JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



07 April 2023

SAYA TIDAK PERNAH MENYESAL DAN SENTIASA BANGGA MENJADI GURU



Reaksi saya sebagai seorang guru apabila membaca laporan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang menyatakan seramai 222 orang daripada 3,227 guru "One-off" yang diberikan penempatan ke Sarawak tidak melapor diri. Ini bermakna mereka telah menutup peluang 222 orang calon lain yang memohon dan rela ditempatkan di mana-mana tetapi permohonan mereka gagal. Pada pandangan saya, sebagai anak pedalaman yang diajar oleh ramai guru dari Semenanjung semasa di sekolah menengah suatu ketika dahulu, saya masih percaya bukan semua anak muda dari Semenanjung tidak mahu ditempatkan di Sarawak. Saya sendiri merupakan anak Sarawak yang diajar dan diberikan ilmu oleh guru-guru dari Semenanjung yang majoritinya dari Kelantan dan Terengganu. Mereka mengajar sehingga lebih 10 tahun di Kapit, tempat yang jauh tersisih dari pembangunan era 1980-an dan 1990-an. 

Guru-guru kami sangat komited walaupun terpaksa meninggalkan kampung halaman. Pada masa itu, bandar Kapit hanya dapat dihubungi dengan jalan air. Mereka mampu hidup dan berkhidmat dengan cemerlang di kawasan yang hampir 90% pelajar-pelajarnya miskin seperti saya. Saya amat terhutang budi dengan guru dari Semenanjung (Kelantan) yang melatih saya menjadi Pemidato yang selalu menang Pertandingan Pidato Kenegaraan ketika dahulu. Saya amat bangga dengan guru-guru yang pernah mengajar saya sehingga saya menjadi seperti saya pada hari ini. Ini bermakna adalah tidak semua anak-anak muda dari Semenanjung yang tidak mahu ditempatkan di Sarawak. Ramai yang berminat tetapi mungkin nama mereka tidak terpilih, yang terpilih dan menolak itu pula telah menutup peluang mereka! 

Apabila membaca komen warga Sarawak terhadap berita ini saya melihat isu ini dari sudut yang lebih rasional. Seorang menteri dari Sarawak pula mengeluarkan kenyataan bahawa anak Sarawak yang berkelayakan menjadi guru belum mencukupi. Reaksi orang awam (natizen) yang marah saya amat memahami. Menteri itu mengeluarkan pendapat sedemikian mesti setelah beliau melihat data. Ya, memang betul ramai anak tempatan sudah berkelulusan Sarjana Muda tetapi bidang pengkhususan mereka mungkin tidak sesuai untuk dilantik menjadi guru yang mengajar Matematik, Matematik Tambahan, Biologi, Kimia, Fizik, Sains Komputer, Perniagaan, English, dan Sains. Semua subjek ini susah untuk diajar kalau kita tidak menguasai. Guru yang seperti saya pun menolak kalau diminta mengajar subjek Matematik Tambahan. Saya tidak mampu, saya hanya boleh mengajar subjek bidang kebitaraan saya iaitu Bahasa Melayu. Inilah perkara yang dimaksudkan oleh Menteri itu. Salibus KSSR dan KSSM sekarang pun bukannya mudah untuk dikuasai oleh guru-guru. 

Saya sedikit rakat dengan isu ini kerana ketidakcukupan guru mengajar di Sarawak sering dibicarakan. Saya selalu berdoa agar isu ini selesai kerana masalah ini akan  mendatangkan kerugian besar kepada anak-anak Sarawak. Saya mahu menasihati  mereka yang memohon jawatan guru, andai hati tidak kuat untuk menempuh cabaran dunia perguruan jangan memohon, biarlah mereka yang betul-betul berminat sahaja memohon supaya peluang mereka cerah untuk ditempatkan di Sarawak. Andai hati berbelah bahagi, takut ditempatkan di kawasan pedalaman. Takut meninggalkan Pavillon atau Suria KLCC. Takut untuk jauh dari Genting dan Cameron Hinglands atau makan ikan siakap kayangan di Pulau Langkawi, hentikanlah niat untuk menjadi guru. Guru ini tidak dijanjikan bulan dan bintang. Jika ditempatkan di bandar pun, cabaran tetap ada iaitu pelajar yang kita ajar! 

Anak-anak di Semenanjung pula belajarlah mengenali Sarawak di era ke-21, jangan mendengar pendapat mereka yang hidup di Sarawak zaman 60-an dahulu. Sarawak kini bukan Sarawak yang dahulu. Jangan terlalu beranggapan negatif apabila ditempatkan di Sarawak. Saya teringat peristiwa kawan saya dari Kelantan bertanyakan sebuah sekolah tempat anak beliau ditempatkan bulan Januari lepas. Dia tidak risau anak dia mengajar di Sarawak walaupun sekolah itu jauh di Dalat. Dia tanya buaya, saya jawab buaya memang ada di dalam air, biarlah dia hidup di situ. Anak awak mengajar di darat bukan di laut. Alhamdulillah, bulan ini masuk bulan ke-4 anak dia di Sarawak!


SEKADAR MENGULAS ISU PENIAGA DAN PEMBELI DI BAZAR RAMADAN



Apabila tiba bulan Ramadan, kunjungan ke Bazar Ramadan merupakan suatu kemestian. Sewaktu mula-mula berpuasa dahulu, tinggal serumah dengan rakan-rakan bujang kami berbuka puasa dengan pelbagai menu. Semuanya dibeli di bazar ramadan. Ketika itu harga barang masih murah. Kami tinggal serumah seramai 8 orang. Jika seorang membeli juadah sebanyak RM5.00 pun sudah banyak. Itu cerita dahulu. Cerita sekarang lain, kenaikan harga barang dengan mendadak telah menjelmakan suasana berbeza. Saya membaca di media sosial peniaga mengeluh jualan tidak habis manakala pembeli pula mengeluh harga makanan di bazar ramadan mahal. Saya pula, setakat ini cuma 3 kali sahaja membeli makanan di gerai (bukan bazar ramadan). Itupun kerana saya tidak memasak sebab keletihan balik dari sekolah. 

Sepanjang ramadan ini saya membaca pelbagai cerita tentang kualiti makanan yang dijual oleh segelintir peniaga di bazar ramadan. Cerita martabak hangus, inti roti john yang sedikit, dan karipap angin begitu hebat diperkatakan. Saya teringat suatu ketika saya membeli kerang panggang dan kari ayam di bazar ramadan, balik ke rumah apabila hendak makan, saya buka bungkusan, kari ayam basi dan kerang berbau busuk. Semasa saya membeli makanan itu berasap. Sejak itu, saya bulatkan hati tidak akan membeli juadah di bazar ramadan sampai sekarang. Nilai duit tidak berbaloi apabila makanan dibuang ke dalam tong sampah kerana tidak boleh dimakan. Saya halalkan duit saya kerana saya tahu jerih perih orang berniaga cuma saya sekarang lebih suka menyediakan makanan sendiri jika ada masa. 

Cerita makanan basi, busuk, kuih semakin kecil dan harga semakin tinggi semakin viral sedikit sebanyak menimbulkan rasa takut kepada orang awam membeli juadah di bazar ramadan. Zaman media sosial memayung dunia kini, semua benda boleh dikongsikan tanpa kebenaran tanpa memikirkan risiko kepada orang yang diviralkan dan orang lain yang tidak berkaitan. Segelintir peniaga melakukan perkara tidak elok semua peniaga bazar ramadan mungkin kena tempiasnya. Contohnya, saya melihat dan membaca luahan pembeli sotong bersalut tepung, amat besar tetapi sotong di dalamnya terlalu kecil. Siapakah yang tidak marah, dah le kita lapar seharian, beli juadah dengan harga kayangan, hati ghairah hendak makan, akhirnya rasa diri ditipu. Tertutuplah selera! Perkara ini boleh mengakibatkan pergaduhan berlaku kerana ketidakpuasan pembeli menyebabkan mereka mencaci dan mengutuk perbuatan peniaga terbabit. Teringat pula lawak seorang pembeli donat dengan abang misai di sebuah bazar ramadan. 

“Apa ni abang, tak elok berniaga tipu-tipu orang di bulan ramadan”

“Tipu apanya, mana ada abang tipu-tipu orang”

“Ni ha, jual kuih berlubang-lubang, tak bagi penuh” jawabnya sambil mencucuk-cucuk jari ke lubang donat” 

Pada pandangan saya, kualiti makanan harus diambil berat. Kebanyakan pembeli tidak berkira sangat soal harga walaupun sekarang zaman kemelesetan ekonomi. Makanan yang berkualiti juga akan menyebabkan orang datang berulang kali untuk membeli. Dengan ini, peniaga akan dapat menambah keuntungan berbanding dengan orang datang sekali dan tidak akan muncul-muncul lagi disebabkan kecuaian kita berniaga. Pembeli yang betul-betul kecewa sanggup hantar balik makanan yang dibeli dengan harapan peniaga itu sedar akan kesilapannya. Semalam saya baru membaca luahan salah seorang pembeli karipap, intinya basi dan berulat! Saya yang tengok gambar dan membaca pun geli dan hendak muntah, apalagi dia yang telah tergigit dan terkunyah! Makanan yang sudah basi, berulat, inti tidak setimpal dengan nama dan harga, digoreng berulang kali dan seumpamanya yang tidak patut janganlah dipatutkan. Jika terus berleluasa mungkin bazar ramadan hanya akan tinggal nama. Percayalah!