JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



12 Mac 2012

ISU EKONOMI : SESI EKONOMI KESAN GAJI SSM

Oleh ROHAMI SHAFIE

PENULIS ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan, Pusat Pengajian Perakaunan dan Felo Penyelidik Institut Penyelidikan Pengurusan dan Perniagaan, Kolej Perniagaan (COB) Universiti Utara Malaysia


ALHAMDULLILLAH, syukur ke hadrat Allah SWT isu mengenai Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dapat ditangani dengan baik dan berhemah. Biarpun masih ada segelintir yang tidak berpuas hati, namun, suara majoriti kakitangan awam berjaya mengatasi tindakan tergesa-gesa yang dilakukan oleh segelintir golongan yang menguasai perkhidmatan awam. Sebarang tindakan yang dilakukan dengan tergesa-gesa, nescaya kesannya tidak meyakinkan sesiapa sahaja, bahkan memburukkan lagi keadaan. Sektor awam adalah jentera yang amat penting di Malaysia, nasib para pekerjanya perlu dibela dan dijaga. Tindakan yang menyebabkan mereka berasa tidak puas hati bukan sahaja boleh memudaratkan kerja-kerja mereka sebagai individu tetapi juga memberi implikasi negatif terhadap ekonomi negara. Jangan sesekali memandang remeh suara-suara mereka. Gunalah kuasa yang diamanahkan oleh Allah SWT sebaik-baik mungkin dan bukannya untuk kepentingan diri sendiri.

Tahniah kepada Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CEUPACS) yang berjuang habis-habisan membela nasib majoriti para pekerja sektor awam terutamanya golongan bawahan. Cadangan penubuhan suruhanjaya bagi mengkaji secara komprehensif sistem saraan penjawat awam perlu disegerakan dan ahli-ahlinya mestilah mewakili keseluruhan para pekerja di sektor awam dan bukannya dikuasai oleh segelintir golongan yang tidak memahami kedudukan para pekerja bawahan. Jangan diulang lagi kesilapan yang dilakukan di bawah SBPA kerana ia menjejaskan reputasi dan imej kerajaan itu sendiri. Bagi pelarasan gaji di bawah Sistem Saraan Malaysia (SSM), tambahan peruntukan adalah sebanyak RM6 bilion. Bayangkan betapa besarnya peruntukan bagi membiayai pelarasan gaji sekiranya SBPA dilaksanakan sepenuhnya berbanding di bawah Sistem Saraan Malaysia (SSM).

Tidak mustahil, tidak sampai lima tahun, Malaysia di ambang kemuflisan kerana terpaksa berhutang menggunakan dana luar melalui penerbitan bon kerajaan. Wang yang dikutip melalui cukai pastinya tidak mencukupi kerana wang tersebut juga digunakan untuk sektor-sektor lain seperti pendidikan dan kesihatan. Tindakan memansuhkan SBPA dengan menggantikan SSM yang ditambah baik adalah tindakan yang mengambil kira kedudukan kewangan negara. Pelarasan gaji kakitangan awam boleh memacu ekonomi domestik negara dengan peningkatan perbelanjaan pengguna. Limpahan ini bukan setakat untuk kakitangan awam tetapi untuk para peniaga yang sentiasa mendambakan peningkatan hasil jualan. Sekali gus ia boleh merancakkan keseluruhan ekonomi negara ketika dunia bergelut dengan krisis ekonomi. Ia umpama pakej rangsangan yang menjadi penampan buat seketika bagi mengurangkan kesan krisis ekonomi terhadap negara kita. Namun demikian, apa yang dikhuatiri adalah kesan terhadap kenaikan harga barangan dan perkhidmatan.

Perkara ini acapkali berlaku dan pihak yang berkenaan perlulah bertindak dengan segera agar kenaikan harga barangan dan perkhidmatan tidak berlaku. Satu perkara yang cukup menarik adalah Bank Negara Malaysia (BNM), minggu lalu telah mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada tiga peratus. Ini membayangkan kadar inflasi dijangka stabil dalam tempoh terdekat ini. Dengan pengumuman pelarasan gaji kakitangan sektor awam, inflasi akan meningkat jika pihak berkenaan tidak berusaha mengambil tindakan segera terhadap para peniaga yang sengaja menaikkan harga barangan dan perkhidmatan. Ketika itu, BNM berkemungkinan membuat keputusan untuk menaikkan OPR. Kenaikan OPR boleh mengurangkan jumlah pinjaman seterusnya boleh mengurangkan perbelanjaan pengguna. Secara tidak langsung, boleh merencatkan pertumbuhan ekonomi negara yang mana pada masa akan datang banyak bergantung pada ekonomi domestik berbanding pelaburan langsung asing (FDI).

Justeru, ekosistem ekonomi negara yang baik diperlukan bagi memakmurkan negara merangkumi semua pihak terutama pihak berkuasa dan penguat kuasa yang diamanahkan untuk "menjaga" ekonomi negara. Di samping itu, pengumuman SSM memberi sedikit kelegaan buat para pekerja sektor awam yang bakal menikmati kenaikan Elaun Bantuan Sara Hidup (COLA). Kenaikan ini sedikit sebanyak boleh meringankan beban kos sara hidup yang semakin tinggi yang dirasai oleh para pekerja sektor awam. Kesan kenaikan kos sara hidup yang tinggi bukan sahaja dirasai oleh mereka yang bekerja di bandar-bandar besar tetapi juga mereka yang bekerja dan menetap di pedalaman.

Gaji dan COLA telah dinaikkan, bagaimana pula dengan produktiviti para pekerja sektor awam? Mahu tak mahu, para pekerja sektor awam perlu meningkatkan produktiviti dan kualiti perkhidmatan mereka. Produktiviti sektor awam sekurang-kurangnya perlu ditingkatkan pada paras kenaikan gaji dan COLA. Jika ia berada di bawah kenaikan gaji dan COLA, ia boleh menjejaskan ekonomi negara. Produktiviti adalah antara enjin utama pertumbuhan ekonomi mana-mana negara di dunia. Produktiviti melebihi kadar upah membawa implikasi positif kepada negara. Justeru, dalam keadaan sebegini, tidak menjadi satu masalah untuk kerajaan menaikkan gaji kakitangan awam pada masa akan datang.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber
Utusan Malaysia
12 Mac 2012