Rencana ini ditulis
oleh
PROFESOR MADYA DR. SIVAMURUGAN
PANDIAN
Pusat Pengajian Sains
Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia
Perpaduan menjadi
kekuatan negara ini. Banyak negara yang punah akibat ketegangan hubungan
warganya sehingga berakhir dengan konflik berterusan namun Malaysia masih aman.
Dalam senarai Indeks Keamanan Global (GPI), kedudukan Malaysia tahun lalu
meningkat ke tangga ke-19 berbanding tempat ke-22 tahun sebelumnya; mendahului
Singapura dan kedudukan paling atas dalam kalangan negara Asia Tenggara dan
kedua di belakang Jepun di Asia. Selepas 55 tahun, kita masih bercakap mengenai
perpaduan dalam kalangan masyarakat yang rencam. Apakah perpaduan gagal hari
ini ataupun keupayaan mengurus kepelbagaian oleh pihak berwajib membolehkan
negara terus dilimpah dengan pengiktirafan dan penghormatan oleh dunia luar? Dalam
pertemuan dengan ketua-ketua agama, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak
pernah menyampaikan hasrat hati bahawa tanpa adanya perpaduan, kerajaan akan
gagal merealisasikan Pelan Transformasi di bawah kepimpinan beliau.
Apabila menyampaikan
ucapan pelancaran Program Transformasi Kerajaan dan Program Transformasi
Ekonomi pada April lalu sempena tiga tahun Najib menjadi Perdana Menteri,
kesemua perincian pencapaian adalah kerana adanya sifat kepunyaan dan unjuran
dasar untuk memastikan transformasi sebagai satu perjalanan tidak terganggu
disebabkan oleh pelbagai aliran politik yang berbeza. Yang di-Pertuan Agong
Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dalam titah sempena Hari Keputeraan Yang
di-Pertuan Agong minggu lalu turut bertitah agar rakyat bersatu padu dan tidak
bermusuhan antara satu sama lain yang boleh membawa musibah jika terlalu selesa
dengan apa yang dinikmati selama ini. Dalam persekitaran sedemikian rupa, kita
mesti mengimbas semula - mengapakah pemimpin era kemerdekaan bersedia melakukan
pengorbanan dan kompromi yang cukup bermakna ketika itu? Adakah ia bersifat
strategi politik semata-mata atau sememangnya pemimpin-pemimpin ketika itu
sudah boleh menjangkakan rakyat negara ini akan bertelagah jika tidak
digambarkan wujudnya ikatan kepimpinan pelbagai etnik sebagai teras untuk
memimpin dan menerajui kerajaan.
Kerajaan yang ampuh
adalah berasaskan kepada tadbir urus yang memahami keperluan dan kemahuan
rakyat sebagaimana yang telah dan sedang dilakukan oleh pentadbir hari ini. Yang
nyata, pemimpin menjadi lambang kekuatan dalam sesebuah negara pelbagai etnik
dan jika mahu meninggalkan negara yang makmur, sejahtera dan hidup berukun
untuk generasi akan datang, maka pilihannya ada pada rakyat sendiri. Tuanku
Abdul Halim Mu'adzam Shah turut bertitah bahawa: "Sekalipun atas nama
politik atau apa-apa organisasi janganlah sehingga sanggup meletakkan ia
melebihi kepentingan negara, hatta mengucar-kacirkan keharmonian. Ini ternyata
suatu perkembangan yang tidak sihat dan sewajibnya dielakkan." Sehingga ke
hari ini, Malaysia masih merupakan salah satu model yang menjadi rujukan kepada
perpaduan dan keamanan dunia. Ramai yang sangsi kemampuan Malaysia membina
sebuah negara-bangsa berakarkan kepada kepelbagaian etnik.
Walaupun melalui
proses pasang-surutnya terutama ketika berlaku rusuhan perkauman 13 Mei 1969
diikuti dengan peristiwa Kg. Rawa pada tahun 1998 dan Kg. Medan 2001 serta
beberapa percakaran berterusan, akhirnya Malaysia masih gagah walau diasak
dengan pelbagai cabaran dan rintangan untuk mengurus kepelbagaian etnik. Malahan,
perpaduan Malaysia diiktiraf dunia. Kejayaan untuk menyatupadukan rakyatnya
dari berhadapan dengan konflik perkauman menerima sanjungan pemimpin dunia dan
pengiktirafan sebagai sebuah negara contoh. Keharmonian kekal. Antara realiti
dan persepsi, yang nyata kemuafakatan adalah simbol penyatuan masyarakat
pelbagai etnik. Sambutan pelbagai perayaan turut menjadi salah satu petunjuk
bahawa ia bebas diteruskan kerana adanya warisan daripada nenek-moyang sesebuah
etnik. Zahirnya, persekitaran untuk meneruskan amalan dan ritual sendiri juga
terkelompok dalam kepompong ini.
Namun, apakah hari
ini kesopanan dan kesusilaan yang turut menjadi kerangka Rukunegara sudah mula
luntur akibat manipulasi percaturan politik? Di manakah titik keseimbangan yang
dipersetujui sebelum ini melalui kontrak sosial dan apakah sudah mula hadir
individu yang menyoal kedudukan institusi Raja-raja Melayu kerana fahaman
kepartian politik atau kerana partisipasi politik yang jumud dengan idealisme
sendiri tanpa mahu menebuk ruang kosong untuk melihat kelemahan mereka sendiri.
Kepercayaan yang pelbagai tidak menyekat seseorang untuk bertanggungjawab ke
atas nilai etnik dan kenegaraan tetapi sama ada ia boleh terus stabil
bergantung kepada sikap yang rasional terutama dalam mengetepikan kepentingan
politik mahu berkuasa dan berkedudukan dalam struktur pentadbiran negara. Kepentingan
jangka pendek perlu ditolak jika negara menjadi kepentingan mutlak kesemua
rakyat negara ini. Penggunaan pendekatan negatif yang berkecenderungan untuk
membawa kepada kepincangan dan mengganggu apa yang sudah dibina selama ini.
Pendekatan ini tidak boleh dibenarkan kerana ia akan lebih merugikan dan
menyebabkan institusi yang selama ini berfungsi untuk meningkatkan taraf hidup
masyarakat diperkosa oleh mereka yang tidak bertanggungjawab melainkan mahu memenuhi
nafsu politik sendiri.
Negara ini sudah
pesat membangun. Negara ini tidak boleh mencapai modenisasi dan industrilisasi
tanpa pemimpin yang berwibawa dan rakyat yang berteduh di bawah payung
panji-panji penginstitusian yang sedemikian rupa acuannya disesuaikan dengan
komposisi kependudukan, geografi serta tatacara kemasyarakatannya. Mencorakkan
budaya hidup ke arah pembentukan masyarakat berdaya saing adalah kerajaan dan
pemerintah yang sentiasa cuba menghindari permusuhan etnik dan perbezaan keagamaan
agar nilai muhibah tidak gugur angkara golongan yang tidak bertanggungjawab. Pengiktirafan
perpaduan tidak diberikan kepada mana-mana negara kecuali sebagai satu
penghormatan kepada yang berkelayakan dan Malaysia merupakan salah satu yang
tergolong dalam kumpulan tersebut. Jika badan luar boleh melihat kecemerlangan
Malaysia memperkasakan nilai keharmonian, mengapa masih ada yang menjadi warga
bertopengkan kewarganegaraan Malaysia tetapi mengkritik setiap langkah yang
diambil oleh pihak berwajib? Apakah kepentingan politik melangkaui kepentingan
kenegaraan sehingga memalukan negara dan kerajaan kerana berbeza mazhab
politik?
Perlu diakui mengurus
hubungan etnik merupakan satu usaha berterusan dan sentiasa memerlukan
pemantauan dan mekanisme yang disesuaikan dengan perubahan persekitaran.
Kejayaan hanya boleh dipertahankan jika masing-masing jujur dan ikhlas dalam
memastikan perpaduan tidak dikompromi dengan desakan unsur politik. Kelemahan
diakui dan langkah penambahbaikan diambil oleh kepimpinan hari ini dan
penyampaian yang jauh lebih baik juga bergantung kepada rasa tanggungjawab
rakyat sendiri. Persimpangan perpaduan banyak ranjau dan onak yang perlu
dilalui tetapi jika kesemua warga memahami dan mahu memahami kepentingan ia
disuburkan dengan nilai kemanusiaan tanpa ada perasaan syak wasangka dan curiga
serta kepentingan sendiri, pengiktirafan ke atas Malaysia akan dianggap sebagai
berkat kesinambungan warisan kepimpinan yang tidak menyimpang daripada amanat
pemimpin kemerdekaan agar kompromi dan pengorbanan dipertahankan demi generasi
akan datang. Dalam meraikan pengiktirafan perpaduan, ia adalah pemilikan kita;
warga yang bangga menjadi rakyat Malaysia bersama dalam susah dan senang
menempuhi kemelut dalaman dan luaran negara.
Sila berikan komen
anda. Terima kasih.
Sumber
Utusan Malaysia
6 Jun 2012