JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



18 Februari 2017

MOTIVASI BERSAMA CIKGU ZUL: KESEDARAN DIRI AMAT PENTING UNTUK MENJADI SEORANG PELAJAR YANG BERJAYA


Sewaktu sedang menyemak buku latihan pelajar-pelajar saya, tiba-tiba air mata saya menitis. Saya berasa amat kecewa apabila melihat hasil kerja beberapa orang pelajar. Tulisan mereka tidak dapat dibaca. Mereka cuma menulis menggunakan singkatan yang saya sendiri tidak dapat memahaminya.Perkara yang paling mendukacitakan, ada pelajar yang cuma menghantar buku sebab takut dimarahi tetapi buku itu kosong tidak ditulis dengan sepatah kata sekalipun. Perkara ini tidak harus dibiarkan. Saya perlu melakukan sesuatu. Ingatan saya terus menerawang jauh ke masa silam. Saya terbayangkan kedua-dua arwah ibu dan ayah saya yang bersusah payah menyekolahkan saya dan adik-adik. Setiap kali saya mahu melakukan sesuatu, apabila terbayangkan wajah mereka, niat terus terbantut. Apabila kawan-kawan seperjuangan mengajak saya ponteng sekolah, kaki saya melangkah mengikuti jejak mereka tetapi apabila wajah arwah ayah yang bengis muncul di depan mata, saya terus berlalu pergi meninggalkan mereka yang sedang berseronok menikmati rokok sambil mengalunkan lagu “Isabella” nyanyian Kumpulan Search.


Pagi itu, saya masuk ke kelas seperti biasa. Pelajar-pelajar saya tunduk memberikan salam. Seperti biasa saya bertanyakan khabar mereka terlebih dahulu. Saya ambil kedatangan dan tandatangan buku pergerakan pelajar. Selepas itu, saya bagi buku latihan mereka. Kemudian, saya memulakan langkah untuk meneruskan agenda saya pada pagi itu. Saya minta mereka buka buku latihan dan buku kerja yang telah saya semak. Saya panggil beberapa orang untuk membacakan komen saya pada buku latihan mereka. Sekumpulan pelajar yang melakukan kesalahan itu tertunduk malu. Selepas itu, saya terus beritahu mereka, buku latihan itu merupakan bekalan yang amat bernilai untuk menghadapi peperiksaan. Segala ilmu yang disampaikan oleh guru mesti ditulis disitu. Apabila hendak menduduki peperiksaan atau mengulang kaji pelajaran, kita dapat memahami isi pelajaran lepas dengan mudah. Jika kita sendiri tidak dapat membaca buku latihan kita, apakah maknanya kita memiliki buku latihan atau buku kerja? Lebih baik kita menulis semua kerja di tapak tangan! Selepas cikgu keluar kita padam. Mudah!

Ingati wajah ibu dan bapa

Saya terus memberikan nasihat kepada mereka. Buku latihan itu dibeli menggunakan duit hasil pencarian ibu dan ayah. Kenapakah mereka membelikan buku itu untuk kita? Mereka mahu kita mencatat semua pelajaran yang disampaikan oleh guru di sekolah.Setiap helai kertas dalam buku latihan itu perlu digunakan secara bermanfaat. Jika kita datang ke sekolah hanya untuk menconteng buku latihan atau menulis buku itu dengan  “tulisan paling cantik di dunia” sehingga guru yang mendidik kita pun tak dapat membacanya, bukankah itu menandakan kita telah mengkhianati harapan ibu bapa kita. Kita gagal memahami tujuan kita ke sekolah! Kita belajar untuk siapa? Jawapannya amat mudah. Kita datang ke sekolah untuk memastikan masa depan kita terjamin. Kita mahu mengubah nasib keluarga. Kita mengimpikan rumah besar, kereta besar dan gaji yang tinggi. Kita mahu memberikan kesenangan kepada ibu dan ayah serta adik-adik kita. Jika kita ke sekolah dengan tujuan untuk menggelapkan masa depan kita sendiri, kita sungguh berdosa. Berdosa kepada ibu bapa kita. Berdosa kerana memusnahkan impian mereka.

Semua pelajar harus memiliki kesedaran diri. Orang yang tiada kesedaran merupakan orang yang gagal dan tidak akan berjaya sampai bila-bila. Orang yang mempunyai kesedaran diri yang tinggi biasanya mempunyai cita-cita yang tinggi. Jika sekarang mereka tinggal di rumah yang berharga RM100,000, mereka mengimpikan untuk membeli rumah yang lebih besar dan lebih mahal daripada itu untuk keluarga dan ibu bapa mereka. Orang yang mempunyai kesedaran tiada masa untuk melakukan perkara yang remeh-temeh semasa di sekolah. Mereka tidak akan mengantuk atau tidur semasa guru mengajar. Mereka akan menyiapkan segala tugas yang diberikan tepat pada masanya. Mereka tidak akan membuat kerja sambalewa atau semberono. Mereka akan sentiasa menghargai masa semasa berada di sekolah untuk belajar dan belajar sahaja. Pelajar yang sedar diri akan sentiasa terbayangkan kemiskinan dan kesusahan hidup keluarganya. Dia sentiasa berazam untuk membawa keluarganya keluar dari kepompong kemiskinan itu. Dengan itu, dia akan belajar bersungguh-sungguh demi memperoleh kecemerlangan.

Jangan khianati diri sendiri

Pelajar yang malas merupakan pelajar yang mengkhianati dirinya sendiri. Semua orang dikurniakan akal yang rasional dan fizikal yang sempurna. Mengapakah ada orang yang berjaya dan ada orang yang gagal? Walaupun kita selalu mengatakan perjalanan hidup kita ditentukan oleh takdir, kita tidak boleh menafikan sikap malas yang tebal dalam diri kita merupakan penghalang utama untuk kita maju seperti orang lain. Peluang sudah terbentang di depan mata. Mengapakah kita tergamak menutup ruang dan peluang kita sendiri dan memberikannya kepada orang lain? Pelajar yang malas ibarat menjerut leher sendiri. Mereka telah lama mati walaupun nadi belum terhenti. Mati kerana tidak mampu merangkul kejayaan seperti orang lain. Tatkala orang lain berlumba-lumba untuk mendapatkan kejayaan, dia masih tidur berdengkur dibalut selimut kemalasan. Hidup hanya untuk menyusahkan ibu bapa hingga ke hari tua. Orang yang malas biasanya orang yang suka hidup dengan hiburan. Mereka hanya memikirkan keseronokan pada setiap masa. Hidup berkiblatkan artis popular tetapi dirinya sendiri entah kemana!


Dunia hari ini memerlukan kita untuk kental bersaing. Jika kita tidak berpendidikan kita tidak mampu melakukan pecutan untuk mara kehadapan. Kita akan terus ditertawakan dan diperlekehkan oleh orang lain. Kita gagal dalam persaingan. Kita akan ketinggalan. Orang sudah berlari tetapi kita masih bertatih. Semasa di sekolah kita harus membina keyakinan diri. Semasa di sekolah kita harus membina kekuatan diri. Kita disediakan dengan puluhan pendidik yang berdedikasi untuk memberikan ilmu, nasihat, dan amanat. Mengapakah kita selalu menitiskan noda pada kanvas silaturrahim dengan mereka? Pelajar yang berjaya merupakan pelajar yang ditakuti kerana kematangannya, kecemerlangannya dalam bidang kurikulum dan kokurikulum, dan ketokohannya. Pelajar yang menjadi pembuli, samseng taik kucing, suka melawan guru, gemar bercakap kasar dan sebagainya tidak akan maju dalam hidup. Orang mungkin takut pada mereka tetapi takut kerana jahatnya sikap dan kelakuan mereka bukannya takut kerana mereka berjaya. Golongan ini akan hadir dalam masyarakat untuk menyusahkan masyarakat, langsung tidak membawa kemaslahatan kepada diri dan orang lain.

Berubahlah anak-anakku

Anak-anakku sayang, masa yang Allah berikan kepada kita untuk berubah tidak pernah bermuara. Luasnya saujana mata memandang. Kita harus bersikap positif untuk mengubah diri agar menjadi insan yang berguna kepada keluarga, bangsa, dan negara. Sayangi diri sendiri. Orang yang sayang pada dirinya sendiri akan berjuang berhabis-habisan untuk dirinya sendiri. Dia tidak mahu hidupnya dibawah telunjuk orang lain. Dia tidak mahu keluarganya hidup menderita. Dia tidak mahu ibu bapanya hidup sengsara. Dia tidak mahu guru-gurunya berasa kecewa. Dia tidak mahu pemikirannya dijajah. Dia tidak mahu masa depannya musnah. Masa di sekolah hanyalah 7 jam sehari. Jika masa itu digunakan dengan bermanfaat, insyallah anda mampu memahat nama di persada jaya sebagai pelajar yang paling cemerlang di Malaysia. Ini bukan mustahil! Jika orang lain boleh mengapakah anda tidak boleh?


Coretan dari hati seorang pendidik
Cikgu Zulkarnain Farihin Abdullah
SMK Sibu Jaya
Sibu Sarawak.