JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



02 Julai 2023

PILIH LALUAN TERBAIK SELEPAS SPM


Keputusan SPM akan menentukan perjalanan seterusnya bagi anak-anak remaja yang menamatkan Tingkatan Lima. Selepas menerima keputusan SPM, perkara yang harus difikirkan ialah laluan perjalanan seterusnya yang patut dituju. Kita harus memilih laluan yang sesuai dengan kelulusan yang diperoleh dan pada masa yang sama kita perlu juga mengkaji pasaran kerja, terutamanya di Malaysia. Pelajar yang memperoleh keputusan yang cemerlang sudah pasti akan diterima untuk melanjutkan pelajaran di Matrikulasi, Pusat Asasi, Politeknik, Tingkatan Enam, Kolej Kejururawatan, dan Universiti tempatan untuk mendapatkan diploma dan seterusnya ijazah. Pelajar yang kurang cemerlang atau gagal, pintu perjuangan tidak tertutup untuk anda melangkah ke hadapan. Jika bijak memilih laluan, anda mungkin akan berjaya juga suatu masa nanti. 

KOLEJ KEMAHIRAN 

Malaysia merupakan salah sebuah negara yang tidak mengabaikan pelajar yang kurang cemerlang dalam bidang akademik. Kerajaan telah menyediakan pelbagai kolej kemahiran untuk pelajar mendapatkan sijil, diploma, dan Ijazah mengikut laluan yang berbeza. Kegagalan seseorang memperoleh keputusan yang cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berdasarkan pengalaman saya sebagai seorang guru ialah ramai pelajar yang masih belum matang dalam berfikir. Saya mempunyai pengalaman menguruskan pelajar Tingkatan Lima yang masih kebudak-budakan walaupun sudah berusia 17 tahun. Mereka tidak menghargai setiap peluang yang ada untuk belajar tetapi membazir masa dengan bermain permainan dalam talian, melepak dengan rakan-rakan, melayari media sosial, dan berasmaradana (cinta monyet). Selepas mendapat keputusan SPM yang kurang cemerlang barulah mereka mula membuka mata. Mereka mulai sedar dan cuba mengubah sikap. Hal ini dikatakan demikian kerana selepas menamatkan alam persekolahan Tingkatan Lima mereka masing-masing membawa haluan sendiri. 

Kawan-kawan yang dahulunya menemani mereka setiap masa mula mengorak langkah dan mengatur hidup masing-masing. Pelajar yang selalu bertanya dan meminta nasihat biasanya saya minta mereka meneruskan pelajaran di kolej-kolej kemahiran dalam bidang elektrik, bakeri, hiasan dalaman, rekaan perabot dan sebagainya. Alhamdulillah, selepas dua atau tiga tahun mereka berjaya dalam bidang masing-masing. Bagi yang memang berasal daripada keluarga yang kurang berkemampuan, saya nasihatkan  mereka memohon pekerjaan yang setimpal dengan kelulusan supaya mereka bekerja beberapa tahun. Saya nasihatkan mereka menyimpan duit untuk menyambung pelajaran apabila tugas membantu keluarga sudah selesai. Saya amat memahami masalah keluarga yang terpaksa dihadapi oleh sesetengah pelajar dalam usia muda sehingga menyebabkan mereka tidak fokus terhadap pelajaran.

TINGKATAN ENAM

Pelajar yang layak masuk ke Tingkatan Enam setelah senarai nama dikeluarkan, kebiasaannya saya nasihatkan mereka supaya kekal meneruskan pengajian selama setahun setengah di Tingkatan Enam. Saya selalu beritahu pelajar bahawa laluan Tingkatan Enam amat penting kerana mereka akan memperoleh Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM). Laluan Tingkatan Enam disediakan bertujuan  bertujuan memastikan murid peringkat menengah atas mendapat kualiti pendidikan setanding piawaian antarabangsa. STPM itu sendiri diiktiraf Cambridge Assessment International Education. Semua universiti awam (UA) di negara kita mengiktiraf kelulusan ini, malah lebih 2,000 universiti seluruh dunia turut mengiktiraf sijil STPM, jadi lulusan Tingkatan Enam ini boleh melanjutkan pelajaran ke mana-mana sahaja dalam negara, luar negara, Amerika Syarikat, semua negara Komanwel dan negara Asia Barat.

Keuntungan melanjutkan pengajian di peringkat Tingkatan Enam ini ialah pelajar tidak perlu mengeluarkan wang yang banyak untuk membayar yuran pengajian dan keperluan-keperluan lain. Mereka boleh tinggal di asrama seperti pelajar aliran perdana dengan keistimewaan khas sebagai pelajar Tingkatan Enam yang dianggap lebih matang dan boleh berdikari. Pelajar Tingkatan Enam juga boleh memohon biasiswa yang disediakan oleh kerajaan, yakini hampir 100% mereka akan diberikan kemudahan ini. Duit biasiswa ini boleh digunakan untuk membayar yuran ulangan dan membeli buku rujukan. Sejak tahun 2013, apabila STPM baharu diperkenalkan, pelajar Tingkatan Enam boleh mengulang untuk membaiki gred pencapaian pada setiap semester. Gred terbaik akan diambil untuk menentukan CGPA setiap pelajar dalam keputusan keseluruhan. 

Contohnya,

Aidil Arryan merupakan pelajar Tingkatan Enam di Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Zulkarnain. Semasa melanjutkan pengajian di Tingkatan Enam, Aidil Arryan mengambil subjek Pengajian Am, Bahasa Melayu, Sejarah, dan Pengajian Perniagaan.

Keputusan Peperiksaan Semester 1 Aidil Arryan

Pengajian Am = Gred B+
Bahasa Melayu = Gred A
Sejarah = Gred A
Pengajian Perniagaan = Gred C

Aidil Arryan boleh mengulang bagi subjek Pengajian Am dan Pengajian Perniagaan untuk membaiki gred, mungkin selepas ulangan kedua-dua subjek tersebut mendapat Gred A. Aidil Arryan hanya perlu membayar RM50.00 sahaja untuk setiap subjek yang diulang. Keputusan semester akhir akan mengambil gred terbaik dari Semester 1, Semester 2, dan Semester 3 bagi setiap subjek. Inilah keistimewaan melanjutkan pelajaran di Tingkatan Enam yang belum disedari oleh kebanyakan pelajar dan ibu bapa. Pelajar yang melihat perkara ini dengan matang akan menyedari peluang dan ruang yang terbentang untuk membolehkan mereka memperoleh kursus yang menyediakan laluan kerjaya pada masa hadapan apabila melanjutkanb pelajaran di menara gading selepas tamat Tingkatan Enam. Keputusan STPM dan MUET yang cemerlang susah pasti membantu pelajar mengejar cita-cita mereka dengan lebih mudah. Contohnya, jika Aidil Arryan bercita-cita menjadi Peguam, laluan untuk dia amat cerah seandainya dia memperoleh keputusan keseluruhan 4A dengan CGPA 4.00 dan keputusan MUET sekurang-kurangnya Band 4. Semua ini tidak mustahil andai ada usaha dan ketekunan. 

MENTALITI PERLU DIUBAH

Saya sedih apabila ramai ibu bapa terutamanya dalam kalangan guru yang suka meremehkan pengajian di Tingkatan Enam. Tanggapan yang tidak berubah dari dahulu hingga kini ialah pengajian Tingkatan Enam susah. Pengajian Tingkatan Enam lebih susah daripada belajar di institusi lain. Mereka tidak tahu yang pengajian di Tingkatan Enam telah distrukturkan semula sejak tahun 2012 apabila STPM baharu diperkenalkan. Sebenarnya, pengajian Tingkatan Enam sekarang dibahagikan kepada 3 semester. Satu semester diberikan tempoh pengajian selama 5 bulan. Pelajar akan menduduki peperiksaan di setiap semester. Yang uniknya, pelajar ini akan mendapat bimbingan dan ajaran yang cukup daripada guru-guru sebelum menduduki peperiksaan. Soal susah atau mudah ini terlalu subjektif kerana berkait rapat dengan sikap rajin dan malas. Pelajar yang rajin dan tahu hala tuju serta mempunyai aspirasi memang akan memperoleh keputusan yang cemerlang. 

Pelajar yang gagal, berdasarkan pengalaman dan pemerhatian saya merupakan pelajar yang masih tercari-cari arah hendak dituju sehingga mengabaikan pelajaran. Mereka masih sibuk memohon untuk mengikuti kursus dan kerja-kerja lain dalam tempoh pengajian. Mereka sibuk menghadiri temuduga dan sebagainya sehingga pengajian di Tingkatan Enam terabai. Saya selalu menasihati pelajar, jika sudah memilih laluan Tingkatan Enam, terus fokus dan jangan toleh kiri kanan. Insya-Allah, jalan terbuka luas di hadapan. 

IMEJ PELAJAR TINGKATAN ENAM MACAM BUDAK SEKOLAH

Jika inilah punca tidak mahu melanjutkan pelajaran di Tingkatan Enam, saya anggap orang yang berfikiran begitu amatlah malang. Pemikiran sebeginilah yang membunuh masa hadapan mereka sendiri. Saya melihat ramai pelajar yang berfikiran sebegini sanggup berhenti belajar dan bekerja dengan gaji minimum sahaja. Saya selalu termati kutu untuk berbual atau menasihati ibu bapa atau pelajar yang berfikiran sebegini. Walau bagaimanapun, saya selalu berdoa agar minda mereka terbuka. Pada pandangan saya sebagai bekas pelajar Tingkatan Enam dahulu, soal pakaian, tempat belajar, dan tempat tidur ketika melanjutkan pelajaran bukanlah keutamaan dalam menunaikan amanah terhadap masa depan diri. Sewaktu saya masuk ke universiti, tempat tidur pun hampir sama dengan tempat tidur di asrama sekolah biasa. Bezanya hanyalah sebuah bilik dihuni oleh dua orang pelajar. Bilik kuliah mungkin berbeza dengan bilik kelas, akan tetapi jika ini dijadikan alasan untuk menutup peluang dan laluan sendiri, tepuk dada tanyalah selera. 

Orang lain hanya boleh menasihati, yang menentukan laluan dan membuat keputusan kita sendiri. Kita boleh melanjutkan pengajian di institusi swasta yang menyediakan pelbagai kemudahan dan kemewahan kerana kita boleh membiayai pengajian dengan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Namun begitu, jangan lupa pinjaman ini perlu dibayar balik bedasarkan jumlah yang dipinjam sepanjang pengajian. Ramai juga yang merana angkara bayaran balik ini. Jika kursus yang diambil mempunyai peluang kerja yang luas, habis pengajian terus kerja dengan gaji lumayan, itu tidak menjadi masalah. Namun begitu, jika kitab terpaksa menganggur dalam tempoh yang lama, jumlah bayaran bulanan itu mungkin akan menyebabkan kita tertekan memikirkannya. Perkara-pekara ini harus difikirkan terlebih dahulu, bak kata orang ukur baju di badan sendiri. 

BELAJAR BERNIAGA

Saya selalu menasihati pelajar-pelajar saya supaya mempelajari ilmu berniaga di samping ilmu-ilmu lain yang di dunia. Walaupun saya seorang guru, saya masih menganggap berniaga merupakan kerjaya yang mampu mengeluarkan seseorang dari dibelenggu kemiskinan. Namun begitu, saya tidak mahu mereka mengabaikan pendidikan. Seseorang usahawan yang berjaya dan mampu menguruskan perniagaan sendiri yang kekal mesti ada ilmu dalam berniaga. Ilmu berniaga ini boleh diperoleh di mana-mana. Zaman ledakan media sosial kini telah membuka pintu rezeki yang luas untuk peniaga terutamanya mereka yang aktif menggunakan media sosial. Walau bagaimanapun, saya selalu menasihati pelajar-pelajar saya, hasil daripada berniaga perlulah digunakan dengan bijaksana. Cara berniaga haruslah halal dan betul. Janganlah kita berniaga dengan niat mengaut untung yang tinggi hingga mengabaikan kualiti barangan. Janganlah berniaga sampai beraksi tidak senonoh dan mengeluarkan kata-kata lucah demi menarik perhatian pembeli. Janganlah berniaga hingga kita terlupa menjaga maruah diri, sanggup mereka-reka cerita dan drama untuk meraih view dan pengikut di media sosial. 

KONKLUSINYA

Laluan selepas SPM terbentang luas untuk semua. Yang berjaya mungkin mempunyai laluan yang lebih mudah dan terarah kerana mereka mempunyai banyak pilihan untuk melanjutkan pelajaran. Yang kurang berjaya dan yang gagal tetap juga mempunyai laluan khas untuk membolehkan mereka bangkit kembali. Hakikatnya, tiada jalan mudah untuk kita berjaya melainkan kita perkasakan diri kita sendiri untuk berusaha dengan lebih kuat dan gigih. Tanya diri kita, kita hidup ini untuk membahagiakan siapa? Jawapannya, sudah tentu untuk diri kita sendiri dan keluarga yang tercinta di samping menyumbang kepada masyarakat dan negara. Jika kita sayang akan diri kita sendiri, kita tidak akan memilih jalan yang sukar untuk menikmati kebahagiaan hidup. Saya sebagai guru sentiasa ingin melihat semua anak-anak didik saya berjaya dalam hidup kerana itulah tujuan pendidikan, iaitu mendidik semua generasi agar mampu berfikir dan mengatur haluan hidup sendiri daripada susah kepada mudah, daripada tiada kepada ada, daripada miskin kepada senang. Pilihlah laluan yang betul. Usia muda jangan disia-siakan daripada menuntut ilmu yang akan mendekatkan kita dengan kejayaan.

KEPUTUSAN SPM 2022: PETANDA WUJUDNYA GENERASI 'BUTA' MATEMATIK

BERITA HARIAN DALAM TALIAN
Oleh Zanariah Abd Mutalib - Jun 21, 2023 @ 11:06am
zanariah_mutalib@bh.com.my


Kegagalan seorang daripada setiap 4 pelajar dalam subjek Matematik SPM 2022 mencetuskan kekhuatiran Malaysia mungkin berdepan generasi tidak celik mata pelajaran itu sehingga menjejaskan usaha negara melahirkan profesional dalam bidang berkaitan. 

Pencapaian dalam keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 yang diumumkan baru-baru ini, mencetuskan kekhuatiran Malaysia mungkin berdepan generasi tidak celik matematik. Saintis bidang tenaga dan kelestarian iklim, Dr Amir Faizal Abdul Manan, berkata keputusan SPM 2022 menunjukkan 24 peratus atau seorang daripada empat calon gagal dalam mata pelajaran terbabit, manakala 29 peratus lagi mendapat gred D dan E. Ini bermakna hampir separuh daripada pelajar lemah dalam matematik, sekali gus akan menjejaskan usaha negara untuk melahirkan profesional dalam bidang berkaitan. Pernyataan ini bukan mengenai matematik lanjutan, Matematik Tambahan walaupun ia menunjukkan statistik pencapaian yang sama. Pernyataan ini adalah merujuk kepada matematik teras, yang diduduki 369,348 murid pada peperiksaan SPM 2022.


DR. AMIR FAIZAL ABDUL MANAN

Kelemahan dalam subjek Matematik ini sangat menggusarkan. Kita mempunyai generasi masa depan pemimpin berpotensi, orang dewasa, guru, saintis, akauntan, doktor, ahli ekonomi, arkitek, ahli perniagaan, bapa dan ibu yang tidak celik matematik asas. Pada masa sama, antara semua 95 mata pelajaran yang ditawarkan dalam SPM 2022, Matematik mencatatkan peratusan kegagalan tertinggi. Laporan Analisis Keputusan Peperiksaan SPM 2022 yang disiarkan KPM mendedahkan seramai 403,637 calon mendaftar menduduki peperiksaan tahun lalu membabitkan 3,355 pusat peperiksaan. Daripada jumlah calon berdaftar itu, seramai 388,832 orang adalah calon baharu yang mendaftar untuk menduduki sekurang-kurangnya enam mata pelajaran. Jumlah calon baharu yang hadir menduduki peperiksaan pula adalah seramai 373,974 orang. Amir Faizal mendakwa, kadar kegagalan mata pelajaran Matematik yang tinggi bukan sesuatu yang mengejutkan Kementerian Pendidikan (KPM), berdasarkan laporan Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS) yang dijalankan setiap empat tahun, membabitkan pelajar Tingkatan Dua.

Kajian TIMSS pada 2019, menunjukkan 26 peratus pelajar gagal mencapai standard asas yang diperlukan untuk celik matematik. Kini, tiga tahun kemudian, kita melihat hasil yang sama dalam keputusan SPM 2022.  Selain itu, Amir Faizal mendakwa, bagi pencapaian soalan dengan elemen Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) pada SPM 2022, statistik menunjukkan lebih separuh murid mencatatkan skor rendah dalam kemahiran mengaplikasi. Ini satu masalah yang besar kerana ia memberi makna, pelajar kita tidak mempunyai pemahaman praktikal mengenai ilmu yang mereka peroleh. Menurut beliau, Lebih baik jika markah KBAT itu dipecahkan mengikut mata pelajaran, jika ada kerana ia akan memberi lebih maklumat. Namun begitu, sebalik pengumuman keputusan yang dibuat, beliau mendakwa, KPM seolah-olah menafikan kelemahan yang dikesan dengan hanya menonjolkan kebaikan, berbanding jujur dan telus mengenai kualiti sistem pendidikan semasa negara. 


Sebenarnya, seluruh negara berisiko berdepan krisis. Saya tidak bersikap melodramatik di sini. Cara paling pasti untuk memusnahkan sesebuah negara adalah dengan merosakkan sistem pendidikannya. Kita perlu benar-benar keluar daripada situasi ini 
sebelum terlambat. 

LINK UNTUK ARTIKEL INI
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/06/1117138/keputusan-spm-2022-petanda-wujud-generasi-buta-matematik