Kisah seorang ibu memfitnah seorang guru di media sosial sehingga memaksa guru tersebut melaporkan perkara yang dituduh oleh Si Ibu kepada pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi Malaysia (SKM). Saya teringat suatu ketika kisah seumpama ini berlaku di sekolah tempat saya mengajar. Bilangan pelajar sekolah saya agak ramai, iaitu melebihi 2500 orang. Apabila balik dari sekolah pelajar lelaki kebiasannya akan mengusik kawan, tumbuk menumbuk dan kejar mengejar di luar pintu pagar sekolah dalam perjalanan balik ke rumah. Perjalanan balik ke rumah akan melewati kawasan perumahan yang berdekatan dengan kawasan sekolah saya. Pada hari Jumaat, sesi persekolahan tamat pada pukul 11.30 pagi. Situasi akan menjadi kelam kabut apabila pelajar sesi pagi masuk dan pelajar sesi petang keluar. Karenah pelajar memang memeningkan kepala kerana teruja hendak menikmati hujung minggu. Alkisah, seorang ibu sempat merakamkan sekumpulan pelajar lelaki yang sedang bergurau senda seolah-olah berlaku suatu pergaduhan. Video itu disebarkan olehnya di Facebook dengan tajuk yang berbunyi, "Samseng SMK XYZ sedang bergaduh". Petangnya, kami terkejut apabila dimaklumkan oleh rakan-rakan dan orang awam tentang kes itu. Apabila disiasat, puncanya dari seorang ibu yang kemaruk berkongsi cerita di media sosial tanpa memikirkan akibatnya. Bayangkan, berita itu keluar di saluran TV1. Ya Allah, saya dan barisan pentadbir, guru disiplin dan beberapa orang guru terpaksa bersekang mata menyelesaikan kes tersebut.
Ibu yang menyebarkan kes itu memang dikenakan tindakan oleh pihak polis walaupun dia menafikan tiada niat buruk berkongsi berita sebegitu. Perkara ini mengajar kita supaya berhati-hati apabila mengambil video atau gambar tentang orang lain dan menyebarkannya di media sosial tanpa kita mengetahui hujung pangkal cerita sebenar. Perkara tersebut bukan sahaja mendatangkan kesusahan kepada kita sendiri malah orang yang tidak terlibat pun terpaksa berkorban masa berharga untuk menyelesaikan masalah kita. Pada pandangan saya, segelintir suri rumah yang kemaruk berkongsi berita di media sosial seperti WhatsApp, TikTok dan Facebook ini mungkin memerlukan perhatian dan kasih sayang daripada suami dan ahli keluarga yang lain. Apabila bersendirian di rumah, tangan tidak berhenti-henti daripada memberikan komen, membalas chat dan membaca berita-berita tentang ragam manusia di media sosial, lama kelamaan mereka semakin berani untuk memberikan pendapat atau berkongsi berita yang akhirnya memakan diri sendiri. Barangkali inilah situasi yang dialami oleh si ibu yang berkongsi cerita paksu kononnya si guru makan di dalam kelas semasa bulan Ramadan. Bagaimanakah si ibu boleh berfikir sampai ke tahap itu untuk memburuk-burukkan guru yang mendidik dan mengasuh anaknya sendiri?
Perasaan hormat terhadap orang lain semakin terhakis dari jiwa umat manusia pada zaman globalisasi ini. Semua orang berlumba-lumba untuk menunjukkan bahawa dirinya yang terbaik dalam kalangan penduduk bumi ini. Mereka akan jadi bongkak dan riak apabila sesuatu yang dikongsikan di media sosial mendapat ribuan tanda suka dan komen yang memuji atau menyokong tindakannya. Golongan ini tidak segan-segan mengadakan sesi siaran langsung untuk mengumpul pengikut agar mereka dikenali oleh sebahagian besar penduduk bumi. Walau bagaimanapun, amatlah tidak wajar andai kita sengaja mereka-reka cerita untuk menghasut orang lain supaya membenci orang yang kita tidak suka. Golongan guru mempunyai risiko untuk difitnah memandangkan mereka amat dekat dengan ibu bapa dan pelajar. Saya amat rimas apabila ada ibu bapa dipanggil ke sekolah untuk membincangkan hal akademik dan disiplin anak sanggup merakamkan perbualan atau membuat video dalam sesi itu. Saya akan tamatkan perbincangan itu kalau saya tahu. Hal ini dikatakan demikian kerana hal-hal pendidikan ini kurang manis dikongsikan di media sosial. Jika ada guru yang berkongsi video mengenai perlakuan anak saya tanpa kebenaran saya akan ambil tindakan terhadap guru tersebut. Begitu juga dengan ibu bapa yang melakukan perkara yang sama.
Tugas guru mendidik pada zaman ini tidak mudah dengan sikap segelintir manusia yang memandai-mandai menunjukkan yang betul dan yang salah. Seharusnya, kita sebagai ibu bapa haruslah berterima kasih dan memberikan sokongan terhadap guru. Walaupun kita berpangkat, berharta, dan jutawan tunjukkanlah rasa syukur kerana ada guru yang membantu mendidik dan mengasuh anak kita hingga menjadi insan yang berguna suatu hari nanti. Perbuatan sengaja memfitnah dan menceritakan tentang baik buruk seseorang guru hendaklah dihentikan. Jika betul guru itu melakukan kesilapan atau kesalahan, kita sebagai ibu bapa harus menggunakan saluran yang betul. Baik guru atau ibu bapa perlulah matang dan rasional jika mahu berkongsi sesuatu berita atau video di media sosial. Tindakan melulu tanpa berfikir panjang boleh mendatangkan masalah yang menuntut masa dan komitmen untuk menyelesaikannya. Saya terlalu takut melihat perkongsian tentang ragam dan karenah murid tahun 1 di media sosial walaupun perkongsian itu dengan izin atau dikongsikan oleh ibu bapa murid itu sendiri. Walau bagaimanapun, siapalah orang seperti saya untuk melarang orang daripada melakukan semua itu? Oleh itu, jauh di sudut hati saya mendoakan agar mereka dihindari daripada masalah akibat daripada perkongsian sebegitu. Ingatlah, hari ini kita mungkin bangga dan suka kerana dikagumi oleh jutaan orang yang membaca dan menonton perkongsian kita, jangan pula esok kita menyesalinya kerana sesal selalu datang kemudian.