JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



10 Oktober 2010

ISU KESIHATAN : HIDUP SIHAT DENGAN MAKANAN ORGANIK

Makanan organik masih terlalu asing bagi masyarakat di negara ini. Tidak banyak pendedahan mengenainya dilakukan walaupun makanan ini telah popular di beberapa negara lain di dunia. Walaupun ada yang mengatakan makanan organik ini lebih mahal, namun kebaikan di sebaliknya lagi ‘mahal’ untuk kesihatan jangka masa panjang. Sekiranya telah mencuba buat pertama kali terutamanya buah-buahan dan sayur-sayuran, pasti hendak lagi kerana kelainan rasa berbanding dengan yang ditanam dengan konvensional. Rasanya lebih sedap dan manis, begitu juga dengan roti yang dibuat daripada tepung organik dan jus organik. Keasliannya memang terasa. Tidak rugi walaupun terpaksa mengeluarkan wang yang lebih. Ia memberi kepuasan yang tidak terhingga.
 
Sebenarnya, memakan makanan organik bukan sahaja mengubah gaya hidup dan kesihatan seseorang malah boleh menyelamatkan bumi daripada terus tercemar dengan bahan kimia akibat aktiviti pertanian. Banyak persepsi mengenai makanan organik ini. Antaranya ialah makanan khusus untuk mereka yang telah dihidapi penyakit terutamanya kanser atau makanan golongan atasan. Itu tidak benar, ia adalah makanan untuk semua yang pentingkan kesihatan dan mencintai alam semula sekitar. Malah ia juga boleh melindungi generasi akan datang daripada terus memakan makanan yang dicemari selain melindungi kualiti air, menjimatkan tenaga, membaiki gaya hidup dan sistem nilai, mengekalkan nutrien dan lebih penting lagi rasanya lebih sedap berbanding dengan bukan organik. Gaya hidup dengan memakan makanan organik masih lagi belum popular di Malaysia, ini kerana tidak ada kesedaran dan pendedahan dilakukan secara serius mengenai makanan tersebut. Makanan organik bukan sekadar untuk kesihatan tetapi membantu menyelamatkan alam sekitar daripada tercemar. Ini kerana organik ialah makanan yang ditanam tanpa menggunakan baja kimia atau disembur racun perosak. Satu kelebihan tanaman organik ialah pencemaran kimia dan racun perosak dapat dikurangkan hampir ke tahap kosong.

Sedikit demi sedikit pemahaman masyarakat mengenainya akan meningkat juga kerana kini kesedaran menjaga kesihatan dan kos perubatan yang tinggi menyebabkan orang ramai lebih prihatin dalam segi pemakanan sejak muda lagi. Ini terbukti apabila semakin banyak kedai menjual produk organik telah wujud di seluruh negara dan kerajaan juga turut menggalakkan pertanian organik sebagai pilihan kepada petani. Jika makanan bukan organik, kita terpaksa berhadapan dengan penyakit yang bakal dihidapi dan kos perubatan tinggi untuk mengubatinya akibat daripada bahan kimia yang terkandung di dalamnya sejak tanamannya lagi sehinggalah diproses. Sebenarnya membeli makanan organik ialah pelaburan jangka masa panjang. Jika kesihatan kita baik, maka kita tidak perlu mengeluarkan kos tinggi untuk perubatan, tidak juga dihidapi penyakit yang boleh membuat kita menderita dan yang penting ialah bumi kita selamat daripada racun perosak dan bahan tercemar.  Sebagai contohnya, jika kita membeli sebotol jus epal di luar, ia mengandungi bahan sintetik, gula dan campuran air, ia tidak asli tetapi jika jus epal organik, ia jus asli, tiada gula atau air yang perlu ditambah.

Begitu juga dengan sayur-sayuran organik yang tiada semburan bahan kimia, racun serangga, fungus dan baja tiruan yang boleh menjejaskan kesihatan serta amalan pertanian itu boleh membantu mengekalkan nutrien pada tanah. Pengambilan roti organik juga boleh memberi nilai kepada kesihatan. Walaupun harganya lebih mahal daripada roti biasa, tetapi faedah yang tersembunyi tidak terhingga tinggi nilainya untuk kehidupan gaya sihat. Hakikatnya,  makanan organik merupakan pelaburan jangka masa panjang bagi kita. Pertanian organik melindungi tanah, air dan udara daripada tercemar. Sebagai contoh, seorang petani yang mengusahakan kebunnya secara tidak organik boleh mengalirkan racun perosak yang digunakannya dan mencemarkan sistem pengairan. Racun itu juga akan meresap di dalam tanah. Semburan racun perosak itu juga mencemarkan udara. Keadaan ini tidak mungkin akan berlaku kepada pekebun organik yang tidak menggunakan racun perosak atau bahan kimia. Pertanian organik melibatkan penggunaan buruh secara intensif seperti kerja-kerja merumpai dan tidak menggunakan racun rumpai seperti pertanian konvensional. Inilah yang dimaksudkan keuntungan yang tidak nampak pada waktu ini walaupun terpaksa membayar harga yang mahal sedikit, tetapi bakal memberi senyuman sehingga akhir hayat.

Ibu bapa yang mempunyai anak kecil harus memberi pendedahan kepada anak-anak mengenai makanan oraganik sejak mereka kecil lagi. Hal ini demikian kerana anak-anak yang diberi makanan organik, apabila dewasa nanti, mereka hanya memilih dan memakan bahan-bahan yang menyihatkan. Begitu juga dengan pendedahan kepada pelajar kolej kerana mereka bakal menjadi pemimpin suatu hari nanti. Mereka haruslah digalakkan menceburi bidang ini supaya makanan organik ini boleh cepat berkembang. Masa depan makanan organik di Malaysia adalah cerah kerana sokongan kerajaan yang ingin menjadikan pertanian organik sebagai salah satu cara pertanian di negara ini. Setiap keluarga boleh mengubah corak pemakanan secara beransur-ansur iaitu dengan bertukar kepada produk organik seperti beras perang, gula perang, tepung perang dan garam laut.



ISU PENDIDIKAN : PENDIDIKAN MORAL PELAJAR TERPINGGIR

Data Kementerian Pelajaran serta statistik Polis Diraja Malaysia menunjukkan jumlah salah laku melibatkan remaja masih bersekolah semakin meningkat. Makin membimbangkan bila data-data tersebut menunjukkan pelajar sekolah bukan sahaja sekadar terlibat di dalam kelakuan tidak sopan, melanggar peraturan sekolah seperti bising dalam kelas, datang lewat ke sekolah, ponteng tetapi juga menjangkau kepada perlakuan jenayah seperti gengsterisme, melakukan gangguan seksual, merogol malah hingga kepada membunuh. Kajian gengsterisme di sekolah menengah harian yang dilakukan oleh Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Kementerian Pendidikan mengenal pasti 459 daripada 1,560 buah sekolah terdedah dengan budaya gengsterisme.

Data Kementerian Pelajaran tahun 2008 menunjukkan 21,060 pelajar dikesan ponteng sekolah, manakala 24,840 pelajar terlibat pada tahun sebelumnya. Selain ponteng, salah laku pelajar kurang sopan seperti merokok, tidak hormat guru dan pengawas serta berbahasa kesat adalah kesalahan paling banyak berlaku di sekolah membabitkan 23,220 kes pada tahun 2007 dan 19,980 kes pada 2006. Akibat meningkatnya gejala sosial yang semakin serius, maka cadangan mengembalikan semula hukuman rotan sekarang berada di atas meja Peguam Negara. Nampaknya institusi pendidikan seperti sekolah seakan sudah hilang upaya untuk menguruskan masalah gejala sosial melalui pendidikan moral dan agama Islam dan akhirnya bersetuju untuk kembali kepada cara lama menangani masalah remaja. Malah institusi kaunseling secara jujurnya juga seperti tidak terdaya menyelesaikan kerenah isu juvenil ini.

Kesalahan remaja sememangnya masalah pendidikan dan sekolah tidak dapat tidak mesti bertanggungjawab membanterasnya tetapi mengambil langkah menggunakan rotan sama sekali tidak akan menghilangkan masalah sosial. Kajian oleh pakar pendidikan pembelajaran sepakat bersetuju bahawa sistem hukuman rotan bukanlah satu kaedah yang paling baik dan berkesan, malah pelajar yang telah melalui kaedah hukuman rotan ada antaranya yang terus menerus melakukan kesalahan yang lebih besar daripada kesalahan di mana mereka pernah dikenakan hukuman rotan. Kajian di negara ini juga telah banyak dilakukan berkaitan masalah disiplin di kalangan remaja.

Kementerian Pelajaran telah mencuba pelbagai kaedah untuk menangani masalah disiplin daripada kempen hinggalah bekerjasama dengan pihak polis dan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia. Malangnya, impak kepada masalah disiplin sifar nampaknya masih jauh daripada yang diharapkan. Hukuman merotan bukan sahaja ditentang oleh golongan peguam tetapi juga di kalangan pendidik yang mementingkan konsep pendidikan yang murni dan bermaruah.  Kita mungkin berkata merotan akan mendidik pelajar ini supaya tidak akan lagi melakukan perbuatan salah mulai esoknya di sekolah. Maka kita cuba menyatakan jika semua sekolah menjalankan hukuman merotan maka dalam satu jangka nanti akan sangat kurang atau tiada lagi masalah sosial di sekolah kerana pelajar akan takut dikenakan hukuman merotan. Apakah kita percaya ini semua akan berlaku?

Difikirkan semasak-masaknya pelajar yang melakukan masalah disiplin ini sebenarnya adalah mangsa keadaan, sesuatu yang bukan di bawah kawalan mereka. Baik ibu bapa, masyarakat, sekolah, media serta rakan sebaya, semuanya memberikan sumbangan yang kuat ke arah perlakuan dan tingkah laku negatif pelajar. Tetapi bila hukuman hendak dijatuhkan, pelajar ini sahaja yang dipersalahkan, mana ibu bapa, rakan taulan, guru, media yang sentiasa memaparkan adegan ganas dan seks ketika hukuman dilaksanakan.  Banyak faktor lain yang juga mendorong kepada berlakunya masalah ini. Keluarga yang bercerai berai, tuntutan keperluan hidup yang semakin mendesak juga menjadi faktor kepada gejala ini. Malah ada juga menghadapi tekanan membina semula lingkungan rakan sebaya yang kadang kala tersalah pilih kerana tiada bantuan daripada ibu bapa. Tidak cukup dengan itu, anak- anak yang tidak ada potensi akademik tetapi ada potensi sukan, seni dan potensi lain 'digagalkan' oleh sistem pendirian negara kita. 

Hanya yang mendapat 5A UPSR, 8A PMR atau 11 A SPM, para pelajar ini diangkat dan dijulang. Yang lain menjadi seperti orang asing kepada pihak guru dan sekolah. Berapa ramai ibu bapa yang memeluk anak-anak yang mendapat 1A UPSR berbanding yang meleter dan merendah-rendahkan kebolehan anak-anak mereka?  Masalah disiplin dan krisis moral tentulah berpunca sebahagian besarnya dari amalan pembelajaran pembangunan nilai yang gagal di sekolah. Paling asas ialah kegagalan pendidikan agama serta moral yang dilaksanakan di sekolah. Guru-guru agama dan mata pelajaran moral harapnya jangan marah dengan penulis, tetapi cubalah kita fikirkan bersama, bila semakin ramai orang Muslim-Melayu yang mengaku beragama Islam tetapi tidak mengamalkan pun ajaran yang diwajibkan. Saya masih ingat seorang kawan sekolah dahulu yang dirotan di dewan perhimpunan mingguan sekolah sehingga kini masih terus menyumpah pihak sekolah. Kesalahannya kerana ditangkap merokok di belakang tandas sekolah. Selepas dirotan guru disiplin memberi amaran supaya beliau berhenti merokok. Tetapi sehingga kini rakan penulis itu masih merokok, tak berniat pun untuk berhenti.

Kita kena membezakan antara hukuman merotan oleh ibu bapa dan pihak sekolah. Konsep merotan yang dilaksanakan oleh ibu kesannya adalah berbeza pada pelajar, tidak sama dengan pihak sekolah. Elemen keterikatan 'pertalian darah antara anak dengan ibu dan ayah' membenarkan anak-anak memahami jika ibu bapa melakukan hukuman tersebut, tetapi jika hukuman tersebut dilakukan oleh pihak sekolah, kadang- kadang hukuman tersebut dilihat sebagaimana menghina, menjatuhkan maruah pelajar dan ramai ibu bapa juga tidak suka anak mereka dirotan. Jangan tanya pendapat awam kerana bukan anak mereka yang dirotan. Mereka semestinya bersetuju dengan hukuman merotan pada anak orang lain.

Satu masa dulu, data menunjukkan lingkungan umur yang paling tinggi melakukan masalah sosial ialah kalangan remaja lelaki antara 15-18 tahun. Namun trend ini dilihat mulai membimbangkan apabila kumpulan pelaku masalah sosial kini semakin rendah tahap umur sehingga ada yang berumur kurang dari 10 tahun terutama berkaitan kes curi, ponteng, merokok dan mencabul pelajar perempuan. Malah remaja wanita juga semakin ramai yang terlibat sebagai pelaku masalah sosial. Menguruskan pelajar perlukan kesabaran para guru, ketelitian dalam berinteraksi dengan kanak-kanak serta secara nasihat berdikit-dikit tetapi konsisten sangat berkesan. Paling penting bermula sejak awal umur kanak-kanak. Kalaulah merotan terbukti boleh menyelesaikan masalah disiplin, dunia telah lama aman dan sejahtera. Perlakuan jenayah dan gejala sosial menuntut perhatian yang lebih tinggi daripada sekadar mengkaji baik buruknya merotan pelajar. Kanak-kanak pada peringkat muda pada asasnya memerlukan kasih sayang, luangkan masa serta perhatian para ibu bapa dan guru- guru.

Kasih sayang pada pelajar perlu ditunjukkan dengan mendengar dan menyokong bukannya dengan meleter, mengungkit atau merotan pelajar. Para pelajar jika sudah biasa dirotan akan juga menganggap bentuk didikan 'ganas' adalah yang terbaik dan akan melakukannya apabila mereka pula mempunyai anak-anak satu hari nanti. Mereka juga akan percaya apabila wujudnya konflik dengan rakan sebaya di sekolah cara bergaduh dan memukul jugalah yang seharusnya digunakan. Tindakan yang seringkali dicadangkan oleh pakar pendidikan ialah kecilkan saiz pelajar di dalam bilik darjah supaya perhatian kepada pembangunan sahsiah pelajar akan menjadi lebih baik, tingkatkan kualiti pengurusan pelajar di kalangan guru supaya mereka memahami dengan tepat secara teori dan amalan, atau 'know what' dan 'know how' berkaitan pembangunan pelajar di bawah tanggungjawab mereka, sediakan sistem sokongan kewangan dan khidmat nasihat untuk pelajar, outreach programme di mana kumpulan guru melawat ke rumah pelajar yang menunjuk tanda- tanda masalah di peringkat awal supaya perbincangan dengan ibu bapa dapat dilakukan lebih awal.

Pada masa yang sama guru juga akan dapat membuat penilaian berkaitan keluarga pelajar tersebut. Apalah gunanya di dalam sebuah sekolah jika dengan hanya beberapa orang pelajar mencapai kecemerlangan akademik tetapi pada yang sama ramai pula yang terlibat dengan masalah disiplin di sekolah yang sama. Biarlah kalau Peguam Negara masih ingin meluluskan undang-undang hukuman merotan ini, biarlah kalau ada sekolah masih juga ingin meneruskan hukuman ini tetapi percayalah masih ramai ibu bapa di luar sana termasuk penulis sendiri sangat percaya bahawa jika anak-anak ini dirotan kerana kesalahan mereka maka kitalah yang sebenarnya gagal mendidik moral kepada mereka.


Anuar Ahmad
pensyarah Sosiologi
Pendidikan Fakulti Pendidikan
Universiti Kebangsaan Malaysia.
UTUSAN MALAYSIA
28 JUN 2009


ISU SOSIAL : GANGGUAN SEKSUAL

Jika anda menganggap gangguan seksual di tempat kerja hanya wujud apabila pelaku menggunakan teknik sentuhan dan percakapan terhadap mangsanya, anda silap. Kebanyakan orang tidak memahami secara tepat atau menyeluruh apa yang dimaksudkan dengan istilah gangguan seksual di tempat kerja.  Tidak keterlaluan dikatakan, ada individu yang menganggap gangguan seksual di tempat kerja hanya membabitkan mangsa wanita. Tetapi sebenarnya ia turut ‘menyerang’ lelaki.

Kod Amalan Untuk Mencegah dan Membasmi Gangguan Seksual Di Tempat Kerja menerangkan, gangguan seksual adalah sebarang perlakuan berunsur seksual yang tidak diingini penerima atau mangsa. Dikeluarkan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM), kod amalan itu turut menggariskan bahawa gangguan seksual boleh dibahagikan kepada dua kategori iaitu berbentuk ugutan seks dan ancaman seks. Penolong Pengarah Tenaga Kerja Kanan JTKSM Putrajaya, Johana Bakar berkata, berdasarkan kod amalan yang ada, gangguan seksual berbentuk ugutan seks bermaksud apabila seseorang pegawai atasan yang mempunyai kuasa menentukan gaji dan pangkat misalnya, cuba mengugut pekerja bawahan supaya memberi layanan seksual kepadanya.

Katanya, pekerja itu perlu mengikut jika ingin memperoleh faedah berkaitan kerja dan jika menolak ugutan berkenaan, faedah akan dinafikan. Manakala gangguan seksual berbentuk ancaman adalah apabila tingkah laku yang ditunjukkan pelaku dilihat mangsa sebagai ancaman, ugutan atau penghinaan tetapi ia tiada kaitan langsung dengan faedah pekerjaan. Bagaimanapun, tingkah laku itu menimbulkan suasana yang tidak tenteram kepada mangsa untuk terus bekerja. “Gangguan seksual di tempat kerja juga bukan hanya berlaku dalam pejabat atau organisasi, malah ia turut membabitkan gangguan seksual di luar tempat kerja yang wujud daripada hubungan dan tanggungjawab berkaitan pekerjaan.

“Misalnya melalui majlis-majlis sosial berhubung pekerjaan, menjalankan tugas di luar tempat kerja, persidangan atau latihan berkaitan pekerjaan, ketika dalam perjalanan berkaitan tugasan, telefon dan media elektronik. “Ingin ditekankan di sini, gangguan seksual itu sendiri bermakna tingkah laku seksual yang tidak diingini dan tidak disenangi mangsa serta tanpa diminta atau dibalas balik mangsa,” katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui di gerai pameran dan maklumat JTKSM pada sambutan Hari Wanita Kebangsaan 2010 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi, baru-baru ini. Menurut Johana, gangguan seksual merangkumi bermacam-macam tingkah laku seksual yang boleh dibahagikan kepada lima jenis. Ujarnya, satu daripadanya adalah gangguan secara lisan yang mana pelaku menggunakan kata-kata, komen, gurauan, usikan, bunyi dan soalan berbentuk ancaman atau cadangan seksual.

Jelasnya, gangguan seksual jenis bukan lisan pula wujud apabila pelaku memandang atau mengerling yang membayangkan niat, menjilat bibir, memegang sesuatu secara menggoda, membuat isyarat tangan, menggunakan bahasa isyarat yang menunjukkan perlakuan seks atau tingkah laku mengurat yang berterusan. Bagi gangguan seksual jenis visual, katanya, pelaku menunjukkan bahan lucah, melukis gambar lucah, menulis surat berunsur seksual, menayangkan bahagian sulit badan yang tidak sepatutnya didedahkan dan sebagainya. Selain itu, ujarnya, jika pelaku mengulangi jemputan sosial yang telah ditolak, memujuk rayu berterusan untuk keluar bersama atau ingin bercumbuan, ia digelar gangguan seksual psikologi.

Tambahnya, bagi gangguan seksual jenis fizikal, pelaku akan menggunakan cara sentuhan seperti memegang, menepuk, mencubit, mengusap, menggesel badan, memeluk, mencium atau serangan seksual tanpa kerelaan mangsa. Johana berkata, kes gangguan seksual di tempat kerja perlu dilaporkan sama ada kepada pegawai atasan, polis atau kementerian bagi memastikan pesalah dikenakan tindakan sewajarnya. Laporan itu juga perlu dibuat bagi mengekang masalah sosial itu daripada terus melarat di kalangan masyarakat sehingga menimbulkan suasana tidak selamat sepanjang berada di tempat kerja atau menjalankan urusan pejabat. “Namun, kebanyakan mangsa enggan melaporkan gangguan yang diterima kerana malu, tiada tempat mengadu, bimbang disindir atau takut diberhentikan kerja.

“Di Malaysia, mangsa kes ini menghadapi masalah membuat laporan kerana tiada prosedur jelas untuk dijadikan panduan bagaimana dan di mana untuk mengadu. “Maka, saya menggesa mangsa membuat laporan kepada polis, majikan atau kementerian dan mendapatkan maklumat lengkap berhubung gangguan seksual termasuk di tempat kerja melalui laman web kementerian atau maklumat di Internet supaya tidak terus ditindas,” katanya.

 
Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN
UTUSAN MALAYSIA
07 OKTOBER 2010
 

MEMANTAPKAN ILMU TATABAHASA ASPEK MORFOLOGI



KATA YANG MENGANDUNGI SISIPAN


01. Bergerincing
02. Bergerigi
03. Berserabut
04. Rerumput
05. Keruping
06. Kemuning
07. Telingkah
08. Kerusut
09. Telapak
10. Kerontang

KATA MAJMUK

1. Kata yang merangkaikan dua kata dasar atau lebih
2. Kata yang dirangkaikan itu akan membawa makna tertentu
3. Berfungsi sebagai satu unit
4. Dieja terpisah
5. Tidak boleh menerima sisipan

PROSES PEMBENTUKAN KATA

1. Menambahkan imbuhan pada kata dasar
2. Mengulang seluruh kata dasar
3. Mengulang sebahagian kata dasar
4. Menggabungkan dua patah kata atau lebih untuk membentuk kata baru.

PERIBAHASA YANG SAMA MAKSUD

PERIBAHASA SAMA MAKSUD

1. Seperti bunga dengan perdunya
2. Seperti tanduk bersendi tulang
3. Seperti cincin dengan permata
4. Bagai pinang dibelah dua

Maksud
Pasangan suami isteri yang secocok, sama cantik, sepadan

PERIBAHASA SAMA MAKSUD


1. Seperti sirih pulang ke gagang
2. Seperti belut pulang ke lumpur
3. Seperti ikan pulang ke lubuk
4. Seperti janggut pulang ke dagu

Maksud
* Pasangan suami isteri yang rujuk semula lepas bercerai
* Balik ke tempat asal


PERIBAHASA SAMA MAKSUD


1. Sudah jatuh ditimpa tangga
2. Antah patah lesung hilang


Maksud
Kesusahan datang secara berturut-turut

PERIBAHASA SAMA MAKSUD

1. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul
2. Kukur apa kepada kukur, nyiur juga yang binasa
3. gar-gar kata helegar, rusuk juga yang menahannya

Maksud
Orang yang mengalami sesuatu masalah, kesukaran untuk mengetahui kesusahan sebenar yang dihadapi

PERIBAHASA SAMA MAKSUD

1. Hidup sandar-menyandar, bagai aur dengan tebing
2. Bulat air kerana pembentung, bulat kata kerana muafakat
3. Ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni
4. Hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah
5. Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing
6. Seliang bagai tebu, serumpun bagai serai
7. Terendam sama basah, terampai sama kering

Maksud
Bergotong-royong, bekerjasama, bersatu padu

PERIBAHASA SAMA MAKSUD

1. Burung terbang dipipiskan dada
2. Mendengar guruh di langit, air di tempayan dicurahkan

Maksud
angan-angan ke atas sesuatu yang belum pasti.

PERIBAHASA SAMA MAKSUD

1. Belum duduk sudah berlunjur
2. Belum betul membilang, jari sudah hendak berkuasa sendiri
3. Belum pandai membuang hingus sudah hendak berjuang lidah

Maksud
Orang muda hendak berlagak seperti orang tua

LARAS BAHASA

LARAS BAHASA

1. Mementingkan pemilihan kata
2. Mementingkan pemilihan frasa
3. Mementingkan susunan ayat
4. Merujuk kepada ciri-ciri khusus dalam penggunaan bahasa mengikut bidang penggunaannya.

UNSUR MEMPENGARUHI PENGGUNAAN LARAS BAHASA SECARA LISAN

1. Latar suasana
2. Peserta
3. Tujuan

LARAS BAHASA IKLAN

1. Bersifat memujuk
2. Menunjukkan kelebihan sesuatu
3. Bersifar mempengaruhi
4. Menggesa untuk bertindak pada ketika itu

LARAS BAHASA PERNIAGAAN

1. Bertujuan untuk memupuk dan mempengaruhi
2. Memberikan maklumat tentang sesuatu
3. Ayat yang ringkas, padat, dan tepat
4. Mempunyai kaitan dengan lambang kejayaan
5. Mempunyai kaitan dengan laras iklan

FAKTOR PENENTUAN PERBEZAAN ANTARA DIALEK

1. Sebutan
2. Kosa kata
3. Sistem sapaan

HARUS INGAT

1. Struktur ayat dalam mana-mana dialek adalah sama

LARAS BAHASA KEAGAMAAN

1. Memerlukan tafsiran
2. Merupakan ketetapan
3. Mementingkan kepersisan (kebenaran)

VARIASI BAHASA

BAHASA ISTANA

1. Mempunyai ungkapan kosa kata khusus.
2. Mempunyai ungkapan yang telah menjadi rutin.
3. Mempunyai persamaan dengan bahasa biasa dari segi tatabahasa.

PERBEZAAN BAHASA MELAYU FORMAL DAN BAHASA ISTANA

1. Kosa kata
2. Sistem panggilan

CIRI-CIRI BAHASA FORMAL

1. Digunakan secara beradab dan bersopan
2. Digunakan untuk melembutkan bicara
3. Menggunakan ganti nama yang lengkap dan sopan
4. Menggunakan tatabahasa yang sempurna
5. Mempunyai struktur ayat yang gramatis
6. Menggunakan imbuhan yang tepat dan lengkap
7. Menunjukkan keragaman binaan ayat
8. Mematuhi peraturan-peraturan yang ditetapkan

BAHASA HALUS

1. Menggunakan tatabahasa yang betul
2. Menggunakan sistem ganti nama yang betul dan bersopan
3. Banyak menggunakan peribahasa untuk menyatakan hasrat hati.

PERBEZAAN BAHASA ISTANA DENGAN BAHASA MESRA

1. Struktur ayat
2. Ganti nama diri
3. Kependekan kata
4. Bahasa dalam hanya untuk golongan istana
5. Bahasa mesra agak meluas penggunaannya
6. Bahasa mesra lazimnya berbentuk lisan.
7. Bahasa mesra dalam bentuk tulisan banyak menggunakan singkatan dan pengguguran

KESANTUNAN BERBAHASA

KEPENTINGAN KESANTUNAN BERBAHASA

1. Menunjukkan sikap hormat-menghormati antara anggota-anggota masyarakat
2. Menunjukkan masyarakat yang harmoni dan bersatu padu
3. Menunjukkan kemesraan antara ahli-ahli keluarga

FAKTOR PENENTU KESANTUNAN BERBAHASA

1. Taraf sosial pengguna bahasa
2. Suasana latar sesuatu perbualan
3. Hubungan antara peserta dan penutur

PERBEZAAN PENGGUNAAN "AKU" DAN "SAYA"

1. "Aku" boleh digunakan dalam suasana mesra (tidak formal)
2. "saya" digunakan dalam konteks yang lebih formal.
3. Kedua-duanya digunakan berdasarkan suasana dan hubungan

GELARAN KEKELUARGAAN DIPENGARUHI

1. Hubungan pertalian darah
2. Pertalian perkahwinan
3. Hubungan secar tidak formal.

FAKTOR YANG MENENTUKAN SAPAAN DAN RUJUKAN

1. Keturunan seseorang
2. Jantina seseorang
3. Pekerjaan seseorang
4. Umur seseorang

RETORIK PEMERIAN

DEFINISI

1. Berbentuk penjelasan atau huraian tentang sesuatu idea.
2. Menyampaikan fakta dan maklumat yang lengkap.

CIRI-CIRI

1. Dilakukan secara objektif, tepat, dan jelas
2. Gambaran diberi secara realistik.
3. Gambaran berdasarkan fakta yang konkrit.
4. Gambaran dilakukan secara impresionistik atau cetusan imiginasi.
5. Bahasanya jelas dan tersusun
6. 3 bahagian iaitu pendahuluan, huraian, dan kesimpulan.
7. bersifat deskriptif dan informatif

CONTOH

Bangunan itu mempunyai bumbung yang tinggi dan cantik. Dindingnya diperbuat daripada bahan yang terpilih dan dihiasi pula dengan gambar burung berwarna-warni.

ISU ALAM SEKITAR : 1000 RAHSIA HIDUPAN LAUT

Lautan merupakan satu anugerah tuhan kepada manusia yang tidak terperi indahnya dan tak tercapai dek akal akan kewujudannya. Begitu juga dengan hidupan di dalamnya yang sehingga kini masih kekal sebagai satu misteri besar dalam kehidupan manusia. Ketika manusia di Barat sibuk untuk mewujudkan satu jawatan tentang siapa yang bakal menjadi jurucakap bumi jika terdapat makhluk asing yang mahu membuat hubungan dengan manusia hakikatnya lautan yang terbentang luas itu pun masih jauh lagi untuk diketahui tentang kewujudan spesis yang terdapat di dalamnya. Mungkin agak melucukan, namun hasil kajian para saintis mendapati lebih tiga perempat dari lebih sejuta spesis (mungkin lebih) yang terdapat di dalam laut masih belum diketahui kewujudannya.

Lautan yang boleh kita tafsirkan sebagai himpunan air masin yang meliputi permukaan bumi yang dibatasi oleh benua ataupun kepulauan yang besar merupakan elemen yang dominan di atas muka bumi. Dianggarkan lautan meliputi 71 peratus dari permukaan bumi, dengan luas sekitar 361 juta kilometer persegi. Manakala isi lautan pula dianggarkan sekitar 1370 juta kilometer padu, dengan kedalaman rata-rata 3790 meter. Berdasarkan hasil kajian rangkaian penyelidik dari Cencus of Marine Life yang didedahkan pada Selasa lepas, terdapat lebih sejuta spesies mendiami lautan dengan sekurang-kurangnya tiga perempat daripadanya masih belum dikenal pasti. Census of Marine Life merupakan rangkaian penyelidik global di lebih 80 negara yang telah terlibat secara aktif dalam kajian saintifik selama 10 tahun tentang kepelbagaian, pergerakan dan cara hidup pelbagai jenis spesis yang terdapat di dalam laut.

Kajian tersebut yang bernilai AS$650 juta (RM2.08 bilion) itu telah berjaya menemui lebih 6,000 spesies baru dan beberapa spesies hidupan yang sebelum ini di kategorikan jarang dijumpai, tetapi sebenarnya banyak terdapat di dalam laut. Penyelidikan tersebut melibatkan lebih 2,700 saintis, 670 institusi dan lebih 540 lawatan yang mengambil masa kira-kira 9,000 hari di laut. Hampir 30 juta pemerhatian dilakukan ke atas 120,000 jenis spesies hidupan sepanjang kajian dijalankan. Menurut laporan tersebut apa yang didedahkan adalah satu penemuan yang tidak pernah diperolehi sebelum ini. Ia adalah gambaran tentang kepelbagaian, taburan dan perbezaan hidupan laut di muka bumi ini, daripada mikrob kepada paus, dari kawasan kutub berais ke kawasan tropika, daripada ombak di tepi pantai hingga ke dasar laut yang paling dalam. Kajian itu dijalankan bagi mengenal pasti hidupan yang pernah mendiami lautan, yang tinggal di laut masa kini dan kemungkinan spesies yang boleh hidup di laut pada masa depan. Menurut penyelidikan tersebut, sebanyak 16,764 spesies ikan berjaya dikenal pasti setakat ini, tetapi kira-kira 5,000 spesies lagi masih belum dapat ditentukan jenisnya.

Pengerusi Jawatankuasa Pengendali Cencus of Marine Life, Ian Poiner berkata, penyelidik buat kali pertama dapat menentukan antara spesies yang dikenali dan yang tidak di kenali secara sistematik. "Semua hidupan di permukaan bergantung kepada kehidupan di dalam dan dasar laut. Hidupan laut mem bekalkan separuh daripada oksigen dan banyak makanan kepada kita se lain mengawal perubahan iklim," katanya yang berasal dari Australia. Melihat kepada kepentingan hidupan laut ini pastinya membuat kita terfikir apa perlunya manusia terlalu membazir tentang apakah benar wujudnya kehidupan di angkasa lepas.

Telah terlalu banyak wang dihabiskan untuk membuat kajian tentang perkara ini sedangkan hakikatnya hidupan di dalam laut itu sendiri masih terlalu banyak yang tidak diketahui kewujudannya. Agak menghairankan kenapa perkara ini tidak diberikan perhatian yang lebih khusus padahal benar-benar terdapat hidupan di dalam laut yang mungkin boleh memberi kesan yang lebih dalam kehidupan manusia. Bukan untuk menidakkan kepentingan penerokaan sains angkasa lepas namun jika ia terlalu tertumpu apakah benar wujud kehidupan di luar sana, adalah malang jika kita mengabaikan hidupan di dalam laut yang terdapat di bumi itu sendiri.

Oleh Hafizahril Hamid
Utusan Malaysia
10 Oktober 2010
 

ISU KESIHATAN = AKIBAT SUKA MAKAN MAKANAN SEGERA

Cara hidup masyarakat yang semakin gemar makan makanan segera dan bergoreng di restoran-restoran dikenal pasti sebagai antara punca penyakit kronik semakin menjadi-jadi di kalangan penduduk Malaysia sejak kebelakangan ini. Jika dahulu penyakit jantung, diabetes dan darah tinggi dikaitkan sebagai penyakit orang kaya kerana kemampuan mereka untuk bermewah dengan makanan tetapi hari ini anggapan itu tidak boleh dipakai sepenuhnya. Pemakanan yang berlebihan daripada keperluan dan pengambilan makanan suplemen yang tidak betul juga antara penyumbang kepada penyakit-penyakit tersebut.

Semua lapisan masyarakat, tidak mengenal usia, bangsa, kaya atau miskin turut menghidap penyakit-penyakit kronik itu hari ini. Sementara itu jumlah penghidapnya kian meningkat terutama penyakit jantung koronari yang menjadi punca kematian nombor satu di Malaysia. Corak pemakanan yang tidak seimbang, pekerjaan tanpa banyak pergerakan dan faktor keturunan turut menjadi penyumbang kepada penyakit-penyakit kronik yang boleh membawa maut sekiranya tidak dirawat dan dikawal.

Presiden Persatuan Pemakanan Malaysia Dr. Tee E. Siong tidak menyangkal bahawa latar belakang genetik dan keturunan seseorang turut memainkan peranan menyumbang kepada penyakit-penyakit kronik itu. Namun demikian, punca utama kepada penyakit tersebut masih banyak ditentukan oleh corak pemakanan dan diet yang salah, tidak seimbang serta melakukan pekerjaan yang tidak memerlukan banyak pergerakan dan tenaga. Kita tidak boleh menyalahkan keturunan kedua-dua orang tua kita kerana memiliki baka penyakit-penyakit tersebut, sebaliknya kita sendiri yang patut dipersalahkan kerana mengamalkan cara hidup yang kurang sihat.


Hakikatnya, adalah tidak tepat sekiranya pengamal makanan sayur-sayuran (vegetarian) menganggap bahawa mereka tidak boleh menghidap penyakit jantung koronari misalnya. Harus diingat, dengan hanya tidak memakan daging yang mengandungi kolesterol tidak akan melindungi seseorang daripada menghidap penyakit jantung koronari. Pengambilan tenaga daripada lemak dan karbohidrat serta komponen lain dalam diet seperti serat dan sumber garam merupakan faktor penting untuk mengekalkan kesihatan. Adalah diingatkan bahawa kolesterol yang menyumbat arteri disumbangkan oleh badan seseorang itu dan bukan berpunca daripada makanan semata-mata.


Penyakit-penyakit kronik itu boleh dielakkan kerana tahap kesihatan seseorang itu ditentukan oleh mereka sendiri. Rakyat Malaysia perlu peka dengan kehadiran dan bahayanya penyakit-penyakit tersebut jika tidak dikawal dan mengambil langkah-langkah positif lebih awal bagi mengelak risiko untuk menghidapnya. Sementara itu,  penyakit-penyakit kronik yang berpunca daripada pemakanan dan diet yang tidak betul termasuk obesiti, darah tinggi, diabetes, jantung koronari dan beberapa jenis barah semakin meningkat di Malaysia. Walaupun sejak 40 tahun lalu penduduk Malaysia telah banyak mengubah corak pemakanan dan diet namun penyakit-penyakit kronik tetap dihidapi kerana sesetengahnya masih menggemari makanan yang senang dibeli dari restoran-restoran dan warung tanpa melakukan aktiviti secukupnya untuk membakar lemak.


Penduduk yang begitu peka memulihara kesihatan menerusi corak pemakanan bagaimanapun telah mengurangkan makan nasi, tidak menambah pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran, menambah pengambilan lemak dan minyak, karbohidrat yang halus, daging/ ikan dan telur. Penduduk Malaysia juga turut menambah peratusan tenaga menerusi pemakanan lemak dan menambah sumber protein daripada binatang, lemak dan kalori. Sementara itu semakin banyak keluarga gemar makan di luar rumah dan makan makanan bergoreng. Penduduk kita  juga suka mengambil makanan yang lebih daripada diperlukan dan mengambil suplemen nutrien yang tidak betul.