Zaman kini bukan lagi zaman menghantar
surat menggunakan burung merpati. Zaman kini bukan lagi zaman kita menyampaikan
pesanan di corong-corong radio. Semuanya menjadi lebih mudah. Telefon di rumah
kadang-kadang tidak pernah disentuh hingga berhabuk. Anak-anak muda sudah tidak
pandai lagi menulis surat untuk meluahkan perasaan. Semuanya menjadi lebih
senang dengan adanya Facebook, Instagram, WeChat, WhatsApp, dan
sebagainya. Semuanya hanya dilakukan melalui hujung jari. Oleh itu, pada setiap
saat manusia dihidangkan dengan jutaan maklumat terkini di pelbagai laman
sosial. Apa-apa sahaja yang berlaku di sekeliling mereka akan diviralkan hingga
menjadi tular dalam kalangan pengemar media sosial. Kebiasaannya, viral yang
paling sensasi ialah viral berkaitan dengan buli, pergaduhan, skandal suami
atau isteri, dan pelbagai lagi. Setiap video, gambar, ataupun luahan perasaan
yang diviralkan, akan dihiasi dengan ribuan komen daripada pembaca. Apabila
kita membaca komen-komen yang ditulis oleh para “Peguam Internet”, “Ustazah
Internet”, “Ustaz Internet” mahupun “Perdana Menteri Internet” ini,
kita yang waras kadang-kadang boleh rasa panas kerana yang dicaci maki bukan
pelaku perbuatan tetapi bangsa, kaum, agama, dan bidang pekerjaan mereka.
PERTAMA: KOMEN SALAHKAN BANGSA
Sasaran utama mereka yang memberikan
komen tentang sesuatu viral di Internet biasanya ditujukan kepada bangsa atau
suku kaum seseorang. Jika pelakunya merupakan kaum Melayu maka berguni-guni
komen yang menghina bangsa Melayu akan disajikan oleh kaum bukan Melayu. Begitu
juga, jika pelakunya ialah kaum Cina maka kaum-kaum lain yang memberikan komen
akan menyalahkan semua kaum Cina. Kata-kata mereka adakalanya boleh menghiris
hati sehingga terasa sangat pedihnya. Mereka langsung tidak memikirkan
sensitiviti kaum yang dijadikan sasaran itu. Kita tidak tahu, apakah tujuan
sebenar mereka memberikan komen yang sedemikian? Hakikatnya, orang yang
melakukan kesalahan itu sebenarnya melakukan kesalahan yang juga dilakukan oleh
kaum-kaum lain di dunia ini. Sebagai contohnya, kejadian buli yang berlaku di
salah sebuah universiti baru-baru ini, tidak wajar disalahkan kaum, yang
bersalah ialah mereka yang melakukan buli itu. Bukannya kaum mereka! Kes
sebegini berlaku di mana-mana sahaja di segenap empat penjuru dunia ini. Semua
kaum melakukannya. Jadi, amatlah tidak logik jika kita marahkan kaum kerana
yang melakukan perbuatan itu hanya sebilangan kecil sahaja dan mereka tidak
mewakili kaum. Mereka mewakili diri mereka sendiri. Mereka bukan mewakili
sesiapa. Rasionalnya, semua orang yang melakukan kesalahan itu adalah kerana
kegagalan mereka menahan nafsu akibat hasutan syaitan. Oleh itu, yang salah
hanya dia sahaja bukan kaumnya.
Penghinaan dan caci maki yang ditujukan
terus kepada kaum hanya dilakukan oleh manusia yang kurang waras dan tidak
berpendidikan. Golongan sebegini wujud dalam masyarakat hanyalah untuk
memecahbelahkan bukannya untuk menyatupadukan. Mereka ini ibarat batu api yang
hanya tahu membakar tetapi apabila api sudah marak mereka terus lari kerana
gagal memadamkannya. Golongan sebegini saya sifatkan sebagai pengecut kerana
mereka ini sebenarnya kurang perhatian dan kasih sayang daripada insan-insan di
sekeliling mereka. Kegagalan otak mereka berfungsi dengan baik menyebabkan
mereka memberikan komen yang bukan-bukan semata-mata untuk meraih “Like”
daripada pembaca yang darjah kepintaran mereka lebih kurang sama. Niat untuk
memberikan komen tanpa pertimbangan yang waras hanyalah membawa kepada
kemelaratan bukannya keharmonian. Ingatlah, bangsa atau kaum serta keturunan
seseorang bukanlah penyebab mereka melakukan perkara-pekara buruk dan keji yang
diviralkan itu. Mereka bertindak sedemikian disebabkan fikiran yang pendek dan
singkat. Mereka bertindak melulu sehingga menjatuhkan maruah diri. Janganlah
kita salahkan bangsa dan keturunan jika membalas komen di media sosial.
KEDUA: KOMEN SALAHKAN AGAMA
Apabila membaca komen-komen yang
menyentuh soal keagamaan, saya berasa amat sedih dengan mentaliti segelintir
generasi muda pada hari ini. Kebiasaannya, apabila saya membaca komen seseorang
yang menarik perhatian, saya akan klik gambar profil Facebooknya untuk melihat
wajahnya. Segelintir daripada mereka kelihatan masih muda remaja tetapi
komen-komen yang diberikan di Internet tidak seiring dengan usia dan kematangan
mereka. Penghinaan terhadap agama pelaku kesalahan bukanlah cara terbaik untuk
dijadikan modal apabila kita mahu mengulas sesuatu isu yang menjadi tular.
Semua agama di dunia ini mengajar umat-Nya supaya melakukan kebaikan dan
meninggalkan kejahatan. Agama tidak pernah menggalakkan seseorang untuk
merogol, menipu, merompak, mengumpat, dan sebagainya. Agama tidak pernah
menyuruh kita bergaduh, bersengketa, berskandal, dan sebagainya. Agama mahu
umatnya berbuat baik sesama manusia. Isu keagamaan ini merupakan isu yang amat
sensitif kerana boleh mencetuskan pergaduhan atau kekacauan. Kita tidak sanggup
negara ini hancur akibat fenomena caci maki di media sosial yang bermodalkan
isu keagamaan. Oleh itu, jangan sesekali menyalahkan agama dan kepercayaan
seseorang jika mereka melakukan kesalahan terhadap kita.
Agama apapun yang kita anuti, kita
tidak pernah diajar untuk melakukan sesuatu perkara yang salah. Akan tetapi,
jika kita melakukan kesalahan, kita lakukannya atas kehendak dan keinginan kita
sendiri. Sebagai contohnya, jika perkara yang diviralkan itu berkaitan dengan
suami yang membelasah isterinya tanpa perikemanusiaan. Kita seharusnya
memberikan komen tentang tindakan kejam lelaki itu. Kita tidak boleh menyelar
agama dan kepercayaan yang menjadi anutannya. Yang hilang pertimbangan bukan
agamanya tetapi dirinya sendiri. Yang hilang kawalan bukan agamanya tetapi
dirinya sendiri. Yang hilang kewarasan juga dirinya bukanlah agamanya sendiri.
Sewajarnya, sebelum kita menulis sesuatu yang berkaitan dengan hal-hal
keagamaan, kita mesti berfikir semasak-masaknya, kita tidak boleh dengan
sengajanya mencetuskan kontroversi sehingga tergamak memaki dan mencaci agama
yang dianuti oleh pelaku kesalahan itu. Golongan yang asyik menjadikan agama
orang lain sebagai sasaran komen-komen kurang bijaksana ini seharusnya
ditangkap dan dikenakan tindakan undang-undang supaya mereka lebih berhemah
menggunakan ruangan komen di media sosial.
KETIGA: KOMEN KENEGERIAN
Komen yang bersifat kenegerian ini
kadang-kadang agak keterlaluan dan tidak masuk dek akal. Sebagai contohnya,
jika isu itu berlaku di negeri Sarawak maka komen-komen yang disajikan
merupakan komen-komen yang menghina orang Sarawak sehingga sanggup mengatakan
rakyat negeri Sarawak tinggal di atas pokok dan bercawat. Yang memberikan komen
itu tahu bahawa rakyat di Sarawak tidak tinggal di bawah pokok dan bercawat
tetapi dia utarakan komen sebegitu disebabkan dia mahu rakyat Sarawak yang
membaca komen tersebut akan memberikan tindakbalas sehingga mencetuskan
pergaduhan maya. Begitu juga, jika isu yang melibatkan negeri Johor maka
seluruh rakyat Johor turut terkena tempiasnya disebabkan komen seorang individu
yang kurang cerdik. Bagi golongan yang suka memberikan komen-komen yang
bertujuan untuk meraih “like” atau “share” ini, dosa itu akan
kita tanggung di akhirat nanti. Orang yang bijaksana tidak akan menghina rakyat
jelata negeri lain hanya disebabkan oleh seorang pelaku kesalahan. Hal ini
dikatakan demikian kerana negeri tempat kita tinggal itu hanyalah tempat tumpah
darah kita, dan setiap kesilapan yang dilakukan adalah kerana kegagalan diri
kita sendiri.
Saya amat berharap agar komen-komen
yang berbentuk penghinaan terhadap negeri ini dihentikan demi mengurangkan
darjah kebencian sesama kita. Sebelum memberikan komen yang bertujuan untuk
mengaibkan sesebuah negeri kita harus cermin diri kita sendiri, apa yang akan
kita lakukan jika disebabkan komen kita itu, negara Malaysia yang kita cintai
ini akan menjadi huru-hara. Kita tidak boleh mementingkan diri kita sendiri,
bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing dalam hal-hal yang
sebegini. Orang yang waras dan berpendidikan, tidak akan menjadikan sentimen
kenegerian sebagai modal untuk meraih kemenangan dan perhatian daripada orang
ramai. Isu kenegerian di media sosial merupakan suatu penyakit yang boleh
mengancam keselamatan negera jika isu ini menjadi parah hingga membusung nanah.
Analoginya mudah, dahan sebatang pokok yang patah akibat ditiup angin, kita cuma
perlu buang dahan yang patah itu sahaja, bukannya menebang keseluruhan pokok.
KEEMPAT: BIDANG PEKERJAAN
Bidang perguruan merupakan bidang yang
sangat dibenci oleh kaki-kaki komen perkara tular di Internet pada masa ini.
Apabila isu yang diviralkan itu melibatkan kesilapan para guru atau pihak
sekolah, masyarakat akan mengeluarkan kata-kata cacian tanpa tapisan terhadap
golongan ini walaupun mereka tidak tahu sama ada pihak guru itu salah atau tidak.
Contohnya, seorang ibu telah memviralkan markah anaknya di Facebook. Anaknya
sepatutnya mendapat 100% markah tetapi disebabkan kesilapan guru mengira maka
anaknya hanya mendapat 98%, jadi untuk menyatakan ketidakpuasan hati maka hal
itu diviralkan di internet dengan menayangkan nama sekolah. Kepuasan bagi ibu
tersebut adalah apabila perkara yang diviralkan itu menjadi tular dan ramai
pihak yang tumpang sekaki memaki dan menyalahkan guru. Mereka tidak tahu
sebenarnya tujuan viral itu adalah untuk memberitahu dunia bahawa anaknya
pandai!. Apa-apa isu yang berkaitan dengan guru dan sekolah memang mudah
menarik perhatian golongan yang suka memberikan komen ini. Jika diselidiki
betul-betul mereka ini kebanyakannya bukan sesiapa, jika kita bertindak untuk
menyaman, saya yakin mereka tidak mampu membayar saman sebab rata-rata mereka
yang suka mengeluarkan komen sebegini jalan hidupnya berliku-liku dan tidak
stabil. Akan tetapi, saya berdoa suatu hari akan ada juga yang akan membawa
golongan ini bersemuka di mahkamah agar mereka tahu langit itu tinggi ke rendah.
Dia tidak tahu tanpa didikan dan asuhan guru yang dicaci dan dimakinya itu, dia
tidak akan tahu membaca, menulis, dan mengira.
Satu lagi kerjaya yang menjadi sasaran
caci maki kaki viral dan tular di Internet ialah polis. Video tentang polis
memang tersebar di Internet. Jika mereka di saman akibat kebiadapan memandu di
jalan raya, polis digambarkan sebagai manusia yang bersalah oleh pengambil
video yang berdosa. Orang yang memberikan komen pula tidak tahu pokok pangkal
cerita sebenar lalu dengan mudahnya mereka menghamburkan kata-kata makian
terhadap polis. Kebencian terhadap polis ini bagaikan wabak penyakit berjangkit
dalam kalangan masyarakat yang kurang matang dalam memberikan komen di media
sosial. Polis biasanya digambarkan sebagai orang yang jahat, pilih kasih, tidak
berperikemanusiaan, rasuah, dan sebagainya wahal yang bersalah ialah mereka.
Sesiapa juga yang melakukan kesalahan memang akan dikenakan tindakan.
Misalannya, jika kita memandu tanpa lesen, apabila kita ditangkap polis, kita
tidak boleh marahkan polis, kita sepatutnya bersyukur kerana polis telah
mengambil tindakan terhadap kita. Jika kita terlibat dalam kemalangan dan
mengakibatkan kematian, masalah akan menjadi panjang dan sukar diselesaikan
sekiranya kita memandu tanpa lesen.
MATANG DAN RASIONAL
Jika kita ingin memberikan komen
tentang perkara yang menjadi viral di Internet, kita haruslah rasional. Jangan sampai
kita tergamak menghina bangsa, agama, negeri, dan bidang pekerjaan yang
berkaitan dengan pelaku tersebut. Jika dia yang bersalah maka hanyalah dia yang
bersalah. Komen kita hendaklah ditujukan kepadanya sahaja. Jangan sesekali
memasang niat untuk mencetuskan kontroversi demi mendapat populariti sehingga
tergamak menternak dosa. Saya percaya kebanyakan pengguna Internet merupakan
orang yang berpendidikan dan tahu menilai baik dan buruk setiap perbuatan yang
dilakukan. Oleh itu, fikirlah semasak-masaknya sebelum kita mengeluarkan
kata-kata cacian dan makian dalam ruangan komen di media sosial. Kita harus
ingat, setiap cacian yang kita tujukan itu sebenarnya akan terkena pada diri
kita sendiri juga suatu masa nanti. Jika hari ini kita menjadi juara kerana
keupayaan kita mencetuskan kontroversi di Internet jangan lupa setiap perkara
yang kita lakukan akan dibalas dan diadili dengan seadil-adilnya oleh Yang Maha
Esa. Gunakan Internet dengan melakukan sesuatu yang menguntungkan kerana setiap
saat yang berlalu sewaktu kita menggunakannya adalah berbayar. Jika niat kita
menggunakan Internet adalah semata-mata untuk melihat perkara tular dan menulis
komen dengan menyumpah seranah, kita sebenarnya merupakan orang yang kerugian.
Cetusan Minda Pendidik Bangsa
Cikgu Zulkarnain Farihin
Sibu, Sarawak