Keputusan Ujian
Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang diumumkan kelmarin disifatkan oleh
Kementerian Pelajaran sebagai yang terbaik sejak 2008, berdasarkan Gred Purata
Nasional (GPN). Kejayaan itu tentunya suatu pencapaian yang boleh dibanggakan
semua. Penghargaan bukan saja patut diberikan kepada pelajar, malah komitmen
guru dan ibu bapa juga tidak harus dilupakan. Keputusan yang terus meningkat
dari setahun ke setahun juga membuktikan sistem pendidikan kebangsaan kita
berkesan melahirkan pelajar cemerlang, bukan saja dari segi akademik malah bukan
akademik. Seperti diumumkan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Abdul Ghafar
Mahmud kelmarin secara keseluruhan jumlah calon memperoleh pencapaian terbaik
iaitu Gred A, B dan C tahun ini meningkat 55.45 peratus iaitu 269,021 calon
berbanding 262,278 tahun lalu.
Bagaimanapun, calon
yang mendapat keputusan cemerlang semua A tahun ini menurun sedikit, 46,012
pelajar berbanding 48,327 pelajar tahun lalu. Apa yang lebih membanggakan,
keputusan UPSR tahun ini juga menunjukkan jurang pencapaian calon bandar dan
luar bandar bukan saja berjaya dipertahankan daripada terus menjarak, malah ia
dapat dikurangkan 0.01 peratus berbanding tahun lalu. Dengan kejayaan itu, kita
mengucapkan tahniah kepada semua pelajar yang lulus cemerlang tetapi mereka
mesti ingat bahawa kejayaan itu baru permulaan sebuah perjuangan yang masih
panjang kerana UPSR ialah ujian pertama bagi menilai prestasi akademik mereka
sebelum berdepan alam persekolahan lebih mencabar. Namun, itu bukan bermakna
UPSR tidak penting kerana ia bakal mencorakkan hala tuju pendidikan mereka pada
masa depan.
Analisis keputusan
mendapati peratusan calon mendapat keputusan A bagi mata pelajaran Matematik
dan Sains mengalami penurunan berbanding 2010. Sementara bagi subjek Bahasa
Melayu Pemahaman pula meningkat, tetapi menurun bagi Bahasa Melayu Penulisan,
walaupun prestasi keseluruhan A, B dan C meningkat. Prestasi dan gred purata
Bahasa Inggeris juga stabil sama seperti tahun lalu, walaupun ada sedikit
pengurangan murid yang mendapat Gred A. Bagaimanapun kita tidak sepatutnya
berpuas hati dengan hanya melihat bilangan pelajar lulus cemerlang memperoleh
Gred A, tetapi perlu mengkaji punca kenapa kualiti calon lain tidak menyerlah.
Keputusan tahun ini menunjukkan hampir separuh daripada kira-kira 500,000 calon
UPSR gagal mencapai sekurang-kurangnya Gred C. Jumlah ini masih tinggi dan
boleh disifatkan sebagai kegagalan yang tidak boleh dipandang ringan,
sebaliknya perlu diberikan perhatian serius agar pencapaian mereka dapat
diperbaiki.
SUMBER
RUANGAN MINDA
PENGARANG
BERITA HARIAN
19 NOVEMBER 2011