit. Dia merayu dibebaskan kerana mendakwa menghidap penyakit jantung. Apabila mahkamah meminta surat pengesahan mengenai penyakitnya, dia terdiam. Lelaki itu kemudian dihukum penjara tiga bulan. Hukumannya nampak berat namun, majistret membuat pertimbangan bahawa lelaki itu telah bercakap bohong untuk melepaskan diri dengan mendakwa menghidap sakit jantung. Dalam satu lagi kes, seorang penganggur yang berkeadaan kaki kanannya patah dan berbalut simen dibawa ke Mahkamah Majistret atas tuduhan cuba memanjat masuk sebuah banglo untuk mencuri. Dia tidak sempat membolos masuk ke dalam banglo tersebut kerana perbuatannya disedari tuan rumah. Dia dikatakan cuba melarikan diri ketika itu tetapi telah dicekup dan dibelasah oleh beberapa jiran mangsa.

Kes mencuri yang pernah kita baca baru-baru ini berkenaan bintang Hollywood, Lindsay Lohan. Dia telah didakwa kerana mencuri kalung berharga AS$2,500(RM7,500). Hakim Mahkamah Tinggi Los Angeles mendapati pelakon berusia 24 tahun itu melanggar tempoh percubaan yang dikenakan terhadapnya kerana memandu dalam pengaruh dadah dan alkohol selepas mencuri barang kemas tersebut di sebuah kedai emas. Lohan dihukum penjara 120 hari dan perlu menjalankan kerja khidmat masyarakat di rumah mayat dan pusat wanita Los Angeles County, Amerika Syarikat. Namun, menurut laporan dia boleh dibebaskan dengan jaminan AS$75,000 (RM225,000). Memaparkan kes mencuri ini membuat aku teringat waktu masih bersekolah dahulu. Aku mendengar radio yang menyiarkan temuramah dengan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee. Seniman agung itu memberitahu beliau berpesan kepada anaknya, dengan nada gurauan yang berbunyi:

"Jika nak jadi pencuri 
jadilah pencuri profesional, 
jangan mencuri ayam 
nanti kena tangkap."

UTUSAN MALAYSIA
7 MEI 2011

ISU UMUM : EPISOD TRAGIS BEBERAPA PEMIMPIN DUNIA

Oleh FAUZIAH AROF
pengarang@utusan.com.my

OSAMA BIN LADEN

Peristiwa yang mengakhiri riwayat hidup pemimpin tertinggi rangkaian al-Qaeda, Osama bin Laden di Abbottabad, Pakistan adalah antara episod tragis yang sebenarnya mengulangi nasib yang sama pernah dilalui beberapa pemimpin terkenal dunia sebelum ini. Nyawa yang diragut dengan senjata api atau ledakan bom adalah antara risiko dan nasib yang sering berlaku kepada pemimpin negara mahupun pertubuhan yang terdedah dengan ancaman kerana perbezaan ideologi, tindakan, serta dasar-dasar yang mencetuskan rasa dendam, kemarahan dan tidak puas hati pihak lain. Justeru rakyat Amerika Syarikat (AS) yang melabelkan Osama sebagai pengganas menyambut berita pembunuhan pemimpin licik itu dengan penuh kegembiraan. Osama dibunuh dalam satu misi tentera AS dan Agensi Perisikan Pusat Amerika (CIA) di Pakistan. Tentera AS yang mengetuai operasi memburu Osama telah sekian lama gagal menjejakinya dan banyak kali tertipu dengan kelicikan Osama. Bagaimanapun, jika benar riwayat Osama berjaya ditamatkan, apakah kematian tersebut dapat menghadiahkan keamanan kepada dunia? Yang pasti, pembunuhan dianggap satu kemenangan atau kejayaan untuk menyudahkan segala bentuk keganasan yang sebenarnya menghalalkan satu lagi keganasan dan ia tidak membawa sebarang perubahan kepada keamanan sejagat.
Berikut episod tragis yang menimpa beberapa pemimpin dunia yang terkorban dihujani peluru dan bom.

ANWAR SADAT

Bekas Presiden Mesir, Anwar Sadat ialah antara pemimpin yang menemui ajalnya dengan dibunuh oleh pelampau Islam, rakyatnya sendiri. Penerima Hadiah Nobel Keamanan 1978 itu dibunuh pada 6 Oktober 1981 ketika perbarisan ketenteraan. Pembunuhan ini dikatakan sebahagian daripada jihad Islam Mesir yang menentang perjanjiannya dengan Israel. Dalam acara lintas hormat berkenaan, Anwar dikawal oleh empat lapisan keselamatan. Bagaimanapun, semasa beliau berdiri menerima tabik hormat, pembunuhnya keluar dari deretan trak-trak tentera dan melontar bom serta melepaskan tembakan selama dua minit. Seorang jurugambar, berjaya merakamkan detik-detik 'senyuman terakhir' pemimpin itu dan kedengaran jeritan "Matilah kamu Firaun!" sambil tembakan bertalu-talu dilepaskan.

ZIA UR RAHMAN


Presiden Bangladesh, Zia Ur Rahman pula terbunuh setelah wisma pemerintah tempat beliau menginap di kota Chittagong diserbu pada 30 Mei 1981. Serbuan berkenaan dilakukan oleh kelompok pemberontak. Beliau dikatakan terbunuh setelah ditembak ketika membuka pintu bilik untuk melihat pergaduhan di luar.

RAJIV GANDHI

Pembunuhan Perdana Menteri India, Rajiv Gandhi pula berlaku di Sriperumbudur, Tamil Nadu, India pada 21 Mei 1991. Dalam kejadian tersebut, seramai 14 yang lain turut terbunuh akibat serangan berani mati itu. Pembunuh yang bertanggungjawab melakukannya ialah seorang wanita yang merupakan ahli Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE). Rakaman kamera wartawan yang turut terbunuh dalam kejadian itu jelas menunjukkan wanita berkenaan, Thenmozhi Rajaratnam memegang kaki Rajiv, mengalung bunga malai dan memetik suis bom pada badannya.

INDRA GANDHI

Ibu Rajiv, Indra Gandhi turut menemui ajalnya dengan ditembak oleh dua pengawal keselamatannya. Wanita pertama yang menjadi Perdana Menteri India selama tiga penggal berturut-turut dari 1966 hingga 1977 itu serta penggal keempatnya mulai 1980, terbunuh pada 1984. Indra dikenali kerana menubuhkan satu pemerintahan diktator dengan mengisytiharkan darurat setelah sebuah mahkamah membatalkan pemilihan beliau pada 1975, serta memenangi Operasi Bintang Biru menentang kumpulan militan Sikh yang akhirnya membawa kepada pembunuhan beliau.

RAFIK HARIRI

Bekas Perdana Menteri Lebanon, Rafik Hariri yang lahir pada 1 November 1944, ditembak mati pada 4 Februari 2005 apabila bom TNT seberat 1,000 kilogram meletupkan kenderaannya di Hotel St George , Beirut, tengah Lebanon. Hariri ialah anak seorang peladang yang kemudiannya menjadi kaya-raya. Pada 1980-an, nama beliau disenarai dalam daftar 100 orang terkaya dunia dalam majalah Forbes. Beliau menjadi Perdana Menteri Lebnon dari 1992 hingga 1998. Kemudian sekali lagi memegang jawatan berkenaan dari tahun 2000 hingga 20 Oktober 2004.

 YITZHAK RABIN


Turut menerima nasib yang sama ialah Perdana Menteri Israel, Yitzhak Rabin yang ditembak sebanyak tiga kali pada jarak dekat ketika menghadiri perhimpunan Perjanjian Oslo di Tel Aviv, pada 4 November 1995. Pembunuhnya, Yigal Amir merupakan seorang berfahaman radikal Yahudi yang menentang Perjanjian Oslo. Rabin mati 40 minit selepas serangan itu akibat kehilangan banyak darah.

BENAZIR BHUTTO

Sementara itu, Benazir Bhutto terbunuh dalam satu serangan bom berani mati di perhimpunan di Taman Liaquaf Bagh Rawalpindi, pada petang Khamis 27 Disember 2007. Benazir yang cedera di kepala dan leher dikejarkan ke Hospital Besar Rawalpindi dan di situ doktor mengesahkan kematiannya. Kejadian berlaku semasa Benazir memasuki keretanya untuk meninggalkan perhimpunan kempen pilihan raya. Menurut saksi, seorang penunggang motosikal menembak ke arah kereta Benazir dan selepas itu meletupkan dirinya. Percubaan untuk membunuh Benazir pernah berlaku di Karachi pada 18 Oktober 2007. Walaupun Benazir terselamat tetapi seorang pembunuh berani mati telah menyebabkan hampir 150 orang terbunuh dalam perarakan sambutan kepulangan beliau ke Pakistan selepas hidup dalam buangan selama lapan tahun di Dubai. Beliau terpilih menjadi perdana menteri wanita pertama Pakistan pada 1988 sebelum dipecat pada 1990. Benazir sekali lagi berjaya memegang jawatan Perdana Menteri pada 1993 sebelum ditewaskan oleh Nawaz Sharif pada 1996.

Rentetan daripada pembunuhan demi pembunuhan itu, ia jelas memperlihatkan tiadanya harga nyawa manusia. Nyawa manusia melayang begitu sahaja dalam tempoh singkat angkara bom dan keganasan. Perkara yang boleh disimpulkan daripada kesemua insiden hitam ini adalah betapa dunia masih belum selamat daripada keganasan dari dulu sehingga kini, walau bagaimana cara sekali pun keganasan diperangi. Dan inilah menjadi sebab mengapa perdamaian dan keamanan yang dicari melalui meja rundingan tidak akan menemui titik penentu dan dianggap hanya ilusi.

UTUSAN MALAYSIA
7 MEI 2011

ISU PENCEMARAN : SUMBER AIR DI INDONESIA TERUK DICEMARI BAKTERIA


Hampir 100 peratus sumber air minum di bandar-bandar besar di Indonesia dicemari bakteria E Coli dan Coliform. Pengarah Penempatan dan Perumahan Badan Perencanaan Pembangunan Nasional (Bappenas), Nugroho Tri Utomo berkata, sebanyak 80 peratus daripada pencemaran itu berlaku hasil perbuatan manusia sendiri. Pencemaran berlaku kerana sikap kita sendiri, oleh itu kita perlu mengambil berat tentang sumber air kita, termasuk sistem perparitan. Beliau berkata begitu ketika menghadiri Persidangan Kebangsaan Pengurusan Sumber Air Bersepadu di Jakarta. Persidangan bertemakan 'Peranan Rakyat dalam Pengurusan Sumber Air Bersepadu' itu dianjurkan oleh Bappenas dan Danone Aqua sempena menyambut Hari Air Sedunia.

Menurut Nugroho, dianggarkan 3.5 juta orang akan berhadapan masalah kekurangan air pada 2025, dengan 2.5 juta daripada jumlah itu pula akan hidup tanpa tahap kebersihan yang sepatutnya. Punca masalah itu ialah sikap manusia sendiri yang suka membazir dan mencemarkan sumber air. Di Indonesia, keperluan bekalan air bersih semakin meningkat dan kecenderungan pengguna air bersih turut bertambah. Jumlah peningkatan pengguna ialah antara 17 hingga 30 peratus per kapita untuk setahun, sedangkan jumlah air bersih yang ada semakin berkurangan ekoran pencemaran dan kerosakan. Sementara itu, anggota Dewan Air Nasional, Piter Hehanusa berkata, kira-kira 169 juta rakyat Indonesia belum dibekalkan dengan air bersih.

Kerajaan memiliki 7.1 juta saluran air bersih yang hanya mampu membekalkan air kepada 35.5 juta orang dan hanya dinikmati penduduk bandar. Ini bermakna, sejumlah 82 peratus rakyat negara ini terpaksa menggunakan air yang tidak mematuhi piawaian kesihatan. Ketua Pusat Sumber Daya Air Tanah dan Geologi Persekitaran dari Kementerian Tenaga dan Sumber Mineral, Dodid Murdohardono pula berkata, pencemaran air menjadi punca utama krisis air bersih di seluruh Indonesia. Menurutnya, masalah ini diburukkan lagi dengan pengawasan yang lemah dan keengganan pelaksanaan undang-undang yang ketat.

UTUSAN MALAYSIA
7 MEI 2011