JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



28 Disember 2011

ISU UMUM : HADIAH MALAYSIA UNTUK DUNIA

Penulis ialah Profesor Ulung di UKM dan Timbalan Pengerusi, Majlis Profesor Negara (MPN).


Dalam ucapan beliau di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tahun lalu, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata "Melampaui batasan semua agama, tanpa disedari kita telah membenarkan suara-suara sumbang golongan serpihan menenggelamkan banyak suara rasional dan munasabah." Perdana Menteri mengagaskan Gerakan Kesederhanaan Global (Global Movement of the Moderates - GMM) merentasi semua kepercayaan "untuk melawan dan menyisihkan pelampau yang telah menjadikan dunia sebagai tawanan mereka melalui sifat prasangka dan berat sebelah." Beliau menyebut 'keseimbangan' yang dicapai di Malaysia sebagai satu contoh yang membawa kepada kesederhanaan atau wasatiyyah dalam tradisi keadilan bersama dalam Islam. Di East-West Centre, Hawaii bulan lalu, beliau mengumumkan sebuah persidangan antarabangsa mengenai Gerakan Kesederhanaan Global akan berlangsung di Kuala Lumpur dari 17 sehingga 19 Januari, tahun hadapan.

Apa yang membimbangkan masyarakat dan kerajaan di seluruh dunia adalah apabila perilaku ganas pelampau diangkat ke taraf gerakan sosial yang lebih besar atas justifikasi sejarah, agama, ekonomi dan politik, yang akhirnya telah mengorbankan ratusan ribu nyawa mereka yang tidak berdosa. Untuk kembali kepada kesederhanaan adalah sesuatu yang rasional dan logik malah sangat mustahak dari moral, perilaku dan peradaban. Persoalannya siapakah yang bakal menjuarai "kesederhanaan" di pentas global. Perdana Menteri kita dan juga Malaysia sekarang merupakan juara dan peneraju inisiatif bermakna ini dalam politik global. Jika diterima pakai secara global, Malaysia mampu mentakrif semula dan mentransformasi Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM), dan memimpinnya dalam bentuk baru dengan nama baru, iaitu, GMM. Seimbas pandang, usaha ini kelihatan seperti mudah, rasional dan suatu agenda yang munasabah untuk sebuah gerakan besar. Namun begitu, menyempurnakan tugas ini melibatkan perancangan diplomatik yang kompleks dan realpolitik yang halus.

Saranan mengenai GMM ini telah disokong di Mesyuarat Asia-Eropah (ASEF) kali ke-8 di Brussels pada tahun lalu dan Communique Akhir Mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM) 2011 pada tahun ini, yang menyatakan komitmen untuk menambah baik keadaan keselamatan dunia dengan mengambil beberapa langkah, salah satunya adalah "menghayati kesederhanaan sebagai nilai penting untuk mengatasi segala bentuk ekstremisme, sebagaimana disarankan oleh "Gerakan Kesederhanaan Global". Sesuailah untuk istilah wasatiyyah digugurkan daripada digunakan. Biarpun betapa penting istilah ini, khususnya dari segi politik domestik, namun adalah tidak bijak untuk kita terus menggunakannya sebagai saingan kepada istilah "moderate', yang sudah diterima pakai di pentas antarabangsa. Diharapkan Seminar Kebangsaan Mengenai Pemahaman Wassatiyyah dan 1Malaysia, pembuka tirai Perhimpunan Agung UMNO bulan lalu, harus menjadi acara terakhir bagi istilah wasatiyyah digunakan dan dikaitkan dengan dengan promosi GMM.

Kehadiran istilah wasatiyyah sebagai tandingan kepada moderate akan mencairkan impka GMM kerana orang akan tertanya-tanya, apakah ini GMM atau GWM (Global Wasatiyyah Movement). Yang jauh lebih penting lagi untuk segera dilaksanakan ialah pengisian konseptual GMM yang boleh difahami dan dihayati oleh rakya Malaysia dari semua lapisan dan juga rakyat serta pemimpin seantero dunia. Perdana Menteri percaya bahawa keseimbangan wujud dalam masyarakat Malaysia "yang membawa kepada kesederhanaan bukan wasatiyyah". Para 'pemikir' yang mendampingi Perdana Menteri tentunya telah bersedia untuk menghurai perkara-perkara yang berikut yang pokok kepada GMM. Pertamanya, konsep keseimbangan itu perlu diperjelas. Kedua, kaedah yang digunakan oleh kerajaan Malaysia selama ini untuk mencapainya juga perlu digariskan satu-persatu. Ketiga, langkah praktikal yang telah dilaksanakan untuk membina dan mengekalkan keseimbangan tersebut perlu diperturunkan.

Keempat, penjelasan bagaimana pemantauan dilakukan terhadap impak setiap amalan praktikal telah menghasilkan keseimbangan itu. Kelima, cara menilai kejayaan, kegagalan dan akibat yang tidak dijangka daripada kegiatan untuk mencipta kestabilan tersebut. Keenam, menyediakan suatu pakej komprehensif yang bermanfaat mengenai cara keseimbangan ini akhirnya tercapai, contohnya, yang boleh diguna dan mudah difahami dari peringkat pra-sekolah ke universiti, sebagai prosedur untuk digunapakai oleh masyarakat, secara global. Yang paling utama sebenarnya adalah untuk kita menjelaskan asal-usul dan prasyarat kewujudan keseimbangan sosial yang terdapat hari ini di Malaysia yang pula berjaya membuahkan kesederhanaan yang telah diperagakan oleh Perdana Menteri kita ke seluruh dunia.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
26 DISEMBER 2011

ISU PENDIDIKAN : KECEMERLANGAN BUKAN SEKADAR AKADEMIK SEMATA-MATA

Tan Sri Allimuddin Mohd Dom
Pengerusi
Yayasan Guru Malaysia Berhad


Tahniah kepada 34,271 pelajar yang mendapat keputusan cemerlang iaitu A dalam semua mata pelajaran. Demikian juga kepada pelajar lain yang mendapat sekurang- kurangnya beberapa A dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang diumumkan baru-baru ini. Kepada mereka yang tidak cemerlang atau tidak mendapat satu A pun janganlah kecewa dan berputus asa kerana dunia masih belum lagi berakhir. Ada banyak lagi perkara yang perlu anda fikirkan dalam hidup ini dan kejayaan masa depan bukan semata-mata bergantung kepada kecemerlangan akademik tetapi melibatkan beberapa kriteria lain. Kepada ibu bapa janganlah menunjukkan sikap marah atau mengeluarkan perkataan yang menyakitkan hati anak sekiranya mereka tidak mendapat keputusan cemerlang. Elakkan suka berleter atau menyindir kerana ia boleh mengecilkan hati anak. Ada juga ibu bapa yang sengaja membandingkan dengan anak jiran atau sanak saudara lain yang mendapat keputusan lebih baik. Pada ketika ini apa yang perlu dilakukan ialah memberi mereka kekuatan semangat atau kata-kata galakkan supaya membuat penilaian atau muhasabah diri dan berusaha lebih keras agar mendapat keputusan lebih baik dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang akan ditempuhi dua tahun lagi.

Tidak dapat dinafikan fenomena dalam setiap kali peperiksaan sama ada di peringkat rendah atau menengah ibu bapalah yang paling sibuk jika dibandingkan dengan anak yang mengambil peperiksaan. Sebelum tarikh peperiksaan bermula pergerakan anak sentiasa dikawal. Ada di antara ibu bapa yang tidak membenarkan anak mengikuti aktiviti kokurikulum dan permainan di sekolah kerana dikatakan akan mengganggu rentak mereka membuat persediaan bagi menghadapi peperiksaan. Kelas-kelas tuisyen sudah menjadi kemestian, tidak cukup di sebelah petang maka waktu malampun terpaksa menghadiri kelas tersebut. Bagi yang lebih prihatin akan mengambil cuti khas untuk membolehkan mereka menghantar dan mengambil anak ke sekolah sepanjang masa peperiksaan. Debaran ibu bapa kian memuncak apabila keputusan peperiksaan diumumkan. Di sesetengah sekolah bilangan ibu bapa yang hadir melebihi bilangan calon yang mengambil peperiksaan. Bila keputusan diumumkan ibu bapa akan tersenyum lebar sekiranya anak mendapat keputusan cemerlang tetapi akan masam mencuka jika keputusan sebaliknya. Ada juga yang tidak berpuas hati dengan keputusan lantas berjumpa pengetua untuk mengisi borang bagi menyemak semula keputusan peperiksaan yang baru diumumkan itu.

Turut terdapat kes yang keterlaluan iaitu dengan marah-marah dan menyalahkan guru atau pihak sekolah yang menyebabkan anaknya tidak mendapat keputusan baik. Suasana meriah apabila keputusan peperiksaan UPSR, PMR, SPM atau STPM diumumkan turut dimainkan oleh media massa. Wartawan akhbar atau televisyen bukan sahaja membuat liputan semasa pengumuman keputusan peperiksaan di Kementerian Pelajaran tetapi turut menghantar wartawan ke sekolah-sekolah tertentu. Suasana hiruk-piruk semasa penyerahan slip peperiksaan atau ketika pelajar bersorak riang diberikan fokus utama. Gambar pelajar dijulang atau sedang menangis kegembiraan turut diberi liputan. Menjadi kebiasaan temu bual dibuat dengan pelajar cemerlang dan ibu bapa. Ironinya jarang yang memberi pujian kepada jasa dan sumbangan guru atau pengetua. Akibat terlalu banyak liputan dan publisiti oleh media massa terhadap pencapaian pelajar dalam peperiksaan maka ada yang bertanya adakah matlamat pendidikan seolah- olah terletak kepada keputusan peperiksaan?

Sekolah-sekolah yang cemerlang hanya dinilai terhadap berapa peratus keputusan cemerlang dalam setiap mata pelajaran atau berapa ramai pelajar yang mendapat A dalam peperiksaan tersebut. Terlalu menekankan pencapaian dalam peperiksaan atau komponen intelek sahaja maka bidang jasmani, rohani dan emosi seolah-olah telah diabaikan. Sedangkan matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan menghendaki perkembangan seimbang dalam keempat komponen tersebut supaya dapat dilahirkan modal insan atau individu yang bersifat holistik dan berketerampilan sesuai dengan keperluan cabaran global dan tuntutan masa. Jika ditanya kepada pengetua atau guru- guru mengapa mereka turut memberi penekanan kepada bidang akademik. Jawapannya telah dijangka bahawa inilah yang dikehendaki oleh ibu bapa iaitu ingin melihat anak- anak mereka mencapai kejayaan cemerlang dalam peperiksaan. Tidak dapat dinafikan pencapaian itu pula ada kaitan dengan peluang untuk melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi dan bagi mendapat biasiswa atau bantuan pelajaran.

Ternyata bahawa peluang memasuki institusi pengajian tinggi awam yang ternama dan memilih bidang kajian yang diminati adalah banyak dipengaruhi kecemerlangan keputusan peperiksaan. Sesungguhnya keadaan ini adalah di luar kawalan pihak sekolah dan norma itu telah lama wujud dalam masyarakat kita. Apakah ukuran sebenar untuk menjadi seorang pelajar yang berjaya di masa hadapan? Tidak dapat dinafikan bahawa pencapaian cemerlang dalam peperiksaan adalah salah satu kriterianya. Walau bagaimanapun ciri-ciri lain perlu ada iaitu mempunyai pemikiran yang kreatif, inovatif, kemahiran berkomunikasi, kebolehan membuat keputusan, sikap berani mencuba, tidak takut gagal, rajin, ada kesungguhan, proaktif dan mempunyai tubuh badan yang sihat. Individu yang mempunyai ciri-ciri tersebut dikatakan mempunyai kelebihan, peluang dan kekuatan selepas meninggalkan bangku sekolah. Mereka mampu berhadapan dengan pelbagai cabaran dan berkeupayaan bersaing dalam dunia yang kian mencabar.

Oleh itu kepada pelajar yang tidak mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan yang lepas jangan merasa kecewa atau berputus asa. Cuba bermuhasabah diri dan renungkan kembali apakah sebab atau punca yang yang menyebabkan keputusan tidak menyerlah. Ambil langkah susulan dan tindakan segera bagi memperbetulkan keadaan tersebut. Walaupun peperiksaan SPM akan menjelang dua tahun lagi tetapi buatlah persediaan awal supaya pencapaian yang akan datang lebih cemerlang. Kepada ibu bapa pula berikan dorongan dan bimbingan agar anak sentiasa merasa lebih dihargai dan yakin dengan kebolehan diri mereka sendiri.

Selamat berusaha.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
26 DISEMBER 2011

ISU UMUM : APABILA MULUT MEMBAWA PADAH

Oleh Johardy Ibrahim


Begitu bingit isu penyerang Liverpool FC, Luis Suarez didapati bersalah menuturkan perkataan perkauman atau rasis terhadap kapten Manchester United, Patrice Evra minggu ini. Suarez dikenakan hukuman penggantungan lapan permainan dan denda 40,000 pounds (RM200,000). Isu itu menjadi rumit kerana banyak pihak tidak mengendahkan bantahan Liverpool FC terhadap kaedah yang digunakan oleh Persatuan Bolasepak Inggeris atau FA tidak sama seperti kaedah konvensional amalan mahkamah sivil. Ramai yang memilih untuk melihat Suarez sudah didapati bersalah semata-mata dan mahu dia menjalani hukuman tersebut, selain menjadikannya kes contoh kepada semua yang terlibat atau meminati bola sepak Inggeris. Kes serupa dihadapi oleh kapten Chelsea, John Terry yang dituduh menuturkan perkataan seumpamanya kepada Anton Ferdinand dari kelab Queen's Park Rangers, yang juga adik pemain Manchester United, Rio Ferdinand. Bezanya, kes Terry disiasat oleh polis ekoran laporan oleh orang awam dan dia perlu hadir ke mahkamah pada 1 Februari tahun depan. Hanya selepas itu dan jika didapati bersalah, barulah FA pula akan menjatuhkan hukuman.

Chelsea, seperti Liverpool berdiri teguh menyokong pemainnya dalam kes itu. Namun, kes Suarez ditangani secara tertutup dalam FA kerana tuduhan Evra adalah tuduhan dari mulutnya seorang terhadap Suarez dan tiada laporan polis dibuat. Kedua-dua kes tuduhan perkauman dalam dunia bola sepak Inggeris sebenarnya adalah cerminan kepada masyarakat Inggeris itu sendiri yang antara paling awal terbabit dalam perdagangan hamba abdi Afrika pada kurun ke-18 dan sentimen perkauman itu berlarutan ke hari ini. Meskipun banyak usaha asimilasi dan integrasi dilaksanakan oleh kerajaan British di seluruh tanah jajahannya di United Kingdom, isu perkauman terus wujud dan ia makin sulit dengan kewujudan Islamofobia pula. Sementelah profiling kaum di pintu-pintu masuk berkait rapat dengan isu keselamatan, ia menjadi satu dilema dalam masyarakat. Industri bola sepak adalah satu daripada sumber pendapatan terbesar kepada Britain dan diikuti oleh pelbagai lapisan masyarakat Britain umpama agama kedua. Kata-kata kesat yang dilemparkan kepada pemain berkulit hitam terutama oleh penyokong lawan di dalam stadium, menjadi pendorong kepada FA untuk melancarkan kempen KICK IT OUT (sepak ia keluar), Say No To Racism (Katakan tidak kepada rasisme).

Bagi para penyokong Liverpool, dalam kes Suarez ia bukan semata-mata soal sebuah kelab menentang pertuduhan terhadap pemain utamanya. Bukan kerana kesetiaan membuta-tuli. Jika ada bukti jelas dan melangkaui keraguan munasabah (beyond reasonable doubt), pasti penyokong setia akan akur dan terima hukuman terhadap Suarez tersebut. Tatkala Suarez mengaku ada menyebut 'negro' yang dianggap satu ayat perkauman, dia mendakwa datang daripada Uruguay, perkataan itu bukan penghinaan. Masalahnya, hujah tersebut tidak teguh dan mungkin di sini panel penyiasat FA mendapati wujud kes pada Suarez. Laporan penuh secara bertulis keputusan FA masih ditunggu dan hanya selepas itu, barulah Liverpool dan Suarez akan mengemukakan rayuan. Isu yang menjadi kemarahan ramai penyokong Suarez (termasuk di Uruguay), tuduhan asal itu hanya tuduhan mulut sebelah pihak. Tiada bukti video, atau didengar oleh pihak ketiga dan pengadil tidak mengetahuinya hanya selepas Evra membawa bosnya, Sir Alex Ferguson membuat aduan rasmi semasa perlawanan kedua-dua pasukan Februari lalu.

HANYA TUDUHAN

Bila ia hanya "tuduhan sebelah pihak'' tetapi FA telah membuat keputusan mendapati Suarez bersalah, kemudiannya menjatuhkan hukuman paling berat untuk kes seumpamanya iaitu gantung lapan perlawanan. Bermakna, sesiapa pun selepas ini boleh membuat aduan kepada FA bahawa Alex Ferguson telah menghina pemain menggunakan kata kesat dalam dialeg Scotland dan pengurus veteran itu patut menerima nasib serupa dengan Suarez. Apa pun, semua kelab di dunia mungkin risau untuk mengimport pemain dari Montenegro. Saya tidak arif mengenai butiran perundangan tetapi seharusnya pihak pengadilan seperti FA mempertimbangkan juga hujah Suarez yakni perkataan 'negro' bukan bersifat rasis di negara asalnya, malah Uruguay sendiri memperakui kenyataan Suarez. Orang akan berkata, tidak peka bukan suatu alasan tetapi hakikatnya , tidak peka tetap diterima sebagai satu alasan. Perbezaan budaya Uruguay dan Britain wajar diberi pertimbangan oleh FA.

Ia samalah seperti penggunaan perkataan 'Indon' yang dibantah oleh Kedutaan Indonesia di Jalan Tun Razak (siap hantar surat rasmi ke pejabat!) tetapi apa bezanya perkataan 'Malingsia' yang diguna akhbar Indonesia dan dilaungkan oleh penyokong Garuda semasa mereka tewas di tangan Malaysia pada perlawanan akhir Sukan Sea yang lalu? Budaya seberang membenarkan penyokongnya mencemuh orang lain sebegitu rendah maruahnya tetapi budaya di Malaysia kita hormat permintaan orang asing. Cuba Kedutaan Malaysia hantar surat ke akhbar Indonesia supaya berhenti guna perkataan Malingsia atau mengeluarkan berita berbaur hasutan hingga bangunan kita diserang berkali-kali tahun ini. Cubalah. Tengok mereka layan atau tidak. Dalam konteks Suarez, perbezaan budaya jelas mempunyai merit. Lagipun, dia bukan saja-saja menuturkannya. Ia tercetus setelah Evra berkali-kali melakukan provokasi terhadapnya. Apakah ia satu taktik permainan kotor setelah Evra naik penat mengawal pergerakan Suarez?

Perlawanan antara Liverpool dan Manchester United sentiasa menjanjikan perlawanan yang hebat kerana para pemainnya akan bermain bermati-matian. Buktinya boleh dilihat dari segi jaringan gol dan kad kuning serta merah yang dilayangkan. Perkataan kesat adalah sebahagian daripada permainan. Jika benar-benar hendak mematuhi kempen anti-rasisme, maka seluruh penyokong Manchester United hendaklah digantung daripada menyaksikan perlawanan apabila menyebut 'you Scouse thieves' (awak Scouse si pencuri). Scouse adalah loghat penduduk Liverpool. Tentunya ini tidak akan berlaku. Aspek inilah yang dilihat oleh penyokong Liverpool sebagai suatu ketidakadilan terhadap Suarez. Tindakan FA dianggap bersifat mencari kambing hitam dan sekadar mahu mendapatkan kes contoh untuk kempen anti-rasisme, maka Suarez adalah mangsanya. Ramai berpendapat bukti yang digunakan dalam siasatan kes itu tidak menepati kriteria prinsip pengadilan di mahkamah sivil.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
25 DISEMBER 2011

ISU ANTARABANGSA : WAJAH-WAJAH KEMISKINAN DI AMERIKA SYARIKAT

Oleh Hafizahril Hamid


Wajah Dylan Burger, yang hanya berusia lapan tahun kelihatan gembira menari bersama rakannya di sebuah kelab kanak-kanak di Santa Monica, California. Namun kegembiraan wajahnya itu hanya sementara berikutan dalam usia semuda itu dia terbeban dalam realiti kemiskinan yang melanda keluarganya. Bapanya Tracy Burger, 45, dan ibunya Elizabeth, tidak dapat berselindung tentang kesusahan hidup setelah kini terpaksa tinggal di garaj rumah ibunya. Kedua mereka merupakan pekerja kolar putih dengan pendapatan digabungkan mencecah AS$100,000 juta (RM310,000) setahun. Namun akibat krisis sub prima, kedua mereka hilang pekerjaan, diikuti apartmen sebelum semua harta benda mereka yang lain dirampas. Itulah realiti yang berlaku di negara yang terkenal dengan jolokan Uncle Sam. Setelah dilanda kegawatan ekonomi yang berlanjutan sejak empat tahun lepas akibat krisis sub prima, nampaknya keadaan masih belum nampak sebarang perubahan. Kini tahun baru 2012 bakal menjelang tiba tidak berapa lama lagi. Dan berdasarkan kajian pihak berkuasa AS, kedudukan ekonomi mereka masih jauh dari pulih malah kemiskinan dan kesengsaraan rakyatnya semakin ketara.

KADAR YANG TERTINGGI

Angka terbaru jumlah kemiskinan di AS berdasarkan Laporan Jabatan Perubahan dan Pembangunan Bandar AS, meningkat pada kedudukan tertinggi sebanyak 46.2 juta orang. Angka ini merupakan rekod tertinggi sejak jabatan itu mula mengumpul data mengenai keluarga miskin pada tahun 1959. Dari jumlah itu, dianggarkan 9.2 juta penduduk AS hidup bawah paras kemiskinan manakala hampir 700,000 rakyat negara itu tiada tempat tinggal. Kemiskinan di AS adalah berlandaskan dari pendapatan tahunan rakyatnya yang kurang daripada AS$22,314 (RM69,173) untuk keluarga dengan empat orang ahli atau AS$11,139 (RM34,350) bagi seorang. Melihat kepada statistik baru ini jumlah warga AS yang hidup di bawah garis kemiskinan ini meningkat dalam tempoh empat tahun berturut-turut. Data tersebut turut menyatakan warga kulit hitam dan Hispanik menduduki kedudukan pertama daftar kemiskinan tertinggi. Laporan itu mencatatkan 25.8 peratus warga kulit hitam hidup dalam kemiskinan, sementara keturunan Hispanis mencecah 25.3 peratus.

Rata-rata pendapatan tahunan keluarga di sana berdasarkan laporan ini adalah sekitar AS$ 49,445 (RM153,279 ) menurun 2.3 peratus berbanding tahun sebelumnya. Angka kemiskinan di negara itu meningkat di atas 15 peratus, meningkat 0.7 peratus berbanding tahun sebelumnya. Demikian juga halnya dengan angka pengangguran yang meningkat di atas 9 peratus. Sementara itu, warga Amerika yang tidak mempunyai insurans kesihatan tetap pada kedudukan kira-kira 50 juta orang. Melihat kepada keadaan semasa ini adalah tidak mengejutkan ramai di antara mereka terpaksa merempat di tepi jalan mahupun tinggal di kawasan saliran bawah tanah. Ini yang berlaku kepada pasangan kekasih, Steven dan Kathryn serta pasangan suami isteri, Amy dan JR yang memilih untuk menetap di bahagian bawah 'Kasino Ceaser Palace', iaitu di terowong saliran bawah tanah. Mereka telah menetap di situ sejak 2008 memandangkan kos hidup yang tinggi selain sukar mendapat pekerjaan.

Ramai juga di antara mereka merupakan penagih dadah tegar dan memilih hidup di situ kerana polis jarang mengganggu mereka. Namun akibat kegawatan ekonomi yang mengakibatkan ramai di antara mereka hilang tempat tinggal, jumlah penduduk di terowong saliran bawah tanah meningkat sehingga lebih 700 orang. Hujan bukanlah sesuatu yang biasa berlaku di Vegas dan ini membolehkan mereka yang tinggal di dalam terowong ini selesa malah menganggap kediaman itu sebagai sesuatu yang memadai. "Namun apabila hujan lebat turun tanpa henti selama dua jam, ia menyedarkan kami bahawa kediaman ini sebenarnya sebuah terowong dan ia jauh daripada selesa kerana arus deras akan membawa pergi semua barang-barang kami," kata Amy.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
25 DISEMBER 2011