JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



25 Mei 2023

CATATAN CIKGU ZUL : REMAJA MEROKOK DI KHALAYAK RAMAI

 


Ketika singgah di sebuah kedai makan, mata saya tertumpu kepada sebuah meja. Meja itu diduduki oleh 5 orang. Ibu dan ayah serta tiga orang anak mereka. Saya agak kenal muka remaja yang duduk bersama ibu bapanya itu. Walau bagaimanapun, saya terus berpaling apabila mereka memandang kerana mereka semuanya sedang memegang rokok di tangan. Hati saya sudah dapat meneka, patutlah anak-anak itu agak bermasalah di sekolah dan pernah beberapa kali ditangkap membawa rokok kerana di depan ibu bapa sendiri pun mereka merokok. Jauh di sudut hati saya kesa dengan sikap ibu bapa yang membiarkan anak sendiri merokok di depan khalayak. Namun begitu, saya tahu masyarakat sekarang sudah tidak ambil peduli soal malu, yang mereka pedulikan ialah mereka kelihatan moden dan berlagak di dapan orang ramai. Lagi pun, kalau kita menegur walaupun dengan tujuan yang baik, silap-silap kita akan diviralkan di media massa hingga tidak salah pun jadi salah. Jadi, kita lihat sambil berdoa agar mereka insaf dan sedar bahawa perbuatan sebegitu tidak baik.

Saya agak sebal dan jengkel apabila melihat remaja yang masih di bangku sekolah merokok di tempat awam. Biarpun mereka membeli rokok dengan wang mereka sendiri (hasil bekerja atau wang saku yang diberikan oleh ibu bapa) perbuat remaja merokok di khalayak ramai ada tidak elok. Mereka sepatutnya dididik supaya mengamalkan budaya hidup yang lebih sihat dan berjimat cermat sejak di bangku sekolah. Ibu bapa berperanan penting dalam hal ini kerana didikan dan asuhan yang betul, insya-Allah akan melahirkan anak-anak yang cerdas dan cergas serta bebas daripada rokok. Pada pandangan saya, merokok ini boleh dilakukan oleh anak-anak selepas mereka bekerja dan mempunyai pendapatan tetap. Selagi masih di bangku sekolah mereka tidak patut merokok. Apatah lagi kalau berkongsi rokok dengan ibu, ayah, abang, dan kakak. Soal kemampuan dari segi kewangan untuk membeli rokok itu bukan alasan yang sesuai.

Anak-anak remaja tidak harus digalakkan merokok. Merokok ini lebih banyak mendatangkan keburukan daripada kebaikan. Merokok ini suatu pembaziran. Bayangkan kalau dalam sesebuah keluarga ada lima orang merokok. Mereka menghabiskan 5 kotak rokok yang berharga RM5.00 sebungkus. Dalam tempoh sebulan keluarga itu membeli 15 kotak rokok dengan nilai harga sebanyak RM125.00. Wang yang bernilai RM125.00 ini jika disimpan selama 12 bulan, jumlahnya RM1500.00 dan jika disimpan selama 60 bulan, jumlahnya ialah RM7500.00. Itu kalau betul sekotak rokok berharga RM5.00. Kalau sebungkus berharga RM17.00, sebulan seorang akan habiskan RM85.00 untuk membeli rokok, setahun habis RM1020.00, jika 5 tahun pula, jumlah duit yang digunakan untuk membeli rokok ialah RM5100.00. Seandainya 5 orang, jumlah duit yang digunakan oleh keluarga itu membeli rokok ialah RM25,500.00. Suatu jumlah yang agak besar!

Saya sebenarnya ingin tahu, apakah menggalakan anak-anak merokok sejak usia remaja ini menguntungkan? Ya, memang ada ibu bapa yang tidak tahu anak mereka seorang perokok tegar tetapi jumlah yang tidak tahu ini sedikit. Ibu bapa yang tahu anak mereka merokok itu banyak. Jika kita betul-betul menyayangi anak kita, lebih baik ajak mereka lakukan hobi yang lebih berfaedah seperti bersenam atau membaca buku. Orang akan cakap saya ini kolot dan ketinggalan zaman. Walau bagaimanapun, pada pandangan saya “ketinggalan zaman” untuk mengelakkan diri daripada melakukan perkara yang salah itu lebih baik daripada menyedut asap rokok.

MEMPERBETUL KESALAHAN BERBAHASA



SILA KLIK PADA GAMBAR UNTUK IMEJ LEBIH BESAR DAN JELAS