JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



02 Oktober 2012

ISU GLOBAL : NAKOULA BUAT DUNIA ISLAM LUPA AGENDA BESAR


Imlan Adabi


Nakoula Basseley atau dikenali Sam Bacile sepatutnya berterima kasih kepada sebahagian besar umat Islam kerana memberi publisiti percuma kepada filemnya. Innocence Of Muslims hanya filem murahan yang tiada kualiti. Bacile bukan pengarah ternama apatah lagi penulis skrip yang meraih Anugerah Oscar. Dia hanya penyangak yang ada kes penipuan perbankan.

Tiada siapa peduli ketika dia memulakan penggambaran Desert Warriors kerana tiada tarikan magis untuk diperkatakan. Ia sekadar cerita pahlawan padang pasir yang tidak sesuai lagi dengan selera semasa. Malah, wartawan hiburan di California pun menolak undangan sidang media kerana filem yang kemudian ditukar kepada Innocence of Muslims dianggap tiada isu untuk dipaparkan. Innocence of Muslims hanya meletup apabila menerima bantahan umat Islam sejagat. Bacile dianggap anti-Islam dan menjalankan agenda Yahudi untuk memburukkan Nabi Muhammad SAW. Jika tiada bantahan umat Islam, tiada siapa pun yang kenal Innocence of Muslims apatah lagi menyebut nama pengarahnya.  Bacile tentu gembira kerana latah umat Islam menyebabkan filemnya jadi sebutan dunia. Lebih aneh, kemarahan itu menyebabkan umat Islam sendiri menjadi mangsa. Seramai 300 penunjuk perasaan bertempur dengan polis di Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Kaherah. Bukan Bacile atau Yahudi yang cedera, tapi umat Islam. Seramai 224 cedera sejak keganasan tercetus.

Seramai 5,000 merusuh di Khartoum, Sudan dengan menyerbu Kedutaan Britain dan Jerman. Perusuh cedera kerana bergaduh sesama sendiri selain bergasak dengan polis. Lebih parah di Yaman, ribuan penunjuk perasaan merusuh menyebabkan seorang maut dan 15 cedera di luar Kedutaan AS. Barangkali yang tidak beruntung bagi pihak AS adalah di Benghazi, timur Libya apabila dutanya, Chris Stevens dan tiga warganya terbunuh. Bantahan turut diadakan di Palestin dengan ribuan orang berkumpul di Genting Gaza, manakala ratusan yang lain berhimpun di Baitulmaqdis. Kumpulan penunjuk perasaan bertempur dengan polis Israel di Baitulmaqdis. Ada yang parah dan dipenjarakan rejim Yahudi. Yang untung dalam kes ini ialah Yahudi. Di Gaza pula penunjuk perasan mengibarkan bendera Hamas dan pergerakan Jihad Islam serta membakar bendera AS sambil melaungkan slogan meminta AS dan Israel dihapuskan. Mereka menjadikan isu sebuah filem yang mungkin tidak pernah ditonton untuk menunjuk perasaan. Mereka bagai lupa nasib umat Islam di Palestin, Myanmar dan Thailand yang sentiasa ditindas.

Moral ceritanya umat Islam mudah sensitif jika penganut agama lain mencerca mereka secara terbuka. Tapi mereka mudah lupa betapa sesama sendiri bersengketa dan berpuak-puak. Sejak pasca Perang Salib, tamadun Islam tiada lagi. Umat Islam yang kononnya mempunyai tamadun berabad sudah dipermainkan pihak lain. Banyak negara Islam menjadi bidak catur kuasa asing yang menjadikan fahaman feudal, sosialis, komunis dan kapitalis sebagai fahaman kepartian. Akhirnya polemik politik menjadi medan untuk menghina Islam dan hukum Allah itu sendiri. Ada yang mendakwa pejuang Islam tapi secara terbuka merendahkan hudud yang kononnya melahirkan masyarakat tidak bertamadun, sedangkan syariat Islam memenuhi semua aspek pentadbiran, gerakan siasah, pembentukan akhlak dan tamadun manusia. Innocence of Muslims hanya sekelumit cabaran terhadap umat Islam sejagat. Cabaran lebih besar membentuk jiwa Islam dalam kalangan ummah sendiri. Walaupun ada Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang kononnya menyatupadukan suara ummah, polemik di sebalik tabir lebih memeranjatkan. Negara Islam kaya bagai alpa membantu umat kebuluran di Somalia dan Sudan. Mereka juga abai isu Rohingnya walaupun pada masa sama bercakap soal Libya, Syria dan Palestin.

Lebih lucu ketika Innocence of Muslims diperkatakan, restoran makanan segera dan minuman ringan keluaran Yahudi kekal laris di seluruh dunia. Yahudi sudah berada di ruang tamu kita menerusi TV yang menayangkan pelbagai filem dan siaran berita Barat yang memberi tempat kepada musuh Islam itu. Kita lupa ancaman wujud dalam diri sendiri!

Sumber
Berita Harian
2 Oktober 2012

ISU UMUM : SPRM PERLU DIBERI KUASA AUTONOMI


Akhbar Satar


Cadangan agar sebuah Suruhanjaya Perkhidmatan baru diwujudkan bagi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan menaik taraf Ketua Pesuruhjaya sebagai jawatan berdasarkan Perlembagaan Persekutuan seperti jawatan Peguam Negara, Ketua Audit Negara dan Hakim untuk memastikan kebebasan dan ketelusan adalah baik.  Cadangan ini memberi lebih kuasa kepada badan bebas berkenaan dalam membuat keputusan tanpa campur tangan mana-mana pihak dalam usaha meletakkan badan itu benar-benar bebas dan telus, sekali gus menangkis pandangan negatif dan persepsi rakyat terhadap SPRM. Penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan sendiri adalah sesuatu yang ditunggu-tunggu semua pimpinan SPRM. Ia membolehkan badan pemantau antirasuah itu mempunyai kawalan penuh ke atas pegawainya, termasuk semua proses pelantikan dan pemecatan pegawai tidak lagi dibuat oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam.

SPRM amat memerlukan sebuah badan khusus dalam pemilihan anggota, berdasarkan kualiti dan kredibiliti calon bagi melaksanakan tugas yang memerlukan kepakaran tertentu untuk memperkasakan aspek pencegahan rasuah di negara ini. Jika ia dapat dilaksanakan, maka ramai golongan profesional negara yang ingin berkhidmat dengan SPRM akan dapat berbuat demikian secara lebih mudah dan efisien serta dapat mengurangkan kerenah birokrasi. Ini bukan bermakna SPRM akan mengambil pegawai dengan sewenang-wenangnya, tetapi SPRM akan menggunakan kaedah menemuduga yang lebih sesuai dan calon perlu menduduki ujian tertentu. Oleh kerana bilangan pengambilan pegawainya sedikit, mungkin tidak menjejaskan dasar pasaran buruh kerajaan. Beberapa bulan lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dalam ucapan ketika merasmikan Program Pegawai Integriti Bertauliah, membayangkan bahawa beliau bersetuju menubuhkan sebuah Suruhanjaya Perkhidmatan Anti Rasuah, seperti yang dicadangkan oleh Lembaga Penasihat SPRM, cuma isu ini perlu dibuat pindaan perlembagaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-13.

Naik status seperti kuasa hakim

Pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM kini dilakukan Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri. Banyak pihak berpendapat bahawa secara logik beliau boleh dipengaruhi atau dipecat sama ada disebabkan tekanan politik atau kerana sebab lain. Oleh itu, sesetengah pihak mendakwa bahawa SPRM masih tidak benar-benar telus dan bebas. Pada pendapat penulis memang baik, sekiranya Pesuruhjaya SPRM itu dinaikkan statusnya, sama seperti kuasa hakim yang tidak membenarkan mana-mana pihak sewenang-wenangnya memecat atau melucutkan jawatannya tanpa melalui proses tribunal. Tetapi kita perlu ingat bahawa sebuah negara masih diperintah oleh parti politik yang memenangi pilihan raya dan beliau sedikit sebanyak terpaksa akur kepada arahan kerajaan.

Apatah lagi jika Pesuruhjaya adalah seorang penjawat awam, tindakan yang tidak popular boleh menjejaskan masa depan dalam perkhidmatannya melainkan beliau menjalankan tugas yang diamanahkan dengan tegas dan berani menghadapi sebarang risiko. Oleh itu, penulis berpendapat kemungkinan besar Ketua Pesuruhjaya SPRM masih tidak mempunyai jaminan untuk menjalankan tugas dengan bebas dan tenteram. Sementara itu Bajet 2013, SPRM menerima peruntukan sebanyak RM276 juta dan meluluskan sebanyak 150 perjawatan tambahan setiap tahun sehingga mencapai jumlah 5,000 anggota yang disasarkan. Walaupun peruntukan ini masih kecil, ia adalah pelaburan berbaloi untuk mewujudkan masyarakat yang bersih daripada gejala rasuah.

Perlu aspek integriti, akauntabiliti

Dalam hal peruntukan ini, penulis berpendapat SPRM juga perlu diberi kuasa autonomi perbelanjaan kewangan iaitu tanpa merujuk kepada Kementerian Kewangan untuk berbelanja. Peruntukan agensi ini diperoleh terus daripada Parlimen dengan peratus kenaikan tetap setiap tahun seperti yang diamalkan oleh ICAC Hong Kong. Ini disebabkan proses membina agensi pencegahan rasuah yang teguh, dinamik dan viable bergantung kepada kewangan yang stabil serta mengendalikan hal-hal kewangannya tanpa banyak kerenah birokrasi. Bagaimanapun SPRM perlu menekankan aspek integriti, akauntabiliti dalam pengurusan kewangannya dan pastikan ia disempurnakan dengan amanah dan penuh bertanggungjawab. Menaikkan taraf Ketua Pesuruhjaya tanpa mempunyai kuasa bebas untuk menggunakan peruntukan kewangan akan menjejaskan kelancaran siasatan kes rasuah dan kelicinan agensi SPRM. Perkara lebih buruk berlaku apabila SPRM menjalankan siasatan terhadap pegawai atau agensi yang mempunyai kuasa menentu dan meluluskan peruntukan tahunannya, sudah pasti sedikit sebanyak akan melambatkan proses meluluskan sesuatu peruntukan.

Semua keadaan itu memerlukan sumber kewangan yang mencukupi dan kuasa untuk membelanjakan peruntukan kewangan tanpa sebarang campur tangan daripada mana-mana pihak yang mempunyai kepentingan. Malahan autonomi perbelanjaan kewangan ini boleh dianggap sebagai satu instrumen penting yang boleh memacu SPRM ke arah sebuah agensi yang benar-benar bebas dan telus.  Walau apapun pegawai SPRM perlu berkerja keras, meningkatkan kualiti kertas siasatan, berdisiplin, memperkasakan budaya integriti, memperbanyakkan latihan risikan, meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris, menggunakan teknologi dalam siasatan, menyiasat secara adil, profesional dan demi negara berusaha memperbaiki kedudukan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) yang akan dikeluarkan oleh Transparency International bulan depan.

Sumber
Berita Harian
2 Oktober 2012

ISU ICT : TEKNOLOGI MENJADIKAN MANUSIA SEMAKIN PEMALAS


Muhammad Al-Azim Othman
Penulis mahasiswa Diploma Komunikasi dan Media,
Universiti Teknologi Mara, Melaka.


Zaman moden ini terlalu banyak teknologi dibangunkan bagi membantu dan memudahkan kerja manusia sekali gus memberi perubahan dan impak besar dalam kehidupan seharian. Dapatkah anda bayangkan kehidupan tanpa teknologi seperti dinikmati hari ini?  Remaja tanpa facebook, pelajar tanpa komputer dan dunia tanpa satelit. Teknologi maklumat, ketenteraan, pengangkutan, pembuatan dan makanan menyumbang terhadap kemaslahatan manusia sejagat.  Lihat saja impak revolusi perindustrian pada masa kini jika dibandingkan pada 80-an. Wang memainkan peranan penting dalam kehidupan masyarakat masa kini berbanding dua dekad lalu kerana dengan kuasanya kita boleh mengecapi setiap aspek perkembangan teknologi pada masa ini. Sukar dinafikan namun kita tidak perlu bergerak banyak untuk melakukan sesuatu kerja. Untuk berkomunikasi, memesan makanan dan menyiapkan proses transaksi, ia boleh dilakukan di hujung jari.

Rutin harian kita menjadi lebih cepat, mudah dan cekap jika dibandingkan dengan masa dulu. Masa dan teknologi mempunyai perkaitan relatif. Teknologi memudah dan mempercepatkan penyelesaian tugas manusia meskipun setiap penemuan atau pembaharuan terpaksa melalui proses pelaburan yang besar. Lihat saja bagaimana pelajar masa kini banyak bergantung pada bantuan teknologi seperti Internet untuk mencari maklumat.  Maklumat berada di hujung jari dan serba pantas berbanding masa dulu kita terpaksa berhempas pulas dengan timbunan buku tujuan pendidikan.  Kehidupan sosial manusia juga terjejas kerana teknologi. Teknologi komunikasi yang diledakkan dengan penciptaan pelbagai alat komunikasi seperti telefon pintar, komputer dan penciptaan laman sosial menghubungkan secara pantas tanpa sempadan.  Malangnya, di sebalik kepantasan itu, ia meninggalkan kesan sampingan seperti masalah sosial yang meningkat secara drastik hingga memeningkan masyarakat.

Kajian pakar sains perhubungan dari Universiti Cornell, New York, Profesor Steven Strogatz menyatakan garisan yang membezakan antara rakan maya dan rakan sebenar semakin kabur.  Ini mengakibatkan manusia hilang pertimbangan dalam memberikan perhatian sewajarnya terhadap fungsi kehidupan realiti mereka. Manusia memperuntukkan banyak masa melayari laman sosial berbanding bergaul sesama ahli keluarga, jiran dan komuniti setempat. Ini menunjukkan teknologi komunikasi dan laman web sosial menyebabkan manusia malas bergaul dan hanya bersama teman maya mereka saja. Malah, gaya hidup manusia di luar rumah juga semakin terhakis kerana seluruh kehidupan kita mula berubah kepada tabiat kurang baik seperti terperap di rumah. Bayangkan dengan hanya menekan butang alat kawalan jauh untuk menukar siaran televisyen, menghidupkan pendingin hawa, membuka pintu dan sebagainya menjadikan manusia semakin liat untuk sihat juga semakin malas serta lesu. Kembali kepada perkara yang paling asas, teknologi dicipta untuk memudahkan manusia melakukan pekerjaan. Namun kini timbul stigma teknologi menjadikan manusia malas. Ironinya , kita menyalahkan teknologi padahal kita yang mencipta teknologi.

Perkara sebenarnya amat nyata iaitu manusia memang malas dan mereka cuba mengelak melakukan kerja berat dengan mencipta teknologi. Jadi, secara dasarnya teknologi dicipta untuk manusia yang malas. Wajarkah teknologi dijadikan penyebab atas sifat malas manusia atau adakah manusia boleh berubah menjadi rajin tanpa teknologi?

Sumber
Harian Metro
2 Oktober 2012

ISU SOSIAL : WANITA PENCETUS EKONOMI BARU


FAUZIAH AROF


Semua mengakui apabila bercakap perihal kaum wanita yang kini membentuk separuh daripada penduduk di negara ini, peranannya sudah tentu bukan lagi terhad dalam menggalas tugas-tugas tradisi iaitu menjaga hal-hal keluarga dan rumah tangga. Selain pencapaian dalam pendidikan yang mendorong seseorang wanita itu membentuk kerjaya dalam bidang profesional, kebanyakan wanita kini tidak kira apa tahap pendidikannya berperanan mengukuhkan ekonomi keluarga. Mereka membantu suami atau keluarga, keluar bekerja dalam berbagai-bagai sektor di negara ini. Apa jua bidang kerja yang dulunya sinonim atau dikuasai oleh golongan lelaki tidak kira dalam kolar biru atau putih, kini wanita turut sama menyertainya. 

Bukan niat untuk bersaing dengan lelaki, tetapi memenuhi tuntutan untuk mencari rezeki membantu keluarga. Jangka masa bekerja juga tidak terbatas pada waktu pejabat, mereka turut bekerja siang dan malam. Kemampuan ini menyamai lelaki dan tiada apa lagi yang luar biasanya apabila membincangkan mengenai keupayaan wanita yang bekerja di negara ini. Pun begitu, penglibatan wanita dalam pekerjaan formal tidak pula membebaskan mereka daripada tanggungjawab terhadap keluarga. Betapa tinggi pun pangkat mereka di tempat kerja, wanita perlu menjalankan tanggungjawab hakiki mereka iaitu berperanan sebagai isteri kepada suaminya dan ibu kepada anak-anaknya

Sehubungan itu, penglibatan wanita dalam sektor pekerjaan swasta dan awam di negara ini semakin hari semakin bertambah. Kadar penyertaan tenaga kerja wanita di negara ini adalah 47.9 peratus (%). Sehingga Julai tahun ini, jumlah keseluruhan penjawat awam wanita ialah 591,195, manakala dalam sektor swasta pula sudah tentu melebihi bilangan itu.

Di Malaysia, walau apa jua peranan yang dimainkan oleh kaum wanita, tidak kira menjadi ibu, isteri dan seorang penjawat awam atau swasta, golongan ini tidak akan terlepas pandang oleh kerajaan malah berbagai dasar dan insentif dibuat sebagai pembuka jalan dan unit-unit serta undang-undang diwujudkan untuk melindungi hak dan kebajikan wanita. Pada kerajaan, golongan wanita bukan sekadar berperanan dalam mengukuhkan institusi sesebuah keluarga tetapi turut membantu menjana pertumbuhan ekonomi negara. Dalam pada itu, kerajaan juga membentuk dasar 30 peratus penyertaan wanita di peringkat pembuat keputusan dalam sektor awam. Pembentukan dasar ini menyaksikan bilangan wanita yang menyandang jawatan utama sektor awam (JUSA) meningkat daripada 18.8% pada 2004 kepada 31.7% pada 2011. Pun begitu, bilangan wanita yang memegang jawatan peringkat pengurusan tertinggi dalam badan berkanun menunjukkan penurunan daripada 17.8% pada 2004 kepada 13.6% pada Ogos 2012.

Sehingga Julai lalu, enam jawatan Ketua Setiausaha Kementerian disandang oleh wanita berbanding empat jawatan pada 2006 dan 2007. Dan, sebanyak 18 (30.5%) jawatan Timbalan Ketua Setiausaha (TKSU) serta 13 atau 11.9% jawatan Ketua Pengarah di jabatan / agensi kerajaan disandang oleh wanita. Sementara itu, bilangan wanita yang dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah di syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) meningkat daripada 11.0% pada 2005 kepada 14% pada 2012. Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat juga melaksanakan Program Pengarah Wanita iaitu program yang dirangka bagi meningkatkan pengetahuan serta kemahiran kritikal calon wanita yang berpotensi tinggi untuk melaksanakan peranan sebagai ahli lembaga pengarah syarikat. Setiap tahun, kerajaan mengadakan sambutan Hari Wanita Kebangsaan yang bertujuan memberikan pengiktirafan kepada wanita di atas sumbangan mereka dalam pembangunan dan kemajuan negara.

Sambutan ini juga memberi maklumat dan pengetahuan kepada masyarakat umum khususnya golongan wanita tentang peranan mereka yang semakin mencabar dalam bidang ekonomi, sosial dan politik untuk mengharumkan nama Malaysia. Bertepatan dengan peranan wanita yang semakin besar dan mencabar, tema sambutan Hari Wanita Kebangsaan 2012 yang disambut hari ini ialah "Wanita Pencetus Ekonomi Baru". Sempena sambutan kali ini, lima tokoh wanita pelbagai kaum dianugerahi penghargaan dan pengiktirafan. Menurut Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Dr. Noorul Ainur Mohd Noor, kehadiran lima tokoh berkenaan amat bermakna seiring dengan kejayaan dan kebangkitan golongan wanita hari ini. Kelima-lima tokoh wanita itu dipilih berdasarkan sumbangan dan jasa mereka kepada negara bermula sebelum merdeka hingga era sekarang. Sumbangan mereka wajar dijadikan pemangkin untuk generasi baru terus mengangkat martabat wanita Malaysia. Yang menjadikan sambutan Hari Wanita hari ini lebih istimewa ialah majlis itu dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga merangkap Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang akan diadakan di Sunway Pyramid Convention Centre (SPCC), Petaling Jaya, Selangor.

Sambutan Hari Wanita ini sudah tentunya memberi makna kepada wanita. Ini kerana peranan dan sumbangan mereka sentiasa diambil kira di mana sahaja mereka berada di pelosok negara ini, walaupun di ceruk pedalaman.

Sumber
Utusan Malaysia
2 Oktober 2012