JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



07 Oktober 2010

HANYA KAU YANG MAMPU


Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Semakin hari semakin dekat hari yang ditunggu. Jika hari ini hanya 46 hari lagi, esok sebaik sahaja kita celikkan mata pada pukul 5.00 pagi jumlah itu berkurang 1, menjadi 45 hari. Begitulah keadaannya sehingga detik yang ditunggu-tunggu itu tiba jua ke pangkuan kita akhirnya. Masa itu bermulalah perjuangan anak-anak didik sekalian di medan peperiksaan STPM. Cikgu Zul percaya, semuanya sibuk membuat ulangkaji tika dan saat ini bersama guru-guru yang tersayang. Walau bagaimanapun, jika ada 1000 orang guru pun yang memberi nasihat, bimbingan, dorongan, pesanan, dan tunjuk ajar, jika pelajar tidak mampu untuk menjelmakan semua itu dengan sebuah kejayaan yang indah dan manis, segalanya hanyalah sia-sia sahaja.

Kadang-kadang Cikgu Zul lihat hanya guru yang mengelabah dan sibuk membuat persediaan sehingga tiada masa untuk melakukan hal-hal peribadi mereka sendiri. Pelajar hanya tunggu untuk disuap dengan segala maklumat sehingga kenyang dan padat. Selepas semalaman maklumat dihadam, keesokan hari apabila guru mengajar semula topik yang sama, pelajar lupa. Alangkah lukanya hati guru pada ketika itu. Sayang sekali luka yang berdarah itu tidak dapat dipertontonkan kepada pelajar-pelajar sekalian. Hanya pelajar sahaja yang mampu mengubati luka itu dengan kejayaan!

Pelajar-pelajar yang disayangi,

Yakinlah bahawa anda semua mampu menempuh segala cabaran dan ujian itu dengan tabah dan tenang. Jika UPSR mampu ditembusi, liku-liku berduri PMR pula berjaya dilalui, dan seterusnya tembok bergerigi SPM mampu ditempuhi, tidak mustahil lautan berapi STPM juga pasti dapat direnangi. Yakinlah bahawa anda semua mampu mengatur masa dan mengawal emosi dalam detik-detik terakhir ini. Jangan jerumuskan diri dengan pelbagai masalah yang boleh memunahranahkan segala persediaan yang telah diatur dan diadun selama ini.

Bermimpilah untuk menjadi orang yang berjaya kerana kejayaan itu akan mengubah perjalanan hidup kalian untuk sejuta tahun lagi. Keseronokan yang mengoda dan melalaikan yang melingkari ruang hidup kalian pada ketika ini boleh ditinggalkan sejenak. Semburkan racun berbisa untuk memusnahkannya untuk seketika. Percayalah, sebaik sahaja kertas terakhir anda duduki nanti, semuanya akan tumbuh subur kembali. Pada ketika itu, berseronoklah dari pagi hingga ke dini hari.


PERIBAHASA MELAYU YANG MENGGUNAKAN KATA "HIDUNG"


PERIBAHASA 1
Hidung dicium, pipi digigit
MAKSUD
Kasih sayang yang pura-pura sahaja

PERIBAHASA 2
Hidung sudah rampung diatur
MAKSUD
Orang bodoh yang sombong tidak sedar dirinya dibodohkan orang

PERIBAHASA 3
Hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong
MAKSUD
Orang yang mencampuri urusan orang lain; menonjol­-nonjolkan diri.

PERIBAHASA 4
Potong hidung, rosak muka
MAKSUD
Orang yang berlaku kurang baik terhadap keluarga sendiri akan mendapat malu juga

PERIBAHASA 5
Rasa tak mengapa, hidung dikeluani
MAKSUD
Orang yang membiarkan dirinya dibodohkan orang

PERIBAHASA 6
Seperti beranak besar hidung
MAKSUD
Orang yang gemar memperlihatkan barangnya yang baru

PERIBAHASA 7
Seperti kerbau dicucuk hidung
MAKSUD
Orang bodoh yang hanya mengikut perintah orang sahaja.

ISU KENEGARAAN : BUNGA RAYA WARISAN KEBANGSAAN LAMBANG PERPADUAN NEGARA

Lima puluh tahun adalah usia yang matang. Dikatakan jika perangai seseorang tidak berubah walaupun sudah setengah abad, dia tidak dapat diubah sampai bila-bila. Bagi Malaysia, dalam tempoh 50 tahun, pembangunan fizikalnya begitu membanggakan berbanding negara lain. 2010 cukup bermakna kerana ia genap 50 tahun pemilihan bunga raya sebagai bunga kebangsaan. Masih ramai yang tidak tahu pemilihan bunga raya sebagai bunga kebangsaan. Walaupun tidak ada program pameran bunga raya diadakan secara besar-besaran sempena tarikh itu, apa yang penting ialah kesedaran orang ramai. Jika Festival Bunga dan Taman Putrajaya (Floria) 2010 mendapat sambutan hangat daripada pengunjung, sambutan 50 tahun bunga raya tentunya boleh dianggap bertuah juga. Jika Floria menjadi kebanggaan kerana ia mempamerkan spesies pokok dan bunga tropika yang mungkin tidak pernah dilihat di tempat lain, program 50 tahun usia bunga raya tetap menjadi kebanggaan dan keceriaan tersendiri.

Jabatan Warisan Negara (JWN) mempunyai program tersendiri sempena dengan pemilihan bunga raya sebagai bunga kebangsaan. Bunga berbentuk seperti trumpet dengan ukur lilit lima hingga 20 sentimeter tetap indah dan tersendiri kerana ia bunga yang cantik tetapi tidak menghasilkan buah. Bunga raya terbukti hebat untuk perubatan tradisional dan industri kosmetik. Jadi pemilihan bunga raya berbanding bunga lain yang turut dicadangkan untuk Bunga Kebangsaan Persekutuan Tanah Melayu setengah abad lalu adalah tepat. Bunga raya dipilih sebagai bunga kebangsaan kerana warnanya merah yang melambangkan keteguhan politik dan ekonomi serta sifat keberanian dalam menempuh cabaran. Pemilihan bunga raya juga kerana kaitan dengan identiti dan ia perkara penting bagi sesebuah negara bertamadun. Selepas mencapai kemerdekaan, kita mempunyai Jalur Gemilang yang menjadi kemegahan, lambang negara merdeka lagi berdaulat. Lagu Negaraku dicipta khas sebagai lagu kebangsaan dinyanyikan dan digemakan dalam setiap upacara rasmi negara.

Mengapa perlu ada bunga kebangsaan? Banyak negara di dunia menjadikan bunga sebagai satu identiti negara mereka. Jepun terkenal dengan bunga sakura, England dengan bunga ros dan Belanda tersohor dengan bunga tulip. Proses memilih dan menentukan bunga kebangsaan adalah satu perkara sukar kerana bunga dipilih perlu berdasarkan cita rasa seluruh rakyat negara ini. Justeru, Kementerian Pertanian menjalankan satu kempen dan kajian berbentuk soal selidik secara rambang pada 1957. Bagaimanapun ramai yang tidak memberi maklum balas sewajarnya pada kaji selidik berkenaan menyebabkan ia dilanjutkan pada tahun berikutnya dan akhirnya dipilih bunga raya sebagai bunga kebangsaan negara.

Lima kelopak pada bunga raya dikaitkan dengan lima prinsip Rukun Negara yang mana salah satu elemen perpaduan negara untuk membentuk masyarakat adil dan saksama. Bunga raya melambangkan Persekutuan Malaysia dan sebagai bunga kebangsaan ia diguna dengan meluas pada majlis rasmi kerajaan. Dianggarkan ada kira-kira 300 spesies bunga raya di seluruh dunia, terdiri daripada jenis hiasan, sayuran, tumbuhan herba dan pokok hutan. Bunga raya yang ada di negara ini adalah dari jenis Rosa-sinensis berasal dari China. Pokok bunga raya ini terdiri dari rumpun Malvaceae mempunyai pelbagai bentuk, saiz dan warna. Antara warna yang ada termasuk merah jambu, putih, kuning dan merah. Di negara asalnya (China) pokok bunga raya ini menghasilkan biji benih yang baik untuk pembiakan.

Berbeza di Malaysia, yang mempunyai iklim lembab sepanjang tahun, bunga raya di sini tidak mengeluarkan biji benih yang boleh dijadikan baka. Kaedah pembiakan di sini adalah melalui keratan batang, cantuman mata tunas, tut dan teknik tisu kultur.  JWN akan meneruskan kempen memupuk kesedaran ramai terhadap bunga raya. Jabatan itu mengangkat status bunga berkenaan sebagai Warisan Kebangsaan 7 Julai 2007. Ini antara langkah untuk menaikkan semula martabat bunga raya sebagai bunga kebangsaan.

Oleh Ahmad Jamris
BERITA HARIAN
7 OKTOBER 2010

SEKUMPULAN PAKAR TEMUI BAHASA BARU

Sepasukan pakar bahasa, semalam mengumumkan bahawa mereka telah menemui satu bahasa baru dan unik yang dipanggil Koro di timur laut India, dan memberi amaran bahasa itu kini terancam. Menurut para penyelidik yang menemui Koro semasa mengadakan ekspedisi projek National Geographic ‘Enduring Voices’, hanya kira-kira 800 orang dipercayai bertutur bahasa Tibet-Burma itu dan beberapa orang daripada mereka berusia bawah 20 tahun. Menurut mereka, bahasa tersebut tidak mempunyai bahasa tulisan. “Kami menemui sesuatu yang terancam dan sedang membawanya keluar,” kata Fellow National Geographic, Gregory Anderson, salah seorang ketua ekspedisi itu yang menemui bahasa Koro. “Jika kami menunggu selama 10 tahun untuk mengadakan ekspedisi ini, kami mungkin tidak dapat bertemu seramai orang seperti ini yang boleh bertutur dalam bahasa tersebut,” katanya.

Bahasa Koro agak berbeza dengan mana-mana bahasa Tibet-Burma dengan hanya kira-kira 150 orang daripadanya sahaja ditemui di India, agak mustahil untuk menemui mana-mana bahasa daripada rumpun yang sama yang ada kaitan rapat dengannya. Bahasa berkenaan ditemui dalam wilayah Arunachal Pradesh, satu kawasan terpencil dan bergunung-ganang yang memerlukan pelawat yang mahu ke sana perlu mendapatkan permit khas. Beberapa orang pakar bahasa yang pernah bekerja di Arunachal Pradesh tidak pernah mencatatkan mengenai bahasa yang dituturkan di sana. Ekspedisi National Geographic yang turut disertai ahli bahasa India, Ganezh Murmu dari Universiti Ranchi, sedang mengesan dua bahasa lain iaitu Aka dan Miji yang diketahui ditutur di sebuah daerah kecil di Arunachal Pradesh.

Mereka pergi dari rumah ke rumah yang diperbuat daripada buluh di perkampungan yang terletak di kawasan berbukit, pasukan penyelidik bercakap dengan penduduk dan merakamkan istilah-istilah yang mereka gunakan. Ketika mereka menjalankan tugas itu, mereka menemui bahasa ketiga, yang tidak didaftarkan dalam senarai bahasa standard antarabangsa mahupun dalam kajian bahasa India. Bahasa ketiga itu ialah bahasa Koro. Pakar bahasa membuat rakaman pertama bahasa Koro dengan mengabadikan beribu-ribu perkataan sepanjang ekspedisi itu yang dimulakan pada 2008. Bahasa itu mempunyai inventori bunyi yang berbeza dengan bahasa-bahasa lain di wilayah itu dan juga mempunyai susunan kata serta ayat yang tersendiri.

Walaupun keadaan geografi mereka sama, namun bunyi kedua-dua bahasa berkenaan berbeza, umpama perbezaan antara bunyi perkataan bahasa Inggeris dan Jepun,” kata seorang lagi fellow National Geographic, David Harrison, yang juga salah seorang ketua ekspedisi itu dalam bukunya The Last Speakers yang diterbitkan, baru-baru. Dengan penemuan bahasa Koro itu, bahasa yang dituturkan di dunia kini berjumlah 6,909 bahasa. Namun menurut ahli bahasa, separuh daripada bahasa tersebut diancam kepupusan ekoran perubahan budaya, sikap pemalu etnik, penindasan kerajaan dan faktor-faktor lain. Salah satu tujuan utama National Geographic melalui projek Enduring Voices ialah untuk mendokumenkan bahasa-bahasa yang diancam kepupusan. Pasukan berkenaan merancang untuk kembali ke India pada November ini untuk meneruskan kajian mengenai bahasa Koro. Satu kajian saintifik mengenai Koro akan disiarkan dalam jurnal Bahasa-bahasa India.





ISU BAHASA : HENTIKAN TINDAK-TANDUK KETEPIKAN BAHASA KEBANGSAAN


Setelah Akta Dewan Bahasa dan Pustaka dipinda beberapa kali, kita terus-terusan diyakinkan bahawa bahasa Melayu tidak akan di kesampingkan. Tetapi hakikatnya, hari demi hari kita dapat melihat keresahan rakyat terhadap sikap tidak peduli banyak pihak terhadap penggunaan bahasa Melayu yang merupakan bahasa kebangsaan.  Bukan setahun dua atau sedekad lalu sahaja, tetapi sudah berpuluh tahun sejak negara ini merdeka - didapati banyak keadaan bahasa kebangsaan 'dilayan' dengan cara tidak sepatutnya.  Sebagai langkah pertama membetulkan kesilapan itu, kita menyokong gesaan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) memainkan peranan dalam membantu kerajaan memperkasakan penggunaan bahasa kebangsaan di tempat awam.

Perkara ini sepatutnya telah dilakukan oleh penguat kuasa PBT sejak hari pertama Undang-Undang Kecil Iklan dan Garis Panduan Papan Iklan dikuatkuasakan. Kita tak dapat nafikan sebagai mana kata Muhyiddin, jika PBT menguatkuasakan undang-undang yang mewajibkan penggunaan bahasa kebangsaan di tempat awam, dipercayai tiada lagi paparan iklan dan penamaan bangunan serta premis yang tidak menggunakan bahasa kebangsaan. Kita ingin melihat perubahan ketara diambil oleh PBT setelah peringatan ini dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri. Atau selepas berakhir Bulan Bahasa Kebangsaan 2010 ini, sikap dan pendekatan PBT masih cara lama. Elok berulang kali diingatkan kepada PBT, untuk mengajak masyarakat menghormati bahasa kebangsaan pada papan tanda dan iklan, maka kelemahan penguatkuasaan perlu diperbaiki segera.

Tempoh sikap bertolak ansur dan sekadar beri nasihat elok dihentikan. Inilah antara faktor yang mungkin menyebabkan masyarakat memandang ringan dan mengabaikan bahasa kebangsaan sehinggakan kedudukannya masih tidak menentu walaupun lebih 53 tahun negara kita merdeka.  Kerajaan juga patut bertegas melarang penggunaan bahasa lain untuk nama di bangunan pejabat, pusat beli-belah, kondominium, taman perumahan dan kelab rekreasi selain bahasa Melayu.  Masih banyak perbendaharaan kata dalam bahasa kebangsaan yang belum digunakan dan 'manis' sebutannya. Kita cadangkan supaya dikawal dan bertindaklah lebih tegas dalam menangani isu papan tanda dan iklan yang berlesen dan tidak berlesen daripada terus mencemarkan bahasa kebangsaan di seluruh negara.


Ambillah tindakan berani dan bersepadu dengan menurunkan semua papan tanda dan iklan tersebut. Sakit mata kita apabila membaca papan tanda iklan yang membelakangkan bahasa kebangsaan. Kita harus bersikap jujur dan sedar bahawa bahasa Melayu kini beransur-ansur hilang status dan wibawanya di negara ini.  Oleh itu, tindak-tanduk mengetepikan bahasa kebangsaan sebagai mana dijamin dalam Perlembagaan wajar dihentikan. Hakikatnya kedudukan bahasa Melayu juga tidak boleh disamakan dengan bahasa lain.

TAN SRI DR. ZULKARNAIN AWANG DILANTIK MENJADI PENGERUSI SURUHANJAYA PERKHIDMATAN PELAJARAN (SPP) = TAHNIAH DATUK!!


Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Tan Sri Dr. Zulkurnain Awang dilantik sebagai Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) selama tiga tahun, menggantikan Datuk Kusaini Hasbullah yang akan tamat perkhidmatan pada 28 Oktober ini. Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Sidek Hassan berkata, pelantikan Zulkurnain telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan mengikut Fasal 2 Perkara 141A Perlembagaan Persekutuan.  Sidek dalam kenyataannya berkata, kontrak perkhidmatan Zulkurnain sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran yang sepatutnya tamat pada 28 Disember depan telah dipendekkan kepada 28 Oktober ini bagi membolehkannya memegang jawatan Pengerusi SPP mulai 29 Oktober.