Rencana ini ditulis
oleh :
Johan Jaaffar
Baru-baru ini saya
telah menemui sekumpulan pemimpin muda Republik Singapura. Mereka terdiri
daripada ahli politik, pimpinan NGO, budayawan, penulis dan wartawan daripada
pelbagai bangsa. Kami membincangkan banyak isu, paling menarik tentunya ialah
pengalaman Singapura menangani isu bahasa. Antara tokoh muda itu terdapat
beberapa orang anak Melayu. Mereka ternyata menguasai bahasa Inggeris dengan
baik dan apabila bercakap dalam bahasa Melayu terasa benar kekoknya. Mereka
mengakui bahawa bahasa Melayu, walaupun menjadi salah satu bahasa rasmi
republik itu, amat kurang peranannya sebagai bahasa ilmu dan bahasa perhubungan.
Perjalanan Singapura dalam soal kebahasaan amat berbeza dengan pengalaman
Malaysia, Indonesia, Brunei atau Filipina. Saya mendapat kesan bahawa persepsi
mereka ialah kepentingan bahasa Inggeris tidak ada galang gantinya hari ini.
Mereka boleh hidup dengan hanya menguasai bahasa Inggeris.
Memang terbukti sejak
Singapura berpisah dari Malaysia pada tahun 1965, republik itu menjadi kuasa
ekonomi serantau. Salah satu daripada kunci kejayaannya ialah penguasaan bahasa
Inggeris yang baik. Saya memperingat
mereka tentang buku bekas Perdana Menteri republik itu, Lee Kuan Yew, My
Lifelong Challenge: Singapore’s Bilingual Journey. Memang Lee Kuan Yew
bertanggungjawab menghapuskan sistem sekolah vernakular pada peringkat awal
kemerdekaan negara itu. Beliau membuat keputusan itu ekoran tindakan pelajar
aliran Cina yang militan ketika itu. Walaubagaimanapun Lee Kuan Yew percaya
perlunya pemimpin Singapura menguasai pelbagai bahasa. Beliau sendiri mendalami
bahasa Mandarin dan memperbaiki penguasaan bahasa Melayu. Akhir-akhir ini
beliau mengakui bahawa akibat penekanan pada bahasa Inggeris, bahasa ibunda
menjadi korban. Beliau mencadangkan ‘Lee Kuan Yew Bilingualism Fund’ bagi
menyemarakkan pengajaran dalam bahasa ibunda di sekolah. Beliau sedar bahawa
anak-anak perlu menguasai bahasa ibunda sekurang-kurangnya sehingga usia 12
tahun sebelum memberikan tumpuan kepada bahasa Inggeris.
Rata-rata pemimpin
Singapura hari ini terbentuk dalam sistem satu bahasa. Bahasa vernakular yang
lain semakin diabaikan. Alasan yang diberikan ialah bahasa-bahasa vernakular
tidak penting lagi. Bahasa Cina hanya diberikan perhatian serius apabila Negara
China bangkit sebagai raksasa ekonomi baru.
Saya menghujahkan
bahawa bahasa Melayu dituturkan oleh tidak kurang 400 juta manusia di rantau
ini. Angka itu sahaja sudah menjamin nilai ekonominya. Singapura merupakan
satu-satunya negara yang menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi di
tengah lautan pengguna bahasa Melayu. Berdasarkan perhitungan strategik ekonomi
sahaja, Singapura akan kerugian sekiranya bahasa Melayu diabaikan. Mengetepikan kuasa beli 400 juta manusia
tentulah tidak masuk akal. Bukan itu sahaja, hanya dengan menguasai lingua
franca serantau, akan dapat difahami minda, sikap dan pandangan dunia penduduk
setempat. Penjajah Inggeris satu masa dulu menghantar para pengkaji mempelajari
bahasa dan sastera Melayu bagi memahami minda orang Melayu. Hanya dengan cara
itu mereka memenangi hati dan perasaan orang Melayu.
Kita harus menerima
hakikat bahawa bahasa Melayu akan terus menjadi bahasa utama penduduk di rantau
ini. Tidak ada dasar bahasa, dasar pendidikan atau kuasa politik yang akan
mengubah hal itu. Bahasa Melayu dalam pelbagai variasinya (bahasa Indonesia,
bahasa Brunei, bahasa Melayu Singapura, bahasa Melayu Selatan Thailand, bahasa
Melayu Mindanao, serta bahasa sukuan sekian banyak kelompok etnik dan daerah)
akan terus menjadi bahasa ilmu, komunikasi, budaya dan sastera. Kemajuan
negara-negara di rantau ini tidak akan mengubah hal itu. Seperti juga China,
Korea dan Jepun tidak mengubah dasar bahasa, negara-negara di rantau ini tidak
akan menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa kebangsaan mereka. Kenyataan ini
kadangkala dilupakan oleh banyak pihak.
Kita juga harus
menerima hakikat bahawa pada masa ini bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan
di kesemua negara di Nusantara, kecuali Singapura. Penduduk di rantau ini tidak
akan membuang bahasa ibunda mereka semata-mata untuk maju dan berjaya.
Ini bermakna, bahasa
Inggeris akan terus menjadi bahasa kelompok elitis, kaum pedagang dan bahasa
komunikasi di alam siber. Sifat elitisnya akan melahirkan pula generasi elitis
yang selalunya akan dituduh terpisah dari akar dan teras bangsa mereka. Elit
pemerintah, elit peniaga dan elit ilmuan ini selalunya memperagakan nilai dan
psyche yang berbeza daripada rakyat terbanyak. Tuntutan kelompok elit ini biasanya akan
menjadi lantang kerana mereka mempunyai keupayaan menghujahkan pendirian mereka
secara meluas. Mereka didukung pula oleh media elitis. Tetapi gelombang rakyat
selalunya tidak menyebelahi mereka. Penentangan terhadap dasar Pengajaran dan
Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) merupakan contoh
klasik bagaimana kelompok majoriti yang selama ini kelihatan membisu bangun
‘memberontak’ terhadap dasar yang mereka anggap bertentangan dengan kehendak
terbanyak.
Politik bahasa harus
ditangani dengan waspada. Seperti mana lantangnya pendidik Cina mempertahankan
bahasa Cina atas dasar perlunya pendidikan asas dalam bahasa ibunda begitulah
lantangnya tuntutan massa untuk melihat bahasa kebangsaan dimuliakan. Saya
percaya pemimpin Singapura hari ini menyedari pentingnya memberikan empowerment
pada orang Melayu Singapura. Pada waktu yang sama mereka ingin melihat bahasa
ibunda setiap kaum diberikan tumpuan. Perjalanan dwibahasa Singapura yang
baharu akan mencorakkan sikap mereka terhadap rantau Nusantara.
Kita mempunyai
kelebihan dalam soal ini. Soalnya sama ada kita tahu memanfaatkannya dengan
baik?
SUMBER
Berita Harian
18 September 2012