JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



27 Ogos 2011

ISU EKONOMI : JANGAN BIARKAN ESSO MALAYSIA DIJUAL

Oleh Saranan Salleh


Berita yang paling hangat masa kini ialah penjualan kepentingan Exxon International dalam Esso Malaysia kepada syarikat San Miguel, sebuah syarikat Filipina dengan harga yang lebih rendah daripada apa yang ditawarkan oleh Lembaga Tabung Angkatan Tentera. Kita tertanya-tanya kenapa Exxon berbuat demikian sedangkan mereka telah beropeasi di negara ini bertahun-tahun dan telah meraih keuntungan yang lumayan dengan operasi mereka di sini. Jelas, kata orang macam dia tak suka dengan kita, sampai sanggup menerima bidaan yang jauh lebih rendah dengan apa yang kita tawarkan. Kita juga ingin tahu apakah orang kita di peringkat kepimpinan tidak tahu menahu tentang hasrat syarikat ini jauh lebih awal sebelum keputusan mempelawa pembida dilakukan? Dalam perniagaan, banyak perkara yang boleh dirundingkan untuk mengelakkan sesuatu keputusan yang tidak diingini berlaku. Mungkin wajar bagi seseorang berpangkat tinggi berbincang dengan pihak Exxon sebelum mereka membuat keputusan menjual. Mungkin wakil-wakil Dewan Perniagaan Amerika-Malaysia boleh membantu membincangkan hasrat sekiranya mereka ingin menjual kepentingan Esso mereka, menjualnya kepada syarikat kita.

Kalau perjanjian dengan San Miguel sudah ditandatangani, tidak banyak yang boleh kita lakukan yang tidak akan ditakrifkan sebagai campur tangan dalam sistem ekonomi bebas yang kita amalkan. Bagaimana pun mereka masih perlu kebenaran daripada pihak Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industr (MITI), di sinilah letaknya suatu keputusan di pihak kerajaan yang agak rumit. Jika dibenarkan dijual maka kita melepas. Jika dibatalkan pula, apakah implikasinya kepada pelabur asing yang melihat kita mengamalkan sesuatu yang bertentangan dengan amalan urus niaga komersil. Walau apa pun saya rasa pihak MITI perlu mendapatkan jawapan yang jelas daripada syarikat ini tentang mengapa masih menjual kepada syarikat Filipina sedangkan kita menawarkan harga yang lebih tinggi. Kalau kita ingin membeli balik daripada pihak San Miguel, saya rasa satu kemungkinannya pertama, mereka tidak mahu jual balik dan kedua, mereka mungkin akan meletakkan harga yang bukan-bukan.

Kepentingan ini adalah terdiri daripada sesuatu industri yang penting dan sesiapa yang memilikinya tidak mudah akan melepaskannya. Exxon menjualnya kerana ingin menumpukan usaha mereka dalam eksplorasi minyak atau aktiviti huluan. Kadang-kadang kita perlu memberitahu pelabur kita ini siapa yang duduk dikerusi pemandu. Kalau keputusan yang dibuat tidak boleh diterima sekalipun, kita ada sebab jelas yang boleh kita terangkan kepada dunia. Misalnya, sejak mereka beroperasi di negara ini berapa banyak keuntungan yang telah dikaut dan pelbagai faedah yang telah mereka nikmati. Kita wajar melindungi apa yang kita ada, dan walau pun kadang kala keputusan kita tidak popular, itu tidak mengapa. Kerajaan mesti tegas dan tidak boleh dipermainkan sesuka hati oleh mereka yang menggunakan sistem ekonomi bebas untuk mengambil kesempatan.

DATO’ SALLEH MAJID ialah bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia)

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
27 OGOS 2011

SAMBUTAN ISU KENEGARAAN : MERDEKA RAYA MERUPAKAN MASA TERBAIK UNTUK KITA BERSATU

Oleh Razak Ghows
bhnews@bharian.com.my


Minggu depan rakyat Malaysia menyambut Merdeka Raya, iaitu ulang tahun kemerdekaan ke-54 dan Aidilfitri. Memandangkan sambutan hari kebangsaan ditunda ke 16 September sempena dengan ulang tahun Hari Malaysia, rata-rata kita lihat lebih banyak tumpuan diberikan kepada hari raya. Namun sambutan kemerdekaan yang menjelang tiba itu juga memeriahkan lagi suasana hari raya kali ini. Hari raya adalah hari di mana ahli keluarga dari jauh dan dekat berkumpul dan berjumpa setahun sekali bagi mengimbau kembali zaman silam serta bermaaf-maafan. Semuanya ini boleh dilakukan kerana negara ini aman, stabil dan bebas daripada sebarang ancaman dan huru-hara. Ia hasil daripada kemerdekaan negara yang kini mencapai usia 54 tahun. Bukannya senang untuk sampai ke usia itu. Usahlah pada usia ini kita menaburkan pelbagai fitnah dengan hasrat menjatuhkan pemimpin atau orang lain. Jangan direka cerita sehingga boleh mencetuskan masalah, sedangkan tidak wujud pun masalah yang disebut itu. Justeru, adalah wajar kita pelihara kestabilan itu seperti kita menjaga kesihatan tubuh kita sendiri.

Elakkan daripada diancam pelbagai penyakit yang boleh mengganggu kehidupan kita. Lihatlah huru-hara yang berlaku di Tunisia, Mesir dan Libya atau negara jiran kita Thailand. Usahlah pada usia ini kita menaburkan pelbagai fitnah dengan hasrat menjatuhkan pemimpin atau orang lain. Jangan direka cerita sehingga boleh mencetuskan masalah, sedangkan tidak wujud pun masalah yang disebut itu. Beberapa tetamu pada satu majlis berbuka puasa baru-baru ini mengimbas kembali zaman muda mereka pada 1960-an dan 1970-an lalu. Ketika itu, hubungan antara orang Melayu, Cina dan India begitu akrab sekali. Mereka tinggal di sebuah kampung yang wujud persefahaman dan kerjasama erat. Hubungan antara kaum begitu ikhlas tanpa ada prejudis. Anak orang Melayu, Cina dan India boleh bebas keluar masuk rumah rakan mereka.  Malah menurut penganalisis politik, Dr Chandra Muzaffar, pada satu setengah dekad pertama selepas merdeka, agama tidak dilihat sebagai halangan kepada perpaduan nasional. Pada peringkat awal selepas kemerdekaan, masyarakat bukan Islam tidak menunjukkan sebarang bantahan terhadap status dan amalan agama Islam.

Identiti Islam itu tidak menyebabkan hak mereka ditekan. Perlembagaan negara melindungi hak mereka untuk bebas menganuti apa juga kepercayaan agama, menguruskan sendiri hal-ehwal amalan keagamaan, menubuhkan dan mengekalkan institusi keagamaan bagi tujuan beribadat dan kebajikan. Walaupun lebih 60 peratus penduduk di negara ini beragama Islam, namun kewujudan bihara Buddha, kuil dan gereja diterima sebagai sebahagian daripada landskap di negara ini. Orang Islam tiada masalah dengan itu. Pada hari raya, jiran Cina dan India berkunjung ke rumah orang Melayu. Hidangan ketupat, lemang serta rendang bukan lagi makanan asing bagi mereka. Ia sudah menjadi juadah rakyat Malaysia. Pada Tahun Baru Cina, orang Melayu dan India turut mengunjungi rumah rakan karib mereka. Tuan rumah tahu apa yang boleh dimakan Melayu dan apa yang menjadi larangan. Sebelum balik, anak muda dihadiahkan ‘ang pau’ oleh ibu bapa kawan mereka. Buah limau dan kacang menjadi ikon juadah Tahun Baru Cina. Sambutan sama diraikan ketika Deepavali dan muruku menjadi satu lagi simbol makanan rakyat Malaysia.

Kini muruku turut dihidangkan pada majlis rumah terbuka hari raya. Begitulah keadaan rakyat Malaysia yang seronok hidup secara bersama, walaupun berlainan agama dan adat. Namun menurut Dr Chandra, suasana tenang itu mula menampakkan sedikit ketegangan mulai 1980-an. Penambahan penduduk Melayu di kawasan bandar sejak 1970-an menyebabkan orang Islam berkongsi ruang fizikal dan budaya dengan penganut agama lain.  Hasil interaksi itu, maka berlakulah perkahwinan dan perceraian antara agama. Kemudian timbul pula masalah pertukaran agama, hak penjagaan kanak-kanak dan status kepercayaan agama orang yang sudah meninggal.  Keadaan sedemikian menimbulkan keluh kesah antara kaum, menyebabkan pihak terbabit cuba melindungi hak agama masing-masing. Sebarang tindakan yang melampaui garisan sempadan yang ditentukan sendiri oleh mereka boleh menimbulkan ketegangan. Antara contohnya adalah cubaan bukan Islam untuk menggunakan istilah ‘Allah’.Selain itu, tambah Dr Chandra, tindakan golongan tertentu cuba menyebarkan ajaran Kristian juga semakin diperhebatkan.

Sasaran mereka adalah masyarakat bukan Islam di Semenanjung serta Sabah dan Sarawak. Tetapi ada cubaan mendekati masyarakat Melayu, walaupun peruntukan Perlembagaan melarang mereka menyebarkan sebarang doktrin agama di kalangan orang Islam. Secara umumnya, kebanyakan rakyat lebih suka nilai universal yang dikongsi bersama oleh penganut pelbagai agama. Prinsip ini penting dalam masyarakat pelbagai agama kerana ia menekankan nilai bersama kemanusiaan. Andainya agama mampu menjelmakan nilai kemanusiaan ini, pastinya ia dapat memperkukuhkan perpaduan di bumi ini.  Alangkah seronoknya sekiranya kita dapat mengembalikan semula keakraban antara kaum seperti yang pernah kita lalui dulu. Gunakan sambutan Merdeka Raya ini bagi merapatkan semula perhubungan antara kaum.

Kekuatan perpaduan kaum kunci keamanan negara mesti dipertahan

SUMBER
BERITA HARIAN
27 OGOS 2011

ISU UMUM : FITNAH BERI KESAN NEGATIF DAN MENGONGKONG JIWA MERDEKA

Oleh Sapora Sipon


Dalam  negara menyambut ulang tahun kemerdekaan yang ke-54, satu bentuk amalan yang semakin kuat dijajah adalah penyakit suka memfitnah. Budaya memfitnah termasuk di alam maya seperti blog semakin menjadi tidak terkawal dan jika dibiarkan berterusan, banyak kemudaratan yang merosakkan masyarakat akan berlaku.  Menurut Kamus Besar Bahasa Melayu (2002), fitnah dapat diertikan sebagai tuduhan jahat yang diada-adakan atau yang dibuat. Ia juga dapat diertikan sebagai umpatan, gunjing ataupun celaan dan pesona. Manakala memfitnah diertikan sebagai memburuk-burukkan orang lain di belakang. Budaya fitnah walaupun berlaku di mana-mana, tetapi lebih signifikan dalam budaya politik. Ini tidak menghairankan kerana senario fitnah memfitnah bukan saja berlaku di negara ini. Musuh-musuh bekas Presiden hebat Amerika Syarikat, Abraham Lincoln menyebarkan berita liar mengenai karakter dan juga kehidupan peribadinya. Apa yang paling membimbangkan ialah budaya fitnah memfitnah dalam politik negara berada dalam keadaan yang sangat membimbangkan sehingga menzahirkan rasa muak rakyat jelata.

Akibat fitnah bukan calang-calang bahayanya. Ia membawa banyak kemudaratan yang merosakkan masyarakat. Selalunya, fitnah dirancang kerana wujud sifat hasad dan dengki, atau sifat kemarahan yang membuak-buak kerana tujuan tertentu. Fitnah berlaku akibat pelbagai faktor. Di dalam politik, antara punca berlaku fitnah ialah kerana perbezaan fahaman sehingga pemimpin difitnah dengan perkara yang tidak sepatutnya. Selain itu pemimpin difitnah untuk pembunuhan karakter. Pembunuhan karakter adalah usaha untuk mencemar nama baik atau reputasi seseorang. Budaya fitnah untuk merosakkan nama baik seseorang dilakukan melalui pernyataan yang tidak benar, melebih-lebihkan atau manipulasi fakta dengan bertujuan untuk memberikan satu persepsi atau citra yang tidak benar tentang orang yang difitnah. Pembunuhan karakter mengakibatkan reputasi mangsa menjadi rusuk di mata awam. Menabur fitnah juga adalah satu perang psikologi ke atas lawan. Serangan ke atas karakter atau pemikiran secara berterusan, tersusun dan terancang dengan baik yang dilakukan boleh saja membinasakan masa hadapan mangsa.

Budaya fitnah bertambah liar apabila tempoh pilihan raya semakin dekat. Akibat fitnah bukan calang-calang bahayanya. Ia membawa banyak kemudaratan yang merosakkan masyarakat. Selalunya, fitnah dirancang kerana wujud sifat hasad dan dengki, atau sifat kemarahan yang membuak-buak kerana tujuan tertentu. Kesan yang lebih buruk akan membawa kepada sikap tidak percaya dan kepercayaan yang tidak benar mengenai sesuatu isu atau individu. Kesan fitnah terhadap masyarakat boleh meruntuhkan institusi sosial. Dalam konteks bangsa, sentimen perkauman boleh timbul dan menyebabkan huru-hara serta kadangkala boleh berlaku peperangan. Keadaan ini boleh membantutkan sebarang usaha positif ke arah perdamaian. Sentimen ragu-meragui antara satu sama lain juga boleh timbul walaupun setelah berlaku perdamaian. Fitnah membawa kesan negatif sehingga boleh menumpahkan darah. Tentunya amat bermakna sekali jika setiap individu dapat memerdekakan diri daripada sikap suka memfitnah. Ini kerana amalan fitnah membawa kehancuran dan malapetaka kepada keharmonian negara. Dalam konteks negara Malaysia yang aman makmur, pelakuan fitnah tidak boleh dijadikan satu amalan atas nama perpaduan, kebenaran dan keadilan. Budaya fitnah memfitnah benar-benar mengongkong jiwa merdeka.

Penulis adalah pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia

SUMBER
BERITA HARIAN
27 OGOS 2011

ISU KENEGARAAN : 54 TAHUN MERDEKA SEPATUTNYA SUDAH MEMATANGKAN KITA

Oleh Jamhariah Jaafar
jamhariah@bharian.com.my


Malaysia  meraikan ulang tahun kemerdekaan ke-54 dalam dilema politik yang tidak kunjung padam sejak Pilihan Raya Umum 2008. Hampir setiap hari ada saja terjahan dan cerita baru – baik dari parti pemerintah, mahupun pembangkang. Ketika kerajaan sibuk mengukuhkan prestasi negara, memperbaiki kelemahan dan kekurangan diri selepas menerima tamparan hebat selepas PRU terbabit, parti pembangkang bekerja keras memperlekeh segala usaha itu, mencungkil kelemahan hatta sekecil hama, mencipta pelbagai cerita untuk memburukkan imej Barisan Nasional (BN) di mata rakyat dan di gelanggang antarabangsa. Percaturan parti politik hari ini bagai perlumbaan dengan undi rakyat pada PRU-13 menjadi rebutan dan pertaruhannya. Suasana tidak sihat yang berlarutan lebih tiga tahun ini membuatkan rakyat serba salah, tidak keruan, sentiasa diasak pelbagai cerita dan maklumat negatif yang jika tidak dikekang dengan bijak boleh mencetus dilema perkauman paling serius sejak tragedi 13 Mei, 1969. Siapa patut dipersalahkan? Malaysia memasuki usia 54 tahun pada 31 Ogos nanti, sewajarnya pada umur begini ia sudah memiliki pemerintah, pembangkang dan rakyat yang matang dalam menangani pelbagai isu politik tempatan.

Malaysia adalah negara unik. Di kala kebanyakan negara mempunyai majoriti rakyat sebangsa dan warna yang sama, negara ini dihuni penduduk pelbagai kaum, bangsa dan agama hasil peninggalan penjajah. Perpaduan kaum yang pada peringkat awal kelihatan seperti mustahil untuk dicapai, tapi BN yang memerintah sejak merdeka pada 1957 melaksanakan tugas dengan baik dalam menjaga hubungan antara kaum. Tragedi 13 Mei, 1969 memberi pengajaran amat pahit kepada rakyat. Sebagai pribumi, bangsa Melayu sanggup mengetepikan kepentingan diri untuk berkongsi bumi ini dengan bangsa lain terutama Cina dan India. Tidak ada guna mengungkit sejarah lama kerana Tanah Melayu memang ditakdirkan untuk dikongsi pelbagai bangsa lain.  Ketika kegagalan Malayan Union mengembalikan kewibawaan pemerintahan beraja di negara ini, perjalanan untuk mencapai kemerdekaan diatur sebegitu rupa menyaksikan tiga pejuang bangsa Malaysia – Tunku Abdul Rahman, Tun Tan Cheng Lock dan Tun VT Sambanthan – menjadi tonggak perunding untuk memerdekakan diri daripada British. Hak Melayu sebagai bangsa pribumi dilindungi dengan kemas, tapi pada masa sama hak bangsa lain tidak diabaikan dan semua ini dinyatakan secara jelas dalam dokumen Pemasyhuran Merdeka: “Dan bahawasanya kerana suatu perlembagaan bagi kerajaan Persekutuan Tanah Melayu telah ditentukan menjadi suatu kanun yang muktamad baginya.

“Dan bahawasanya kerana Perlembagaan Persekutuan yang tersebut itu, maka, ada disediakan syarat untuk menjaga keselamatan hak-hak dan keutamaan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja serta hak-hak asasi dan kebebasan sekalian rakyat dan untuk memajukan Persekutuan Tanah Melayu dengan aman dan damai serta teratur sebagai kerajaan yang mempunyai Raja yang Berperlembagaan yang berdasarkan demokrasi cara Parlimen.” Perkataan paling penting ialah Malaysia perlu ditadbir Kerajaan yang mendukung Raja Berperlembagaan dan berdasarkan demokrasi cara Parlimen, Malaysia melalui 12 pilihan raya umum dan ini bukti proses demokrasi negara ini berjalan begitu baik. Malah PRU terakhir turut menyaksikan kejutan luar biasa bukan saja parti pemerintah bahkan pembangkang.  Dalam usia 54 tahun ini Malaysia mengalami sejarah manis dan pahit. Kita melalui peralihan era yang begitu dinamik – dari negara Dunia Ketiga kepada negara perindustrian yang menetapkan 2020 sebagai sasaran menjadi negara maju. Proses pembangunan luar biasa ini meletak Malaysia setaraf negara maju lain, bahkan menjadi contoh kepada banyak negara. Bagaimanapun, tidak ada perkara yang sempurna, begitu juga pemerintahan BN yang turut mengalami pelbagai isu. Tempoh 10 tahun pertama pada alaf baru ini dan selepas PRU Ke-12 mencatat pelbagai sejarah termasuk pertukaran tiga Perdana Menteri.

Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan ke-54!

SUMBER
BERITA HARIAN
27 OGOS 2011