JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



18 Mei 2023

Program Jom Membaca 10 Minit


Kita akan lebih mudah mengenali diri sendiri melalui budaya membaca. Hal ini dikatakan demikian kerana semakin banyak kita membaca semakin banyak ilmu kita perole Ilmu-ilmu itu akan menjadi bekalan untuk kita meneruskan kehidupan. Tabiat membaca akan menemukan kita dengan ketenangan dan kesejahteraan dalam kehidupan. Apabila membaca kita seolah-olah sedang berbicara dengan teman rapat kita walaupun ianya hanya sebuah buku. Orang yang gemar membaca sentiasa menjadikan buku sebagai teman hidup walau di mana sahaja dia berada. 

Program Jom Membaca 10 Minit pada tahun ini diadakan di seluruh negara pada 18 Mei 2013, iaitu hari Khamis. Program ini diadakan pada pukul 10:00 pagi di seluruh negara sempena Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia. Saya memang menyokong program seumpama ini kerana saya mendapati budaya membaca semakin terpinggir sejak akhir-akhir ini disebabkan pengaruh media sosial. Saya sebagai seorang guru subjek Bahasa Melayu memang menyedari perkara ini sejak dahulu. Apabila pelajar kurang membaca, kualiti penulisan karangan mereka amat lemah. Mereka tiada pengetahuan sedia ada tentang tajuk karangan yang hendak dijawab. Perkara yang amat menyedihkan mereka lebih suka memasukkan istilah dan kosa kata yang viral di media sosial dalam penulisan karangan. 

Pujangga Moh. Hatta pernah berkata, "Aku rela dipenjara bersama buku kerana dengan buku aku bebas". Kata-kata ini menggambarkan bahawa orang yang leka membaca dan menikmati perkara yang dibaca tidak sedar masa berlalu kerana mereka begitu menghayati perkara yang didedahkan oleh penulis dalam bahan yang dibaca. Saya sendiri sentiasa meluangkan waktu untuk membaca bahan-bahan ilmiah selama satu hingga dua jam sehari. Walau bagaimanapun, apabila bahan bacaan itu sebuah buku, saya akan teruskan membaca hingga terlupa waktu solat tiba. Budaya membaca yang sudah mendarah daging dalam kehidupan seseorang menyebabkan mereka tidak keruan apabila tidak membaca. Mereka akan cuba mencari bahan bacaan yang sesuai untuk melepaskan ketagihan membaca.

Saya masih melanggan majalah Dewan Masyarakat dan Pelita Bahasa hingga kini. Saya membaca kedua-dua majalah ini kerana penulis-penulis yang menulis di kedua-dua majalah itu sentiasa memaparkan maklumat terkini dengan ayat-ayat yang puitis dan gramatis. Saya juga suka membaca buku-buku motivasi. Saya mempunyai banyak koleksi buku motivasi daripada penulis-penulis terkenal di rumah. Hobi saya ialah saya suka mengumpul kosa kata, frasa menarik dan ayat yang gramatis daripada pelbagai bahan bacaan untuk digunakan dalam penulisan saya sendiri. Tabiat ini sudah lama saya amalkan. Saya masih membaca majalah Gila-Gila untuk menghiburkan hati dan mengasah minda. Saya memperoleh banyak pengajaran dalam majalah sebegini kerana kita dipaparkan dengan lawak yang mempunyai mesej. Jangan tidak tahu, bahasa yang digunakan dalam majalah Gila-Gila terutama dalam ruangan Minah Leter dan Mat Romeo amat menarik!

Hobi yang paling tidak merugikan ialah membaca. Kita tidak akan menjadi miskin kerana suka membaca. Kita tidak akan menjadi miskin kerana suka membeli buku. Semakin banyak kita membaca maka semakin banyak ilmu yang kita tahu. J.K Rowling pernah berkata, "Jika kita ragu akan sesuatu perkara, pergilah ke perpustakaan". Ini bermakna buku-buku yang ada di perpustakaan akan memberikan jawapan yang paling tepat untuk menjelaskan keraguan kita. Babra W. Tachman pernah mengungkapkan, "Buku adalah pembawa peradaban. Tanpa buku, sejarah itu sunyi, sastera itu bodoh, sains lumpuh, pemikiran dan spekulasi akan terhenti. Buku adalah mesin perubahan, jendela di dunia, dan menara api yang didirikan di lautan waktu".