JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



15 Mac 2011

ISU ALAM SEKITAR : BANTU JEPUN HADAPI BENCANA NUKLEAR

Oleh Mustafa Kamal Basri


Gempa bumi di pantai timur laut Jepun pada 11 Mac lalu bukan sahaja menyebabkan negara itu berhadapan krisis kemanusiaan paling besar sejak Perang Dunia Kedua tetapi juga bakal mencetuskan tragedi nuklear terbesar pada abad ini. Gempa berukuran 8.9 pada skala Richter itu merupakan yang terkuat melanda Negara Matahari Terbit itu dalam tempoh 140 tahun sehingga mencetuskan tsunami setinggi 10 meter, kedua terkuat selepas tsunami 2004 yang melanda Acheh dan beberapa negara di pesisiran Lautan Hindi ekoran gempa bumi berukuran 9.1 pada skala Richter di lautan itu. Bencana di Jepun itu setakat ini dianggarkan telah mengorbankan kira-kira 10,000 orang dan beratus-ratus lagi dilaporkan cedera. Berjuta-juta rakyat negara itu juga sedang bergelap akibat terputus bekalan elektrik dan kekurangan makanan dan bekalan air bersih. Kebanyakan mangsa yang terselamat kini ditempatkan di pusat-pusat perlindungan tanpa bekalan api, kekurangan khemah, selimut, makanan, bahan api serta air minuman.

Pasukan penyelamat dan tentera mengalami kesukaran untuk menjalankan usaha menyelamat serta membantu mangsa di wilayah-wilayah yang dilanda gempa termasuk di bandar kecil Tagajo, berhampiran bandar pelabuhan Sendai yang teruk dihentam tsunami, ekoran terputus hubungan akibat kerosakan teruk kemudahan infrastruktur dan jalan-jalan raya. Hospital Besar Sengen yang menampung banyak mangsa gempa yang cedera beroperasi dalam keadaan bergelap akibat tiada bekalan elektrik, kakitangan hospital pula bekerja keras siang dan malam mengangkat pesakit yang terlantar dan mangsa gempa yang kritikal menaiki tangga kerana lif tidak dapat digunakan. Paling membimbangkan ialah Jepun dijangka berhadapan bencana nuklear terbesar di abad ini ekoran banyak loji nuklearnya rosak teruk dan beberapa buah daripadanya meletup dan melepaskan radiasi yang mencetuskan kebimbangan berlaku tragedi nuklear serius di negara itu.

Walaupun Jepun mempunyai teknologi yang canggih bagi menghadapi sebarang kemungkinan akibat kebocoran radiasi daripada loji-loji nuklearnya yang musnah akibat gempa tersebut, namun terdapat kebimbangan bencana loji nuklear Chenobyl, Ukraine pada 26 April, 1986 akibat letupan kuat akan berulang di Jepun. Dalam kejadian di Ukraine itu, 32 orang maut di tempat kejadian, manakala 8,000 yang lain mengalami kesan pencemaran radioaktif dan lebih 120,000 penduduk yang lain terpaksa dipindahkan. Tragedi di Chenobyl itu sangat serius kerana pencemaran radiasi itu dilaporkan merebak sejauh ke barat Eropah. Sehubungan itu, semua negara perlu tampil membantu Jepun bagi menangani krisis bencana yang sedang melanda negara itu sekarang bagi mengelakkan lebih banyak nyawa terkorban.

UTUSAN MALAYSIA, 15 MAC 2011

ISU SOSIAL : BEKUKAN SELURUH PENGAMBILAN BURUH ASING KE MALAYSIA


Kerajaan wajar membekukan seluruh pengambilan buruh asing ke Malaysia buat masa ini. Selagi pihak penguat kuasa undang-undang belum berjaya membanteras kehadiran seluruh warga asing di Malaysia secara haram, maka selagi itulah pembekuan ini perlu dikuatkuasakan. Saya membuat cadangan ini dalam konteks mutakhir ini di mana terdapat kementerian sehingga membuka kaunter khas semata-mata untuk memudahkan pembawaan masuk sejumlah 45,000 pekerja asing daripada India. Persoalan saya di sini, mengapakah bawa masuk warga asing sedangkan yang berada di Malaysia secara haram berpuluh-puluh ribunya jumlahnya? Adakah kementerian berkenaan dan juga Kementerian Dalam Negeri tidak memandang serius hakikat ini? Mengapa diburu seluruh pendatang asing tanpa permit ini secara habis-habisan di seluruh negara? Mengapa harus bawa orang baru masuk secara halal tetapi kemudiannya mereka juga akan lesap dan melencong entah ke mana?

Berkait persoalan ini, kerajaan juga perlu menyiasat, adakah benar bahawa mutakhir ini terdapat buruh-buruh asing yang diizinkan bekerja di syarikat-syarikat yang sensitif terhadap keselamatan negara Malaysia? Contohnya, adakah benar bahawa beratus-ratus bekas tentera laut India kini diizinkan berkhidmat sebagai pekerja pelabuhan di Pelabuhan Klang? Bukankah pelabuhan merupakan satu daripada pintu masuk ke negara ini? Bagaimana jika buruh asing ini dijadikan perkakas untuk memajukan JRS? Bagaimana jika buruh-buruh asing ini bersubahat dengan kegiatan penyeludupan, sama ada barang-barang biasa, ataupun senjata api dan juga dadah? Bagaimana jika buruh-buruh asing yang terdiri daripada kumpulan yang terlatih di bidang ketenteraan ini terlibat dengan aktiviti-aktiviti sabotaj, espionage dan pengkhianatan terhadap Malaysia? 

Saya bangkitkan persoalan ini dalam konteks JRS, sebab ia memang sering dijadikan saluran kepada kegiatan terorisme, sabotaj atau pun espionage. Saya juga bangkitkan soal kehadiran bekas tentera laut India berkhidmat di Pelabuhan Klang sebab saya menerima maklumat mengenai hal ini. Oleh sebab itu, saya minta harap kerajaan menjelaskan kemusykilan ini secara terperinci. Jangan lagi jawab perkara ini penuh dengan silat dan lenggang lenggok yang mengelirukan. Berikan jawapan sama ada hakikat ini benar, mengapa dan apakah rasionalnya? Adakah kita semua insaf bahawa keselamatan negara kita terdedah kepada bahaya jika kelompok yang terlatih dalam ketenteraan ini disalahgunakan oleh pihak musuh kita? Saya serius dalam hal ini sebab saya prihatin terhadap kedaulatan dan kemerdekaan tanah air ini. 

Saya tidak rela masa depan kita terancam dan lama-kelamaan bangsa Melayu kehilangan kuasa di tanah airnya sendiri. Sebenarnya, banyak lagi perkara sensitif mengenai khidmat buruh asing ini. Apa tidaknya, jika rekod dan data mereka pun disimpan oleh pihak yang melakukan pemeriksaan perubatan mereka yang saya dapat tahu syarikat ini pun merupakan anak syarikat milik sebuah negara asing. Ringkasnya, kerajaan perlu melakukan apa yang saya cadangkan di atas. Lakukan kajian menyeleruh dan bersepadu terhadap dasar kita terhadap perburuhan asing. Perlu ditetapkan di sektor manakah mereka boleh diizinkan bekerja dan di sektor mana pula mereka tidak boleh diizinkan untuk bekerja. Penyimpanan rekod pekerja asing pula perlu diserahkan kepada jabatan kerajaan yang khusus. 

Jangan izinkan syarikat milik negara asing menyimpan rekod dan data pekerja asing di Malaysia. Ini semua bermakna kerajaan perlu melakukan suatu tindakan drastik berasaskan keselamatan negara supaya tidak mudah kita dimanupulasikan oleh pihak-pihak asing yang memusuhi Malaysia. Oleh sebab itu, biarpun Malaysia mempunyai undang-undang yang ketat dan tegas mengenai penyeludupan dadah, mengenai pihak warga asing tanpa izin, mengenai rasuah, dan mengenai hal ehwal imigresen, mari kita tanya diri sendiri secara ikhlas dan jujur, adakah seluruh undang-undang ini boleh menjamin keselamatan nasional dan keselamatan insan Malaysia jika seluruh undang-undang tersebut telah dikompromikan oleh sesetengah pihak atas motivasi rasuah?

Persoalan inilah yang sewajarnya menginsafkan pihak kerajaan untuk mensekuritisasikan seluruh JRS, khususnya mengenai buruh asing, sebagai ancaman keselamatan nasional. Ini kerana keseluruhan jenayah rentas sempadan adalah bahaya yang nyata kepada negara dan rakyatnya dalam pelbagai aspek kehidupan                                      termasuk sosio-politik dan ekonomi. Oleh sebab itu juga, kerajaan perlu bertindak tegas menerusi penguatkuasaan undang-undang imigresen yang rigid dan keras. Sebarang bentuk korupsi sistemik dalam pengurusan imigresen dan pekerja asing perlu dibanteras habis-habisan dan dengan segera. Tindakan ini penting dilakukan secara komprehensif kerana mutakhir ini wujud kajian-kajian oleh sarjana keselamatan antarabangsa yang membuktikan bahawa pelbagai sindiket transmigrasi dan JRS kini berjaya melakukan rasuah sistemik terhadap jentera pentadbiran daripada yang serendah-rendahnya hingga ke peringkat penggubal undang-undang dan pentadbir undang-undang di beberapa negara.

Hakikat ini serius sebab jumlah pendatang asing tanpa izin boleh mencetuskan pelbagai bentuk jenayah, boleh melunturkan identiti sesebuah negara, dan boleh menggugat status kekuasaan di negara terbabit di masa akan datang. Dalam konteks ini, Kerajaan juga wajar mengkaji semula kemasukan buruh asing daripada India dan Republik Rakyat China dan lain-lain negara sumber yang bukan Islam. Pada waktu yang sama, agensi-agensi kemasukan pelajar asing daripada luar negara, terutamanya daripada Republik Rakyat China dan Afrika, perlu dipantau dan dibanteras sekeras-kerasnya jika terbukti wujud penyelewengan. Tindakan-tindakan ini kritikal kerana segelintir rakyat asing bukan Islam yang sudah diwarganegarakan di Malaysia kini terbukti sedang berusaha untuk mengubah status quo identiti Malaysia yang berpaksikan Melayu, Islam dan Bumiputera. 

Ini berbahaya kepada kelangsungan Melayu, Islam, dan Bumiputera. Dalam dekad-dekad mendatang, soal mengubah identiti status quo ini boleh jadi bertambah genting dan boleh menjejaskan keselamatan negara. Oleh sebab itu, kerajaan perlu tidak berkompromi terhadap seluruh masalah ini pada hari ini. Moga-moga kerajaan memahami maksud saya yang tersirat di sebalik kenyataan ini. Oleh sebab itu, kerajaan perlu mempertahankan kedaulatan negara, menjaga keselamatan negara, memastikan kelangsungan negara, dan melindungi kepentingan negara. Kedaulatan negara adalah konsep perundangan yang memberikan kuasa kepada kerajaan untuk menggubal undang-undang, peraturan, dan prosidur bertujuan menjaga keselamatan, kelangsungan, dan kepentingan negara dan rakyat jelata. Pendek kata, kedaulatan adalah konsep yang menghalalkan sesebuah negara dan kerajaannya bertindak mengikut falsafah, matlamat dan persekitaran keselamatannya yang tersendiri.

Falsafah, matlamat dan persekitaran keselamatan ini pula berasaskan komposisi rakyatnya, ciri-ciri budayanya, keunggulannya agamanya, dan tahap serta taraf ekonominya. Hakikat ini membuktikan bahawa asas utama sesebuah negara dalam konteks konsep negara, adalah kedaulatan, bukannya demokrasi. Maksudnya, antara kedaulatan dan demokrasi, kedaulatan adalah lebih penting. Ini kerana kedaulatan memberikan kuasa kepada negara supaya bertanggungjawab sepenuhnya kepada keselamatan, survival dan kepentingan utamanya. Ini bermakna, ideologi yang didukung oleh sesebuah negara mesti disesuaikan kepada falsafah dan matlamat untuk mencapai objektif utama negara itu sendiri, iaitu menentukan kedaulatan, keselamatan, survival dan kepentingannya demi rakyat dan demi kekuasaannya.

DatuK IBRAHIM ALI ialah Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa)

UTUSAN MALAYSIA, 15 MAC 2011

ISU SOSIAL : SKIM RUMAH PERTAMAKU, INFLASI, DAN HUTANG

Oleh ROHAMI SHAFIE


Selama dua hari berturut-turut, rakyat dihidangkan dua khabar gembira. Pertama, berita baik untuk golongan muda yang berumur 35 tahun ke bawah dan berpendapatan kurang RM3,000 sebulan. Kerajaan telah melancarkan Skim Rumah Pertamaku, satu skim khas yang memberi peluang kepada golongan belia untuk memiliki rumah sendiri. Skim ini cukup baik untuk golongan belia memiliki rumah. Dengan pinjaman maksimum RM220,000 tanpa perlu membayar sebarang pendahuluan, sudah tentu ia membuka peluang yang lebih luas kepada golongan muda yang selama ini mendambakan rumah. Jika sebelum ini mereka perlu menyediakan pendahuluan sekurang-kurangnya 10 peratus daripada harga rumah, maka dengan adanya skim ini mereka tidak perlu lagi memikirkan permasalahan ini. 

Sememangnya menyediakan pendahuluan merupakan salah satu beban kepada mereka berpendapatan rendah. Bayangkan jika harga rumah berharga RM200,000, maka mereka terpaksa menyediakan pendahuluan sebanyak RM20,000. Jumlah ini cukup besar dan memerlukan tempoh masa yang agak lama untuk disediakan. Walhal harga rumah semakin meningkat. Rumah sama yang ingin dimiliki tidak lagi sama harganya pada masa akan datang. Maka, bertambahlah jumlah pendahuluan yang perlu dibayar dan sudah tentunya bertambahlah tempoh masa bagi mereka untuk menyediakan wang pendahuluan tersebut. Natijah, sampai bila-bila pun mereka tidak mampu memiliki rumah. Inilah kebaikan skim ini dan sepatutnya peluang ini direbut oleh para belia kita. Lantaran itu, segala birokrasi bagi memperoleh pinjaman tersebut daripada pihak bank perlu dipermudahkan terutama bagi pemohon-pemohon yang benar-benar layak dan mampu membayar balik pinjaman. 

Janganlah pula apabila diumumkan skim ini, pelbagai lagi syarat tambahan dikenakan kepada pemohon. Di sebalik kebaikan pinjaman ini, penulis merasakan skim ini juga perlu dilihat dari konteks yang lebih luas lagi. Kekhuatiran penulis ialah caj yang dikenakan boleh membebankan peminjam. Sebagai contoh, katakanlah peminjam meminjam maksimum RM200,000, dengan caj 4.5 peratus selama 30 tahun, peminjam terpaksa membayar ansuran balik pinjaman dalam lingkungan RM1,000 sebulan. Jumlah ini cukup besar bagi golongan berpendapatan RM3,000 ke bawah. Penulis merasakan caj yang dikenakan mestilah pada kadar paling minimum atas dasar tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan keprihatinan pihak bank untuk membantu rakyat Malaysia. Selain itu, penulis juga kurang bersetuju ke atas cadangan untuk menaikkan jumlah pinjaman sehingga RM350,000. Jika cadangan ini dilaksanakan, maka akan berlakulah satu risiko yang amat tinggi, peningkatan hutang tidak berbayar (NPL) di kalangan belia.

Umum mengetahui, ramai golongan belia yang terperangkap dalam permasalahan kewangan yang teruk, maka jika cadangan ini dilaksanakan, mereka berisiko tinggi untuk muflis. Ambillah iktibar apa yang telah berlaku ke atas Amerika Syarikat (AS) sebelum ini berkaitan dengan pinjaman hartanah kepada golongan yang berpendapatan rendah. Berita baik kedua yang menggembirakan rakyat ialah kerajaan akan menambah peruntukan sebanyak RM4 bilion jika harga minyak global kekal melepasi AS$100 setong. Ini merupakan langkah yang terbaik bagi membendung peningkatan inflasi di Malaysia. Lebih-lebih lagi, harga minyak dijangka akan semakin meningkat ekoran kekacauan yang berlaku di Libya. Dilaporkan pengeluaran minyak di Libya merosot sebanyak tiga kali ganda sejak berlakunya konflik di negara tersebut. 

Langkah meningkatkan subsidi minyak ini meskipun kurang popular bagi sesetengah pakar ekonomi kerana ia dikatakan sebagai subsidi yang merencatkan ekonomi pasaran bebas, namun langkah ini merupakan langkah bijak bagi melindungi rakyat secara keseluruhannya. Satu perkara yang tidak boleh sama sekali terlepas pandang ialah harga minyak yang semakin meningkat (jika tidak disubsidi) boleh mendatangkan kesan negatif kepada ekonomi negara secara keseluruhannya. Rakyat sebagai pengguna terpaksa mengurangkan perbelanjaan lain dek kerana kuasa beli yang semakin menurun. Sektor perniagaan akan teruk terjejas. Bukan itu sahaja, peningkatan harga minyak global boleh memperlahankan pertumbuhan ekonomi dunia. Bayangkan dengan hanya pertumbuhan ekonomi dunia yang perlahan boleh menjejaskan pertumbuhan ekonomi Malaysia, maka jika harga minyak di Malaysia dinaikkan, kesan negatif ke atas ekonomi negara akan semakin berganda. 

Sasaran pertumbuhan ekonomi negara sebanyak enam peratus pada tahun ini juga akan turut terjejas. Rakyat pula akan semakin tertekan dengan kos sara hidup yang semakin tinggi. Kesan rantaiannya sudah pastinya nisbah hutang isi rumah terhadap Kadar Keluaran Negara Kasar (KDNK) akan semakin meningkat. Lantaran itu, kedua-dua khabar berita ini menggambarkan betapa kerajaan menyedari suasana semasa dan mengambil tindakan proaktif bagi melindungi ekonomi negara dan membela nasib rakyat.

Penulis ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan, Kolej Perniagaan (COB), Universiti Utara Malaysia

UTUSAN MALAYSIA, 15 MAC 2011

ISU UMUM : PENYERAGAMAN SISTEM BAYAR SAMAN ANTARA POLIS DAPAT ELAK TINDKAAN BERTINDIH, JPJ DAN PBT


Undang-undang dan peraturan tertentu yang digubal dan dilaksanakan dalam sesebuah negara selepas diluluskan oleh Parlimen atau Dewan Undangan Negeri perlu dipatuhi setiap rakyat. Kegagalan mematuhi undang-undang atau peraturan yang diwujudkan sudah pasti akan menimbulkan kacau bilau dan kesukaran mentadbir sesebuah negara dan negeri. Undang-undang dan peraturan sedia ada juga bagi memastikan Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri dapat mentadbir wilayah masing-masing dengan cekap dan berkesan. Begitu juga dengan agensi penguat kuasa lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) turut memerlukan undang-undang kecil dan peraturan penguatkuasaan yang tegas. Hukuman atau denda seperti saman yang dikenakan agensi terbabit terhadap individu bagi memastikan setiap rakyat mematuhi undang-undang dan peraturan yang ditetapkan.

Namun begitu, ada juga orang ramai tidak membayar saman seperti kesalahan trafik sehingga menyebabkan tunggakan saman berjumlah jutaan ringgit. Apapun, untuk menyalahkan pesalah trafik semata-mata kerana tidak membayar saman mereka mungkin tidak adil. Pastinya ada sebab orang ramai khususnya pesalah trafik tidak dapat atau gagal membayar saman mereka. Antara masalah yang timbul kerana tidak wujud keseragaman antara pihak polis, JPJ dan PBT dalam menguatkuasa peraturan dan saman yang dikenakan sehingga orang ramai berasa teraniaya. Mereka mungkin disaman beberapa kali atas kesalahan sama oleh agensi penguatkuasaan yang berbeza. Sehubungan itu, kita melihat kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, kelmarin iaitu kerajaan akan mengambil langkah untuk menyeragam dan menyelaras sistem kutipan pembayaran saman oleh PDRM, JPJ dan PBT khususnya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) adalah tepat pada masanya.

Justeru, kerjasama ketiga-tiga pihak terbabit dapat memastikan sistem kutipan pembayaran saman dan penguatkuasaan ke atas pesalah trafik akan lebih berkesan, telus dan tidak menganiaya orang ramai. Kita melihat cadangan itu memerlukan penelitian dan kita tidak menolak ia barangkali mengambil masa lama untuk direalisasikan bagi mewujudkan satu sistem bersepadu. Ketika ini, pesalah trafik lebih memberi perhatian untuk membayar saman jika disaman polis atau JPJ, berbanding PBT. Polis boleh mengeluarkan waran tangkap, manakala JPJ pula boleh menyenaraihitamkan mereka daripada memperbaharui lesen memandu dan cukai jalan. Dengan penyeragaman ini, PBT terbabit dijangka turut mempunyai kuasa yang sama. Sehubungan itu, semua agensi terbabit perlu berbincang bagi melaksanakan langkah terbabit seterusnya mengelakkan orang ramai berasa tidak berpuas hati serta mengakibatkan pelbagai masalah teknikal lain.

Kita percaya Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang ditubuhkan kerajaan mampu menggalas misi ini bagi memperbaiki mutu pengangkutan awam di Malaysia, terutama dengan penguatkuasaan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010. Fungsi teras SPAD adalah menggubal polisi pengangkutan awam darat, perancangan, kawal selia dan undang-undang penguatkuasaan, syarat dan peraturan membabitkan pengangkutan awam darat. Apa yang kita harapkan tidak ada lagi pihak memperlekeh atau memandang ringan peraturan penguat kuasa yang ada. Pada masa sama, kita juga berharap agensi penguat kuasa terbabit tidak mengenakan saman hanya untuk mencari ‘keuntungan’ sehingga membebankan orang ramai atau tanpa budi bicara sehingga melupakan tanggungjawab sosial mereka kepada rakyat.


BERITA HARIAN, 15 MAC 2011

ISU PENDIDIKAN : TIGA TUGAS HAKIKI PENDIDIK UNIVERSITI

Oleh Shamrahayu A Aziz
BERITA HARIAN, 15 MAC 2011

'Penyakit' 
berpolitik untuk rebut jawatan 
boleh jejas profesion


Saya terkedu dan sedih membaca kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mengenai 'politiking' dalam merebut jawatan naib canselor di universiti tempatan. Kata Perdana Menteri, politiking dalam pelantikan ini tidak wajar berlaku. Katanya lagi, kalangan akademik di universiti perlu menumpukan perhatian kepada pendidikan supaya pelajar dapat menimba ilmu dan membuka minda. Sebagai seorang akademik, saya memandang serius kenyataan Perdana Menteri ini. Sesungguhnya kenyataan itu menusuk jiwa dan perasaan saya. Seumpama mahu saja saya menutup muka kerana malu ditegur begitu. Tetapi apakan daya, sekiranya perkara itu benar, terpaksalah saya menerimanya, walaupun ia begitu pahit. Saya harap kalangan akademik lain juga memberi perhatian sewajarnya terhadap teguran Perdana Menteri itu.  

Sebelum saya teruskan tulisan ini, saya perlu jelaskan bahawa, tiga tugas hakiki pendidik di menara gading ialah, pertama mendidik pelajar dan mengajar mereka berfikir. Kedua, melakukan kajian atau penyelidikan dan yang ketiga, akademik perlulah menerbitkan terbitan ilmiah untuk dimanfaatkan oleh masyarakat dan juga generasi akan datang.  Selain tugas hakiki ini, pensyarah atau profesor di universiti mestilah dapat menyumbang kepada masyarakat secara terus, sama ada dengan cara terbabit secara langsung di dalam aktiviti kemasyarakatan atau menulis dan memberi pendapat kepada khalayak umum.  Selepas memahami tugas hakiki profesion akademik ini, saya perlu nyatakan bahawa profesion sebagai pendidik di institusi pengajian tinggi mempunyai cabaran tertentu. Tarikan dengan kedudukan atau status dalam organisasi ada kalanya menjadi gangguan. 

Tetapi apa yang sentiasa perlu diberi perhatian oleh semua ahli akademik ialah, jawatan pentadbiran bukanlah sesuatu yang harus di utamakan. Tanggungjawab menjalankan tugas hakiki dalam bidang akademik seperti yang saya sebutkan mesti diberi keutamaan.  Pada ketika ini, tugas hakiki ini menjadi lebih berat kerana kebanyakan universiti tempatan sedang mengejar impian mencapai status universiti penyelidikan. Bagi menjayakan cita-cita universiti, akademik mesti sentiasa bekerja keras untuk menjalankan kajian dan membuat terbitan akademik. Oleh itu, kerja penyelidikan menjadi bertambah-tambah dan berganda-ganda.  Dunia akademik dan dunia pentadbiran adalah dua dunia yang berbeza. Ramai akademik tidak sanggup untuk mengendalikan kerja pentadbiran kerana mereka terpaksa menggadai masa yang sepatutnya diperuntukkan bagi melakukan kajian dan berfikir.  

Kerja menulis dan melakukan kajian adalah kerja 24 jam tanpa henti. Jawatan pentadbiran akan menjadi satu sekatan kepada akademik yang mahu menumpukan kepada penulisan dan kajian. Kedudukan profesion akademik ini suatu yang amat mulia dari segi sumbangannya. Profesion ini dipandang tinggi oleh masyarakat. Kita tidak mahu masyarakat hilang kepercayaan kepada kredibiliti pensyarah atau profesor kerana tindakan mereka berebut dan berpolitik untuk kedudukan atau jawatan di dalam pentadbiran. Sekiranya ini berlaku ia satu kerugian besar dan mungkin juga kemusnahan kepada profesion ini. Seorang akademik secara umumnya hendaklah sentiasa dianggap benar dan dipercayai oleh masyarakat. Saya tidak katakan masyarakat perlu menerima bulat-bulat apa yang disebut akademik, tetapi masyarakat perlu menghormati ahli akademik yang disandarkan kepada hujah ilmu. 

Sekiranya ‘penyakit’ berpolitik untuk apa juga jawatan pentadbiran, dibimbangi profesion ini dianggap seumpama profesion lain yang mementingkan kedudukan dalam struktur organisasi pentadbiran dan bukannya kepakaran di dalam bidang akademik. Sekiranya kebolehan dalam bidang keilmuan dipandang remeh dan jawatan pentadbiran menjadi ukuran, itu adalah petanda kepada lemahnya status akademik pada mata masyarakat. Ini tidak harus berlaku. Masyarakat juga harus tahu bahawa jawatan pentadbiran di dalam akademik adalah jawatan ‘incidental’, iaitu jawatan yang disandang secara kebetulan. Ia bukan jawatan hakiki dalam akademik. Seperti yang saya nyatakan, kualiti seorang akademik adalah bergantung kepada buah fikiran dan idea akademiknya, bukan kepada jawatannya. 

Saya fikir, pemikiran ahli akademik sendiri dan juga masyarakat umum mengenai isu ini perlu diperbetulkan. Saya tidak nafikan bahawa ada antara pemegang jawatan pentadbiran di universiti bijak membahagi masa untuk pentadbiran dan penulisan serta sumbangan lain kepada masyarakat umum. Mereka ini sangat kecil bilangannya.  Sepanjang pembabitan saya di dalam persada akademik selama lebih kurang 18 tahun, kebanyakan ahli akademik yang memegang jawatan pentadbiran tidak dapat memberi tumpuan kepada aktiviti akademik. Masa mereka lebih bertumpu kepada pentadbiran yang semestinya memerlukan perhatian 24 jam juga. Perlu saya sebut bahawa di universiti terkemuka dunia, jawatan pentadbiran dilakukan atas dasar bergilir-gilir. Akademik memerlukan masa yang ekslusif untuk berfikir dalam membina teori baru dan seterusnya membentuk idea atau falsafah baru. Seperti diketahui umum, mencari idea baru bukanlah perkara mudah dan ia hanya boleh dilakukan sekiranya tiada gangguan.

Penulis ialah Penolong Profesor Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

ISU ALAM SEKITAR : MALAYSIA PERLU GUBAL DASAR INOVATIF, PENGURUSAN AIR BERDAYA MAJU

Oleh Khairul Azran Hussin
khaiazr@bhatian.com.my
BERITA HARIAN, 15 MAC 2011


Adakah kita akan berdepan krisis air dalam tempoh lima hingga 10 tahun lagi? Jika ia benar-benar berlaku, apa akan jadi terhadap kehidupan manusia?  Krisis bekalan air di Lembah Klang pada 1998 yang menyebabkan hampir dua juta penduduk terpaksa dicatu bekalan air selama enam bulan akibat cuaca panas luar biasa mungkin berulang jika sumber air negara tidak diuruskan dengan baik. Selain itu, Melaka pernah mengalami krisis air paling buruk dalam sejarahnya pada 1991 apabila Empangan Durian Tunggal yang menjadi nadi bekalan air di negeri berkenaan kering berikutan kemarau panjang. Kemungkinan berlakunya semula musibah dan keadaan darurat inilah yang membimbangkan pelbagai pihak jika ia tidak ditangani mulai sekarang.  Ini kerana pembangunan dan pemuliharaan sumber air di negara kita masih dianggap belum memuaskan. 

Oleh itu, negara kita dan seluruh masyarakat dunia perlu berfikir segera, paling tidak pun 100 tahun ke hadapan bagi mengelak berlaku krisis bekalan air. Faktor perubahan iklim dunia, keadaan sumber air yang semakin tercemar selain kepesatan pembangunan dan perindustrian memerlukan kerjasama erat antara semua pihak. Populasi manusia yang semakin bertambah antara faktor mengurangkan kuantiti air bersih.  Sebenarnya, istilah krisis air digunakan di seluruh dunia untuk menunjukkan situasi sumber air mentah ketika ini. Aspek utama krisis air adalah kekurangan sumber air yang boleh digunakan dan pencemaran air.  Golongan penggubal dasar, pemain dalam sektor industri, cendekiawan sehingga aktivis alam sekitar perlu berbincang dan berbuat sesuatu mengenai isu terbabit. Ramai tidak tahu dan tersalah anggap bahawa selagi ada laut dan sungai, manusia tidak akan menghadapi krisis air. 

Mereka tidak memahami jumlah tenaga dan kos yang diperlukan untuk menukar air masin dan air tawar kepada air bersih yang bukannya sedikit atau murah. Bagi Malaysia, kita dianggap bertuah kerana mempunyai sumber air yang banyak dengan kedudukan di garisan Khatulistiwa memberikannya hujan sepanjang tahun berjumlah lebih 2,000 milimeter (mm) setahun, manakala 5,000mm bagi kawasan Pantai Timur. Melihatkan keadaan ini, pasti ramai berpendapat adalah tidak masuk akal jika negara kita akan mengalami krisis air. Namun, itulah hakikatnya jika semua pihak masih bersikap acuh tidak acuh mengenai permasalahan ini. Perkara berkenaan adalah antara isu bakal didebatkan pada Persidangan dan Pameran Air Asia Pasifik (APRWC) 2011 yang akan diadakan di Hotel Grand Dorsett Subang, Selangor selama tiga hari, mulai hari ini. 

Program anjuran Persatuan Air Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya (SWAN) bertemakan Pendekatan Air Secara Kolektif. Seramai 15 penceramah luar negara antaranya dari Australia, Amerika Syarikat, Belanda, Jepun, Singapura, Denmark, Indonesia dan Kemboja serta 11 penceramah tempatan akan membuat pembentangan sepanjang persidangan itu. Ia disertai lebih 300 wakil pelbagai latar belakang seperti ahli korporat, perunding, penyelidik dan pembuat dasar yang pakar dalam bidang masing-masing. APRWC 2011 juga bertujuan mencari penyelesaian jangka panjang menangani pelbagai isu berkaitan industri air seperti cabaran perubahan iklim, pengurusan dan masalah alam sekitar yang mempengaruhi bekalan air bersih kepada penduduk dunia, termasuk di rantau Asia Pasifik. 

Pengerusi Eksekutif Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS), Tan Sri Rozali Ismail, berkata Malaysia tidak boleh leka dalam menjaga dan merawat sumber airnya walaupun dianggap antara yang terbaik daripada segi penggunaan teknologi bekalan air bersih di rantau ini. "Kita perlu membangun serta menggubal dasar yang inovatif dan strategik, merangka kerja kawal selia sendiri serta membentuk sistem pengurusan berdaya maju dan berkesan. "Rangka ini pula perlu bersifat jangka panjang demi kelangsungan negara kita. Kita perlu menjangka apa yang akan berlaku pada masa depan. Jangan apabila krisis air hampir atau sudah berlaku baru kita hendak bertindak,” katanya sambil berharap persidangan itu akan membentuk kerjasama berterusan antara negara yang membolehkan pertukaran pengalaman membabitkan cabaran yang dihadapi dalam pengeluaran air bersih bagi kegunaan rakyat.