Rencana ini ditulis
oleh
PROF. DATUK DR. SIDEK
BABA
Profesor Pendidikan
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)
Kenyataan Menteri
Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yasin untuk memperkasa subjek Sejarah amat tepat
sekali. Isu-isu keperluan pendidikan sejarah, kurikulum dan tafsirannya,
metodologi pengajaran-pembelajaran yang berkesan dan isu mewajibkannya dalam
sistem persekolahan kita adalah hal-hal yang sewajarnya diberi perhatian. Sejarah
sifatnya mengulangi. Apa yang berlaku pada masa lalu diulangi pada masa kini
dan mungkin diulangi pada masa depan. Sifatnya merentasi masa dan zaman. Mempelajari
dan mengkaji sejarah memungkinkan manusia mengetahui sebab mengapa sesuatu itu
berlaku pada masa lalu dan mengapa ia tidak harus diulangi pada masa kini dan
akan datang.
Sejarah kejadian 13
Mei 1969 umpamanya banyak mendedahkan faktor ideologi, pertentangan ras,
kemelut sosio-ekonomi, pemahaman budaya dan konflik politik yang menyebabkan muafakat
hilang dan akhirnya anarki terjadi. Mengkajinya boleh membawa kesedaran dan
keinsafan kepada kita untuk memperbaiki kelemahan yang ada supaya asas
perpaduan yang dibina harus diperkukuh dengan kerjasama yang baik, persefahaman
yang tinggi dengan kualiti pengurusan negara dan rakyat yang berintegriti. Kealpaan
kita mengkaji sejarah boleh menyebabkan hilang ibrah dan sumber teladan dan
menyebabkan peristiwa yang sama boleh berulang lagi. Harga perpaduan, tolak
ansur dan persefahaman dalam masyarakat majmuk adalah terlalu tinggi. Ia perlu
dipelihara dengan etika kenegaraan secara telus dan tulus.
Ibarat sebuah kereta
mempunyai cermin sisi dan belakang untuk dilihat supaya pemanduan ke hadapan
terarah. Begitu juga hakikat sejarah, kita tidak boleh hanya melihat ke
hadapan, melupakan peristiwa kini dan tidak reflektif terhadap sejarah masa
lalu. Apa yang dicapai kini adalah himpunan pengalaman dan percubaan yang
panjang dan berterusan.
Sekiranya generasi
muda umpamanya menolak kesilaman dan mengambil sikap yang lalu itu kolot dan
ketinggalan zaman dan yang terkini itu sebagai moden dan maju, sejarah
menunjukkan bahawa tanpa adanya kesinambungan perjalanan sejarah dan budaya
manusia akan menjadi kacau. Sebab itu sejarah sifatnya dinamik perkembangannya
kerana watak dan kemajuan manusia sedemikian. Tetapi jalur sejarah dan budaya
sering respons terhadap perubahan teknologi, ilmu dan zaman. Namun asas-asas
fundamental pada diri manusia tetap memerlukan nilai-nilai yang fitrah. Dalam
konteks bina negara, jati diri dan kewatanan adalah sesuatu yang amat penting.
Ia memberi bentuk dan sifat kepada watak warganegara Malaysia seperti yang
terangkum dalam Rukun Negara.
Rukun Negara adalah
falsafah hidup orang Malaysia supaya kepercayaan kepada Tuhan menjadi sesuatu
yang utama. Kesetiaan kepada raja dan negara menjadi lambang muafakat dan
perpaduan. Keluhuran Perlembagaan sebagai sumber rujuk yang utama dalam negara.
Kedaulatan undang-undang sebagai asas keadilan. Kesusilaan sebagai etika
penting membangun watak dan peribadi. Jika Rukun Negara dapat difahami dan
dihayati ia bakal membentuk jati diri Malaysia. Memiliki jadi diri Malaysia
tidak bermakna kita anti-Barat dan Timur. Pada dunia Barat dan Timur terdapat
aspek-aspek berbanding yang memberi manfaat yang baik dan boleh diperkongsi.
Kelahiran sesebuah tamadun antara faktornya adalah kesediaan melakukan adaptasi
dan penyesuaian supaya ia diolah menjadi acuan kita sendiri.
Mempelajari dan
memahami sejarah ibarat meneliti peristiwa zaman demi zaman yang sifatnya
berkembang dan berubah. Yang sangat penting dikaji adalah perkembangan dan
perubahan diri manusia. Apakah warga Malaysia berada dalam senario menghormati
asas-asas fundamental dalam proses bina negara dan reseptif terhadap perubahan
semasa yang sifatnya menyumbang. Aspek terpenting dalam memperkasa subjek
Sejarah adalah penyusunan kembali kurikulumnya. Kurikulum Sejarah harus
sifatnya merangkumi dan merentasi. Sejarah Malaysia tidak saja memberi latar
sejarah Melaka dan sejarah sebelum merdeka tetapi juga sejarah selepas merdeka
di mana semua pihak memainkan peranan menjadikan Malaysia sebagai negara maju.
Bila generasi hari
ini mengkaji dan memahami sejarah Malaysia, mereka memiliki rasa kepunyaan dan
kebanggaan terhadap negara ini kerana mereka bukan sahaja diberikan kefahaman
mengenai permulaan negara ini, cabaran yang dihadapi, cabaran sejarah Melaka
yang menjadi landasan sejarah Malaysia, muafakat pemimpin berbilang kaum dalam
mencapai kemerdekaan, prinsip-prinsip dan hikmah di sebalik terbinanya Perlembagaan
Malaysia, tolak ansur yang terjadi sehingga Malaysia mencapai ke tahap negara
yang sedang maju seperti hari ini. Sejarah bukan sekadar catatan tarikh sesuatu
peristiwa atau tokoh-tokoh berjasa dalam zamannya tetapi setiap yang berlaku
dan melakar peta sejarah harus dikaji dan diteliti mengapa dan bagaimana ia
berlaku dan bagaimana sesuatu masalah diselesaikan.
Sejarah Malaysia suatu
ketika dulu membawa cara tafsiran penjajah dan sifatnya Euro-centeric. Kemudian
ia difokuskan kepada tafsiran mengikut jendela Malaysia. Orientasi pentafsiran
ini penting supaya perjalanan sejarah sejak lebih setengah abad yang lalu ditafsir
berasaskan kaca mata orang Malaysia.
Apabila tafsiran ini
dibaca oleh anak murid, para pelajar dan generasi muda ia mencetuskan kesedaran
dan keinsafan bahawa Malaysia adalah sebuah negara unik dari sudut latar,
penyertaan warganegaranya dalam bina negara, asas toleransi yang membawa
kebijaksanaan, pemahaman terhadap asas-asas fundamental dalam Perlembagaan,
merasakan Rukun Negara sebagai suatu pedoman perjuangan dan akhirnya bakal
mencetuskan rasa kewatanan yang tinggi. Mencetuskan kesedaran ini tidaklah
suatu hal yang mudah. Ia memerlukan metodologi pengajaran dan pembelajaran yang
berkesan. Pengajaran dan kuliah menjadi salah satu cara dalam menyampaikan
bahan-bahan sejarah tetapi kerja-kerja lapangan dalam bentuk penelitian dan
kajian harus dikembangkan supaya di peringkat awal lagi anak-anak memiliki
kesedaran sejarah sama ada tempatan, negeri atau negara. Ia dibuat dalam bentuk
jurnal, kertas-kertas dapatan dan carian supaya hal-hal penting yang berlaku
dalam negara direkod dan diperkongsi.
Lebih-lebih lagi
dengan bantuan teknologi terkini banyak perkara yang boleh dirakam, dianalisis,
ditafsir dan diperkongsi supaya para pelajar memiliki kesedaran sejarah yang
tinggi. Generasi yang buta sejarah sering tidak menghargai apa yang berlaku.
Contohnya kemajuan yang terbina kini tidak berlaku secara tiba-tiba atau
kebetulan. Ia akibat perancangan, pemikiran dan strategi bijaksana yang terjadi
dan menyebabkan generasi hari ini berada dalam iklim sosial dan kehidupan yang
jauh lebih baik berbanding situasi di awal kemerdekaan dulu. Yang baik itu
seharusnya dijadikan tradisi, manakala landasan yang berguna itu harus
diteruskan walaupun dengan pendekatan berbeza untuk respons cabaran yang tidak
serupa. Asas-asas fundamental dalam bina negara harus dipertahankan dan
dikembangkan dengan strategi baru supaya perubahan terus berlaku. Justeru
seperti subjek Bahasa Melayu, subjek Sejarah seharusnya menjadi mata pelajaran
wajib. Kurikulum, pentafsiran, buku teks, bahan-bahan pengajaran dan
pembelajaran, memanfaatkan teknologi baru dalam memahami sejarah, kaedah
pengukuran yang lebih komprehensif mampu menjadikan subjek Sejarah itu menarik
dipelajari.
Tujuannya untuk
menimbulkan kesedaran jati diri dan kewatanan supaya generasi muda menginsafi,
memahami dan menghayati sejarah adalah penting supaya kesayangan kepada negara
terbina.
Sumber :
Utusan Malaysia
24 September 2012