JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



03 Februari 2012

ISU SOSIAL : USAH NAFI HAK OKU PENDENGARAN

Oleh SITI SUHAILA SAMIAN
PENULIS ialah Pensyarah Pendidikan Khas Politeknik Ibrahim Sultan


Usah pandang rendah kepada mereka. Ada ketikanya mereka lebih hebat dan menyerlah daripada kita insan yang sempurna. Mereka sering dipandang sebelah mata, dikatakan tidak produktif dan tidak mampu memberikan sumbangan kepada pembangunan negara. Stigma dan pandangan sinis ini menjadikan OKU terpinggir di dalam komuniti yang sewajarnya membela hak mereka dalam pelbagai aspek kehidupan. Sebenarnya banyak usaha digerakkan dalam meningkatkan keupayaan golongan ini untuk melibatkan diri dalam aktiviti yang memberikan sumbangan kepada negara. Aspek pendidikan menjadi salah satu agenda kerajaan bagi membantu golongan ini. Kementerian Pengajian Tinggi melalui Jabatan Pengajian Politeknik mempelopori usaha menawarkan pendidikan teknik dan vokasional di peringkat pengajian tinggi kepada OKU pendengaran sejak 10 tahun lalu. Namun hakikatnya, masih ramai yang tidak tahu wujudnya program ini. Apabila saya menyatakan bahawa saya merupakan salah seorang tenaga pengajar kepada golongan ini di politeknik, ramai terkejut dan bertanya benarkah wujud program tersebut di politeknik? Ini menunjukkan ada segelintir masyarakat yang tidak peka dengan isu-isu yang menghantui OKU di negara sendiri.

Politeknik telah menunaikan tanggungjawab khidmat sosial sejak sedekad lalu tanpa gagal. Kita sering mendengar tanggungjawab ini hanya dilaksanakan di syarikat-syarikat korporat, namun institusi pendidikan juga mempunyai tanggungjawab yang tidak kurang pentingnya dalam memberikan perkhidmatan kembali kepada komuniti. Hal ini selari dengan matlamat Rancangan Sedunia Bangsa-Bangsa Bersatu untuk pelajar berkeperluan khas (United Nations Global Programmes on Disablity) dalam artikel bertajuk " Dasar dan Pelaksanaan Sistem Pendidikan Kebangsaan" oleh Hasnan dan Syed Othman (2001), yang menyarankan supaya golongan itu diberi peluang untuk membangun agar dapat menyertai masyarakat secara berkesan. Bahagian IV Akta Orang Kurang Upaya 2008 dalam Bab 1 (Perkara 28) iaitu akses kepada pendidikan jelas menyatakan antaranya OKU tidak boleh dikecualikan daripada sistem pendidikan umum atas asas ketidakupayaan, dan kanak-kanak kurang upaya tidak boleh dikecualikan daripada pendidikan prasekolah, rendah, menengah dan tinggi, atas asas kesetaraan dengan orang atau kanak-kanak kurang upaya, termasuk latihan vokasional dan pembelajaran sepanjang hayat.

Kerajaan dan penyedia pendidikan swasta hendaklah membolehkan orang dan kanak-kanak kurang upaya melanjutkan pelajaran, menyediakan penyesuaian munasabah yang sesuai dengan keperluan OKU dari segi prasarana, kelengkapan dan bahan pengajaran, kaedah pengajaran, kurikulum dan bentuk sokongan lain yang memenuhi pelbagai keperluan orang atau kanak-kanak kurang upaya. Justeru, bagi memenuhi keperluan pendidikan peringkat tinggi kepada golongan ini, Politeknik Ibrahim Sultan (PIS) yang dahulunya dikenali sebagai Politeknik Johor Bahru, Politeknik Ungku Omar (PUO), Ipoh dan Politeknik Shah Alam (PSA) merupakan tiga politeknik terawal yang menggalas tanggungjawab dengan pengambilan pertama pada Jun 2000. Beberapa tahun selepas itu, Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) di Perlis dan Politeknik Kota Kinabalu (PKK) melebarkan usaha ini. Kolej Komuniti Selayang pula merupakan kolej komuniti pertama di bawah Jabatan Pengajian Kolej Komuniti yang proaktif dengan menawarkan program kepada OKU pendengaran dan OKU bermasalah pembelajaran.

Kesediaan Jabatan Pengajian Politeknik untuk menerima OKU pendengaran lepasan Sijil Pelajaran Malaysia yang cemerlang ke dalam program pengajian peringkat diploma aliran perdana merupakan salah satu ruang yang sangat besar ertinya kepada golongan ini untuk terus bersaing dan membuktikan keupayaan mereka berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah bersama pelajar biasa dalam persekitaran pembelajaran inklusif. Sepanjang pelaksanaan, program yang ditawarkan kepada golongan ini adalah Sijil Kemahiran Khas Politeknik Rekabentuk Grafik, Rekaan Fesyen dan Pakaian, dan Pengurusan Hotel dan Katering di PJB, Sijil Kemahiran Khas Politeknik Pengurusan Hotel dan Katering di PTSS dan PKK, Program Sijil Kemahiran Awam Pembinaan di PUO dan Sijil Kemahiran Penyenggaraan Mekanikal di PSA. Dalam usaha memupuk kecemerlangan pelajar dari golongan ini, tenaga pengajar menjadi salah satu faktor pembentukan sumber tenaga bermutu dalam penyaluran pendidikan teknik dan vokasional. Para pelajar dibekalkan dengan tenaga pengajar berlatar belakangkan pendidikan khas serta yang kompeten dalam bidang masing-masing yang dilengkapi kemahiran berbahasa isyarat yang baik.

Keupayaan menguasai kemahiran berbahasa isyarat memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung berdasarkan konsep Outcome Based Education (OBE) yang dilaksanakan di institusi pendidikan. Pengajaran dan proses pembelajaran dirancang dengan sistematik, mematuhi kurikulum sedia ada serta pelajar dinilai secara holistik meliputi kemahiran, kesungguhan, softskill dan pencapaian akademik. Meskipun mengalami masalah pendengaran, ia bukan bermakna bakat dan kebolehan mereka harus dipertikaikan. Ada di antara mereka yang 'oustanding' sehingga sukar hendak percaya bahawa mereka ialah insan yang dilabelkan cacat dan kurang upaya. Buktinya, salah seorang pelajar PIS, Saiful Nizam Zakaria berjaya menjadi Johan Pertandingan Rekaan Kasut Malaysia 2010 mengatasi insan lain yang sempurna. Pada tahun sama, dua pelajar dari PIS juga berjaya memasuki peringkat akhir Pertandingan Sulaman Manik (FTIMDC).

Tahun 2011, tiga pelajar lagi berjaya memasuki peringkat akhir Pertandingan Rekaan Kasut Malaysia 2011. Malah, PIS wajar berbangga dengan kejayaan pelajar OKU pendengaran yang berjaya menyambung pengajian di peringkat yang lebih tinggi antaranya di Lim Kok Wing University of CreativeTechnology, dan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam. Secara keseluruhannya, politeknik telah menunaikan tanggungjawab mereka untuk melahirkan masyarakat yang berilmu tanpa mengira gender, kaum, agama dan kecacatan. Para pensyarah pula memberikan bimbingan serta ilmu yang dapat meningkatkan pencapaian pelajar agar menjadi generasi dan modal insan berkualiti dalam memacu kecemerlangan diri yang seterusnya dapat memberikan sumbangan dalam pembangunan negara. Hanya penerimaan, komitmen, kesungguhan, dan kerjasama bukan sahaja daripada warga politeknik, malah masyarakat, majikan dan industri juga dapat menerima kehadiran mereka tanpa prejudis.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
3 FEBRUARI 2012

ISU UMUM : PEMIKIRAN RASIONAL PERBAIKI KESIHATAN MENTAL

PENULIS ialah Felo Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan Institut Kefahaman Islam (IKIM)


Ajaran dalam agama Islam mewajibkan setiap umatnya mempercayai perkara-perkara berkaitan Sam'iyyat, iaitu alam ghaib, seperti kehidupan alam roh, kewujudan jin dan syaitan, kewujudan syurga dan neraka, serta sebagainya. Mempercayai kewujudan unsur-unsur ghaib seperti ini sebenarnya merupakan asas kepada rukun Iman. Antara lain, tujuannya memberi panduan dan pedoman kepada umat Islam agar dapat terus menuju ke jalan yang lurus dalam kehidupan dan bukannya ke jalan menyesatkan. Ia sewajarnya dapat membentuk aktiviti dan tingkahlaku dalam menjalani kehidupan secara lebih baik dan dipenuhi dengan limpahan kebaikan dan rahmat, berpandukan kepada ajaran yang terkandung dalam al-Quran dan Sunnah. Bagaimanapun, tidak menjadi kesalahan mempelajari ilmu duniawi, atau ilmu yang tidak secara khusus berkait dengan ilmu al-Quran. Contohnya seperti ilmu statistik dan matematik, atau perubatan, farmasi, kemasyarakatan seperti sosiologi dan komunikasi.

Dalam sejarah dan tamadun Islam juga terdapat beberapa tokoh ulama dan ilmuan tersohor Islam yang merupakan pengasas kepada ilmu moden seperti Ibnu khaldun di bidang sosiologi, Ibnu Sina dalam sains perubatan dan kesihatan mental, Al Khawarizmi yang pakar dalam astronomi, pakar matematik Al Razi dan lain-lain. Hakikat ini menggambarkan kepada kita bahawa mempelajari dan menguasai ilmu moden yang bersifat saintifik dan empirikal adalah satu ajaran Islam dan tidak salah jika mempelajarinya serta bukannya menyeleweng dari ajaran Islam atau membawa kepada kesesatan. Namun secara umumnya, pemikiran saintifik dan empirik seperti ini dilihat semakin jauh dari kehidupan umat Islam pada masa kini. Mempelajari sains dan memiliki cara berfikir yang saintifik dan empirik dalam kehidupan adalah dua perkara berlainan. Seseorang yang mempelajari sains mungkin ada kecenderungan menilai dan memerhati kehidupan berdasarkan kepada fakta dan hujah kukuh, merangkumi dan menjangkaui kaedah berfikir dalam konteks sebab dan akibat.

Namun keadaan ini tidak semestinya berlaku. Ini bergantung kepada sejauh mana matlamat matapelajaran sains itu dihayati dan bagaimana ia diatur dan disampaikan yang akhirnya menentukan kegagalan atau kejayaan dalam membentuk individu atau masyarakat yang berfikiran saintifik. Begitu juga pemikiran saintifik dan empirik akan terbentuk jika mereka dididik sejak awal lagi dengan kaedah pemikiran seperti itu dan dijadikan cara menilai kehidupan dan berfikir tentang kejadian alam di sekitar mereka. Kesan langsung dari pemikiran saintifik dan empirik ini akhirnya melahirkan individu atau masyarakat yang mampu berfikir secara rasional dan objektif. Pemikiran secara rasional pula merupakan persepsi dan pemikiran seseorang individu yang menilai dan melihat kehidupan dari sudut yang mempunyai asas dan fakta yang kukuh dan logik serta boleh diterima oleh akal yang waras dan sihat. Dalam Islam, pemikiran rasional pula wajar untuk tidak melangkaui batasan syariat.

Pemikiran seperti ini menerima sesuatu perkara itu sebagai fakta jika ada hujah atau bukti di belakangnya yang boleh ditentukan tahap kesahihannya. Pemikiran rasional akhirnya membawa kepada cara berfikir yang positif dan realistik dalam diri seseorang. Sebaliknya, pemikiran yang tidak rasional terhasil apabila individu itu menilai peristiwa yang berlaku dalam kehidupannya bukan berdasarkan kepada fakta dan bukti kukuh. Mungkin ia disandarkan hanya kepada cakap kosong di belakang, atau kerana hasutan, gosip dan terpengaruh kepada fitnah, yang sememangnya tiada asas dan bukti yang kukuh. Bahkan, mereka ini tidak pun berusaha menyelidiki kebenaran dan kesahihan bukti yang wujud di sebalik sesuatu maklumat. Akhirnya, ia membawa kepada kecelaruan dan kekacauan pemikiran yang menjejaskan pemikiran rasional sehingga mewujudkan pemikiran yang negatif dan tidak realistik. Amalan ini akhirnya membawa padah yang amat buruk dalam hidup mereka. Maka itu Islam menasihatkan kita agar sentiasa berhati-hati terhadap sebarang berita yang kita terima dari sesiapapun dan pastikan kesahihannya dahulu sebelum mempercayainya.

Kita sering terdengar ungkapan bahawa diri kita ini adalah apa yang kita fikirkan. Jika kita fikirkan kegembiraan, maka kita akan berasa gembira. Dan jika kita fikirkan kesedihan, maka kita akan menjadi sedih, serta mungkin akan terus menangis. Menangis adalah hasil pemikiran kita kerana kita berasa sedih, dan ia adalah satu reaksi yang normal dan mudah, bukan sesuatu yang misteri. Mungkin ada individu yang mudah menangis walaupun tidak berasa sedih, atau ada mereka yang menangis tidak tentu masa, malah ada yang menangis sepanjang masa. Ini juga dapat dirungkaikan secara saintifik, dan ditangani secara mudah secara saintifik juga. Masalah akan timbul jika melihat reaksi menangis tanpa kawalan diri itu sebagai satu misteri, dan akan terus menjadi misteri kerana penjelasan reaksi menangis itu juga berunsur misteri. Begitu juga, jika kita menilai diri sendiri sebagai seorang yang sakit, negatif dan lemah, maka kita tidak akan dapat merasai nikmat kesihatan sepenuhnya. Bahkan, jika kita sering berfikir secara tidak rasional, maka kehidupan tidak dilihat sebagai realistik dan logik. Segala yang berlaku adalah misteri, dan tiada hujah atau fakta yang dilihat boleh berdiri kukuh sebagai bukti di sebaliknya.

Pemikiran yang dilingkungi misteri sering menjadikan kepercayaan berunsur tahyul dan khurafat, bahkan pemikiran yang negatif dan tidak realistik sebagai sumber dalam kehidupan, sama ada sebagai sumber rezeki atau pun sumber hiburan. Pemikiran seperti ini percaya bahawa perjalanan dan segala aktiviti dalam kehidupan ditentukan dan dipengaruhi oleh aspek-aspek tersebut dan ia seperti sesuatu yang lama wujud dan menjadi sebati. Kepercayaan bahawa perjalanan hidup ditentukan oleh pantang-larang dan tahyul serta khurafat secara jelas amat bertentangan dengan ajaran Islam dan ia boleh membawa kepada amalan syirik. Malah, ia juga tidak membantu memiliki tahap kesihatan mental yang baik. Begitu juga, pemikiran negatif dan tidak realistik turut menjadi punca kepada pelbagai masalah kesihatan mental seperti penyakit kebimbangan, kemurungan, ketagihan, penyalahgunaan bahan, konflik dan perseteruan. Bagaimana pemikiran yang negatif dan tidak realistik mendatangkan masalah kesihatan mental dan apakah jaminan bahawa orang yang berfikiran positif dan realistik itu mempunyai tahap kesihatan mental yang baik? Ini memang tidak dapat dinafikan lagi dan sudah terbukti sebagai satu prinsip atau hukum alam, malah pemikiran logik pun akan mengiakannya kerana kita ialah apa yang kita fikirkan dan kita akan melakukan apa yang kita fikirkan itu.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
3 FEBRUARI 2012

ISU PENDIDIKAN : ISU LAMBAKAN GURU SAINS DAN MATEMATIK AGAK KRITIKAL


Seramai 13,000 graduan mengajar Sains dan Matematik di seluruh negara mula menerima kesan penurunan pelajar mengambil jurusan sains sehingga ada yang terpaksa mengikuti latihan semula subjek lain. Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata Kementerian Pelajaran perlu menghantar graduan ke universiti untuk dilatih kemahiran baru bagi mengelak berlaku pengangguran. Mohamed Khaled mengulas taklimat Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Zakaria Kasa yang berkata, berlaku lambakan 13,000 graduan Sains dan Matematik seluruh negara yang dihantar ke universiti itu untuk latihan semula. Turut menyumbang masalah ialah perubahan dasar persaraan wajib penjawat awam daripada 58 tahun kepada 60 tahun.  Bagaimanapun, Zakaria berkata, masalah itu tidak berlaku di UPSI berikutan usahanya menawarkan subjek minor seperti Sejarah kepada pelajar jurusan Sains dan Matematik bagi mengelak berlaku pembaziran tenaga pengajar.  Sebelum ini, akhbar ini melaporkan guru opsyen Matematik dan Sains terpaksa mengajar pelbagai subjek lain, termasuk Pendidikan Jasmani dan Pengetahuan Agama Islam berikutan lebihan guru di sekolah di seluruh negara.

Mohamed Khaled pada amanat tahun barunya dilaporkan berkata, sejak 2007, peratus pelajar mengambil jurusan sains menurun sehingga 29 peratus tahun ini.  Keadaan itu berterusan ke peringkat universiti, jika berlanjutan boleh membantutkan usaha meningkatkan inovasi teknologi ke arah transformasi ekonomi negara maju berpendapatan tinggi.  Dalam perkembangan berkaitan, Mohamed Khaled berkata, pihaknya bangga UPSI muncul universiti pertama menubuhkan sekolah makmal yang menempatkan sekolah bermula prasekolah sehingga Tingkatan Enam Atas di kawasan universiti.  Katanya, ketika ini 70 murid berpeluang mengikuti sesi belajar peringkat prasekolah dan pengambilan pertama murid Tahun Satu bermula sesi pengajian tahun depan, membabitkan 50 murid yang dibahagikan kepada dua kelas.  Katanya, pelaksanaan sekolah makmal ini adalah secara berperingkat dan apabila dilaksanakan sepenuhnya kemasukan keseluruhan pelajar adalah 600 orang.

KOMEN CIKGU ZUL

Isu lambakan guru Sains dan Matematik bukanlah perkara baru namun telah berlaku lebih daripada 10 tahun di sekolah. Hampir kesemua sekolah terutamanya di Sarawak mengalami lebihan guru Matematik dan Sains tetapi ketandusan guru-guru Bahasa Melayu, Sejarah, Pendidikan Moral dan Geografi. Penempatan guru yang tidak seimbang atau ‘penempatan sesuka hati’ pada masa sekarang menyebabkan permohonan pindah ribuan guru Bahasa Melayu ditolak dengan alasan “Khidmat masih diperlukan sebab kekurangan guru opsyen ini”. Persoalannya, jika kurang, mengapa tiada ikhtiar untuk mengatasi? Bagaimanakah kita dapat merealisasikan Dasar Memartabatkan Bahasa Melayu Memperkukuhkan Bahasa Inggeris jika kita ketandusan guru-guru untuk mengajar dalam bidang tersebut. Guru-guru opsyen Fizik, Biologi, Kimia, Matematik telah diarahkan untuk mengajar Bahasa Melayu dengan alasan subjek ini sesiapapun boleh mengajar asalkan tahu berbahasa Melayu. Jika inilah yang berlaku, jangan menyalahkan sesiapa andai Bahasa Melayu terus terpinggir di bumi Malaysia ini kerana yang meminggirkannya ialah kita sendiri.

Pengambilan guru dan penempatan guru harus mengambil kira keperluan guru di sekolah-sekolah. Sebelum surat penempatan dikirim, tiada salah pengawai yang menguruskan bahagian penempatan guru menelefon pihak sekolah terbabit berkaitan dengan guru-guru yang mereka perlukan. Era 90-an dahulu kita mengalami lambakan guru Bahasa Melayu dan kini senario ini berlaku lagi tetapi subjek sahaja yang berbeza. Kenapa kita tidak belajar dari dahulu? Saya tidak setuju andai lanjutan umur bersara dari 58 ke 60 tahun dijadikan punca lambakan guru Sains dan Matematik. Lihatlah masalah ini hingga ke akar umbi sebelum mengulas atau memberikan pandangan. Bertanyalah kepada Pengetua di sekolah-sekolah terutamanya di bandar, sudah pasti mereka mahukan guru Bahasa Melayu. Jika itu yang dimahu, kenapa liat sungguh untuk kita memenuhi kehendak mereka itu? Bukankah kita mahu melahirkan generasi berilmu yang diajar oleh guru berilmu? Mengapa susah payah melatih guru opsyen Fizik di Universiti atau Institut Perguruan, anda akhirnya terpaksa teraba-raba mengajar Bahasa Melayu. Tepuk dada tanya selera!

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
BERITA HARIAN
3 FEBRUARI 2012