Akibat dirotan guru tabika, seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun lebam di kaki, tangan dan badan hingga dimasukkan ke hospital dalam kejadian Khamis, 27 Julai 2011. Difahamkan, mangsa yang dikenali sebagai Nur, 6, kini dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) sejak Isnin lalu akibat kecederaannya selepas dirotan guru terbabit yang mengajar di Taman Pelangi, Sentul. Akibatnya, mangsa trauma dan kini tidak mahu ke sekolah, malah sering meracau pada waktu malam. Menceritakan kejadian itu, Nur berkata, guru terbabit memukulnya dengan rotan panjang beberapa kali dan bukan dia saja yang menjadi mangsa, tetapi beberapa rakannya turut dirotan. Katanya, ini bukan kali pertama dia diperlakukan begitu, malah sudah lebih 10 kali, tetapi dia mendiamkan diri selepas diugut guru itu supaya tidak mengadu kepada keluarga.
“Saya tidak pernah memberitahu nenek kejadian itu kerana takut dirotan,” katanya ketika ditemui di HKL, semalam. Nenek mangsa yang dikenali sebagai, Mastura, 60, berkata dia mengetahui kejadian menimpa cucunya itu kira-kira jam 12 tengah malam pada hari kejadian ketika mahu menyapu losyen di badan cucunya yang dijaga sejak kecil itu. “Saya terkejut selepas mendapati kaki, tangan dan badannya lebam dan cuba bertanyakan hal itu. “Pada mulanya dia enggan menceritakan hal sebenar dan memberitahu digigit nyamuk, selepas dipujuk baru dia memberitahu kerap dirotan guru walaupun tidak melakukan kesalahan,” katanya. Menurutnya, ini bukan kali pertama dia nampak kesan kemerahan di badan cucunya itu, malah sudah beberapa kali sejak dia mula belajar di tabika berkenaan mulai awal tahun ini. “Cucu saya itu juga sudah tidak seceria dulu dan kini semakin murung,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Setapak, Jumaat lalu. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian terbabit dan siasatan lanjut dijalankan.
PENDAPAT CIKGU ZUL
Saban tahun kita akan disajikan dengan berita guru merotan murid sehingga menyebabkan kecederaan dan ada yang dimasukkan ke hospital. Pada pandangan saya, sebagai seorang guru, amalan merotan pelajar yang melakukan kesalahan seharusnya diharamkan di peringkat sekolah taska, tadika, dan sekolah rendah. Hal ini demikian kerana guru yang merotan kadang-kala keterlaluan sehingga menyebabkan kesakitan yang amat sangat kepada kanak-kanak tersebut. Saya tidak menafikan kenakalan dan kedegilan kanak-kanak tersebut kadang-kadang meruntuhkan kesabaran dan mengoyahkan keimanan kita untuk mendidik, namun seboleh-bolennya kita janganlah menggunakan rotan untuk mendisiplinkan mereka. Saya tidak dapat bayangkan betapa sakitnya rasa dirotan oleh guru seusia 5 hingga 6 tahun, sehingga rasa takut dan ngeri sentiasa menerpa apabila berjumpa dengan guru tersebut. Cuba bayangkan, betapa sakitnya apabila budak sekecil itu mandi atau berbaring untuk melelapkan mata pada waktu malam. Bukankah tindakan kita (guru) merotan mereka menjadikan mereka menderita kesakitan dan ketakutan sepanjang masa.
Setiap orang ada pandangannya. Setiap orang juga ada caranya. Walau apapun tanggapan, saya tetap berpendirian bahawa kanak-kanak pada zaman ini tidak sewajarnya dirotan. Cara kita mendidik pelajar harus diubah. Jika kita tidak mahu guru lain merotan anak kita, lebih baik kita jangan memulakannya dengan merotan anak orang lain. Kata-kata ini mungkin pahit untuk ditelan, tetapi inilah hakikat yang harus digenggam oleh setiap pendidik. Jika kita berpendapat kita berjaya menjadi guru, doktor, peguam dan pelbagai lagi kerana guru kita merotan kita, tanggapan itu sewajarnya dilemparkan jauh-jauh kerana zaman sudah berubah dan musim pun sudah berbunga. Pada era ini cara kita mendisiplinkan dan mendidik anak-anak didik hendaklah diubah. Tindakan menggunakan kekerasan seperti merotan mungkin akan memburukkan lagi keadaan. Hal ini demikian kerana kanak-kanak pada era ini terlalu manja dan tidak tahan lasak. Kita harus banyakkan membaca buku-buku yang berkaitan dengan pedagogi untuk menjadi pendidik yang baik, cemerlang dan gemilang di abad ini. Kita tidak lagi boleh berpegang kepada cara lama untuk melahirkan doktor, jurutera mahupun angkasawan yang bakal memacak nama Malaysia di persada dunia pada masa depan. Tebalkan rasa sayang, tebalkan rasa perikemanusiaan, tebalkan kesabaran, demi kesejahteraan dan kebahagiaan anak-anak didik kita.
Pandangan ini merupakan cetusan minda peribadi yang tidak memihak atau merendah-rendahkan sesiapa. Pandangan ini mungkin ada kelemahannya atau ada biasnya pada orang lain, namun bagi Cikgu Zul sendiri, semua yang terlukis dan tertulis ini adalah lahir dari hati. Jika ada yang tersentuh dengan pandangan ini, maaf dan ampun dipohon. Akan tetapi, jika pendapat ini ada kebaikannya, jadikanlah sebagai panduan kita bersama untuk menaikkan martabat dan darjat profesion perguruan di mata dunia.
SEKIAN
CIKGU ZULKARNAIN FARIHIN