Seramai 149,315 rakyat berbilang bangsa mendaftar sebagai pengikrar penderma organ sehingga bulan lalu sejak kempen menderma organ dilancarkan Kementerian Kesihatan pada 1997. Walaupun angka itu bertambah, Jawatankuasa Bertindak Kesedaran Awam Pendermaan Organ mendedahkan sebilangan besar pengikrar tidak dapat menyempurnakan niat mereka kerana dihalang keluarga. Pengerusinya, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata apabila kempen menderma organ dilancarkan pada 1997, jumlah pengikrar penderma organ ketika itu hanya 2,566 orang dan rakyat sekarang mula melihat perbuatan menderma organ sebagai amalan mulia. Bagi mengelak halangan itu, kita amat berharap individu yang mendaftar sebagai penderma organ akan memberitahu hasrat mereka kepada keluarga masing-masing sebelum menjadi pengikrar.
Sejak 1976 hingga bulan lalu, seramai 307 pengikrar sudah menderma organ mereka dan jawatankuasa juga sentiasa menjelaskan bahawa semua agama tidak menghalang umatnya menderma organ bagi membantu pesakit lain memerlukannya. Di Malaysia, derma organ dilakukan secara sukarela dan bukannya membabitkan aktiviti jual beli atau perdagangan organ. Oktober lalu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata penggubalan Akta Transplantasi yang bakal dibentangkan bertujuan memantau penderma organ bagi mengelak berlakunya perbuatan penjualan organ di negara ini. Liow berkata, akta itu yang masih dalam peringkat awal penggubalan akan merangkumi semua aspek termasuk pemerdagangan manusia, pendermaan organ dalam dan luar negara, penderma organ, kaunseling serta tempat pemindahan organ.