We humans are not perfect but if we strive to perfect ourselves in terms of thought and action, God willing we will be able to shape ourselves into the best of His people. Therefore, let's all migrate to a more comfortable living space and free from problems and failures for eternal well-being to be enjoyed until the end of life.
1. Paras Rupa dan Ciri Fizikal
Manusia selalu memilih paras rupa dan bentuk badan seseorang untuk dijadikan pasangan, sahabat, atau kawan. Yang nampak hodoh di mata mereka (bukan di mata Allah) bukan sahaja ditolak malah dihina tanpa basa basi. Kebolehan, kepintaran, dan kecerdikan seseorang selalu tenggelam kerana sikap terlalu mementingkan rupa, gaya, dan ciri fizikal seseorang. Pada pendapat saya, kita tidak perlu rasa rendah diri atau mengalah dengan sikap manusia sebegini. Yakinlah dengan ciptaan Tuhan kerana hanya keyakinan akan menjadikan kita kuat dan hebat sehingga mereka tidak dapat menolak kita. Kebencian mereka itu hanya ujian daripada Allah untuk melihat sejauhmanakah kita tabah dan sabar menerima kutukan dan cacian. Jika kita ada keyakinan, insya-Allah semua itu hanyalah lelucon yang tidak menjadi kudis pun kepada kita.
2. Pangkat, harta, dan kekayaan
Allah juga selalu memotivasikan kita supaya melihat tingginya pangkat, banyaknya harta dan kayanya seseorang di dunia. Jika kita lemah, kita selalu membanding-bandingkan diri kita dengan mereka sehingga kita jadi lemah semangat untuk berusaha. Kita leka melihat kemewahan dan kesenangan hidup yang mereka pamerkan sehingga terlupa untuk berusaha memajukan diri sendiri. Kita seronok melihat dunia artis atau influenser yang bermandi duit di media sosial sehingga kita membazir duit melaburkan ratusan ringgit supaya mereka menjadi lebih kaya dan kaya wahal kita hanya syok sendiri bercerita dan memuja mereka dari kejauhan. Akhirnya kita terus lena bermimpi dan berangan-angan sehingga masa terbuang begitu sahaja. Alangkah beruntungnya kalau kita selalu melihat kekurangan diri dan berusaha untuk meningkatkan prestasi diri daripada memuja orang yang sebelah mata pun tidak memandang atau mengenali siapakah kita.
3. Selalu Menghina Bangsa Sendiri
Kita selalu merendah-rendahkan kebolehan bangsa sendiri sehingga mentaliti kita tersekat untuk mencari ikhtiar maju ke hadapan untuk bersaing dengan bangsa lain. Oleh sebab itu, kita mudah dipecahbelahkan oleh bangsa lain supaya kita terus hidup di bawah telapak kaki mereka hingga beratus-ratus-ratus tahun. Akhirnya, yang rugi adalah kita. Mentaliti kita mudah dijajah kerana semangat kita tidak kuat untuk bersaing dan berdikari. Mereka tidaklah sekuat mana tetapi mereka bersatu dan saling membantu. Kita pula walaupun banyak tetapi lemah kerana asyik berbalah dan bertelagah hingga lupa untuk berjuang membela nasib sendiri yang jauh tertinggal di belakang. Saban tahun kita mengeluh tetapi tiada keberanian untuk mara ke hadapan.
4. Iri hati, Cemburu, dan Dengki
Semua manusia selalu kalah dengan 3 sifat buruk ini, iaitu rasa iri, cemburu, dan dengki dengan kebolehan orang lain. Sikap sebegini menyebabkan kita asyik memikirkan cara untuk menjatuhkan sesorang. Kita habiskan masa berjam-jam untuk bercerita tentang sikap buruk orang sampai mengabaikan tugas dan tanggungjawab terhadap diri sendiri. Akhirnya, Allah tarik sedikit demi sedikit nikmat yang telah diagihkan kepada kita dan bagi kepada orang lain yang lebih berhak. Allah biarkan kita hanyut dibawa arus tidak sedar diri hingga memunahranahkan kehidupan yang patut kita perjuangkan. Jika kita tidak membuang 3 sikap ini dari dalam diri kita, selama itulah kita akan terus hidup dibungkus oleh selimut kegagalan. Niat hati selalu kandas, hajat hati selalu terbabas, dan impian hati selalu tersasar. Seandainya kita selalu melihat kejayaan orang lain dengan pandangan yang positif pasti Allah akan permudahkan laluan kita untuk berusaha menjadi seperti mereka.
5. Terlalu Malas Mencari Ilmu
Kita sering bangga dengan kehidupan sekarang hingga riak kita terpancar dan terpamer terang di media sosial. Harga kopi RM34.00 segelas di Starbuck pun kita pamerkan. Kita habiskan banyak masa berasmaradana dengan dunia yang penuh dengan warna-warni nan melalaikan. Kesudahannya, kita tandus ilmu kerana tidak punya waktu untuk menelaah. Ruang ilmu yang kita ada hanyalah sendiwara dunia di media sosial yang makin lama makin melemahkan otak kita untuk berfikir. Impaknya, kita bagaikan tidak pernah pergi ke sekolah walaupun memiliki ijazah sarjana dari universiti terkemuka. Ruang untuk kita lari daripada subsidi tidak tercapai kerana kita tidak berusaha mencari dan mengali ilmu untuk memajukan diri. Penghujungnya, kita hanya mampu mengigit jari menyaksikan orang lain berjaya.
Kita manusia ini memang tidak sempurna tetapi sekiranya kita berusaha untuk menyempurnakan diri dari segi pemikiran dan tindakan, insya-Allah kita mampu membentuk diri menjadi umat-Nya yang terbaik. Oleh itu, sama-samalah kita berhijrah ke ruang kehidupan yang lebih selesa dan bebas daripada masalah dan kegagalan demi kesejahteraan yang azali untuk dinikmati hingga ke hujung usia.