Ketika menjadi Penolong Kanan Pentadbiran yang banyak menguruskan hal ehwal berkaitan dengan akdemik, perkara yang amat merungsingkan para guru ialah prestasi pelajar dalam subjek Matematik. Keadaan ini semakin buruk apabila Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) mula diperkenalkan. Pencapaian pelajar dalam ujian topikal, peperiksaan peringkat sekolah dan peperiksaan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia, memang mendukacitakan. Bayangkan, pelajar aliran sain tulen pun hanya mencapai markah kurang daripada 30 peratus wahal subjek lain mereka mendapat markah melebihi 60 peratus. Apabila keputusan SPM diumumkan, beza pencapaian pelajar dalam SPM sebenar dengan peperiksaan percubaan SPM tidak terlalu jauh. Pelajar yang memperoleh Gred F atau Gagal adalah banyak. Guru-guru yang mengajar di sekolah pelajar terpilih seperti Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan sekolah-sekolah di bandar mungkin tidak berhadapan dengan masalah ini. Akan tetapi, kami yang mengajar sekolah di luar bandar dan pedalaman dapat melihat masalah ini dengan nyata.
Adakah guru subjek Matematik tidak pandai mengajar?
Pada pandangan saya, prestasi pelajar yang lemah dalam subjek Matematik tidak boleh disandarkan kepada guru semata-mata. Saya melihat guru (di sekolah saya) memang berusaha mengajar pelajar menggunakan pelbagai kaedah dan strategi. Mereka mengadakan pelbagai program seperti ceramah teknik menjawab daripada pakar atau guru cemerlang Metematik. Mereka juga mengadakan Kelas Intervensi Matematik. Walau bagaimanapun, usaha berganda tanpa mengenal lelah dan jemu ini masih tidak mencapai sasaran untuk meningkatkan jumlah pelajar lulus dalam subjek Matematik. Pencapaian mereka secara puratanya tidak berubah hingga mencapai tahap kepujian dan cemerlang. Perkara yang diajar pada hari ini, apabila diulang lagi keesokan hari, hampir 90 peratus pelajar gagal menjawab dengan betul. Mereka lupa semuanya.
Prestasi pelajar dalam subjek Matematik ini semakin buruk selepas mereka menjalani Pengajaran dan Pembelajaran dari Rumah (PdPR) akibat bahana COVID-19. Pelajar-pelajar di kawasan pedalaman dan luar bandar berhadapan dengan masalah peranti dan liputan talian yang lemah untuk mengikuti PdPR dengan lancar dan berkesan. Yang mempunyai peranti dan liputan talian yang baik pula tidak mempunyai pembiayaan yang mencukupi untuk membeli kouta Internet. Apabila keadaan ini berlaku, memang ramai pelajar yang tidak dapat mengikuti pengajaran dan pembelajar secara penuh. Setelah keadaan pulih pada awal tahun 2022, mereka terus masuk ke Tingkatan seterusnya. Bayangkan, semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berlangsung mereka berada pada Tingkatan 3, selepas sesi bersemuka dibolehkan mereka terus masuk Tingkatan 4 wahal salibus di Tingkatan 3 sebenarnya mereka belum kuasai. Apabila berada di Tingkatan 4 pula, mereka perlu memilih aliran sains tulen, aliran sains sosial, atau aliran MPV. Walau bagaimanapun, subjek Matematik merupakan subjek Teras yang harus dipelajari oleh semua pelajar.
Sedih Mendengar Keluhan Pelajar
Saya selalu berbual-bual dengan pelajar berkaitan dengan pencapaian mereka dalam subjek Matematik yang tidak memuaskan. Mereka akui kelemahan dan memberitahu bahawa mereka sudah melakukan yang terbaik tetapi subjek itu benar-benar susah untuk dikuasai. Saya cuba membandingkan Matematik zaman saya sekolah dahulu dengan Matematik KSSM (Soalan Matematik Tingkatan 4 dan Tingkatan 5), memang amat ketara cara penyoalan dan teknik menjawab. Matematik KSSM lebih berfokus kepada kehidupan, soalannya pun panjang-panjang kerana dimasukkan dengan elemen Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT). Saya memang kasihan dengan pelajar yang menduduki SPM sesi 2020/2021, sesi 2021/2022, dan sesi 2022/2023. Kumpulan ini merupakan kumpulan pelajar yang betul-betul terkesan semasa PKP berlangsung dahulu terutamanya pelajar di sekolah-sekolah luar bandar dan pedalaman.
Pelajar sentiasa diingatkan tentang keperluan subjek Matematik untuk melanjutkan pelajaran dan memohon pekerjaan. Mereka memang sedia maklum. Walau bagaimanapun, semangat mereka selalu hilang apabila berhadapan dengan soalan-soalan Matematik semasa peperiksaan. Oleh itu, saya menyeru agar kita sama-sama melihat permasalahan ini dengan lebih terperinci kerana masa depan pelajar yang sedia ada pada hari ini wajar kita perjuangkan. Didikan ibu bapa sejak kecil amatlah dituntut dalam menyemai minat anak terhadap Matematik. Ya, ramai ibu bapa bukanlah guru. Akan tetapi, zaman ini merupakan zaman globalisasi, jutaan video pembelajaran Matematik terdapat di media sosial. Jika minat terhadap Matematik sudah tertanam kukuh, saya yakin masalah ini dapat diatasi sedikit demi sedikit. Sesungguhnya, prestasi pelajar yang lemah dalam Matematik amatlah merugikan negara pada masa hadapan.
Pelajar Perlu Berusaha dan Bersikap Positif
Saya dahulu memang lemah dalam Matematik. Akan tetapi, setelah menyedari kelemahan itu saya luangkan masa belajar Matematik dengan lebih banyak berbanding subjek lain. Yang mana boleh dihafal, saya hafal. Saya juga analisis soalan peperiksaan SPM dengan melihat soalan mana yang selalu keluar, saya akan fokus kepada bahagian itu. Ketika zaman saya sekolah dahulu, Internet, Modul, Media Sosial, dan Youtube memang tiada. Guru-guru pun tidak mendedahkan kami dengan analisis seperti guru-guru sekarang. Tahap kerajinan guru dahulu dan guru sekarang tiada beza dalam membantu pelajar. Saya bulan menyebelahi guru tetapi saya yakin jika pelajar bersikap positif dan fokus, mereka boleh memperoleh sekurang-kurangnya tahap kepujian dalam subjek Matematik. Apabila bercakap dengan pelajar pun saya selalu menekankan, usaha sendiri harus melebihi 100 peratus jika mahu berjaya menguasai subjek Matematik.
Pelajar zaman sekarang amat beruntung, mereka boleh belajar Matematik menggunakan video di Youtube dan TikTok. Ramai guru yang berpengalaman dan berkemahiran membuat video mengajar dengan amat baik. Penyampaian mereka mudah difahami. Jika pelajar luangkan 1 jam sehari belajar menggunakan kemudahan ini, saya yakin dalam tempoh sebulan tahap pengetahuan berkaitan dengan subjek Matematik akan bertambah. Yang utama, jangan kalah dengan godaan Permainan Komputer, berbual-bual menggunakan WhatsApp, ataupun membaca gosip artis curang dan bercerai di Facebook. Perkara-perkara ini sentiasa membuat 90 daripada pelajar hilang fokus. Saya selalu bertanya secara suka-suka tentang isu artis, pelajar boleh jawab dan terangkan A hingga Z dengan betul. Namun begitu, jika diberikan soalan Matematik atau subjek lain, dia termenung merenung siling, meniarap atas meja, akhirnya mengantuk. Jika sikap mereka berubah, saya yakin bukan subjek Matematik sahaja yang cemerlang, mereka akan memperoleh A+ dalam semua subjek.
Nota
Tulisan ini merupakan pandangan peribadi saya tentang isu ini. Jika ada kesilapan atau kekurangan saya mohon maaf. Jika ada kemasalatan, ambilah untuk penambahbaikan demi masa depan pelajar yang tercinta.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan