JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



29 November 2009

RENCANA ILMIAH UNTUK BACAAN ANDA

APABILA ALAM BERBICARA
Oleh Ku Seman Ku Hussain
UTUSAN MALAYSIA
29 NOVEMBER 2009


LEBIH dua dekad lalu penyanyi tersohor Indonesia, Ebiet G. Ade mencipta dan senandungkan lagu Berita Kepada Kawan. Ketika lagu ini popular tidak banyak yang dapat mengaitkan keluhan Ebiet mengenai sikap manusia kepada alam seperti kita perkatakan hari ini. Dua dekad lalu tidak ada istilah pemanasan global atau rajuk marah alam yang mengubah fenomena alam, dunia menjadi semakin panas, lautan beku mencair dan salji tiba-tiba gugur di bumi yang bukan tempatnya. Ebiet mengkritik tentang sikap manusia yang tidak bersahabat dengan alam. Ternyata Ebiet seniman yang mendampingi alam dan mampu memahami bicara alam lewat isyarat bencana yang dikirimkan kepada manusia. Tetapi tidak semua manusia seperti Ebiet, sebaliknya mereka sangat individualistik untuk memesrai alam dengan tidak melakukan tingkah yang mengubah suhunya.

Kini manusia semakin mengerti apabila alam berbicara. Bencana alam yang berlaku di sana sini, suhu dunia meningkat mendadak akibat hutan yang semakin mengecil untuk menyumbangkan oksigen, pemimpin-pemimpin dunia kini bersiap dengan usul masing-masing untuk dibentangkan di Sidang Kemuncak Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Conpenhagen, Denmark pada 7 hingga 18 Disember ini. Alam atau “rumah hijau” menerima kesan yang langsung daripada pemanasan global. Antara kesan pemanasan global ialah kenaikan suhu bumi, perubahan cuaca yang melampau yang mengakibatkan taufan, banjir, tanah runtuh dan peningkatan aras laut akibat pencairan glasier. Penipisan lapisan ozon menjadi semakin serius dan sidang di Conpenhagen tahun ini dianggap sangat penting untuk merangka langkah-langkah proaktif untuk menyelamatkan bumi. Ini kerana langkah fasa pertama menyelamatkan dunia menerusi Protokol Kyoto akan tamat pada 2012. Maka mulai 2013 perlu ada satu kerangka dasar baru kelangsungan Protokol Kyoto.

Peningkatan suhu panas bukan saja mencairkan bongkah ais di Artik tetapi mencetuskan mala petaka akibat perubahan cuaca yang mendadak. Tentulah antaranya ribut taufan yang ganas, gelombang yang membahayakan penghuni di kawasan pantai sekaligus membawa hujan yang luar biasa hingga mengakibatkan banjir besar. Sidang di Conpenhagen menjadi penentu sejauh manakah keseriusan pemimpin-pemimpin dunia termasuk Amerika Syarikat (AS) menangani isu pemanasan global. Difahamkan Presiden AS, Barack Obama akan turut serta di Conpenhagen Disember ini bersama pemimpin-pemimpin lain yang memperlihatkan komitmen yang tinggi.

Protokol Kyoto sebenarnya tidak berjaya sepenuhnya untuk mendidik manusia menghargai dan menyayangi alam. Kerana itu isu pemanasan global yang sudah dikesan sejak tahun 1940-an lagi tidak memperlihatkan langkah-langkah drastik yang telah dilakukan. Cuma apabila laut yang dulunya beku kini mencair, gunung yang sepanjang masa diselimuti ais juga mulai cair, barulah manusia gelisah bahawa alam ini sudah tenat sebenarnya. Kalau filem 2012 boleh dijadikan rujukan tentang kesan kemusnahan akibat pemanasan global, demikianlah dahsyatnya detik cemas yang berada di hadapan kita semua. Biarpun filem arahan Roland Emmerich lakonan John Cusack, Chiwetel Ejiofor dan Amanda Peet sebuah fiksyen yang sekaligus menguji keberkesanan teknologi imej janaan komputer (CGI), 2012 berpaksi kepada rujukan yang berlaku sekarang.

Pemilihan tahun 2012 sebagai tahun bencana dalam filem ini sebagai menyindir kegagalan Protokol Kyoto yang berakhir pada 2012. Kalau kita tidak mampu membina imaginasi tentang kesan maha dahsyat apabila alam mulai memberontak, filem 2012 barangkali boleh membantu kita membayangkan sengsara akibat kecuaian manusia. Pemimpin dunia tidak hanya boleh berdoa supaya ilusi dalam filem 2012 tidak berlaku, malah mesti bertindak untuk lebih menyayangi alam dan merendahkan sedikit hambatan materialisme. Pertambahan mendadak kawasan-kawasan perindustrian yang menyumbangkan kepada penipisan ozon, penghapusan kawasan hutan yang dibangunkan untuk tujuan komersial antara yang menyumbang kepada perubahan cuaca.

Kadar kecairan ais di Artik dan Artartika berada pada tahap yang membimbangkan. Sekiranya kecairan sekarang ini terus konsisten, paras air di lautan akan bertambah lebih 80 meter. Bayangkan air setinggi lebih kurang 80 meter yang boleh menenggelamkan daratan lebih dahsyat berbanding tsunami. Kalau keadaan sekarang terus konsisten, laut akan menenggelamkan lebih 15 juta kilometer persegi daratan. Semua manusia di dunia akan menerima kesan yang buruk ini. Kecairan di dua kutub itu menyumbang kepada pertambahan paras air di lautan yang menghubungkan semua negara di dunia. Kalau paras air di laut bertambah 20 meter saja, mungkin negeri Pulau Pinang hanya akan kelihatan menara Komtar dan beberapa bangunan tinggi. Tetapi ramalan pengkaji, paras air laut akan bertambah 80 meter, dan kita hanya boleh mengingat kembali apa yang berlaku dalam filem 2012 di mana Rumah Putih tempat kediaman Obama yang dilanggar kapal dari laut.

Para pemimpin yang akan menghadiri sidang di Conpenhagen kini hanya menunggu tindakan drastik Obama untuk mengurangkan gas rumah hijau sebanyak 17 peratus hingga 2020. Ini merupakan sasaran pertama AS yang dibawa ke sidang di Conpenhagen. Maka sidang Conpenhagen Disember ini boleh dianggap sebagai antara usaha manusia untuk memahami alam yang menghantarkan isyarat bicaranya menerusi bencana demi bencana. Semua yang berlaku tercetus daripada sikap manusia yang berkurun lamanya tidak mahu memahami alam. Kemusnahan akibat pemanasan global hanya satu isyarat menunjukkan alam mulai bicara kerana tidak tertanggung dengan tingkah manusia.