JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



29 Mei 2011

HASIL KARYAKU: KAULAH HARAPAN

Jika benar kau yang terbaik
buktikanlah padaku
kau mampu gapai mimpi-mimpimu
yang bergantungan di angkasa
kau genggam angan-anganmu
hingga jadi mutiara yang bercahaya

anda sungguh kau yang terindah
tunjukkanlah padaku
kau tidak lukakan hati bonda
tidak guris hati ayahanda
dengan peluru kegagalan
yang menyakitkan jiwa sanubari mereka

kau yakin pada dirimu
pamerkanlah pada cikgu
sentiasa cemerlang dalam pelajaran
hebat masyhur dalam sukan
dikagumi rakan seluruh tingkatan
jadi idola ketua pasukan
yang digeruni dan disanjungi

sungguh kau memang yang terbaik
lawanlah nafsu gilamu
dengan keimanan yang kukuh kental
lenyapkan hasutan pemusnah
dengan kecekalan
jangan sesekali
kau tersungkur
sebelum kaki jejak menara
kerana kau harapan kami semua
hanya kau saja

NUKILAN 
Zulkarnain Farihin 
29 Mei 2011
5.55 petang

MOTIVASI BERSAMA CIKGU ZUL : JANGAN MUDAH DIPENGARUHI


Assalamualaikum dan salam sejahtera,


Para pelajar tentunya sedang enak menikmati hari-hari cuti pertengahan penggal Tahun 2011 yang bermula pada hari Jumaat lepas. Bagi adik-adik pelajar yang berbangsa Dayak di Sarawak sudah tentu tidak sabar-sabar lagi untuk merayakan Perayaan Hari Gawai Dayak. Begitu juga dengan suku kaum Kadazan Dusun di negeri Sabah yang bakal meraikan Pesta Tadau Keamatan. Itulah warna-warnai masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum. Bagi para guru pula, dalam waktu cuti sebegini memang sibuk dengan urusan menanda dan menyemak kertas jawapan pelajar terutamanya guru-guru Bahasa Malaysia STPM seperti Cikgu Zul ini. Orang lain sibuk bercuti, kita pula terpaksa bersengkang mata menyemak kertas di rumah. Kadang-kadang, terkilan juga dengan kata-kata jiran dan rakan yang bukan guru yang selalu berkata kerja guru ini senang sebab banyak cuti. Mereka sebenarnya tidak memahami! Sepanjang 15 tahun menjadi guru, Cikgu Zul tidak pernah menikmati cuti yang sebenar-benarnya kerana dihambat oleh kerja yang bertimbun pada setiap masa.

Anak-anak didik tersayang,

Pada kesempatan ini Cikgu Zul hendak mengulas satu topik iaitu "Jangan Mudah Dipengaruhi". Pada usia remaja, kita mudah sangat percaya kepada rakan sebaya sehingga ada di kalangan kita yang rela menjadi hamba  kepada rakan kita. Setiap perbuatan, pertuturan, perancangan, dan cadangannya kita ikut dengan penuh taatsetia tanpa mempersoalkan baik buruk tindakan yang kita lakukan itu. Lantaran terlalu percayakan kawan kita sanggup terjun ke dalam lautan dalam walaupun tidak tahu berenang demi menghargai persahabatan kita dengannya. Akhirnya, kerana terpengaruh kita sendiri jugalah yang terpaksa menanggung akibatnya. Kawan ajak ponteng kita pun ponteng. Kawan ajak bising, kita pun buat bising. Kawan ajak lepak dengan rela hati kita jadilah kaki lepak. Kawan jadi kutu rayau, kita pun turut sama jadi kutu rayau. Kita seolah-olah macam sudah terkena minya pengasih sehingga menganggap kawan sebagai raja yang mesti diturut katanya pada setiap masa.

Orang yang mudah dipengaruhi sebegini, lama-kelamaan tidak dapat berdikari. Mereka akan menjadi insan yang lemah dan mudah diperdaya. Mereka tidak mampu berfikir dengan kreatif dan inovatif dalam menyelesaikan sesuatu masalah. Hidup mereka akan ditentukan oleh orang lain. Sedihkan jadi orang macam ini? Walaupun berpendidikan tinggi, orang seperti ini sukar untuk berubah kerana dia mudah goyah dengan rayuan dan hasutan disekelilingnya. Sepatah kata orang itulah yang akan diikutinya sehingga nak beli baju pun kena tanya orang lain apakah warna yang sesuai dengan dirinya? Tabiat sedih ini biasanya bermula di alam persekolahan kerana pada waktu itulah kita berjumpa dengan banyak orang yang pelbagai fill dan ragam. Jika tersalah pilih kawan kita akan menjadi mangsa untuk dipersenda dan diperguna secara halus oleh orang lain. Biar kita lihat, budaya buli dan samseng di sekolah yang melibatkan sekumpulan pelajar. Perancangnya hanya seorang tetapi konco-konconya lebih daripada itu. Mereka inilah yang Cikgu Zul kata sebagai orang yang tiada pendirian dan senang dipengaruhi oleh orang lain.

Anak-anak didik yang dikasihi,

Jika sewaktu muda kita menjadi begitu, apabila memasuki alam pekerjaan dan berumahtangga kita pasti juga akan jadi sebegitu kerana sikap tidak baik ini sudah mendarahdaging dalam diri kita. Guru mengajar dan mendidik kita dengan susah payah supaya kita menjadi insan yang berpendirian, yakin diri, berilmu dan bersahsiah mulia. Bayangkan kalau ibu yang melahirkan kita dan ayah yang bersusah payah menyara keluarga kita biarkan tersadai di rumah orang tua kerana kita terpengaruh dengan kata-kata pasangan kita yang tidak mahu menjaga mereka. Bayangkan sebuah keluarga yang mempunyai harta pusaka akhirnya hidup merempat dan melarat kerana termakan dengan hasutan syaitan di sekeliling mereka. Bayangkan adik-beradik kandung bermusuhan sesama sendiri lantaran mudah dilaga-lagakan orang lain. Semua ini berpunca daripada kelemahan diri kita sendiri yang membiarkan minda kita dikuasai oleh orang lain semasa remaja.

Harapan Cikgu Zul, jadilah remaja yang berjiwa kental yang tidak lemah minda dan rapuh jiwa. Jangan biarkan orang lain menakluki diri kita dengan nilai-nilai negatif yang boleh memunahranahkan rasa hormat orang lain terhadap diri kita. Sekali kita membiarkan minda kita dijajah, selama-lamanya kita akan dijajah sehingga kita rebah dan lemah walaupun  nadi masih berdenyut kencang. Berusahalah untuk menjadi yang terbaik dan memberikan yang terbaik kepada diri, keluarga, bangsa, dan negara sementara kita masih berpeluang menghirup udara segar di bumi ini. Jangan jadikan diri kita seperti bola yang ditendang sesuka hati sehingga kempis, renyuk, bocor dan berlubang yang akhirnya menjadi sampah dan tidak diperdulikan. Semasa masih remaja dan dibangku sekolah, gunakan masa yang ada untuk membina personaliti diri yang unggul dan bertaraf dunia. Mintalah bantuan guru kerana gurulah pendidik anda yang terbaik!

Ikhlas daripada :
Cikgu Zulkarnain Farihin 
SMK Sacred Heart, Sibu.

ISU ALAM SEKITAR : ALAM MENGAMUK


Dalam tempoh bulan Mei 2011 ini, Amerika Syarikat, teruk diganyang alam apabila satu demi kejadian ribut yang membawa bersama puting beliung, meragut lebih 500 rakyatnya, setakat ini. Sejak April lalu, puting beliung yang melanda selatan negara itu termasuk Alabama, Tennessee, Mississippi, Georgia, Arkansas, Virginia, Kentucky dan Louisiana, mengorbankan kira-kira 500 penduduk dengan kerugian dianggarkan bernilai RM18 bilion. Puting beliung merujuk angin kencang ribut petir yang berputar secara ganas dari udara dan mencecah daratan. Ia terbentuk apabila angin panas, lembap bertembung dengan udara sejuk dan kering. Namun, amukan puting beliung terbaru di Joplin, Missouri, sudah pun menyebabkan 125 maut dan setakat ini jumlah kerugian mencecah RM9 bilion. Malah, bencana kali ini adalah paling bahaya pernah direkodkan sejak tahun 1950-an dan terburuk sejak 1974.

Ia sekadar satu lagi musim penuh derita yang dilalui penduduk Amerika ketika kerajaannya turut terbabit dalam pelbagai operasi ketenteraan di Libya, Pakistan dan Afghanistan atas nama memerangi keganasan. Malah, puting beliung di Joplin dilaporkan adalah fenomena pemusnah yang jarang berlaku dikenali sebagai ‘kepelbagaian putaran,’ mengandungi dua atau lebih taufan dengan bukaan angin lebih luas. Kebanyakan bahagian selatan Missouri yang dihuni 50,000 penduduk rosak teruk dengan gereja, sekolah, kawasan perniagaan dan rumah diranapkan angin dengan kelajuan sehingga 316 kilometer sejam! Puting beliung itu turut mewujudkan laluan sepanjang 9.6 kilometer panjang dan 0.8 hingga lebar kira-kira 1.2 kilometer. Ia adalah puting beliung kelapan paling bahaya pernah direkodkan di Amerika dan bakal mencatat sejarah penyebab kematian tinggi disebabkan bencana alam itu.

Apa tidaknya, belum pun 2011 melabuhkan tirainya, angka korban puting beliung dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini sudah melebihi apa dicatatkan sepanjang tahun lalu. Ketika pakar dan penyelidik terus diselubungi buntu mengenai amukan puting beliung dan ribut taufan kali ini yang dahsyat, di satu sudut lain penyelamat trauma apabila menemui mayat dalam keadaan yang menyayat hati - dalam kenderaan terbalik, putus anggota badan dan dihimpit seperti tin kosong. Mayat seorang kanak-kanak berusia lima tahun ditemui di bawah timbunan besi dan batu-bata. Persoalannya bagaimanakah negara yang sedemikian maju tidak dapat mengelak amarah alam itu? Tiadakah sebarang sistem pengesanan yang berkesan dan mampu menepis bencana sedemikian? Namun seperti ditegaskan pakar cuaca yang juga Timbalan Pengarah Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan Amerika Wilayah Tengah negara itu, Thomas Schwein, amaran yang dikeluarkan berdasarkan radar, bukan penglihatan.

“Petunjuk radar menyebabkan kami mengeluarkan amaran ketika ribut itu masih jauh daripada kawasan barat Joplin. Taufan itu berlaku 24 minit selepas amaran dikeluarkan, Ia cuma dikeluarkan apabila kami melihat puting beliung besar bergerak ke sesuatu kawasan dan mengesahkan ia sememangnya puting beliung. Dalam kes ini, amaran dikeluarkan berdasarkan radar. Tiada laporan puting beliung berlaku,” katanya. Puting beliung Joplin adalah antara 68 bencana alam itu yang dilaporkan melanda tujuh negeri bahagian tengah utara Amerika, menurut Pusat Ramalan Ribut NWS. Kemusnahan di Missouri adalah terburuk, yang menyamai amukan puting beliung yang membunuh lebih 300 orang di seluruh selatan negara itu bulan lalu. Penduduk di selatan turut diberi amaran sekerap 24 minit sekali tetapi taufan itu terlalu kuat untuk dihalang. Ia melanda seluruh bandar dari Tuscaloosa hingga Bristol dalam apa yang dikatakan puting beliung terburuk sejak April 1974

Menurut statistik Agensi Pentadbiran Atmosfera dan Lautan Kebangsaan Amerika (NOAA), sudah 1,200 puting beliung melanda setakat tahun ini saja - dengan 875 berlaku sepanjang April lalu, sekali gus menyebabkan pakar tertanya-tanya mengapa 2011 menghasilkan sebegitu banyak ribut ganas. “Lebih banyak ribut dalam kategori empat dan lima tahun ini berbanding tahun lalu,” kata Pengarah NWS, Jack Hayes, merujuk kepada dua kategori puting beliung paling ganas. Malah kali ini ia tidak menyentuh ladang dan kebun sebaliknya mengamuk di kawasan bandar raya seperti Joplin dan Tuscaloosa. Satu badan penyelidik mengaitkannya dengan kitaran penurunan suhu di Lautan Pasifik sebagai sebahagian jawapan fenomena itu. Digelar La Nina, kitaran itu berlanjutan sekurang-kurangnya lima bulan dan berulang setiap tiga hingga lima tahun. Tahun ini, La Nina menolak arus kuat utara dan selatan, mengubah laluan angin yang biasa.

Arus angin sejuk yang tinggi dalam atmosfera menolak udara panas daripada bawah, dan membentuk ribut petir. Pengarah Pusat Ramalan Ribut, Russell Schneider, berkata puting beliung mempunyai pelbagai putaran, yang muncul daripada dinding bukaan angin utama. “Banyak puting beliung daripada kuat kepada bahaya serta ganas mempunyai banyak putaran. Ia selalunya singkat dan putaran pelbagai itu menyebabkan kemusnahan teruk kerana kelajuan angin boleh mencecah 80 hingga 128 kilometer sejam lebih kuat,” katanya. Pakar berkata bukaan awan yang besar boleh menyembunyikan dua atau lebih puting beliung, fenomena dikenali sebagai ‘kepelbagaian putaran.’ Ia selalunya boleh meranapkan bangunan yang berada dalam laluannya tetapi tidak menyentuh struktur berhampiran. Siapa sangka, di sebalik segala kecanggihan teknologinya, negara Uncle Sam ini tidak dapat lari daripada senjata ‘alam’ - daripada puting beliung dan selepas ini menanti musim taufan pula.

FAKTA: Apa puncanya?

Pembentukan: Angin kencang ribut petir yang berputar secara ganas dari udara dan mencecah daratan. Ia terbentuk apabila angin panas, lembap bertembung dengan udara sejuk dan kering.

Musim : Bermula pada awal musim bunga di kawasan sepanjang Teluk Mexico.

Tempoh: Puting beliung yang turut diiringi ribut taufan, angin kencang dan hujan batu boleh berlanjutan beberapa saat hingga lebih sejam. Kebanyakannya tidak sampai 10 minit.

Fizikal : Purata ukuran puting beliung adalah lebar kira-kira 200 meter

Kekerapan: Kira-kira 1,300 puting beliung menyerang Amerika setiap tahun. Statistik Agensi Pentadbiran Atmosfera dan Lautan Kebangsaan Amerika (NOAA), sudah 1,200 puting beliung melanda setakat tahun ini saja.

Laluan: Kebanyakan puting beliung bergerak dari barat daya ke timur laut, atau barat ke timur. Sebahagiannya menukar arah atau berpatah balik

Ramalan: Satu atau dua hari sebelum, pakar kaji cuaca melihat suhu dan aliran tiupan angin yang boleh menyebabkan kelembapan mencukupi, ketidakstabilan untuk menentukan kehadiran puting beliung.

BERITA MINGGU, 29 MEI 2011