JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



26 Oktober 2011

ISU BAHASA : BAHASA MELAYU SEPERTI MELUKUT DI TEPIAN GANTANG

Oleh Imlan Adabi
bhnews@bharian.com.my


BATIK MALAYSIA

Jika seorang tokoh berucap menggunakan bahasa Inggeris pada majlis rasmi, siapakah yang berhak menegurnya? Apakah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) atau pengerusi majlis? Jika pengacara radio menggunakan bahasa rojak dan disambut pendengar dengan bahasa yang bercampur aduk, apakah Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (SKMM) berkuasa untuk melarang dan mengambil tindakan tegas terhadap stesen penyiaran? Apakah peranan badan penyiaran dan masyarakat terhadap kedaulatan bahasa Melayu yang kononnya bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi di Malaysia? Persoalan demi persoalan mengenai isu bahasa Melayu tidak pernah reda. Kecelaruan dan sikap rendah diri di kalangan segelintir bangsa Melayu menyebabkan bahasa kebangsaan sering tercabar. Jangan terperanjat jika petugas kaunter makanan segera bertanya menggunakan bahasa Inggeris semata-mata untuk mengambil pesanan sekadar paha ayam goreng, kentang putar dan air bergas.

Di dalam pesawat nasional pula, pramugari menggunakan bahasa Inggeris sebagai ucapan pendahuluan kepada penumpang, disusuli bahasa Melayu sebagai bahasa kedua. Syarikat pengeluar kereta nasional menggunakan ejaan salah untuk ‘automobil’ lalu lahir syarikat Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd. Tiada siapa yang berani menegur sebuah syarikat berkaitan kerajaan menggunakan ejaan salah sejak hampir 30 tahun lalu. Hari ini isu bahasa Melayu longlai di negaranya sendiri bukan sesuatu yang asing dan aneh. Nilai ekonomi makin merudum kerana sistem pasaran terbuka menginginkan urus niaga pantas dan cepat. Bahasa Inggeris dianggap bahasa global, tanpa disedari bahasa Melayu sekadar rintihan segelintir sasterawan dan pencinta bahasa yang tidak mempunyai apa-apa kuasa selain suara dan pena saja! Pada 13 Oktober lalu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin merasmikan Bulan Bahasa Peringkat Kebangsaan di Universiti Teknikal Melaka Malaysia (UTeM), Melaka.

Kita tidak tahu sejauh mana kesannya terhadap kedaulatan bahasa Melayu sendiri. Jika ikut kepada tradisi, majlis tak lebih daripada baca sajak, bersyair, berpantun, pidato, peraduan menulis khat dan kemudian bahasa Melayu kurang mendapat tempat. Ketua Bahagian Komunikasi Korporat DBP, Abdul Ghapar Abdullah, berkata sikap tidak bangga, tiada kesedaran dan kurang jati diri bangsa menyebabkan usaha memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan terjejas. Beliau mengakui DBP tidak mempunyai kuasa undang-undang untuk bertindak terhadap golongan yang mengabaikan bahasa Melayu. DBP memang bertanggungjawab memastikan penggunaan bahasa kebangsaan dengan betul tetapi tidak mempunyai kuasa untuk menghalang orang ramai daripada tidak menggunakan bahasa Melayu. “Contohnya seperti kempen Ops Sikap yang dilaksanakan polis. Walaupun pelbagai usaha dan kempen yang dilakukan, kemalangan tetap berlaku dan ia berpunca daripada sikap pengguna jalan raya, ” katanya.

Mengambil contoh penggunaan bahasa kebangsaan yang betul di papan iklan pula, beliau berkata DBP tidak mempunyai kuasa untuk mengenakan peraturan kerana yang ada kuasa ialah pihak berkuasa tempatan (PBT). Jika PBT sendiri tidak arif, lalu wujudlah papan tanda ‘Ah Seng jahit wanita’ seperti yang ada sekarang. Bagi pejuang dan pakar bahasa kebangsaan, Dr Awang Sariyan, proses globalisasi sebahagian besarnya melalui perantaraan bahasa Inggeris, menimbulkan keghairahan yang kadangkala berlebihan di kalangan masyarakat untuk mengutamakan penguasaan bahasa Inggeris dan mengurangkan perhatian kepada penggunaan bahasa Melayu. “Budaya berbahasa Melayu dalam pelbagai aspek kehidupan masyarakat Malaysia, termasuk dalam kalangan orang Melayu sendiri tidak cukup mantap kerana adanya anggapan bahasa Melayu tidak berhubung kait dengan taraf sosial dan ekonomi,” katanya.

SUMBER
BERITA HARIAN
26 OKTOBER 2011



ISU UMUM : MALAYSIA LEBIH SELAMAT DALAM SITUASI EKONOMI DAN POLITIK GLOBAL


Walaupun Malaysia lebih demokratik dari Singapura tetapi lebih banyak gambaran negatif yang diberikan oleh media Barat terhadap Malaysia berbanding dengan Singapura sekalipun Lee Kuan Yew memusuhi mereka. Apakah sebabnya? Malaysia adalah sebuah negara Islam bersifat majmuk atau multiracial di bawah kepimpinan Melayu dan Islam yang berjaya dalam memberikan maruah yang tinggi kepada orang Islam dan bukan Islam menerusi dasar sosialisme dan kapitalisme yang bijak dan bukan dengan kekerasan. Perlembagaan telah menakrifkan bahawa Melayu mestilah beragama Islam dan melarang sebarang usaha untuk memurtadkan orang Islam. Keistimewaan kedudukan Melayu ini dianggap sebagai race supremacy yang mesti dipecahkan. Maka, akhir-akhir ini kita telah mula dapat melihat usaha yang agresif secara tersembunyi atau secara terang-terangan dijalankan oleh sesuatu pihak untuk mencemarkan identiti ini atau memecahkan tradisi itu. Dari kaca mata Barat keistimewaan kepada sesuatu kaum dalam masyarakat majmuk yang berkongsi kuasa politik dan kuasa pemerintahan adalah tidak adil dan tidak sewajarnya dibiarkan sekalipun amalan ini berlaku di negara mereka sendiri.

Sebagai kuasa besar, mereka berasa bertanggungjawab untuk membetulkan dunia ini. Maka sebarang dasar yang bertujuan memantapkan kedudukan agama akan ditentang oleh Barat dengan menggunakan ruang-ruang atau isu-isu dalaman sesebuah negara yang dianggapnya tidak demokratik. Apakah tekanan seumpama ini akan didatangkan oleh kuasa Barat terhadap Malaysia? Tidak ada rakan yang kekal kepada Amerika Syarikat (AS) jika kuasa dan kepentingannya tercabar. Kerja ini lebih mudah dilakukan oleh mereka sekarang berbanding dengan keadaan semasa era Tun Dr. Mahathir Mohamad. Ini kerana, sekarang kebebasan tidak lagi dikawal dan ejen-ejen asing dapat bergerak dengan bebas. Inilah cabaran paling sulit sedang dihadapi oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang berkehendakkan kebijaksanaan dan kehalusan beliau dalam menangani masalah politik dalam negara dan juga dalam menjalankan dasar luar negara. Untuk pembangunan maruah bangsa dan nasionalisme memerlukan sikap radikal dan berani seperti Dr. Mahathir yang telah meninggalkan kesan yang mendalam. Tetapi kemaraan globalisasi yang telah pun menjinakkan China dan India terhadap AS, maka siapalah kita sebuah negara kecil untuk bersuara dengan lantang bagi pihak Dunia Ketiga yang mungkin akan mendatangkan ancaman dan gangguan kepada negara kita.

Najib juga telah berusaha untuk meyakinkan dunia terhadap demokrasi Malaysia yang sering dicemarkan oleh ejen-ejen politik asing di negara ini. Penghapusan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang diumumkan olehnya tidak sahaja mematahkan suatu isu popular pembangkang malah memberikan tamparan kepada demokrasi AS sendiri dan meletakkan rakan strategiknya Singapura dalam keadaan serba salah dan tekanan dalam negeri yang semakin hebat. Najib juga telah menjanjikan kebebasan yang lebih luas kepada media, akan menghapuskan pelesenan akhbar dan sebagainya serta menunjukkan sikap positif terhadap tuntutan-tuntutan untuk mengadakan pilihan raya umum yang lebih bersih dan telus. Yang masih tinggal untuk dimomokkan oleh pembangkang sebagai senjata kepada kuasa luar adalah kedudukan Raja-Raja Melayu yang digambarkan sebagai institusi supremacy kedudukan Melayu dan Islam di samping beberapa peraturan yang menampakkan ketidak terbukaan dan ketidakadilan dari segi peluang perniagaan kepada pemodal-pemodal asing dan juga kepada anak negeri yang bukan Melayu. Berakhirnya episod Muammar Gaddafi maka semakin hampirlah AS kepada dasar globalisasi "Satu Amerika Satu Dunia". Syria dan Iran hanya menunggu saat untuk kesempurnaan misi AS di Asia Barat.

Dengan itu, AS akan lebih dapat menumpukan kepada usaha menyempurnakan pendemokrasian Asia terutama di kalangan negara ASEAN yang menjadi rakan strategiknya untuk mengimbangi China. Tekanan secara bijak dan halus akan dilakukan secara terang atau tersembunyi dari masa ke masa ke atas negara-negara yang belum dapat dipegang sepenuhnya. Kepimpinan Singapura telah pun secara rasmi mengundurkan diri baru-baru ini. Kuan Yew bersara sepenuhnya dan tidak lagi menjadi Menteri Mentor atau penasihat. Malaysia juga adalah salah satu anggota ASEAN yang menjadi rakan strategik AS untuk mengimbangi kuasa gergasi dunia yang sedang dalam pembikinan iaitu komunis China. Ini bukan perkara baru kepada Malaysia yang telah pun menjadi rakan Barat sejak sebelum dan selepas merdeka berbanding dengan negara lain di Asia, tetapi ini belum tentu akan menjamin keselamatan Malaysia. Sejauh ini Najib telah pun menunjukkan kefahaman dan kebijaksanaannya untuk Malaysia terus selamat dalam situasi ekonomi dan politik dunia yang amat mencabar. Sebenarnya bukanlah suatu perkara baru Malaya dan Malaysia menjadi kawan baik Barat atau menjadi alat kepada Barat tetapi kebijaksanaannya dalam mengendalikan sikap ini mengikut keadaan semasa telah memberikan kesempatan kepadanya untuk membina bangsa yang terhormat dan bermaruah di atas faktor keselamatan dan kestabilan negara.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
26 OKTOBER 2011


ISU SOSIAL : PENDUDUK DUNIA CECAH 15 BILION


DIWALI RANGOLI BERCORAK BUNGA

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran penduduk dunia akan mencecah 15 bilion orang menjelang akhir abad ini, menyebabkan tekanan berat kepada sumber planet Bumi, kecuali tindakan segera diambil untuk mengawal kadar pertumbuhan. Perangkaan itu berkemungkinan mengejutkan ramai pakar kerana ia jauh lebih tinggi berbanding yang dianggarkan. Terdahulu, PBB menganggarkan dunia akan memiliki 10 bilion penduduk menjelang akhir abad ini, manakala ketika ini hampir tujuh bilion orang menghuni dunia.  Perangkaan baru itu dinyatakan dalam kajian oleh Dana Kependudukan PBB (UNFPA) yang akan disiarkan minggu ini. Laporan bertajuk ‘Kedudukan Penduduk Dunia 2011,’ dihimpun untuk menandakan bahawa di mana-mana saja di muka Bumi, bayi yang dilahirkan akan menjadikan penduduk dunia melebihi tujuh bilion.  

Sebahagian pakar memberi reaksi terkejut dengan perangkaan itu. Pengerusi Population Matters, Roger Martin, yang berkempen untuk mengawal penduduk, berkata Bumi memasuki fasa baru yang bahaya.  Planet kita menghadapi masalah dari semua aspek termasuki pertumbuhan penduduk dan perubahan suhu. Planet sebenarnya tidak menampung tujuh bilion penduduk.  Bumi mempunyai dua kali ganda penduduk sejak tahun 1960-an, disebabkan kadar kelahiran tinggi di Afrika, Asia dan Amerika Latin.  Sebahagian lagi masih ragu-ragu dengan fakta bahawa penduduk dunia akan mencecah 15 bilion dengan kadar segera. Penulis Population Bomb, Profesor Jack Goldstone, dari Universiti George Mason, berkata beliau yakin pemimpin dunia akan mengambil tindakan tertentu untuk memastikan penduduk dunia dapat dikurangkan.  

Cara mengurangkan bilangan kanak-kanak dalam keluarga tersebar ke seluruh dunia. Diramalkan penduduk dunia akan menambah 10 hingga 12 bilion penduduk menjelang 2100.  Ramai pakar dasar percaya kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) mempunyai cara mengehad dan mengawal penduduk dunia. Kunci utama, kata mereka ialah memastikan perancangan keluarga yang berkesan disampaikan ke seluruh negara membangun.  Apa yang amat kritikal ialah komitmen kerajaan. Perancangan keluarga sebenarnya tidak mahal,” kata Naib Presiden Majlis Kependudukan beribu pejabat di New York, John Bongaarts.  Bagaimanapun, aktivis isu perancangan keluarga berdepan faktor budaya dan agama yang menjadikan usaha mendidik wanita dan mengurangkan saiz keluarga sukar.

SUMBER
BERITA HARIAN
26 OKTOBER 2011