JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



27 Januari 2013

ISU PENDIDIKAN : KOUTA TAMBAHAN KEMASUKAN KE IPTA SESI 2013


Sebanyak 100 kuota tambahan disediakan di setiap institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan politeknik di seluruh negara kepada pelajar yang layak namun tercicir, atas faktor sosioekonomi pelajar terbabit. Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pihaknya mendapati ramai pelajar yang menepati syarat kelayakan memasuki IPTA dan politeknik, namun terkandas kerana tidak mampu bersaing dengan pelajar cemerlang berasaskan prinsip meritokrasi. Negara memiliki 32 politeknik dan 20 IPTA dan berdasarkan jumlah tersebut, sebanyak 5,200 kuota tambahan kemasukan IPTA akan disediakan.

Mohamed Khaled berkata, golongan ini adalah pelajar yang lulus syarat am dan program tertentu di universiti dan adalah dalam kategori miskin bandar, miskin luar bandar, minoriti, kaum asli dan ibu bapanya daripada golongan orang kurang upaya (OKU). "Kita ada 32 politeknik dan 20 buah IPTA di seluruh negara, jadi setiap satu akan menyediakan kuota tersebut. Ia akan mula dilaksanakan tahun ini bagi semua jurusan pengajian bagi program diploma dan ijazah," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Karnival Pengajian Tinggi 2013 serta penyampaian Baucar buku 1Malaysia (BB1M) di Universiti Malaya di sini semalam. Karnival berkenaan bertujuan memberi peluang kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan sebagainya mencari maklumat cara-cara untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Mohamed Khaled berkata, kerajaan memperluaskan lagi akses pendidikan tinggi selepas mengambil kira golongan pelajar yang layak namun tidak bernasib baik. Beliau berkata, pada tahun ini, sejumlah 160,000 tempat disediakan untuk kemasukan ke IPTA serta Institut Latihan dan Kemahiran, dan ia tidak termasuk 130,000 peluang kemasukan ke IPTS. "Kemasukan pelajar baharu bagi kalendar akademik IPTA sesi 2013 dan 2014 akan bermula pada 1 dan 2 September bagi pelajar Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia dan setaraf bagi program ijazah pertama, 2 Jun bagi pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia dan setaraf bagi program diploma dan 26 Mei bagi program asasi," katanya. – Bernama

Sumber
Kosmo Ahad
27 Januari 2013

25 Januari 2013

ISU PENDIDIKAN : WUJUDKAN SEKOLAH BERTERASKAN KEUSAHAWANAN


Rencana ini ditulis oleh :
Rohami Shafie
Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan,
Pusat Pengajian Perakaunan,
Felo Penyelidik Institut Keusahawanan dan Koperasi,
Universiti Utara Malaysia.


Sesi persekolahan 2013 sudah bermula. Bagi yang memperoleh kesemua A dalam UPSR, mereka ditawarkan ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP). Namun demikian, tempatnya amatlah terhad, maka bukan semua pelajar yang cemerlang UPSR dapat tawaran kemasukan ke SBP. Ini belum diambil kira murid-murid miskin yang setakat memperoleh 2A atau 3A sahaja. Bagi penulis mereka ini lebih cemerlang berbanding murid-murid yang datangnya daripada keluarga kaya raya dan memperoleh 5A. Mereka ini tidak boleh sesekali diabaikan. Penulis mengesyorkan agar sekolah menengah kebangsaan dan sekolah menengah vokasional diperkasakan sehebat SBP, di samping membina lebih banyak SBP di pedalaman seperti di Sabah dan Sarawak berbanding kini yang kebanyakannya berada di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur, Putrajaya, Cyberjaya, Seremban dan Johor Bahru. Ini bagi memberi pendidikan terbaik kepada pelajar miskin yang tidak dapat memasuki SBP Premier yang kebanyakannya berada di bandar-bandar besar.

Di samping tumpuan terhadap pelajar yang cemerlang peperiksaan, golongan pelajar majoriti yang tidak bijak dalam peperiksaan juga tidak seharusnya dipinggirkan. Jika dipinggirkan, dibimbangi mereka akan terjebak dengan masalah sosial. Mereka ini mungkin kurang cemerlang dalam peperiksaan tetapi dalam hal-hal lain mereka mungkin lebih cemerlang berbanding yang memperoleh semua A. Perlu diingat, setiap insan ada kekuatan tersendiri. Justeru, penulis ingin mencadangkan kepada Kementerian Pelajaran agar mempelbagaikan jenis sekolah di Malaysia dengan menubuhkan sekolah berteraskan perniagaan dan keusahawanan kepada pelajar yang kurang cemerlang dalam peperiksaan. Mereka ini rata-ratanya tidak begitu berminat dengan pembelajaran berteraskan peperiksaan semata-mata, di samping tidak mempunyai keupayaan untuk memilih profesion elit seperti doktor, akauntan dan jurutera. Bagi pandangan masyarakat majoriti, profesion elit sebeginilah yang menjamin masa hadapan anak-anak mereka walhal menurut Islam sumber utama kekayaan datangnya daripada perniagaan.

Malangnya di Malaysia, kursus-kursus perniagaan hanya diajar di peringkat universiti. Sewajarnya generasi muda didedahkan dengan asas perniagaan sejak di bangku sekolah lagi. Kalau kita teliti rata-rata ahli-ahli perniagaan yang berjaya telah memulakan perniagaan sejak berumur belasan tahun lagi. Mereka ini tidak dilatih secara formal dan hanya mempelajari selok-belok perniagaan dan keusahawanan melalui pengalaman sendiri. Pengalaman inilah yang amat berguna kepada mereka untuk menjadi usahawan dan ahli korporat yang berjaya dan kaya raya. Namun demikian, terdapat ramai juga yang tidak berjaya dalam perniagaan. Kebanyakan mereka ini mempunyai azam untuk berjaya dalam perniagaan, malangnya mereka tidak diterapkan dengan pelbagai disiplin ilmu perniagaan umpamanya bagaimana untuk mengurus kewangan perniagaan dengan baik. Ambil contoh terdapat ahli-ahli perniagaan yang baru setahun dua berniaga mengggunakan wang keuntungan perniagaan untuk membeli kereta mewah bagi tujuan peribadi. Wang keuntungan ini sepatutnya dilabur semula untuk memperkembangkan lagi perniagaan.

Ini baru bercakap mengenai modal belum lagi bercakap tentang bagaimana untuk membuat pelaburan dengan bijak supaya tidak mudah ditipu dengan orang lain. Di samping menguasai ilmu pengurusan kewangan, para pelajar juga sewajarnya didedahkan dengan prosedur yang betul untuk menubuhkan perniagaan. Kursus seperti ini akan membolehkan mereka mengetahui apakah jenis perniagaan yang mempunyai prospek yang baik pada masa hadapan. Umpamanya, mereka boleh didedahkan dengan perniagaan tani dan penternakan. Dalam perniagaan tani dan penternakan pula terdapat banyak cabang perniagaan yang boleh didedahkan kepada mereka. Malahan, aspek inovasi dan kreativiti serta teknologi maklumat dan komunikasi sewajarnya ditekankan dalam bidang perniagaan sebegini agar dapat menjana pendapatan lumayan di samping menampung permintaan pasaran tempatan. 

Ini baru beberapa subjek yang wajib diperkenalkan di sekolah yang berteraskan perniagaan dan keusahawanan. Terdapat banyak lagi kursus yang boleh diajar kepada mereka. Sesi pembelajaran pula bukan setakat teori sahaja tetapi juga mereka sewajarnya didedahkan dengan dunia perniagaan sebenar. Yakinilah, jika sekiranya sekolah sebegini berjaya kelak, ia akan melahirkan lebih ramai lagi ahli perniagaan di kalangan generasi muda pada masa akan datang, bahkan akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat serta memperkasakan lagi keupayaan ekonomi Malaysia.

Sumber :
Utusan Malaysia
3 Januari 2013

ISU UMUM : PASTIKAN DASAR PERIKLANAN NEGARA DIGUBAL PADA TAHUN 2013


Rencana ini ditulis oleh :
Prof. Madya Mohamad MD Yusoff
Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Komunikasi, Universiti Sains Malaysia (USM)


Industri iklan negara semakin pesat berkembang dan menjana pendapatan hampir RM10 bilion pada 2012 dan menyumbang 1 peratus (%) kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK). Sejajar dengan kepesatan industri iklan dan media negara ini, agensi iklan menjadi pemangkin dan penggerak industri media dan sekali gus menjanakan pertumbuhan industri hiliran dan sokongan seperti penerbitan filem animasi. Bahkan dengan adanya Dasar Industri Kreatif, agensi iklan Melayu sewajarnya semakin lestari sifatnya dan semakin kukuh wawasan dan hala tujunya. Namun, isu besar yang dihadapi sekarang ialah sejauh manakah agensi iklan kita mampu bernafas dan melestarikan kelangsungan hidup mereka? Mampukah agensi iklan Melayu bersaing di persada global jika soal kelestarian pelanggan/klien yang 'kritikal' menghantui agensi iklan kita dan dihambat pula oleh hala tuju syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang kian kurang jelas ke arah membantu keusahawanan agensi iklan Melayu dan sekali gus media berbahasa Melayu khususnya industri persuratkhabaran.

Permasalahan industri iklan kita tanpa kementerian yang memayunginya juga menjadi cabaran besar pada 2013? Apakah Kementerian Penerangan, Kebudayaan dan Kesenian (KPKK) sudah cukup lagi mampu menangani isu dan cabaran industri iklan? Persoalan yang besar ialah industri iklan begitu luwes menerima kemasukan pemain luar dan asing sehingga kemelut MNCs (syarikat besar asing) mudah bertapak dalam industri yang sudah menjadi satu fait accompli. Industri iklan tidak dilindungi mahupun dikawal selia? Globalisasi sebagai satu wajah, wadah dan wahana mahupun instrumen perdagangan luar, seolah-olah memangkinkan industri iklan berkembang dan hidup segar. Dalam konteks ini, soal teknologi, kepakaran dan saiz pelanggan serta jaringan tidak menjadi masalah besar kepada MNCs selagi dasar liberalisasi dan pintu terbuka menjadi pegangan negara. Hal ini menjadi masalah kepada agensi iklan Melayu? Justeru, kementerian yang bertanggungjawab terhadap industri iklan keseluruhannya perlu memastikan satu Dasar Periklanan Negara digubal segera demi memelihara kepentingan Melayu dalam industri ini yang serba berpotensi menjana pendapatan yang besar.

Menerusi suruhanjaya industri periklanan negara, isu dan cabaran sistem teknikal dan sosial diharap mampu ditangani seperti:

1. Kemampuan modal.

2. Perlindungan berterusan dalam konteks affirmative action'.

3. Dasar sokongan lestari.

4. Keantarabangsaan dan kepakaran.

5. Pengiklan dan agensi penguat kuasa/pelaksana yang tidak tulus, ikhlas dan amanah.

6. Akauntabiliti dan etika.

7. Pendidikan periklanan dan IMC yang lemah dan tidak membantu jihad ekonomi Melayu-Islam.

8. Kegiatan tidak tersusun menjayakan dasar pembinaan nusa bangsa menerusi pengisian Wawasan 2020.

Sesungguhnya industri iklan merupakan industri strategik negara dalam membentuk identiti, budaya dan komunikasi berkiblatkan tempatan sepenuhnya. Sekali gus, ia menjadi instrumen dan wadah membantu perekonomian bumiputera yang sama rata sambil membina nusa bangsa menerusi pembangunan modal insan dan sosial dalam memupuk kelestarian budaya dan tamadun Malaysia yang holistik. Jika Dasar Periklanan Negara digubal pada 2013, maka industri iklan akan dapat mengukuhkan perpaduan bangsa dan negara menerusi kerancakan iklan pembangunan sambil mempertingkatkan kesejahteraan negara menerusi pengagihan sumber kekayaan negara secara saksama.

Amalan industri periklanan dengan pintu terbuka dapat diregulisasikan sesuai dengan sistem sokongan dan bantuan yang lestari ke arah penstrukturan semula industri iklan negara berpaksikan slogan, Act Local, Think Global. Yang penting Dasar Periklanan Negara mesti berpandukan prinsip Rukunegara, Dasar Kebudayaan Kebangsaan, Dasar Pendidikan Kebangsaan, Dasar Pembangunan Nasional dan Program Transformasi Negara dan Wawasan 2020. Tentunya, Dasar Periklanan Negara berpandukan aspirasi negara, keperluan dan cita rasa masyarakat, sumber kekayaan negara, dan Perlembagaan Negara yang menuntut kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara. Maka sudah sampai masanya Majlis Iklan Negara (MIN) atau Suruhanajaya Periklanan Negara (SPIN) dibentuk pada 2013 jika Wawasan 2020 mahu direalisasikan dengan jayanya.

Sumber
Utusan Malaysia
2 Januari 2012

ISU ALAM SEKITAR : TANGAN RAKUS MUSNAHKAN ALAM SEKITAR


Rencana ini ditulis oleh :
EZARUDDIN ABD. RAHMAN
PENULIS ialah Timbalan Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS).


Hutan di Kedah merintih dan menangis disebabkan kerakusan Kerajaan Negeri Kedah yang berterusan menggondolkan hutan untuk kepentingan pihak-pihak tertentu. Pembalakan hutan berhampiran dengan Tasik Pedu dan penerokaan hutan di Gunung Inas, Baling membuktikan bahawa kita semakin rakus memusnahkan khazanah hutan disebabkan ingin mengaut keuntungan dengan cepat. Kita mungkin beranggapan bahawa Malaysia ini dilindungi daripada malapetaka besar dan kejadian serta tragedi tanah runtuh seperti yang berlaku di Filipina sehingga mengakibatkan 1,400 penduduk kampung hilang di Pulau Leyte. Kita jangan lupa kejadian ribut Greg yang melanda Sabah pada 26 Disember 1996. Bencana alam itu dipercayai mengorbankan mangsa paling ramai dalam sejarah tragedi bencana alam di Malaysia; lebih 200 mangsa terkorban dan 102 lagi hilang dalam ribut yang berlaku selama kira-kira lima jam.

Di Keningau, kemusnahan dua kampung berhampiran Sungai Pampang iaitu Kampung Pampang dan Limbawan ibarat 'padang jarak padang tekukur' manakala sebuah kampung dikenali Batu Satu atau Kandang Ayam yang didiami kebanyakan warga Indonesia keturunan Tator, musnah sama sekali. Kejadian Tragedi Pos Dipang pada 9 Ogos 1996 yang mana banjir lumpur yang berlaku telah meragut 44 nyawa harus juga diingati sebagai satu peristiwa yang menunjukkan isyarat bahawa suara alam akan bertukar ganas apabila kita bersikap rakus. Daripada jumlah itu, 39 mayat ditemui manakala lima lagi gagal dikesan sehingga kini. Tiada siapa yang menyangka dan menduga sungai yang mengalir tenang, boleh bertukar menjadi teramat ganas. Sepatutnya di sebalik kejadian luar jangka itu, ia telah membuka mata banyak pihak tentang kerakusan manusia terhadap alam pasti akan membawa padah.

Namun demikian ramai juga pemimpin di negara ini masih belum belajar daripada kesilapan lampau. Pembangunan tidak terkawal boleh memberi kesan terhadap topografi sesuatu tempat. Ramai antara pemimpin kita dan orang ramai tidak sedar kegiatan pembersihan hutan dan meratakan bukit boleh mengancam aliran sungai dan jalan raya, malah struktur bangunan di sesebuah kawasan. Rakyat sudah muak dengan penjelasan politik yang bersifat sembunyikan fakta kerana di zaman ini rakyat Malaysia rata-rata mempunyai pendidikan tinggi yang tidak boleh diperbodohkan dengan mudah lagi. Penerokaan hutan yang tidak terancang dan bermotifkan keuntungan hanya merugikan rakyat Malaysia disebabkan kita hanya menyaksikan alam semula jadi terus terjejas. Rakyat Malaysia bosan dengan isu alam sekitar yang menyelubungi hidup mereka saban hari. Sudah banyak rencana ditulis, sudah banyak laporan khas di televisyen, rungutan dan aduan orang ramai tetapi tiada jaminan daripada pihak kementerian dan kerajaan negeri dan pihak berkuasa untuk mengotakan janji menyelamatkan alam sekitar kita.

Sebenarnya banjir dan kejadian tanah runtuh banyak disebabkan faktor hutan diteroka tanpa mengikut garis panduan. Kawasan tadahan hujan menjadi semakin mengecil dan kemudian memudahkan aliran air merebak ke kawasan lain. Sudah banyak kali pihak tertentu seperti pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bersuara dan kajian telah dibuat tetapi hanya dipandang sepi tanpa mengambil tindakan yang sewajarnya. Sedih melihat hutan di Pedu digondolkan, dengan traktor dan buldozer, lori-lori pengangkut kayu keluar masuk. Satu lagi episod sedih mengenai alam sekitar terpaksa dikorbankan. Namun saya melihat pembalakkan berleluasa di Kedah dan Kelantan lebih kepada memenuhi tuntutan nafsu politik untuk menjana keuntungan semata-mata tanpa memikirkan kesan kepada alam sekitar. Pembalakkan di Kedah dan Kelantan membuktikan pemimpin mereka tidak kreatif dan terlalu bergantung kepada hasil hutan. Mereka sepatutnya mencari penjanaan ekonomi lain dalam memacu ekonomi di negeri mereka .

Apa gunanya kita sibuk mengadakan solat-solat hajat di stadium dengan puluhan ribuan orang hadir dan berceramah agama namun di antara mereka ada yang masih tidak berusaha memelihara alam sekitar. Pada hal ini juga adalah sebahagian daripada kewajipan orang beriman. Kita juga menuntut agar Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar lebih bertaring dalam menangani isu berkaitan kemusnahan hutan di negeri tertentu kononnya untuk pembukaan ladang buahan-buahan. Pihak Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar seolah-olah takut dan bimbang bertindak dan mengambil masa yang lama sehingga kemusnahan hutan dilaporkan oleh media. Jabatan Perhutanan seolah-olah lemah dan menutup mata dan sekadar membuat rondaan rutin. Ada sesuatu yang tidak kena pembalakan berhampiran di Tasik Pedu- bagaimanakah Kerajaan Negeri Kedah boleh meluluskan projek pembangunan yang begitu besar di sekitar kawasan tersebut, sedangkan ia merupakan sebuah kawasan yang perlu dilindungi ekologinya. Hentikanlah usaha untuk terus mengondolkan hutan di negara ini. Kalau sudah tersilap dan terlanjur, akuilah kesilapan jangan berdolak dalih untuk mengaburi mata rakyat. Rakyat sudah muak dengan kenyataan akhbar membuat penafian dan sebagainya .

Kita pastinya risau pada suatu hari nanti, pada tahun 2020 hutan di negara ini sudah bertukar menjadi ladang anggur dan pokok pisang semata-mata. Itu pun jika projek tersebut berjaya, dan jika tidak kita hanya lihat pokok renek dan semak belukar merimbun. Menteri Besar Kedah bertanggungjawab terhadap masalah pembangunan ketidakseimbangan ekologi di sekitar Tasik Pedu akibat pembangunan yang tidak dikawal. Keadaan itu memberi gambaran sebenar tentang kelemahan dan penyelewengan pentadbiran kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Azizan Abdul Razak. Tasik Pedu yang menjadi sumber bekalan air kepada rakyat Kedah pada suatu nanti pastinya akan surut dan kotor akibat kerakusan tersebut. Kepada penduduk Kuala Tekai, Kampung Bani , Pekan Kuala Nerang dan Kuala Janing mungkin selepas ini perlu bersiap sedia membeli sampan atau bot sebagai persiapan untuk menghadapi banjir lumpur jika hutan di sekitar Tasik Pedu terus dibotakkan. Jangan sampai alam bersuara dan membenci manusia yang rakus. Bila-bila masa alam sekitar yang termusnah akan menjadi bom jangka kepada bencana yang besar kepada rakyat Malaysia.

Sumber :
Utusan Malaysia
Tarikh : 01 Januari 2013