JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



14 Jun 2011

ISU PENDIDIKAN : MENCARI UNIVERSITI SAINS SOSIAL "TOP"

Oleh Nordin Kardi
Utusan Malaysia, 14 Jun 2011


APABILA Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin baru-baru ini mengumumkan yang kementeriannya sedang dalam usaha mengumumkan Universiti Sains Sosial negara, tentu beberapa universiti sedang mengintai-intai peluang untuk mendapat tempat itu dengan harapan pelbagai keistimewaan akan diberikan bagi mengiringi gelaran itu. Tentulah demikian kerana belajar daripada pengumuman Universiti Penyelidikan dahulu, pelbagai kemudahan menarik dan layanan diberikan kepada universiti penerima gelaran itu. Setidak-tidaknya semua Naib Canselornya diangkat sebagai penerima Turus A dan hampir serta-merta pula mendapat gelaran Tan Sri (kecuali Universiti Malaya). Universiti manakah yang akan dipilih nanti tentulah mendebarkan para Naib Canselor yang ada. Semasa universiti penyelidikan diumumkan dahulu, semua penerimanya adalah universiti awam, tetapi semasa bintang SETARA diumumkan, Kementerian Pengajian Tinggi telah memasukkan sama universiti swasta.

Dalam pengumuman itu ada universiti swasta yang mendapat kedudukan lebih tinggi daripada universiti awam. Tentu universiti awam kali ini merasa bimbang jika sekali lagi universiti swasta, terutama yang umurnya relatif muda, mendapat tempat lebih baik. Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Utara Malaysia (UUM) terutamanya tentu resah kerana dua universiti awam ini adalah universiti awam yang tertua mengikut urutan penubuhannya. Jika UTM tidak berminat dengan gelaran Universiti Sains Sosial, kerana tidak memenuhi ciri namanya ‘teknologi’ dan lebih berminat memasuki kelompok universiti penyelidikan, maka hanya UUM yang sepatutnya berada pada barisan paling hadapan untuk gelaran itu. Jika universiti swasta berkepentingan kerajaan dimasukkan, maka Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Multimedia juga bersedia untuk menyaingi UUM, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Paling kritikal nanti ialah apakah kriteria atau ciri-ciri yang diambil kira untuk menyukat penerima gelaran itu. Adakah kriteria memilih universiti APEX, Universiti Penyelidikan dan kriteria SETARA juga yang akan digunakan nanti? Kaedah dan kriteria pemilihan yang digunakan hendaklah seboleh-bolehnya jelas dan munasabah. Di manakah lagi rujukan yang lebih baik daripada rujukan pengajian tinggi di Amerika Syarikat (AS). Jika kriteria di negara itu yang dikelolakan oleh The Center for Measuring University Performance dan diletakkan di University of Arizona digunakan, maka dimasukkan kriteria: (1) Jumlah sumbangan kewangan dari luar yang diterima; (2) Bilangan orang universiti yang menganggotai pelbagai akademi di peringkat negara dan antarabangsa; (3) Bilangan pensyarah yang menerima pelbagai anugerah (awards) di peringkat negara dan antarabangsa; (4) Bilangan Doktor Falsafah yang telah dikeluarkan; (5) Bilangan tempat pasca-doktoral yang disediakan; (6) Skor Kemasukan Kelayakan Calon (dalam kes AS ialah skor SAT atau ACT; di Malaysia pula GPA bagi STPM, Matrikulasi atau Diploma).

Mengapa kriteria demikian dipilih? Kriteria pertama, iaitu jumlah sumbangan kewangan tahunan diterima, menggambarkan keyakinan pelbagai pihak terhadap universiti itu sehingga banyak orang awam sanggup memberi derma. Mereka yakin universiti itu akan memanfaatkan sepenuh dan sebaik-baiknya wang yang mereka sumbangkan. Kriteria kedua pula menggambarkan penjaga universiti, iaitu pentadbir dan ahli akademiknya diiktiraf oleh agensi negara dan antara bangsa sebagai pakar-pakar yang pendapat mereka elok didengar. Kriteria ketiga pula menggambarkan hasil kerja universiti mendapat pengiktirafan tertinggi. Kriteria keempat menggambarkan universiti itu mempunyai rekod kejayaan mengeluarkan ijazah tertinggi dalam aktiviti ilmu tinggi. Kriteria kelima menggambarkan luasnya bidang liputan universiti itu sehingga orang yang telah memiliki Ijazah Doktoral mahu menyambung lagi bagi mendalami bidang pengkhususan yang dipilihnya. Kriteria terakhir (keenam) menggambarkan calon-calon muda dan terbaik di luar berlumba-lumba mahu memasuki universiti tersebut sebagai pilihan pertama mereka.

Apabila saya meneliti contoh universiti di AS yang secara konsisten mendapat ranking tertinggi, saya dapati universiti itu bukanlah universiti penerima geran penyelidikan paling banyak, sebaliknya ialah universiti yang boleh menjana kewangan yang paling tinggi. Sebagai contoh universiti Harvard hanya menerima sebanyak AS$451,276,000 geran penyelidikan berbanding Universiti John Hopkins yang menerima sebanyak AS$1.5 bilion. Namun demikian, John Hopkins tidak menduduki tempat popular seperti Harvard, Yale, Stanford, Princeton dan MIT yang masing-masing mempunyai harta sumbangan (endowment) paling tinggi antara semua universiti paling top di sana. Harvard mempunyai harta berjumlah AS$36.55 bilion: Yale AS$22.86 bilion; Stanford AS$17.20 bilion; Princeton AS$16.34 bilion; dan MIT AS$10.07 bilion. Dari segi aset sumbangan John Hopkins jatuh pada tangga ke-26.

Apabila diteliti kedudukan universiti popular dengan ranking di AS, nampaknya ada hubungan antara universiti yang paling banyak ahlinya diiktiraf menduduki pelbagai akademi, paling banyak hasil tahunannya menerima pelbagai anugerah, paling banyak mengeluarkan ijazah doktoral, paling mampu menyediakan tempat pasca-doktoral dan paling dapat menarik calon-calon muda terbaik untuk memilih universiti itu sebagai pilihan pertama dengan jumlah harta sumbangan yang mereka miliki. Dalam konteks Malaysia, jika harta sumbangan dijadikan ukuran universiti terbaik itu, maka Universiti Malaya (UM) nampaknya akan mendapat gelaran yang akan diumumkan nanti. Jika kriterianya mengambil kira universiti paling banyak menjana kewangan sendiri, maka Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bakal penerimanya. Jika universiti penerima gelaran itu ialah universiti yang paling tinggi peratusan janaan kewangan sendiri pada kadar peruntukan wang operasi daripada kerajaan, maka calonnya ialah UUM.

Oleh sebab UM dan UKM telah menerima gelaran Universiti Penyelidikan, maka peluang UUM adalah amat cerah jika kriteria janaan kewangan dan pengeluaran ijazah doktoral diambil kira. Dalam tempoh terdekat untuk memenuhi kriteria lain, UUM hendaklah mula segera mengambil calon pasca-doktoral bagi memeriahkan persaingan dengan UIA, MMU, UNIMAS, UMS dan UPSI, selain mula melengkapkan data ahli universiti yang menerima keahlian akademi dan badan profesional selain daripada pelbagai anugerah keberhasilan yang diterima. Namun, bagi melengkapkan kriteria, suka saya mencadangkan supaya badan pemilih memasukkan kriteria universiti yang mempunyai banyak aktivis kemanusiaan sebagai tanda universiti itu unggul dalam bidang sosial dan kemanusiaan. Kepemimpinan anggota masyarakat universiti dalam pelbagai badan sukarela atau NGO dapat menggambarkan universiti itu n menyediakan jambatan antara menara gading dengan kehidupan realiti manusia. Universiti ialah pendamai dalam perang ‘town and gown’.

TAN SRI DR. NORDIN KARDI ialah Penyandang Kursi Za‘ba di Universiti Pendidikan Sultan Idris.

ISU SOSIAL : DI MANA PENYELESAIAN ISU ARAK?

Oleh NURUL ANUAR KARI
BERITA HARIAN, 14 JUN 2011


MALAYSIA pengeluar utama arak di rantau Asia Tenggara! Kita juga antara 10 negara yang paling tinggi pengambilan alkohol di seluruh dunia! Itu antara dakwaan yang berulang kali dibangkitkan oleh para peserta sesi akhir Persidangan Meja Bulat Arak dan Pencegahannya anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) bersama 13 agensi berkaitan baru-baru ini. Mengambil kira situasi pengambilan arak yang semakin serius di kalangan generasi muda kini, resolusi dari tiga sesi persidangan meja bulat itu akan dikumpulkan dalam satu laporan penyelidikan untuk mengenal pasti kaedah terbaik menanganinya. Bukan sekadar trend tajaan industri arak yang kian meresap dalam beberapa industri tempatan seperti industri hiburan negara, penglibatan sebilangan artis dengan 'ibu segala maksiat' itu juga dikhuatiri menjadi ikutan para remaja. Lebih membimbangkan, sebahagian besar pekerja pusat-pusat hiburan yang bergelumang dengan arak terdiri daripada orang Melayu berikutan termakan sogokan kerja mudah untuk gaji lumayan hasil komisen jualan rokok dan arak kepada para pelanggan.

Walaupun sesi dibuat secara tertutup, apa yang paling nyata adalah masalah definisi mengekang tindakan undang-undang diambil terhadap pihak berkenaan walaupun jelas sekali perbuatan mereka salah dari segi hukum syarak. Peruntukan undang-undang mengklasifikasikan arak sebagai minuman dengan kandungan alkoholnya melebihi dua peratus (2.0 peratus) sahaja sementara yang di bawah peratusan itu bukan arak. Hukum syarak yang diguna pakai di negara ini pula menegaskan arak adalah bahan yang mengandungi kandungan alkohol melebihi 0.01 peratus dan hanya di bawah peratusan itu baru boleh dikira sebagai bukan arak. Percanggahan definisi itu didakwa anggota agensi berkaitan telah digunakan sesetengah pihak untuk melindungi peniaga minuman beralkohol daripada tindakan undang-undang dan menyukarkan usaha melindungi umat Islam dan generasi muda daripada ibu segala maksiat itu. Sementara itu, agihan kuasa perundangan kepada pelbagai pihak dan agensi juga telah menyebabkan kekeliruan antara mereka tentang pihak yang memegang kuasa untuk mengambil tindakan.

Ini juga membolehkan pihak tertentu membuat tafsiran sendiri bagi menyekat sebarang usaha pihak berkuasa mengawal penjualan arak secara terbuka terutamanya di kawasan yang majoriti penduduknya beragama Islam. Penolong Pengarah, Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Ismail Hamzah menjelaskan, pihaknya juga tidak mempunyai kuasa penuh dalam isu arak tetapi dapat mengambil tindakan di bawah Akta Perihal Dagangan 1972 (Akta 87). Selain itu katanya, Perintah Perihal Dagangan (penggunaan perbahasan 'halal' dan penandaaan makanan) 1975, juga di bawah Akta 87 turut digunakan untuk penguatkuasaan status halal. "Ini melibatkan sebarang petunjuk, indikasi, penyataan dan gambaran 'halal' sesuatu produk secara langsung atau tidak, termasuk perbahasan, gambaran melalui imej dan tulisan Arab atau tajuk seperti 'Ramadan special'. "Secara lisan, pakaian (kopiah) atau letak sekali dengan barang halal juga indikasi sebagai 'produk halal' dan boleh jadi kesalahan jika produk itu tidak halal (termasuk jika masakan yang dicampur dengan alkohol)," tegasnya.

Menurut beliau, pihak kementerian secara umumnya tidak memerlukan permit atau kelulusan halal mana-mana pihak untuk produk yang dipromosikan sebagai 'halal' selagi tiada penipuan dibuat terhadap status yang dipromosikan itu. Tambahnya, tindakan juga boleh diambil jika pihak tertentu menjual arak sebagai produk halal, kandungan alkohol berbeza dengan label, dinyatakan sebagai tiada alkohol tetapi ujian membuktikan sebaliknya atau premis halal menggunakan ramuan tidak halal (termasuk arak). "Kami juga telah menyiasat isu bir halal yang dibangkitkan baru-baru ini. Produk itu dilabel sebagai tiada alkohol (non-alcoholic) bersama perkataan dalam bahasa Arab. "Walaupun tiada perkataan halal, dua perihal (perbahasan) itu mungkin dilihat umat Islam sebagai 'halal' dan boleh diminum," jelasnya. Oleh itu, Ismail menjelaskan pihaknya boleh mengambil tindakan jika terbukti minuman itu mengandungi 0.05 peratus alkohol seperti yang didakwa sesetengah pihak."Kami belum menerima hasil ujian dari Jabatan Kimia tetapi jika terbukti mengandungi 0.01 peratus alkohol (seperti ditetapkan syarak) juga boleh dikira kesalahan perihal dagangan palsu disebabkan label 'non-alcoholic' itu," dakwanya.

Beliau turut menasihatkan pengguna Islam supaya tidak hanya mengikut ungkapan yang digunakan pada produk kerana banyak lagi elemen dalam syariah perlu diambil kira dalam menentukan halal dan haram untuk makanan atau minuman. Timbalan Ketua Pengarah IKIM, Profesor Datin Paduna Dr. Zaleha Kamaruddin yang mempengerusikan sesi tersebut turut menekankan pentingnya definisi arak itu diselaraskan agar mengikut tuntutan agama Islam. "Perkara ini akan diperincikan bersama Jabatan Peguam Negara untuk tafsiran arak yang jelas dan mengikut syarak. Selain itu, kita juga mahu diperjelaskan siapa sebenarnya yang patut menangani isu arak ini atau perlukah untuk satukan tindakan ke atas arak di bawah satu badan khas kerana arak sudah merosakkan sistem sosial kita," ujarnya. Beliau menegaskan, arak itu sememangnya ibu segala maksiat serta lebih merosakkan daripada dadah dan kerana itu memerlukan tindakan yang sama atau lebih tegas berbanding membendung dadah. "Kita tidak mahu orang Islam terus menjadi ejen masalah sosial dengan terus bekerja di pusat-pusat hiburan.

Kita perlu mencari alternatif dan mendidik mengenai keberkatan hasil pendapatan mereka itu. "Selain itu, mungkin perlu diwujudkan satu badan bukan kerajaan (NGO) bagi memantau permohonan lesen premis arak di akhbar kerana satu bantahan atau aduan daripada penduduk setempat sahaja diperlukan untuk menyekatnya," jelasnya. Zaleha turut meluahkan rasa bimbang sejauh mana peniaga dapat mematuhi arahan tidak menjual arak kepada kumpulan bawah umur 18 tahun dan umat Islam. "Adakah peniaga dengan suci hati berniaga secara jujur dalam memastikan antara halal dan haram untuk umat Islam, dengan niat atau tanpa niat? Kedai serbaneka menjual arak secara terbuka, begitu juga di pasar malam, kepada para remaja yang bermegah dengan rakan yang minum arak. Jika pedagang tidak jujur, penguatkuasalah yang perlu melindungi umat Islam di negara ini," tegasnya.

Tambahnya, situasi di Kuala Lumpur dan Selangor kini amat menyedihkan di mana anak-anak muda Islam terpaksa terlibat dengan penjualan arak secara terbuka di pasar raya besar. "Mereka memberi alasan tiada pilihan kerana sudah kerja. Sepatutnya kerajaan negeri boleh kawal semua ini dengan mengasingkan penjualan arak daripada pekerja Islam. "Arak kini bukan lagi masalah individu tetapi masalah sosial. Saya harap hasil perbincangan ini akan membawa kepada tindakan sewajarnya terutama dari segi pengeluaran lesen seperti negara Barat yang mengawal ketat lesen arak," katanya. Laporan hasil sesi dialog itu dijangka siap menjelang awal Julai ini dan akan diserahkan kepada menteri berwajib berkaitan agama Islam dan agensi berkenaan untuk tindakan lanjut.