JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



17 Mei 2023

Masalah Kekurangan Guru dan Sikap Malas Membaca, Punca Utama Mata Pelajaran Sastera Tidak Diminati


 

Penulis Rencana

Siti Aminah Mohd Yusof - Mei 9, 2023 @ 10:54am

bhpendidikan@bh.com.my

 

Sikap tidak suka membaca memberi cabaran kepada subjek Kesusasteraan Melayu sehinggakan banyak sekolah tidak lagi menawarkan mata pelajaran itu. Hal ini diburukkan lagi dengan kekurangan guru opsyen malah selepas subjek itu dijenamakan semula sebagai Kesusasteraan Melayu Komunikatif (KMK), ia dilihat masih kurang mampu menarik perhatian murid. Apatah lagi KMK adalah subjek elektif. Hal ini tentu berbeza dengan subjek Sejarah yang meskipun turut menuntut murid banyak membaca tetapi ia disebabkan mata pelajaran wajib, pelajar tiada pilihan.

Presiden Persatuan Penulisan Budiman Malaysia (BUDIMAN), Prof Dr Abdul Halim Ali, berkata fenomena penutupan kelas KMK adalah 'tidak sihat'. Katanya, beliau maklum banyak kelas KMK di sekolah-sekolah sekitar Melaka, Perak, Selangor dan Johor selain  Kedah, Perlis, Terengganu, Negeri Sembilan serta Kuala Lumpur semakin berkurangan ketika ini. Bagaimanapun di negeri seperti Kelantan, Sabah, Sarawak masih banyak menawarkan mata pelajaran itu pada peringkat menengah dan prauniversiti. Beliau yang juga Pensyarah di Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, Fakulti Bahasa dan Komunikasi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), berkata antara faktor yang biasa disebut oleh pihak sekolah yang tidak menawarkan subjek KMK termasuklah murid kurang minat membaca dan tiada guru opsyen.

"Apa yang berlaku, kurang kefahaman dan maklumat mengenai kepentingan KMK dalam kalangan pentadbir dan murid-murid di sekolah. Selain itu wujud persepsi salah terhadap KMK sebagai mata pelajaran tidak bernilai komersial turut menyebabkan perkara ini berlaku. Ia juga turut berpunca daripada pilihan mata pelajaran elektif yang banyak, komposisi kelompok mata pelajaran elektif dihadkan atau ditutup," katanya. Abdul Halim berkata subjek KMK di sekolah tidak seharusnya dilihat semata-mata sebagai satu pelajaran elektif sebaliknya ia perlu dilihat sebagai wadah pembinaan dan pengukuhan jati diri bangsa. Kesusasteraan Melayu katanya adalah satu daripada juzuk khazanah peradaban bangsa Melayu. Ia adalah identiti bangsa pemiliknya sekali gus menjadi sumber yang memperkenalkan adab dan kesantunan serta kekayaan akal budi bangsa.

"Bagaimana bangsa Malaysia pada masa hadapan dapat diterapkan nilai-nilai murni budi pekerti yang kaya dalam sastera Melayu jika sekiranya mata pelajaran ini tidak ditawarkan kepada murid-murid? Mengajar subjek ini juga bererti kita menyambung mata rangkai warisan bangsa yang akan disambung generasi baharu kemudiannya," ujarnya. Katanya, kurang minat membaca boleh ditangani dengan memperbanyakkan usaha itu oleh sekolah dan ibu bapa. Katanya ia boleh bermula di tapak perhimpunan dengan aktiviti NILAM, sesi pengajaran dan pembelajaran, sisipan jadual waktu untuk murid membuat aktiviti bacaan di pusat sumber selain aktiviti kokurikulum dan aktiviti lanjutan pada masa senggang dan cuti sekolah.

Tambah beliau lagi "Jika Dasar 1 Murid 1 Sukan boleh dilaksanakan, apa susahnya melaksanakan aktiviti 1 murid 1 buku 1 hari 1 cerita ? "Guru adalah manusia kreatif dan inovatif. Mereka tahu untuk merancang dan melaksanakan pelbagai aktiviti sesuai dengan tahap murid dan kemudahan yang ada. Persoalannya, sejauh manakah sesuatu dasar atau aktiviti itu dapat dilaksanakan secara konsisten dan berimpak. Pandangan yang menyebut KMK kurang nilai ekonomi adalah salah dan tidak benar. Malah, ia adalah pandangan yang semborono, tidak disokong dengan data yang boleh dipertanggungjawabkan. Tambahnya, murid-murid di sekolah adalah kelompok generasi akan datang yang bakal mengisi keperluan modal insan. Justeru, mereka bukan sekadar perlu bijak menguasai teknologi maklumat tetapi juga mesti bijaksana membuat pertimbangan moral, kemahiran sosial dan kemanusiaan yang tinggi.

Sementara itu, Kementerian Pendidikan (KPM) menerusi Unit Komunikasi Korporatnya ketika dihubungi mengesahkan antara punca penutupan kelas KMK di sekolah disebabkan kurang permintaan terhadap mata pelajaran itu dengan bilangan murid sedikit yang tidak memenuhi syarat pembukaan kelas. "Selain itu, murid turut dilihat cenderung kurang berminat mengambil mata pelajaran yang memerlukan banyak pembacaan. "Berdasarkan statistik seramai 13,044 calon berdaftar bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2022, berbanding 14,045 pada 2021, 14,972 (2020), 15,857 (2019) dan 16,394 (2018). "Sebagai rekod terdapat seramai 29,544 murid membabitkan 1,132 buah kelas yang mengambil mata pelajaran Kesusasteraan Bahasa Melayu di seluruh negara," katanya.

Menurut KPM, Kesusasteraan Melayu (KM) adalah subjek elektif bagi Tingkatan Empat dan Lima dalam kurikulum Kebangsaan turut dilaksanakan dalam Kurikulum Baharu Sekolah Menengah (KBSM) sehingga 2019. Bagaimanapun mulai tahun 2020 bermula pelaksanaan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) bagi murid Tingkatan Empat dan Lima, KM dijenamakan semula dengan KMK bagi memugar kembali KM dengan beberapa penambaikan yang mengikut situasi semasa. Walaupun terdapat penjenamaan semula KM kepada KMK namun 'roh' KM masih kekal malah karya yang digunakan sewaktu KM masih diguna pakai sehingga hari ini. Sesuai perkembangan semasa dan keperluan RI 4.0, elemen baharu dalam pembelajaran Kesusasteraan Melayu perlu diterapkan. Untuk itu mata pelajaran KM yang dijenamakan semula sebagai KMK menerapkan elemen multimedia sastera dalam KMK bagi membantu usaha KPM melaksanakan pendigitalan pendidikan.

Melalui elemen baharu ini, aspek didik hibur juga diterapkan dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP) KMK dengan KPM akan terus mempergiat usaha dalam menjelaskan kepentingan mata pelajaran KMK dalam kalangan murid sekolah dan dalam masyarakat. Subjek itu akan diteruskan dan tiada cadangan untuk memansuhkannya. Bagaimanapun ia bergantung kepada tawaran mata pelajaran elektif peringkat sekolah masing-masing.

Anugerah Paling Indah Dalam Hidup Saya ialah Kejayaan Pelajar Saya, Sejarah paling Manis Apabila Melihat Mereka Berdikari dan Menjadi Warganegara Yang Berguna

 


Tahun ini merupakan tahun ke-26 saya meraikan Hari Guru. Walau bagaimanapun jika dikira dari tarikh saya menjadi Guru Sandaran (semasa menunggu keputusan STPM) tahun ini merupakan tahun ke-30 saya meraikan hari guru. Saya mulakan hari ini dengan membacakan al-fatihah untuk diri sebagai tanda kesyukuran. Nikmat dan bahagia menjadi guru tidak dapat ceritakan satu persatu. Guru merupakan cita-cita saya sejak mula mengenali erti kejayaan. Saya tidak mengimpikan kerjaya lain walaupun saya tahu kehebatan sesuatu kerjaya kerana saya sedar, anak orang miskin apatah lagi berasal dari kawasan pedalaman susah untuk pergi jauh. Kekangan utama bukan keinginan dan keupayaan tetapi masalah kewangan.

Alhamdulillah, setelah menjadi guru saya berjaya meningkatkan prestasi diri dalam bidang akademik. Segala perbelanjaan untuk menampung kos pengajian saya menggunakan gaji yang diperoleh daripada berkhidmat sebagai guru. Saya tidak pernah mendabik dada tetapi saya amat bersyukur kerana penempatan pertama saya di salah sebuah sekolah primer terkenal, iaitu SMK Sacred Heart telah memberikan banyak peluang dan ruang untuk saya berkembang dalam bidang perguruan. Sepanjang tempoh 19 tahun 5 bulan berkhidmat di SMK Sacred Heart saya pernah mengajar Tingkatan Peralihan hingga Tingkatan Enam. Saya memegang pelbagai jawatan atas kepercayaan pihak pentadbir daripada Guru Akademik Biasa hingga menjadi Guru Kanan Mata Pelajaran.

Saya menjawat jawatan Guru Cemerlang Bahasa Melayu dan dilantik menjadi Guru Akademik Tingkatan Enam hingga menjadi Jurulatih Utama Bahasa Melayu STPM Sarawak dan Malaysia. Saya terlibat dengan pelbagai tugas-tugas penting berkaitan dengan mata pelajaran Bahasa Melayu Tingkatan Enam di peringkat daerah, negeri, dan kebangsaan. Saya tidak pernah bermimpi dapat duduk semeja bertukar-tukar pendapat dan pandangan dengan guru-guru dan pensyarah-pensyarah hebat di Malaysia. Semua ini berlaku dalam hidup saya bagai mimpi tetapi inilah realiti yang betul-betul saya alami. Benarlah kata orang, jika kita ikhlas mendidik Allah pasti balas dengan nikmat hidup dalam pelbagai bentuk. Saya tidak pernah lupa bersyukur kepada-Mu, ya Allah.

Pada bulan Mei 2016, saya dengan berat hati berpindah dari SMK Sacred Heart ke SMK Sibu Jaya yakni sekolah yang mempunyai populasi murid terbesar di daerah Sibu. Jumlah murid di SMK Sibu Jaya mencecah 3000 orang. Saya datang ke SMK Sibu Jaya bukan sebagai guru biasa tetapi menjawat jawatan Penolong Kanan Kokurikulum. Tugas ini merupakan satu lagi tugas yang saya tidak pernah saya duga. Yang mengenali saya memang tahu bahawa saya mempunyai kepakaran dalam mengajar. Jika terlibat dalam kokurikulum, saya hanya jurulatih untuk pertandingan pidato, bahas dan berbalas pantun. Pengalaman di SMK Sacred Heart saya gunakan sebaik mungkin untuk melakukan yang terbaik. Pada awalnya, saya takut dengan jawatan PKKK ini, saya takut saya akan gagal. Walau bagaimanapun, saya cekalkan hati dan bulatkan azam untuk menerima amanah ini dengan tangan terbuka.

Alhamdulillah, saya dikelilingi oleh ramai guru yang hebat dan komited di SMK Sibu Jaya. Mereka membantu saya dalam banyak perkara, begitu juga dengan Pengetua pada masa itu Encik Yusri Azhar bin Takip. Beliau memang tahu saya bukan guru yang mahir dalam kokurikulum tetapi beliau selalu membimbing dan memberikan dorongan. Sepanjang 4 tahun di SMK Sibu Jaya, banyak jugalah kejayaan dalam bidang kokurikulum sekolah peroleh. SMK Sibu Jaya merangkul Naib Johan Sekolah Cemerlang Kokurikulum Peringkat Kebangsaan (Kategori Luar Bandar) pada tahun 2017 dan 2018.

Pada tahun ke-3 di SMK Sibu Jaya, saya sudah mulai minat menjadi Penolong Kanan Kokurikulum kerana tertarik dengan sokongan ramai guru. Siapa sangka siapa menduga, semasa orang sibuk berkurung dek bahana Covid-19, saya menerima surat untuk berpindah ke SMK Durin pada Mei 2020. Ketika itu, saya sedang mengikuti Kursus NPQEL dan berhempas pulas menyiapkan tesis PHD. Perjalanan hidup saya agak mencabar sewaktu mula-mula sampai ke SMK Durin kerana Pengetua, Encik Law Tua Beng dilantik menjadi SiPartner di Pejabat Pendidikan Sibu. Saya pula dilantik memangku jawatan Pengetua. Cabarannya hanya Tuhan yang tahu. Setiap hari saya kena susun jadual sebagai peserta kursus NPQEL, pelajar PHD dan pemangku Pengetua. Ada kalanya, saya tertidur keletihan apabila balik ke rumah. Pengalaman ini semua amat berharga buat saya. Saya tulis di diari perjalanan hidup kerana bukan semua guru akan melalui jalan seperti yang saya lalui.

Hari ini, 16 Mei 2023, saya masih di SMK Durin. Saya bahagia kerana guru-guru yang bekerja dengan saya amat hebat dan komited. Saya juga mempunyai pentadbir yang amanah, rajin, dan berwawasan. Kami sentiasa seia sekata sehati sejiwa mendidik dan mengasuh anak murid seramai 577 orang. Saya mohon agar saya terus diberikan kesihatan dan kesejahteraan agar dapat terus berbakti hingga hari bersara. Saya suka menjadi guru. Walaupun bukan jutawan di dunia tetapi saya yakin saham akhirat yang saya kumpul cukup sebagai bekalan apabila sampai waktunya. Saya bukanlah guru hebat. Saya tidak pernah ada anugerah. Akan tetapi, dengan rezeki yang diperoleh saya tidak pernah lupa untuk terus belajar dan belajar agar dapat memberikan khidmat yang terbaik kepada nusa dan bangsa.Saya tidak impikan anugerah kerana anugerah terindah yang saya dapat ialah kejayaan anak-anak didik saya. Sejarah yang paling hebat ialah apabila saya berjaya mendidik hingga mereka mampu berdiri di atas kaki sendiri dan menjadi insan yang berguna kepada nusa dan bangsa.