Oleh MOHD. AYOP ABD RAZID
Penganalisis media di Bahagian Penerbitan Dasar Negara, Jabatan Penerangan.
Gaza bergolak lagi. Sejak serangan tentera udara rejim Zionis itu minggu lalu lebih 20 orang telah terkorban. Walaupun serangan itu disasarkan kepada pejuang Hamas, namun orang awam termasuk kanak-kanak menjadi mangsa utamanya. Serangan ganas Israel ini mengingatkan kita akan peristiwa serangan tentera udara rejim Zionis ke atas Gaza pada Disember 2008 yang berlarutan selama dua minggu. Serangan tidak berperikemanusiaan itu telah mengorbankan lebih 800 nyawa dan memusnahkan begitu banyak harta benda yang tidak ternilai harganya. Kebanyakannya mereka yang terkorban adalah orang awam termasuk wanita dan kanak-kanak yang tidak berdosa. Serangan-serangan terbabit membuktikan hasrat Israel untuk menguasai wilayah terbabit tidak pernah luntur. Bagi Israel, halangan terbesar yang terpaksa dihadapinya ialah berhadapan dengan pejuang Hamas yang merupakan kumpulan pejuang yang terkuat dan berpengaruh di Gaza. Justeru, serangan udaranya kali ini adalah siri-siri serangan bertujuan melemahkan kekuatan Hamas di Gaza.
Doktrin Jungle Law dan dasar pre-emptive Israel yang dilaksanakan sejak tahun 1967 menghalalkan serangan ke atas negara atau musuhnya tanpa menghiraukan peraturan dan undang-undang antarabangsa. Dasar-dasar itulah yang telah mencetuskan pelbagai bentuk kekejaman yang di luar batas kemanusiaan seperti tragedi Sabra dan Shatila pada 16 September 1982 dan siri-siri serangan ke atas rakyat Palestin serta beberapa peperangan Arab-Israel yang telah mengorbankan banyak nyawa umat Islam di Asia Barat. Pada hemat penulis, Gaza yang dalam rancangan untuk dijadikan negara Palestin yang merdeka itu tidak akan menjadi kenyataan kerana hasrat sebenar rejim Zionis itu adalah untuk menguasai keseluruhan bumi Palestin. Jika ditakdirkan PBB dan AS berjaya mewujudkan Gaza sebagai Palestin yang merdeka, namun keselamatan Gaza yang merdeka itu tetap tidak akan terjamin kerana Zionis Israel akan terus menyerang dan menguasai wilayah itu. Segala bentuk pelan damai dan perjanjian perdamaian hanyalah tipu daya dan political game rejim Zionis. Serangan ke atas Hamas itu juga bertujuan untuk memberikan mesej bahawa Israel akan terus mengamalkan forward defence ke atas semua musuh di rantau Asia Barat. Inilah kehendak golongan realisme yang menjadi tunjang kepada gerakan Zionisme.
Apa yang diinginkan oleh golongan realisme Zionis itu ialah kemenangan dan kuasa. Israel mahu merealisasikan kemenangannya berhadapan dengan Hamas di Gaza dan wilayah itu mesti dikuasai. Serangan kali ini juga menunjukkan bahawa Israel ingin mempamerkan kehebatan ketenteraan dan pengaruhnya kepada dunia bahawa rejim itu adalah kuasa yang kebal di mana keselamatannya dilindungi oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) serta kuasa Eropah yang diketuai Amerika Syarikat (AS). Dunia tahu bahawa AS adalah pelindung utama Zionis Israel di bumi Palestin. Sejak Jimmy Carter menjadi Presiden AS pada tahun 1977, negara pelindung Israel itu telah mengamalkan dasar membendung kebangkitan negara Arab. Mana-mana pemimpin negara Arab yang cuba menjadi 'hero' kepada rakyat Palestin dan memusuhi Israel akan menjadi mangsa AS seperti yang berlaku ke atas Saddam Hussein di Iraq.
Walaupun Jimmy Carter berjaya melaksanakan perjanjian Kem David antara Israel dan Mesir pada tahun 1978, namun perjanjian itu bukan bertujuan menyelesaikan konflik Arab-Israel dan Zionis-Palestin tetapi perjanjian terbabit hanya perjanjian teknikal untuk Anwar Sadat mendapatkan kembali wilayahnya yang dikuasai Israel dalam Perang Enam Hari pada tahun 1967. AS akan terus mempertahankan tindakan ganas rejim Zionis itu. Untuk memastikan negara-negara Arab berada di bawah telunjuknya maka pemimpin AS yang silih berganti itu akan terus menyalurkan dana dan sokongan keselamatan kepada Israel. Malah, sokongan dan bantuan yang diberikan kepada Fatah mempunyai agenda yang tersembunyi. Hamas pula dilabelkan sebagai pengganas bertujuan untuk memastikan konflik berlaku antara kedua-dua organisasi rakyat Palestin itu supaya mudah bagi AS dan Zionis memecahbelahkan rakyat Palestin yang buminya kini hanya tinggal 'sekangkang kera' sahaja.
Ketika Hamas memenangi pilihan raya Parlimen Palestin pada Januari 2006, Israel dan AS cuba menyingkirkan Hamas melalui pelbagai usaha termasuk mengenakan sekatan ekonomi ke atas Gaza. Malah, perjanjian Makkah pada Disember 2006 yang termeterai untuk membentuk kerajaan campuran juga tidak disenangi mereka. Usaha jahat AS dan Zionis akhirnya mencetuskan perbalahan dan pertumpahan darah antara Hamas dan Fatah di Gaza pada Jun 2007. Mahmoud Abbas yang membentuk kerajaan Tebing Barat mengisytihar Gaza sebagai wilayah pengganas. Mahmoud mendapat sokongan kuat AS dan Eropah yang mencurahkan berjuta dolar untuk melatih dan menguatkan pasukan keselamatannya. Apabila berlakunya peristiwa 11 September 2001, Presiden AS George W. Bush telah mengambil kesempatan untuk terus mengawal dan menguasai negara-negara Arab melalui agenda memerangi keganasan yang dilaksanakannya. Mana-mana negara yang dilihat memusuhi AS dan Zionis akan dilabelkan sebagai 'negara paksi kejahatan' seperti Iraq, Iran dan Afghanistan.
Hubungan AS dengan pemimpin Arab Saudi dan Kuwait terus diperkukuh kerana negara-negara Arab terbabit merupakan sumber minyak dunia serta dapat membantunya dalam hal-hal mengenai keselamatan di rantau Asia Barat. Malah, pangkalan tentera AS telah pun wujud di kedua-dua negara berkenaan. Dalam konteks Iran, dasar AS terhadap negara itu adalah merupakan satu usaha AS untuk membendung Iran muncul sebagai negara kuasa besar dan memiliki senjata nuklear yang boleh mengancam kedudukan negara haram Israel di bumi Palestin serta mengancam kedudukan AS di rantau Asia Barat. Kesimpulannya, serangan ke atas warga Palestin di Gaza menjadi bukti nyata bahawa rejim Zionis itu tidak akan sama sekali boleh diharapkan untuk berdamai dengan rakyat Palestin. Israel selamanya akan terus mengancam keselamatan rakyat Palestin yang tidak pernah diberi sebarang jaminan keselamatan oleh PBB dan AS. Sebaliknya negara pengganas Israel itulah yang diberikan perlindungan serta bebas melakukan apa saja ke atas rakyat Palestin dan negara-negara Arab sekitarnya melalui doktrin Jungle Law dan dasar pre-emptive yang dilaksanakannya sejak sekian lama menguasai Palestin.
Sila berikan komen anda. Terima kasih.
Sumber
Utusan Malaysia
14 Mac 2012