Cadangan kerajaan untuk melaksanakan program perintis sistem kerja sembilan jam bagi guru mulai Januari ini yang ditolak Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) menjadi isu terbaru yang hangat dibincangkan kelompok keguruan sekarang. Bagi kesatuan terbabit, cadangan menetapkan tempoh waktu kerja bagi guru adalah sesuatu yang tidak boleh diterima. Alasan bagi menyokong pendirian ini ialah tugas guru tidak tamat selepas waktu persekolahan. Kementerian Pelajaran pula mahu guru bersikap terbuka terhadap cadangan itu. Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong kelmarin, berkata program perintis itu hanyalah kajian awal yang membabitkan 5,000 guru di empat negeri. Sama ada ia dilaksanakan atau sebaliknya kepada keseluruhan warga perguruan belum dimuktamadkan dan bergantung kepada hasil kajian itu yang mengambil masa enam bulan.
Program perintis itu seperti dijelaskan Ka Siong adalah sebahagian daripada usaha menangani isu beban tugas guru yang dikatakan semakin berat sekarang. Isu beban tugas guru ini memang sukar difahami masyarakat umum melainkan ada dalam kalangan keluarga atau rakan mereka terbabit dalam kerjaya itu. Tidak seperti kebanyakan kerjaya lain, tugas guru tidak terikat kepada waktu persekolahan. Selain terpaksa membawa kerja balik ke rumah, guru kadang kala terpaksa membuat kerja yang tidak ada kaitan dengan tugas mengajar seperti menghadiri mesyuarat sekolah, mengikuti program peringkat daerah atau peringkat negeri atau wakil pengetua atau guru besar. Di samping itu, mereka juga terpaksa melakukan penyeliaan dan bimbingan aktiviti kokurikulum seperti persatuan, sukan dan badan beruniform. Ini tidak termasuk mengiringi pelajar menyertai program di luar sekolah yang mungkin mengambil masa beberapa jam mahupun beberapa hari.
Semua ini dilakukan tanpa kemudahan bayaran lebih masa, tuntutan perbatuan yang dicatu mahupun lebihan masa yang digunakan untuk tugas rasmi diganti sebagai cuti rehat pada keesokan harinya. Namun, bagi kebanyakan guru, beban itu tidak pernah dipertikaikan kerana menyedari mereka sudah memilih kerjaya yang tanggungjawabnya menjangkaui waktu kerja. Walaupun begitu penyelesaian harus dicari bagi meringankan beban ini kerana lambat laun ia akan menjejaskan kesihatan dan kecergasan guru itu sendiri, selanjutnya memberi kesan negatif kepada murid. Apa sekali pun, kita yakin Kementerian Pelajaran akan mengambil kira kebajikan guru dalam menilai buruk baiknya penetapan waktu kerja sembilan jam ini sebelum membuat keputusan untuk melaksanakannya.
SUMBER
RUANGAN MINDA PENGARANG
BERITA HARIAN