JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



16 November 2012

ISU UMUM : RAKYAT PERLU INSAFI BEBAN PERDANA MENTERI


Rencana ini ditulis oleh :
DZULKARNAIN TAIB
Presiden Kelab Wartawan Muda Malaysia dan
bekas Ketua Pengarang Suara Keadilan.


Kerusi Perdana Menteri merupakan jawatan tertinggi dalam strata pentadbiran negara. Jawatan Perdana Menteri dalam konteks Malaysia adalah sangat unik kerana jawatan tersebut menuntut pertanggungjawaban dari seluruh pihak yang berbeza latar belakang agama, bangsa, budaya, sejarah, bahasa dan orientasi yang bersifat dinamik dan berubah-ubah. Jawatan yang penuh cabaran dan bebanan ini memerlukan seorang yang benar-benar mempunyai kemampuan dan kebijaksanaan untuk memenuhi tuntutan pelbagai pihak yang berbeza kepentingan dan keperluan mereka. Tidak sedikit negara yang meramalkan negara bangsa yang ditubuhkan pada 31 Ogos 1957 ini yang mempunyai struktur masyarakat yang begitu berkecamuk dan carca marba boleh bertahan.

Sebilangan sarjana seperti Profesor Emeritus Clive Kessler, seorang Profesor Kajian Sosiologi dan Antropologi dari Universiti New South Wales, Australia menyebut Malaysia adalah umpama sebutir bom jangka yang menunggu masa untuk meledak. Ini merujuk kepada konteks masyarakat majmuk pelbagai kaum, agama, bahasa, tradisi, budaya, sejarah serta ideologi dan hala tuju. Justeru jawatan Perdana Menteri di Malaysia tidak hanya perlu dilihat dari sudut politik demokrasi sepenuhnya dalam erti kata negara bangsa di Barat. Ini juga menggambarkan watak Bendahara - ingat watak Tun Perak dan seumpama - yang disayangi rakyat dan pada masa yang sama melindungi kepentingan tradisi kenegaraan. Selain memikul tanggungjawab legasi lampau yang diperturunkan oleh Perdana Menteri sebelumnya, Perdana Menteri sekarang juga terpaksa berhadapan dengan persekitaran sosio-politik dunia baru yang amat berbeza dan penuh hambatan.

Inilah senario yang dihadapi oleh Perdana Menteri sekarang, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak. Dengan mengambil kira semua faktor ini kita boleh merumuskan dengan mudah, bukan calang-galang orang yang mampu memikulnya. Dalam keadaan diasak oleh tanggungjawab semasa yang begitu rencam dan getir serta dihimpit dengan peranan lalu yang wajib juga diteruskan, Perdana Menteri sekarang masih menunjukkan watak yang tenang, mesra dan waras dalam persekitaran sosiopolitik yang membuak-buak. Apakah pemegang jawatan ini harus dibiarkan untuk terus dihambat, dihimpit dan diasak tanpa henti? Serangan dan desakan bertalu-talu yang dilakukan tanpa henti dan silih berganti oleh pihak-pihak berkepentingan di dalam dan di luar kerajaan khususnya kelompok pembangkang tanpa sebarang rasa simpati dan peduli, seharusnya dikendurkan.

Sehubungan itu, penulis berpandangan amanah dan ujian yang dihadapi oleh perdana menteri sekarang tidak terbayangkan duri dan ranjaunya. Adalah diharapkan semua pihak menginsafi suasana yang dihadapi oleh Perdana Menteri dan memberikan beliau, atas prinsip keadilan, kemanusiaan dan keagamaan sedikit masa dan ruang untuk bertafakur dan beristirehat daripada segala kerenah yang menghujaninya. Maka itu kumpulan-kumpulan yang berkepentingan seperti Hindraf, Suaram, Bersih, SIS (Sisters In Islam), PUM, kumpulan anti dan pro-Lynas serta kumpulan anti dan pro-AES perlu bermuhasabah diri dan tidak memilih tindakan kebudak-budakan yang hanya tahu merengek, menjerit, merampus, menunjuk laku dan saling mendesak. Ini juga termasuk pihak-pihak dan individu-individu yang melemparkan idea kontroversi yang mencetuskan ketegangan seperti Melayu boleh tukar agama, kebebasan individu lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), dan simpati melulu terhadap fahaman pluralisme agama.

Pandangan pelampau yang menuntut hak royalti minyak yang keterlaluan serta kumpulan minoriti yang mendahulukan kepentingan satu pihak, juga perlu melihat kepentingan kolektif dan nasional di atas segala-galanya. Mereka sebaliknya harus menjadi lebih dewasa dan matang untuk mengusulkan apakah bentuk pendekatan yang boleh dikongsi bersama bagi mencari jalan penyelesaian yang sebaik mungkin. Seandainya semua pihak ingin mendapatkan hak mereka masing-masing dengan mengabaikan keutamaan yang merentasi kepentingan semua pihak, nescaya apa yang kita nikmati sekarang akan berkecai. Sebagai Perdana Menteri, tanpa menafikan perlu dan sahnya segala tuntutan satu pihak tadi, beliau tentunya lebih memikirkan dan menumpukan kepada tanggungjawab kolektif yang jauh lebih besar demi mempertahankan dan melindungi kepentingan bersama yang menjadi asbabul wujud (sebab-sebab keberadaan) negara Malaysia.

Oleh itu adalah menjadi harapan besar agar semua pihak membina jiwa dan pemikiran yang lebih besar untuk meletakkan keutamaan permuafakatan bersama di atas segala-galanya dan mendokong Perdana Menteri dalam melaksanakan tanggungjawab ini.

Sumber
Utusan Malaysia
16 November 2012

ISU GURU : NILAI PENGHARGAAN DALAM PENDIDIKAN


Rencana ini ditulis oleh :
DR. JESSICA ONG HAI LIAW
Timbalan Pengarah Bahagian Kepimpinan, Korporat dan Perhubungan Antarabangsa dan Pensyarah Kanan di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia.


Keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) akan diumumkan pada Isnin depan. Peperiksaan yang diperkenalkan pada 1987 menggantikan peperiksaan Penilaian Darjah Lima itu merupakan program pengujian untuk menilai pencapaian kognitif pelajar di akhir sekolah rendah di negara ini dan diambil oleh pelajar-pelajar di akhir Tahun Enam pendidikan rendah. Kepada ibu bapa merekalah yang lebih risau menunggu keputusan UPSR berbanding anak-anaknya. Bukan kerana risau lulus atau gagal sangat tetapi lebih kepada berapa A yang dicapai. Adakah berapa A itu sangat penting dalam membentuk jatidiri anak-anak kita pada hari ini untuk menentukan keperibadiannya yang akan berjaya di sekolah menengah nanti? Walau apapun keputusannya, anak-anak kita perlu diberi peluang untuk terus dihargai kerana banyak lagi pengukur kejayaan mereka kelak. Mungkin di sekolah menengah atau di universiti nanti mereka akan lebih berjaya.

Saya sering diasak dengan soalan, kenapa mereka yang cemerlang di sekolah tetapi di tempat kerja tidak secemerlang manapun? Di mana silapnya? Nilai sebuah penghargaan amat besar dan ucapan terima kasih sudah cukup yang menjadi inspirasi kita semua kerana nilai penghargaan memberikan seseorang itu nilai yang menyentuh jiwanya dan memberikan semangat untuk terus berusaha. Menghargai atau dihargai tidak kira usia atau di mana sahaja memberi seribu pengertian. Bidang pendidikan paling sesuai untuk diberi penghargaan kerana ilmu sukar dinilai dengan wang ringgit. Penghargaan sering dikatakan sama dengan ganjaran di mana adanya ganjaran ekstrinsik atau instrinsik dan yang mana lebih penting dalam kehidupan kini di hati anak-anak kita. Ganjaran ekstrinsik meliputi ganjaran kewangan atau ganjaran yang memberi kesan berbentuk material penting untuk memotivasikan anak-anak kita jika berjaya dalam setiap peperiksaan. Sementara itu, ganjaran instrinsik sebagai satu bentuk ganjaran yang tidak boleh dilihat intangible reward atau sebagai ganjaran psikologi.

Kalau hendak mengulas tentang ganjaran memang sukar dinilai dari aspek wang ringgit kerana apa yang diberi bukan kita menunggu untuk menerima sahaja tanpa berusaha. Zaman sekarang, semua melihat kepada ganjaran ekstrinsik meliputi ganjaran kewangan atau ganjaran yang memberi kesan sebagai penting untuk memotivasikan anak-anak kita jika berjaya dalam setiap peperiksaan. Percaturan sebegini dikatakan dapat memberikan semangat kepada mereka sebab nampak dari segi material dan berjaya menaikkan semangat mereka mengejar kebendaan dalam kehidupan. Segelintir ibu bapa berkata kalau mampu apa salahnya. Berilah kepada anak-anak apa yang mereka mahukan asalkan cemerlang. Contohnya, jika anak yang mendapat 1 A mendapat RM100 atau lebih dan jika dapat 5A akan diberikan sebuah iPad, iPhone5 atau apa-apa sahaja yang mereka inginkan asalkan sapu bersih 5A di Sekolah Kebangsaan atau 7A di Sekolah Jenis Kebangsaan. Nilai ganjaran sebegini adakah praktikal diterapkan di jiwa anak-anak kita?

Pada 2 November lepas, saya sempat menghadiri Majlis Konvokesyen sebuah Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan di Puchong, di mana Persatuan Ibu bapa Guru (PIBG) dan pihak sekolah sepakat menganjurkan Majlis Penghargaan dengan meriah sekali walaupun keputusan UPSR belum diumumkan. Perarakan guru-guru masuk ke dewan amat dirasakan sangat apabila diberikan tepukan gemuruh oleh ibu bapa yang hadir dan pelajar-pelajar sekolah sebagai tanda mengucapkan terima kasih kepada guru-guru. Selepas majlis, saya sempat mengintai suasana di sebuah kelas yang penuh emosi apabila ucapan seorang guru meluahkan perasaannya kepada pelajar-pelajarnya dengan meminta maaf kepada pelajar-pelajarnya kerana bersikap terlalu mendesak dan tidak pernah cuba memahami perasaan pelajar-pelajarnya kerana ingin melihat mereka berjaya dalam UPSR. Air mata guru itu diiringi tangisan dan beliau turut meminta maaf kepada ibu bapa kerana sering menelefon mereka dan menegur kerana tidak menyemak kerja sekolah anak-anak mereka.

Terfikir sejenak, seorang guru yang garang menangis meminta maaf menunjukkan keikhlasan yang diluahkan oleh guru tersebut membuatkan saya memahami nilai pengorbanan beliau yang menggunakan cara ganjaran yang negatif seperti mendenda dan memarahi untuk mendesak pelajar-pelajarnya berusaha ke paras maksimum. Semua pelajar yang memeluk beliau seorang demi seorang sebagai tanda penghargaan membuatkan suasana sangat mengharukan. Seorang pelajar yang berbisik kepada rakannya, dia tersalah menilai guru yang paling garang, tegas dan dibencinya selama setahun adalah guru yang terbaik sebenarnya. Jasa guru-guru memang tiada nilainya kerana gelaran cikgu akan dibawa hingga ke akhir hayat. Sebab itu kerajaan sangat prihatin dengan profesion perguruan.

Baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran menyatakan guru besar dan pentadbir cemerlang yang memperoleh ijazah sama ada secara separuh masa atau di bawah program Pengajian Jarak Jauh akan dilantik terus ke Gred DG41 tanpa perlu hadir temu duga boleh memohon terus kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) untuk dikecualikan daripada proses temu duga. Begitu juga dengan graduan yang berprestasi cemerlang pada tahap akademik dan ikhtisas selepas menamatkan pengajian, akan dilantik terus tanpa proses temu duga sebagai guru pelatih mulai tahun depan. Berita ini amat dihargai dengan memotivasikan guru-guru sanggup berkorban wang ringgit untuk belajar ke peringkat tertinggi. Satu penghargaan yang tiada nilainya. Salam Deepavali, Salam Awal Muharam dan Salam 1Hati.

Sumber
Utusan Malaysia
14 November 2012

ISU UMUM : 1MOCC, CABARAN KEPADA SEKTOR AWAM PADAM PERSEPSI LEMAU


Rencana ini ditulis oleh :
Fauziah Arof


Sewajarnya, Pusat Panggilan 1Malaysia (1MOCC) yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kelmarin yang bertujuan memberi kemudahan kepada orang ramai diambil sebagai satu lagi cabaran oleh warga kerja sektor perkhidmatan awam yang terlibat untuk membuktikan kemampuan mereka. Langkah kerajaan mewujudkan satu talian rujukan tunggal yang beroperasi selama 24 jam sehari, tujuh hari seminggu dan 365 hari setahun ini termasuklah pada hari cuti umum untuk orang ramai mengemukakan pertanyaan, aduan atau cadangan sememangnya amat baik sekali. Sebagai permulaan, fasa perintis 1MOCC melibatkan 21 agensi kerajaan yang merangkumi Jabatan Perdana Menteri dan agensi di bawahnya, Jabatan Imigresen, Jabatan Pengangkutan Jalan dan Jabatan Pendaftaran Negara.

Justeru, orang ramai sebagai pengguna kemudahan ini sudah pasti meletakkan harapan yang sangat tinggi terhadap keberkesanannya dan mahu ia berfungsi seperti yang diinginkan dan dikatakan oleh Perdana Menteri. Sektor perkhidmatan awam perlu sedar bahawa apa jua kemudahan yang diwujudkan oleh kerajaan kepada orang ramai, tentunya tidak akan memberi sebarang makna atau hanya menjadi satu pembaziran sekiranya penggerak-penggeraknya tidak bersungguh-sungguh, tidak ada semangat atau menjalankan amanah yang diberikan secara sambil lewa. Sektor ini perlu membuktikan kepada orang ramai bahawa mereka bukan golongan yang ‘lemau’ untuk menjalankan tugas dalam memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat. Walaupun mutu perkhidmatan sektor awam di negara ini menunjukkan peningkatan, namun masih banyak ruang yang perlu diperbaiki dan pelbagai persepsi buruk orang ramai terhadap mutu perkhidmatan awam sebelum ini perlu dipadamkan.

Jangan kerana sikap beberapa pekerja yang tiada ‘jiwa’ untuk bekerja dan berdepan dengan orang ramai ini merosakkan imej semua sektor awam. Dan sudah sewajarnyalah sektor perkhidmatan awam yang menjadi tulang belakang kerajaan dipandang tinggi dan dihormati rakyat melalui mutu kerja yang ditunjukkan. Maka pihak yang terlibat perlu memastikan, talian hotline, faks, e-mel, laman web, facebook dan twitter yang disediakan untuk menghubungi 1MOCC berfungsi dengan sebaiknya. Berfungsi di sini bermaksud ada maklum balas yang diterima dan tindakan yang diambil terhadap aduan, pertanyaan dan cadangan yang diberikan agar perkhidmatan ini benar-benar memberi manfaat kepada orang ramai dan juga kerajaan dalam melakukan penambahbaikan terhadap mana-mana bidang perkhidmatan awam.

Tentunya orang ramai tidak mahu talian 03-80008000 yang disediakan 24 jam itu, sama seperti talian-talian khidmat pelanggan lain yang disediakan sebelum ini - tidak berjawab atau menunggu begitu lama untuk dijawab dan paling membuat orang ramai panas hati apabila disambungkan ke sana ke mari dan akhirnya dimatikan sambungannya begitu sahaja. Melalui pengalaman-pengalaman sebegini sebelum ini membuatkan orang ramai marah dan yang akan terpalit dengan kemarahan ini, sudah tentulah kerajaan. Kerajaan juga yang sudahnya dikatakan lembap dan dipersalahkan. Dan orang ramai juga mahukan pengendali talian ini terdiri daripada pihak atau pegawai yang benar-benar boleh membantu dan tahu bidang kerja mereka. Berkhidmat di kaunter-kaunter atau bertindak sebagai penjawab talian hotline memerlukan orang yang berkemahiran dan berpengetahuan, bukan sekadar menjawab perkara-perkara asas dan menyambungnya kepada pihak lain atau meminta memanggil semula kemudian kerana pegawai yang ditugaskan keluar entah ke mana.

Begitu juga kita tidak mahu laman-laman web, facebook dan twitter yang disediakan, sunyi tanpa pengendali dan yang ‘membuat bising’ ialah orang ramai yang menjadikan laman sosial itu sebagai medan untuk mengutuk atau meluahkan rasa tidak puas hati terhadap mana-mana agensi perkhidmatan awam atau diambil kesempatan oleh ‘kaki-kaki yang gila berpolitik’ untuk menabur fitnah dan berpolitik di situ. Saya pasti semua mengharapkan perkhidmatan 1MOCC yang dijangka diperluaskan di semua kementerian pada Januari tahun depan ini dapat memberi lonjakan dan dimensi baru dalam sektor perkhidmatan awam di negara ini. Seperti yang dikatakan oleh Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr. Ali Hamsa, jatuh bangun, maju mundur dan hina mulia sektor perkhidmatan awam terletak di bahu setiap penjawat awam di semua peringkat. Dan sebagai sektor awam yang amat berkaitan rapat dengan imej kerajaan manakala kebajikannya sentiasa diberi perhatian oleh kerajaan dengan pelbagai imbuhan dan keistimewaan berbanding sektor swasta, mereka seharusnya lebih bersemangat, kehadapan dan cekap dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.

Sumber
Utusan Malaysia
14 November 2012