JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



27 November 2011

ISU KESIHATAN : KEGUNAAN HIDROGEL DALAM FARMASEUTIKAL


Meskipun hidrogel berdepan dengan reputasi buruk di media massa berikutan kejadian-kejadian yang mengancaman nyawa, namun Naveed Ahmad, 27, tetap meletakkan kepercayaan terhadap sebatian kimia yang mampu menyerap dan menampung air dalam jangka masa panjang itu. Pelajar lepasan sarjana muda jurusan farmasi itu yakin bahan yang menjadi tesis doktor falsafahnya itu mempunyai masa hadapan cerah. Kini, beliau sudah berada pada peringkat akhir kajian dan artikel penerbitan sainsnya bakal diterbitkan. "Bahan utama yang digunakan sangat murah iaitu kelapa yang bersifat natural dan diyakini selamat untuk penggunaan manusia," ujarnya ketika ditemui di makmal Fakulti Farmasi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), cawangan Kuala Lumpur. Ujar lelaki dari Pakistan itu, hasil kajiannya membolehkan pesakit diabetes tidak perlu menggunakan kaedah suntikan untuk mendapatkan insulin tetapi boleh diambil secara oral.

Berbeza dengan hidrogel untuk pertanian yang berasaskan polimer sintetik dan telah terbukti merbahaya jika masuk ke dalam sistem badan manusia, kelak hasil kajian Naveed membolehkan ia ditelan tanpa memberi efek buruk pada kesihatan.Penyelidikan Naveed adalah rentetan daripada kajian yang telah dan sedang dijalankan oleh pensyarahnya iaitu Timbalan Dekan (Siswazah, Penyelidikan dan Inovasi) UKM, Dr. Mohd. Cairul Iqbal Mohd. Amin, 39. Hidrogel adalah bahan yang ditemui secara tidak sengaja oleh kumpulan penyelidik diketuai oleh Cairul untuk merubah keadaan fizikal penemuan pertama mereka iaitu bahan salutan tablet. Bahan itu dihasilkan daripada komposisi sejenis bakteria selulosa yang diekstrak daripada nata de coco dan asid akrilik berada dalam keadaan cecair. Menurut Cairul, ia tidak mungkin dapat dikomersialkan.

CIPTAAN PERTAMA

"Cahaya elektron yang dipancarkan terhadap bahan ini (komposit enzim selulosa dan asid akrilik) telah menyebabkan molekulnya bertaut silang dan menghasilkan hidrogel," terangnya. Fizikal asalnya kelihatan seperti sekeping pepejal yang nipis tetapi selepas beberapa kali penyelidikan terhadap komposisi bahan dan jumlah cahaya yang dipancarkan, rupanya kini agak tebal dan keras. Apabila disentuh selepas mengembang dalam rendaman, ia agak sedikit melekit tetapi kenyal dan keras sesuai dengan kajiannya untuk dijadikan sebagai tampalan (patch). Hidrogel yang dihasilkan oleh kumpulan penyelidik UKM itu boleh mengembang sehingga 1,000 peratus dan apabila sampai pada satu tahap ia akan pecah. Ia merupakan ciptaan pertama bahan jenis itu di Malaysia. Ciri-ciri permukaan bahan tersebut mempunyai liang-liang yang boleh dimasukkan ubat. Sesuai digunakan pesakit yang demam kerana boleh memberi kedinginan melalui simpanan air. Pada masa yang sama proses penyerapan ubat boleh berlaku. Tembakan sinaran elektron yang berbeza kuantiti boleh menentukan saiz liang pada permukaan hidrogel. Menurut Cairul, hidrogel berasaskan bakteria selulosa itu boleh mengembang melalui tindak balas dengan dua unsur iaitu pH dan suhu. "Apabila berada dalam suhu badan iaitu 37 darjah Celsius, ia akan mengecut.

Selain daripada suhu itu, ia akan mengembang. "Untuk cecair pula, apabila direndam pada pH tujuh iaitu pH neutral, ia akan berkembang secara maksimum berbanding pada pH cecair lain," terangnya sambil memegang sampel hidrogel. Jadi, ia amat sesuai untuk rawatan kaedah tampalan (patch) seperti koyok manakala bagi perubatan yang lebih moden, ia boleh diimplan dalam badan. Untuk uji kaji ubat insulin menggunakan kaedah oral pula, mereka menggantikan bahan tersebut dengan protein yang dikenali sebagai bovine serum albumin (BSA). Pelbagai eksperimen telah dijalankan dengan menentukan kestabilan ubat dalam hidrogel apabila dipanaskan selain menentukan kesesuaian saiz bulatan untuk dijadikan ubat oral. "Sehingga kini, eksperimen menunjukkan ubat yang terkandung dalam hidrogel adalah stabil dan perubahan suhu tidak memberi kesan kepada bahan tersebut," kata Cairul. Menariknya, salah satu uji kaji yang dijalankan oleh Naveed dengan menyejukkan hidrogel secara paksa melalui kaedah dingin kering telah menukarkan bahan tersebut menjadi seakan-akan gabus.

PASARAN LUAS

Antara penemuan lain mereka ialah ketika hidrogel tersebut berada dalam organ perut manusia. Kajian itu mendedahkan, ia akan membesar pada tahap maksimum tetapi ia sangat lembut seperti lengkong. Bagaimanapun, ia mudah pecah apabila ada pergerakan dan secara semula jadi otot-otot perut akan sentiasa bergerak untuk menolak makanan yang dihadam ke dalam usus. Pasaran hidrogel pada masa hadapan dalam bidang perubatan dan farmaseutikal diyakini amat cerah kerana ia mampu merubah kaedah rawatan yang diamalkan oleh pengamal-pengamal perubatan sekarang. Sehingga kini, tidak ramai pemain industri yang menjadikan hidrogel sebagai produk utama mereka kecuali syarikat pengeluar produk membalut luka, Smiths & Nephews dan terbaru, sebuah syarikat tempatan, Icon Pharma Sdn. Bhd. juga fokus untuk menembusi pasaran tersebut. Syarikat tersebut tidak menyasarkan penjualan secara kecil-kecilan seperti pembalut luka yang terdapat di rak-rak kedai farmasi tetapi ia bakal dijual secara pukal di institusi-institusi perubatan.

Ketua Pegawai Eksekutif Pharma Sdn. Bhd., Mohamad Faizal Abu Bakar, 26, berkata, luka terbakar, luka akibat terlantar terlalu lama atas katil, venous stasis dan semua jenis luka-luka sukar dirawat akibat diabetes bakal mendapat manfaat daripada kajian yang sedang dijalankan. "Sebagai contoh, terutama di institusi-institusi perubatan kerajaan mereka masih lagi mengamalkan kaedah kering dan potong iaitu menukar balutan luka sehingga luka kering," ujarnya. Namun, kaedah tersebut tidak praktikal kerana proses penyembuhan luka menggunakan konsep kelembapan untuk sembuh manakala rawatan luka terbakar pula adalah dengan memotong kulit pada bahagian lain untuk ditampal pada bahagian yang terlibat. Para pengamal perubatan kini mahukan satu rawatan yang efektif tanpa pesakit perlu melalui kesakitan sebanyak dua kali ganda. Hidrogel pula bahan yang mampu menyalurkan kelembapan berterusan supaya luka dapat disembuh tanpa balutan ditukar secara kerap. Ia juga mampu menjadi pemegang sel kulit yang dihasilkan di makmal untuk dilekatkan pada kulit.

Perkara tersebut diakui oleh Perunding Dermatologi dari Hospital Pantai, Dr. Steven Chow bahawa hidrogel memberikan perlindungan yang terbaik pada bahagian luka dan mengekalkan kelembapan. "Ia mengurangkan kadar kekeringan dan pembentukan kuping pada bahagian yang cedera. Ia sekali gus meningkatkan proses penyembuhan," terang Steven. Bahan yang selalu digunakan untuk mengubat luka adalah sintetik polimer dalam bentuk gel pelekat yang mengandungi air atau helaian pembalut. Tegasnya, penggunaan hidrogel tiada efek buruk yang ketara dan selamat digunakan.

SUMBER
HARIAN KOSMO ONLINE

ISU KESIHATAN : BAYAR CUKAI JIKA MAHU GEMUK. BAYARAN IKUT LEBIHAN SETIAP KILOGRAM DARIPADA BERAT IDEAL ANDA

Oleh KUMARA SABAPATTY


Denmark muncul sebagai negara pertama yang mengenakan kutipan cukai lemak terhadap barangan berasaskan lelemak seperti minyak sapi, mentega, minyak masak dan produk susu. Tujuannya murni, memastikan kesihatan rakyat negara itu terjamin. Cukai yang dilaksanakan bermula pada 2 Oktober lepas itu bertujuan menjadikan makanan berlemak tidak ekonomikal kepada 5.6 juta penduduk negara itu setelah 19 peratus dari jumlah penduduknya kini obes. Kadar cukai yang dikenakan ialah 16 kroner (RM8.90) untuk setiap sekilogram lemak tepu dalam setiap produk yang mempunyai kandungan lemak melebihi 2.3 peratus. Secara tidak langsung, cukai ini menyumbang kepada peningkatan harga setiap 250 gram mentega. Pelaksanaan cukai tersebut bagi mengurangkan pengambilan makanan berasaskan lemak di kalangan penduduk negara itu. Idea pengenalan cukai itu juga diikuti oleh negara-negara Eropah yang lain seperti Hungary. Hungary dengan 9.9 juta penduduk, mengenakan cukai lemak 0.37 euro (RM1.58) ke atas makanan siap diproses yang mempunyai kandungan gula, garam serta karbohidrat melebihi sukatan ditetapkan. Ini bertujuan untuk mengurang kadar obesiti di negara itu yang berada pada tahap 18.8 peratus.

CUKAI LEMAK RELEVAN DI MALAYSIA?

Menurut bekas Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Tan Sri Dr. Mohd. Ismail Merican, cukai lemak yang dilaksanakan di Denmark dan Hungary belum tiba masanya untuk dikuatkuasakan di negara ini. Jika kita mengikuti langkah Denmark mengenakan cukai ke atas barangan mengandungi lemak, ia tidak mengubah keadaan sebaliknya akan mencetus kemarahan pengusaha industri makanan tempatan. Mereka (pengusaha) pasti akan meminta kerajaan mengemukakan bukti kukuh produk lemak ialah penyumbang utama masalah obesiti,” katanya ketika ditemui Jurnal baru-baru ini. Katanya, langkah pelaksanaan cukai lemak dianggap tidak relevan, sekurang-kurangnya buat sekarang. Andai kata kerajaan menaikkan cukai dan hasilnya kadar obesiti berkurangan, itu boleh diterima dan bukan semata-mata ingin mengikuti jejak langkah Denmark dan Hungary. Cukai lemak di Denmark memang relevan kerana negara itu maju selangkah ke hadapan dan perlaksanaan undang-undang selain turut dipersetujui oleh rakyat negara itu sendiri.

TERTINGGI DI ASEAN

Ismail berpendapat, implikasi cukai lemak tidak akan berjaya di negara ini dan langkah terbaik yang perlu dibuat ialah peningkatan dari sudut pendidikan serta maklumat lanjut termasuk kempen-kempen berkaitan kesihatan secara efektif. Namun, hakikatnya tanpa pelaksanaan cukai lemak tersebut penduduk negara ini sedang berhadapan dengan majoriti penduduk menghadapi masalah obesiti. Baru-baru ini media melaporkan, Malaysia menduduki tempat pertama di kalangan negara-negara ASEAN dan kedudukan keenam di rantau Asia Pasifik yang berhadapan masalah obesiti penduduk. Fakta itu didedahkan Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin di Parlimen. Jelas Ismail Merican, semasa menjawat jawatan sebagai Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, beliau sering menasihatkan pesakit dan kakitangan hospital kerajaan supaya mengamalkan pemakanan seimbang dan berkualiti tetapi hakikatnya kurang dua peratus kakitangannya mengikut nasihat tersebut. Menurutnya, kita harus makan nasi lemak sehingga hari ini tetapi dalam kuantiti sedikit dengan tambahan sayur-sayuran. Tidak perlu nasi lemak itu ditambah dengan telur goreng, ayam goreng, sotong dan sebagainya.

Katanya lagi, beliau juga gemar berjoging selain sering naik turun tangga sehingga berpeluh. Akan Tetapi, para ramai orang suka menggunakan perkhidmatan lif walaupun menuju ke tingkat pertama. Jelas beliau, obesiti kini menjadi suatu ancaman di peringkat global menyaksikan trend masalah obesiti kian meningkat setiap tahun bukan sahaja melibatkan golongan muda dan tua malah juga kanak-kanak. Sepertiga daripada penduduk negara mengalami masalah berat berlebihan atau obesiti. Kita belum mencapai ke tahap di mana rakyat kita tahu sepenuhnya mengenai masalah obesiti. Rakyat kita tahu akan kebaikan amalan pemakanan sihat dan senaman namun hanya 15 peratus rakyat mengamalkannya manakala 75 peratus lagi tidak mempraktikkannya. Katanya, negara masih kekurangan kemudahan taman rekreasi yang lengkap dengan peralatan senaman dan trek joging. Tambahnya, beberapa taman rekreasi yang mempunyai kemudahan itu tidak sempurna dan selamat untuk digunakan kanak-kanak. Ada ibu bapa memilih untuk mengunjungi pusat senaman atau gim untuk bersenam namun berapa ramai antara kita yang mampu membayar yuran perkhidmatan setiap bulan.

DIBUANG KERJA

Realitinya di negara ini, terdapat ramai lelaki yang mempunyai berat badan melampau. Tidak terkecuali Balaji Muniandy, 44. Dia pernah mencecah 280 kilogram (kg) sehingga menyebabkan tahap kesihatan lelaki berasal dari Farlim, Bandar Baru Air Itam, Georgetown, Pulau Pinang ini dalam keadaan amat teruk. Semuanya disebabkan dia diberhentikan kerja sebagai pengawal keselamatan sebuah syarikat swasta. Akibat tekanan selepas dibuang kerja, Balaji bertindak mengurung diri dalam rumah. “Saya tertekan selepas dibuang kerja dan terus mengurung diri tanpa berbual dengan sesiapa pun,” katanya. Bagaimanapun, fizikal Balaji sedikit berubah selepas menerima rawatan dan kawalan pemakanan yang diselia sepasukan pegawai perubatan Hospital Pulau Pinang. Diet makanan yang hanya berasaskan jus buah-buahan susu rendah lemak serta bijirin berjaya mengurangkan berat badan Balaji sebanyak 80 kilogram dalam tempoh setahun lalu. “Saya berputus asa pada mulanya kerana tidak yakin untuk mengurangkan berat badan, tetapi hasil rawatan serta nasihat doktor, saya berjaya mengurangkan berat badan daripada 280 kg kepada 200 kg sahaja. “Dulu saya tidak boleh berdiri dengan baik selain memerlukan bantuan emak, tetapi kini saya boleh berdiri sendiri dan boleh berjalan dengan bantuan tongkat,” katanya.

SUMBER
HARIAN KOSMO ONLINE



ISU ANTARABANGSA : TAHUN BARU HIJRAH : KEMANAKAH NEGARA ARAB BERHIJRAH?

Oleh Zin MAhmud


Hari ini (27.11.2011) dunia Islam menyambut tahun baru Hijrah sempena perpindahan Rasulullah SAW dari Mekah ke Madinah yang telah merubah peta politik dunia zaman purba. Kemunculan kekuasaan Islam di Madinah di bawah pimpinan Rasulullah SAW mencabar keunggulan empayar Rom Bizantin dan Parsi pada zaman itu. Kedua-dua kuasa besar itu kemudian tumbang apabila pemerintahan Islam mengambil alih kuasa mereka dari Asia Barat hinggalah ke Afrika Utara. Malah memasuki Eropah melalui Andalusia. Cabaran kuasa Islam terhadap Rom Bizantin bermula di Syam, yang kini merupakan wilayah-wilayah Syria, Lebanon, Palestin, Israel dan Jordan. Damsyik ketika itu adalah ibu kota wilayah Syam di bawah pemerintahan Rom Bizantin yang berpusat di Constantinople, kini dikenali sebagai Istanbul. Bukan saja Syam menjadi sebahagian daripada dunia Islam, malah Damsyik dipilih sebagai ibu kota pemerintahan Islam iaitu semasa Umayah bagi menggantikan Madinah. Ibu kota pemerintahan Islam kemudiannya berpindah, dari Damsyik ke Baghdad iaitu semasa Abbasiah. Pada zaman Uthmaniah pula, ibu kota khalifah adalah Istanbul.

Selepas kejatuhan Uthmaniah dan muncul negara-negara bangsa, Kaherah di bawah kepimpinan Gamal Nasser menjadi bukan saja ibu negara Mesir tetapi juga dunia Arab. Walaupun cita-citanya untuk mewujudkan Republik Arab Bersatu yang menyatukan dunia Arab gagal tetapi Kaherah tetap dipandang sebagai ibu kota dunia Arab. Maka awal tahun Masihi 2011, dunia menyaksikan kebangkitan rakyat Mesir yang memperoleh ilham dari Tunisia dengan mereka berhimpun di Dataran Tahrir. Apa yang berlaku di Mesir turut terjadi di banyak negara-negara Arab lain yang mana ia dinamakan oleh pihak Barat sebagai Arab Spring atau Musim Bunga Arab. Gugatan Dataran Tahrir berjaya menjatuhkan rejim lama pewaris Nasser iaitu Hosni Mubarak. Ketika mana Tunisia telah selamat mengadakan pilihan raya umum yang menyaksikan kemenangan Parti Annahdha pimpinan Raschid Gannouchi, di Mesir pula, golongan tentera masih menguasai institusi negara. Maka Jumaat lalu, satu perhimpunan besar-besaran diadakan semula di Dataran Tahrir menuntut pihak tentera melepaskan kuasa mereka supaya Mesir dapat mengamalkan demokrasi dan melaksanakan pilihan raya umum.

PERTEMBUNGAN

Pertembungan pihak tentera dan kumpulan pro-demokrasi ini akan menjadi sengit dan apa yang berlaku pada masa akan datang adalah kritikal bukan saja bagi Mesir, malah dunia Arab dan rantau Timur Tengah. Ketika dunia Islam menyambut Awal Muharam ini, Mesir pula di ambang untuk berhijrah ke sistem demokrasi tetapi mendapat halangan dari pihak tentera. Dalam pada itu, minggu lalu lawatan Perdana Menteri Turki, Reccep Tayyip Erdogan ke Kaherah mendapat sambutan hangat di lapangan terbang. Para pengkagum beliau di kalangan aktivis Mesir menyambutnya dengan menjulang gambar-gambarnya. Ada satu poster bertulis "Turki dan Mesir adalah satu genggaman tangan". Adalah jelas mereka mahu mengikuti model pentadbiran Erdogan yang melalui Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) melaksanakan fahaman apa yang disebut Barat sebagai "Islam sederhana beserta demokrasi sekular". Selepas Kaherah, Erdogan melawat Tripoli, Libya dan Tunis, Tunisia, dua negara yang mana rejim lama ditumbangkan.

Di Rabat, Maghribi, kelmarin pilihan rayanya menyaksikan kemenangan Parti Keadilan dan Pembangunan (PJD) yang juga bersefahaman dengan AKP. Dapat dikesan dari awal bahawa Amerika Syarikat (AS) menyokong kebangkitan rakyat ini. Bukan itu saja, majalah Time terbaru yang sedikit sebanyak mencerminkan sikap dasar luar AS memaparkan gambar Erdogan di kulit muka depan dengan ceritanya memuji beliau. Antara perkara yang dipaparkan ialah kebangkitan Turki sebagai kuasa berpengaruh di rantau itu. Bagi AS, sokongannya terhadap kebangkitan ini adalah mudah difahami. Walaupun ia bimbang bahawa demokrasi akan membawa kepada peningkatan pengaruh golongan politik Islam dan mencabar kedudukan Israel, tetapi menyokong mereka adalah lebih baik daripada alternatifnya. Musuh utama AS dan Israel adalah Iran pimpinan Mahmoud Ahmadinejad dan Al-Qaeda. Maka lebih baik bagi AS menerima Erdogan dan negara-negara Arab demokratik untuk berdepan dengan Iran dan Al-Qaeda.

Hanya Israel perlu mengubah suai kepada realiti baru ini. Semuanya kena berubah, Israel, Palestin, Hamas, Fatah, Hizbullah, Lebanon dan Syria. Erdogan pun sudah memberi amaran pada presiden Syria, Bashar Assad supaya menerima perubahan dunia Arab. Kalau dibandingkan dengan 1,432 tahun lalu, pusat-pusat pengaruh di Timur Tengah tidak banyak berubah, walaupun bangsa dan agama sudah berkembang menjadi pelbagai. Sebelum Hijrah Rasulullah SAW, Madinah hanyalah penempatan kecil. Di dalamnya ada suku kaum Yahudi dan suku kaum Arab. Apabila Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah, suku kaum Arab ini menjadi Ansar sementara orang Mekah yang datang dipanggil Muhajirin. Ansar dan Muhajirin ini menjadi umat Islam awal. Madinah berpengaruh pada zaman Rasulullah SAW dan Khulafah Rasyidin. Tetapi selepas itu kuasa Islam berpindah ke Damsyik. Kini Madinah tidak berpengaruh politik tetapi adalah kota suci untuk ziarah umat Islam. Kuasa politik bagi orang Arab berpecah-pecah: Riyadh, Kaherah, Damsyik, Baghdad dan lain-lain ibu kota Arab.

Namun Kaherah dan Damsyik mempunyai kedudukan tinggi kerana bukan saja penduduknya yang ramai tetapi dari segi budaya politik, mereka adalah penting. Kalau pada zaman nabi dahulu, Constantinople adalah kota Kristian Ortodoks dan Parsi adalah kuasa Majusi, kini Istanbul serta Teheran ialah kuasa-kuasa Islam walaupun berlainan mazhab dan fahaman politik. Kuasa paling penting di Timur Tengah ialah AS walaupun negara itu tidak terletak di situ. Sekutunya, Israel adalah kuasa tersendiri di situ. AS menghadapi tamparan hebat ketika takwim Hijrah masuk ke abad baru iaitu 30 tahun lalu semasa berlakunya Revolusi Iran. Pada masa itu, Teheran menganggap dirinya seperti Madinah yang baru muncul. Sementara AS dianggap sebagai Rom dan Kesatuan Soviet adalah Parsi. Kedua-dua dipandang sebagai kuasa yang akan tumbang. Kini Soviet sudah tiada. Sementara AS dalam keadaan terencat kerana keadaan ekonominya. Washington sering dilihat oleh pihak Barat sebagai pewaris Rom. Tetapi jika diteliti dari segi tamadun, dan bukan agamanya, pewaris Rom ialah Umayah di Damsyik dan Uthmaniah di Istanbul. Kini yang mewarisi Uthmaniah ialah Turki dan Erdogan.

Parsi diwarisi Abasiah yang pusat kotanya di Baghdad. Kini Baghdad diwarisi oleh Teheran. Kebangkitan rakyat Arab dilihat sedang berusaha menjadikan negara-negara mereka mengikut cara Ankara iaitu "Islam sederhana dan demokrasi sekular". Walaupun mereka akan mempunyai ciri-ciri Islam tersendiri, lebih daripada ketika di bawah rejim-rejim autokratik nasionalis sekular sebelum ini, tetapi dari segi hubungan antarabangsa, mereka akan bersekutu dengan AS. Seperti Turki di bawah Erdogan, mereka akan lebih berani dan kritikal terhadap Israel. Tetapi hubungan mereka dengan AS tetap terpelihara. Maka dari Maghribi ke Teluk Parsi, dunia Arab dan Turki bersahabat dengan AS. Demokrasi akan melemahkan ancaman Al-Qaeda. Juga, keadaan ini akan memberi tekanan pada Iran supaya berubah, dengan sokongan akan diberikan kepada golongan Islam pro-demokrasi bukan saja dalam Iran tetapi juga di Syria dan Lebanon, termasuk Hizbullah. Ketika mana kemungkinan dunia Arab berhijrah ke arah demokrasi, AS dan Eropah pula sedang melalui zaman dugaan ekonomi mereka yang boleh dianggap sebagai krisis kapitalisme. Melihat kembali hijrah Rasulullah SAW ke Madinah, apa yang baginda lakukan ialah mewujudkan model baru berpolitik, berbeza dengan apa yang diamalkan oleh Rom dan Parsi

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
27 NOVEMBER 2011