JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



16 Oktober 2011

JADIKAN MOTIVASI UNTUK BERJAYA : ANAK PUNAN PERTAMA JADI PEGAWAI


Felicia Alow kelihatan teruja bercerita tentang bahasa ibundanya, bahasa Punan. “Nu denge maksudnya apa khabar, nu ngaro no ertinya apa nama kamu manakala piru umun no berapa umur kamu. “Oh ya, jangan lupa sebutkan tupu koman si setiap kali tiba waktu sarapan, makan tengah hari atau makan malam. Ayat itu bermaksud awak sudah makankah?” kata Felicia, anak kelahiran Rumah Panjang Nyipa di Kampung Kuala Pandan, daerah kecil Sebauh dalam Bahagian Bintulu, Sarawak. Kampung di tepi Batang Kemena, anak Sungai Rajang itu terletak kira-kira 40 minit menaiki kereta dari bandar Bintulu. Felicia, 28, merupakan anak Punan pertama yang menjawat jawatan bertaraf penguasa di Jabatan Imigresen. Sebagai Penolong Pengarah Bahagian Pas Penggajian jabatan itu, Felicia bakal ditempatkan di Putrajaya - Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan yang memiliki bangunan serba moden. “Suasananya tentu sahaja jauh berbeza dengan penempatan masyarakat Punan yang sinonim dengan hutan dan sungai,” beritahu Felicia. Gadis lulusan Universiti Putra Malaysia (UPM) ini kelihatan segak dalam persalinan seragam putih Jabatan Imigresen. Berwajah manis, kulit Felicia putih bak telur dikupas. “Orang selalu salah sangka bila mengatakan saya seorang gadis Cina. Sebenarnya kebanyakan orang Punan memiliki ciri fizikal seperti saya,” katanya ketawa.

Dia ditemui di Akademi Imigresen Malaysia (AIMM) di Port Dickson, Negeri Sembilan semasa mengikuti kursus induksi selama tiga minggu baru-baru ini. Menurut Felicia, etnik Punan Sarawak yang berjumlah 50,000 orang adalah berbeza daripada kaum Penan walaupun kedua-duanya merupakan penghuni tebing sungai-sungai di negeri itu. “Penduduk Sarawak sendiri seperti di Miri dan Kuching masih ramai yang keliru tentang kaum Punan sedangkan kami sudah hampir 300 tahun menghuni tebing sungai berkenaan,” kata Felicia. Felicia anak keenam daripada lapan beradik. Katanya, walaupun suatu masa dulu memiliki anak yang ramai merupakan satu kebiasaan masyarakat Punan, generasi baharu kaum itu selesa mempunyai dua atau tiga orang anak sahaja.  “Setakat ini tuai rumah panjang di kampung saya memiliki paling ramai anak iaitu 10 orang,” katanya. Dari segi geografi, majoriti penempatan etnik Punan bertumpu di kawasan berhampiran bukit dan sungai. Aktiviti penduduk ialah berburu, mencari tumbuhan dan sayur di hutan selain menangkap ikan di sungai. “Kegiatan menanam padi diusahakan oleh setiap keluarga rumah panjang. “Malah, masyarakat Iban dan Melanau yang tinggal berjiran dengan kampung saya turut menanam padi,” katanya sambil memberitahu, aktiviti berburu sudah berkurangan sekarang.

“Tidak seperti kira-kira 25 tahun lalu yang menyaksikan pemburuan dilakukan secara meluas,” ujarnya. Oleh kerana kedudukan kampungnya berjiran dengan kaum Melanau dan Iban, Felicia dapat mempelajari bahasa kaum itu melalui kawan-kawannya. “Apabila berjumpa kawan Melanau, saya suka meniru cara mereka bercakap. Saya juga cuba berbahasa Iban semasa bertemu kawan-kawan Iban,” ujar Felicia yang menambah, bahasa Iban diajar di sekolahnya. Felicia turut bercerita mengenai tarian su’ei dan makanan kegemarannya, teleguk. “Tarian itu sedikit pelik tetapi merupakan satu tradisi kaum Punan. Teleguk pula ialah sejenis pulut yang dibungkus menggunakan daun palas sebelum dikukus,” katanya. Dia juga masih dapat mengingati wajah penduduk kampung yang bertelinga panjang kerana memakai subang yang besar dan berat. “Saya masih berpeluang melihat suasana seperti itu. Di kampung saya masih terdapat tiga wanita yang mempunyai telinga begitu. “Bagaimanapun, tiada orang muda yang mahu mengikut tradisi itu lagi. Mungkin zaman sudah berubah,” ujarnya. Kata Felicia, etnik Punan terbahagi kepada Punan Pedan, Bah dan Biau. Tiada perbezaan antara ketiga-tiga puak tersebut. Boleh dikatakan semua penempatan mereka bertumpu di kawasan berbukit dan berhampiran sungai.

Dia menambah, kini perkampungan Punan agak moden. “Rumah panjang sudah diubah suai dengan berlantaikan simen tetapi masih mengekalkan binaan kayu bagi dinding rumah. “Jalan masuk ke kampung saya juga telah diturap dengan tar manakala kemudahan elektrik banyak mengubah suasana perkampungan itu. “Dahulu, kami hanya menggunakan generator yang dihidupkan dari pukul 6 petang hingga 12 malam,” ceritanya. Sebagai sebahagian daripada kaum Dayak, terdapat juga orang Punan yang mahir dalam perubatan tradisional khususnya yang bercampur unsur mistik. “Mereka menggunakan kuasa tertentu untuk menyembuhkan penyakit,” katanya. Menurut Felicia, dalam satu upacara yang unik, tubuh pesakit termasuk mata akan ditutup sepenuhnya menggunakan kain sarung. “Pesakit akan dibaringkan di atas sebuah tempat khas di kawasan lapang sebelum beberapa orang menari mengelilingi pesakit berkenaan sambil membaca mantera dan memukul gendang. “Kali terakhir ritual itu dibuat ialah pada lapan tahun lalu. Sekarang, dukun wanita itu sudah tua dan belum ada siapa yang mewarisi ilmunya,” katanya. Mendaftar masuk di UPM, Serdang, Selangor, bererti kali pertama juga dia menjejakkan kaki ke ibu kota Kuala Lumpur.

“Saya sememangnya tidak pernah datang ke Kuala Lumpur sebelum itu. “Ia sebuah kota yang sesak tetapi begitu mengujakan. Saya menganggapnya sebagai satu cabaran dan tempat untuk saya mempelajari banyak perkara baharu setiap hari,” katanya. Sebelum bertugas di Jabatan Imigresen, Felicia pernah bekerja sebagai guru sandaran di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sebauh di Bintulu. selama enam bulan iaitu sejurus selepas dia menggenggam ijazah pada tahun 2006. Selepas itu, beliau bekerja di Pejabat Daerah Tatau, juga selama enam bulan. Dia sempat menjadi guru sandaran di SMK Simanggang, Sri Aman selama lebih setahun. “Kerjaya sebagai pegawai Imigresen merupakan kerjaya yang membanggakan walaupun cita-cita saya dahulu ialah untuk bergelar pensyarah. Saya akan menjalankan tugas saya dengan penuh yakin,” kata gadis ini bersemangat. Di luar pakaian seragamnya, Felicia merupakan seorang penggemar sejarah selain pandai melukis. “Ketika di sekolah, Sejarah adalah mata pelajaran kesukaan saya. Saya gemar membaca kisah penjajahan keluarga James Brooke di Sarawak. Sekarang, saluran dokumentari History di Astro pula menjadi pilihan saya,” ujarnya.

SUMBER
HARIAN KOSMO

ISU EKONOMI : BERSEDIA UNTUK MENGHADAPI KRISIS KEWANGAN DUNIA SEMULA


BANDAR PARAGUE, REPUBLIK CZECH

Pada Rabu lalu seramai 100 orang yang berpengaruh dari seluruh Eropah telah menulis surat terbuka kepada ketua-ketua 17 negara kesatuan Eropah. Dalam surat kepada ketua-ketua negara berkenaan, ada menyebut bahawa mereka tidak boleh lagi ambil mudah atau sekadar “menyepak tin kosong di tepi jalan”. Dengan lain perkataan ketua-ketua negara Eropah mesti melakukan sesuatu ke atas masalah hutang yang mereka hadapi termasuk masalah sistem perbankan atau malapetaka akan mendatangi mereka semua. Pasaran kewangan dan pasaran saham seluruh dunia terus menanti dengan penuh rasa kebimbangan ke atas tindakan seterusnya yang akan diambil oleh pemimpin-pemimpin negara Kesatuan Eropah ini. Langkah yang mereka ambil akan menentukan sama ada pasaran akan kembali stabil atau terus menjunam.

SEJARAH KRISIS KEWANGAN DUNIA

Kepada sebahagian besar daripada kita sudah tentu masih dapat mengingati bagaimana negara kita terjebak didalam krisis kewangan yang berlaku pada tahun 1997/98 yang dipanggil krisis kewangan Asia. Krisis ini bermula apabila mata wang baht Thailand telah dinilai semula dan ini telah mengakibatkan mata wang negara kita juga terjejas teruk. Pada kemuncak krisis yang berlaku nilai mata wang kita berbanding dolar Amerika hampir mencecah ke paras RM5 pada setiap dolar Amerika. Sistem kewangan kita menjadi tidak menentu dan banyak perniagaan yang gulung tikar terutama yang meminjam dalam dolar Amerika. Hutang mereka sekelip mata menjadi tinggi. Malahan ramai dari kita yang kehilangan pekerjaan ketika itu dan mengalami kerugian besar dipasaran saham. Sekali lagi krisis kewangan telah melanda dunia pada tahun 2008 yang kali ini bermula di Amerika. Ini adalah disebabkan sistem perbankan mereka telah memberikan pinjaman mudah kepada pembeli-pembeli rumah walaupun mereka sebenarnya tidak mampu untuk membayar balik pinjaman tersebut. Krisis ini juga dikenali sebagai krisis sub-prima.

KEDUDUKAN PASARAN SAHAM DUNIA

Pasaran saham diseluruh dunia telah terjejas sejak beberapa bulan kebelakangan ini disebabkan oleh ketidaktentuan tentang kestabilan sistem kewangan di negara-negara Eropah. Secara purata bursa-bursa utama diseluruh dunia telah mengalami kemerosotan yang agak banyak. Tidak ada negara yang terlepas dari tempias krisis kewangan di Eropah ini termasuk di Malaysia. Saban hari pasaran akan sentiasa berada dalam keadaan yang tidak menentu. Berita tentang masalah kewangan di Eropah terus mendominasi sentimen pasaran. Berita-berita yang positif silih berganti dengan berita negatif sehinggakan ramai penganalisis saham sudah tidak berani membuat unjuran tentang prospek pasaran.

KESAN KRISIS TERKINI 
KE ATAS EKONOMI MALAYSIA

Dalam sidang akhbarnya baru-baru ini, Datuk Charon Wardini Mokhzani, Pengarah Eksekutif CIMB Investment Bank berkata, walaupun terdapat ketidaktentuan arah tuju dan sentimen yang negatif dipasaran saham, ekonomi dan suasana perniagaan di rantau Asia adalah baik dan memberangsangkan. Beliau berkata ketidaktentuan pasaran adalah disebabkan ketidakpastian bagaimana krisis kewangan di Eropah ini akan diatasi dengan sebaik-baiknya. Tambah beliau, Malaysia, Asia Tenggara dan seluruh Asia tidak mempunyai sebarang masalah kewangan yang boleh menggugat kestabilan ekonomi di rantau ini. Pandangan terhadap ekonomi Asia adalah ia akan terus mengalami kemajuan disebabkan oleh perdagangan yang rancak di antara negara-negara Asia itu sendiri. Kerjasama perdagangan ini dilihat sebagai jalan terbaik untuk terus memakmurkan ekonomi rantau ini dimana jumlah penduduk yang tinggi di Asia dengan pendapatan per kapita yang terus meningkat akan menjadikan pengguna mempunyai kuasa beli yang tinggi. Begitu juga apa yang sedang berlaku di Malaysia dimana usaha kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi akan terus membolehkan rakyat hidup dalam suasana yang lebih baik dan harmoni.

Langkah-langkah yang sedang diambil oleh kerajaan dilihat berada pada landasan yang betul untuk membolehkan seluruh rakyat mengecapi faedah yang terbaik untuk meningkatkan mutu hidup semua golongan. Dengan kuasa membeli yang lebih tinggi diharap negara kita tidak perlu terlalu bergantung kepada eksport ke negara-negara lain termasuk Eropah dan Amerika yang menjadi rakan niaga terbesar kita buat masa ini. Rangsangan ekonomi dalaman dijangka akan dapat terus meningkatkan rantaian perniagaan yang berdaya saing terutama di dalam negara dan juga dengan negara-negara jiran serantau sebagai rakan niaga baru. Dengan ini kebergantungan kita terhadap pasaran Eropah dan Amerika akan dapat dikurangkan dan sebarang kemerosotan ekonomi yang mereka alami tidak akan terlalu menjejaskan ekonomi negara kita.

UNJURAN KDNK NEGARA

Malaysia menyasarkan unjuran KDNK negara pada kadar antara 5 hingga 5.5 peratus untuk tahun 2011 dan 5 hingga 6 peratus untuk tahun 2012. Namun kadar ini dilihat agak tinggi oleh penganalisis ekonomi. Ini adalah disebabkan Malaysia masih agak bergantung kepada eksport luaran. Kegagalan rantau Eropah mengatasi masalah kewangan mereka mungkin akan mengheret Malaysia kepada kegagalan mencapai angka tersebut. Begitu juga kekuatan ekonomi Amerika sangat-sangat diperlukan oleh Malaysia yang masih banyak bergantung kepada pasaran ini. Kemerosotan ekonomi China juga dilihat sebagai ancaman kepada unjuran yang kita lakukan. Kepada sebahagian dari penganalisa ekonomi mereka lebih melihat unjuran sebanyak 4 peratus untuk tahun 2011 dan 2011 adalah lebih realistik disebabkan oleh faktor-faktor yang disebut tadi. MIER sendiri mensasarkan unjuran KDNK negara pada kadar 4.6 peratus untuk tahun 2011.

DI LANDASAN YANG BETUL

Dasar-dasar yang sedang diambil oleh kerajaan untuk memakmurkan ekonomi negara dilihat sebagai langkah bijak didalam menangani isu kebergantungan negara kepada eksport luaran dan kemungkinan kemelesetan ekonomi di Eropah dan Amerika. Walaupun sebarang tindakan yang diambil memerlukan jangkamasa yang panjang untuk dilihat keberkesanannya, tetapi kita telah mengambil tindakan proaktif kearah itu. Pelan Transformasi Ekonomi dan Bajet 2012 yang baru diumumkan oleh Perdana Menteri dilihat dapat meningkatkan permintaan dalam negara. Pendapatan boleh pakai rakyat yang meningkat diharap dapat membantu mereka berbelanja dan merancakkan ekonomi negara. Struktur sistem percukaian negara mungkin boleh diperbaiki lagi untuk membolehkan negara meningkatkan sumber pendapatan untuk menjalankan projek-projek yang boleh meningkatkan mutu kehidupan rakyat secara berterusan. Kerajaan dilihat sebagai perlu meningkatkan pendapatan negara dari sumber yang lebih menyeluruh dan lebih adil.

HARAPAN MASA DEPAN

Malaysia sebagai sebuah negara yang ingin mencapai taraf negara maju pada tahun 2020 perlu terus berusaha untuk memantapkan ekonomi dalaman dan terus mencari pasaran-pasaran baru untuk terus berdaya saing di dalam menghadapi cabaran ekonomi dunia yang tidak menentu. Putaran krisis kewangan dunia mungkin akan terus berlaku di masa hadapan dan diharap Malaysia bersiap sedia dengan kekuatan ekonomi dalamannya.

SUMBER
MINGGUAN MALAYSIA
16 OKTOBER 2011


ISU MEDIA : CABARAN PADA KEBEBASAN MEDIA

Ku Seman Ku Hussain


PAGODA DI SHWEDAGON, MYANMAR

Kekangan terbesar ialah sikap tidak dapat terima kritikan. Inilah yang menghalang kebebasan media serta menafikan media sebagai mata dan telinga masyarakat. Kebebasan media menjadi penanda aras masyarakat maju dan terdidik dengan limpahan maklumat yang menyumbang kepada pembangunan sosiobudaya dan politik. Walaupun kebebasan media itu dibimbangi oleh banyak pihak terutama kerajaan, tetapi inilah yang membentuk kesedaran masyarakat terutamanya yang berkaitan kepentingan mereka. Masyarakat berhak mendapat maklumat yang tepat mengenai sesuatu berkaitan pemimpin dan pelbagai isu yang menyentuh sosial dan politik. Misalnya maklumat mengenai pergolakan sosial atau sikap buruk sesetengah pemimpin akan memberi kesan secara langsung atau tidak langsung kepada masyarakat. Buku The Death and Life of American Journalism oleh Robert McChesney dan John Nichols antara lain mengatakan, tahap kebebasan media yang tinggi boleh membantu kelicinan pentadbiran, menggerakkan ekonomi dan menyuburkan budaya yang sihat. Buku yang ditulis oleh dua sarjana media neo-Marxis yang bimbang dengan kecenderungan kerajaan di banyak negara dunia terutama Amerika Syarikat (AS) yang mengambil alih kedudukan media sebagai fourth estate atau estet keempat selepas legistatif, eksekutif dan judisiari dalam pentadbiran negara.

Pada masa yang sama, apabila seseorang itu berada dalam kelompok yang mempunyai hubungan langsung dengan masyarakat, lingkungan kebebasan peribadinya menjadi lebih kecil. Tidak semua yang diperkatakan mengenai dirinya adalah peribadi kerana dia mempunyai hubungan dengan masyarakat. Misalnya apabila seorang pemimpin yang berperibadi buruk, ini bukan lagi memberi kesan kepada individu di sekitarnya malah masyarakat secara umumnya. Tidak lama dulu seorang pengarah firma saham menyaman majalah Financial Times sebanyak 240 juta pound kerana sebuah rencana dalam majalah tersebut. Dia mendakwa rencana itu menjejaskan potensinya dalam perniagaan. Sementara itu satu lagi kes klasik, pakar perubatan Dr. Joe Rahamin pada 2001 memenangi saman sejuta pound terhadap saluran berita Channel Four yang didakwa memfitnahnya. Begitu juga dengan selebriti pop Britney Spears yang menyaman sebuah majalah hiburan AS$10 juta kerana mendakwa memfitnah Britney mendedahkan kehidupan seksnya. Satu lagi contoh yang mengekang media ialah tindakan saman Heather Mills, bekas isteri Paul McCartney yang menyaman Sunday Mirror sebanyak 50,000 pound pada 2002. Mills mendakwa laporan Sunday Mirror mengenai perceraian dengan McCartney menjejaskan reputasinya.

REPUTASI

Ini adalah kes-kes popular dan banyak kes lain di mana media mendepani tindakan mahkamah kerana mengkritik sesetengah pemimpin atau tokoh. Undang-undang digunakan bagi mengembalikan reputasinya yang kononnya terjejas oleh laporan media. Kita lupakan kes-kes popular tetapi hakikatnya kebebasan media semakin kecil untuk menjadi pembentuk pemikiran masyarakat. Tidak lama dulu sebuah mahkamah di Singapura menjatuhkan hukuman denda dan penjara enam minggu kepada penulis buku, Once a Jolly Hangman: Singapore Justice in the Dock, Alan Shadrake. Warga British ini didapati bersalah kerana mempersoalkan ketelusan sistem perundangan Singapura. Shadrake didenda $S20,000 dan terpaksa merengkok dalam penjara. Inilah contoh bagaimana undang-undang digunakan untuk menghalang media mencambahkan sudut pandangan kritis terhadap politik dan sosial. Mahkamah Tinggi Singapura juga pernah mendenda majalah The Wall Street Journal Asia yang berpangkalan di Hong Kong sebanyak 10,700 pound kerana menghina mahkamah. Majalah tersebut didakwa menyiarkan rencana pengarang dan surat pemimpin pembangkang yang mempersoalkan sistem perundangan negara itu. Kebebasan media dikembirikan apabila surat pemimpin pembangkang yang mendedahkan ketiadaan kebebasan dalam sistem perundangan di Singapura dianggap menghina mahkamah.

Apabila media mendedahkan atau mengkritik pemimpin, ia dilakukan untuk kepentingan masyarakat. Media yang duduknya sebagai estet keempat mempunyai tanggungjawab kepada masyarakat. Tetapi kedudukan ini jarang dilihat terutama apabila keghairahan mengambil tindakan mahkamah. Media tidak dapat berperanan dengan baik apabila semakin meningkat tindakan mahkamah dikenakan kerana mengkritik individu yang mempunyai hubungan langsung dengan masyarakat. Kewujudan pemimpin tidak dapat menerima kritikan meletakkan media dalam dilema. Dalam konteks Malaysia, cabaran dan kekangan kebebasan media bukan melibatkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Akta Rahsia Rasmi (OSA) atau Akta Mesin Cetak dan Penerbitan. Tetapi kekangan terbesar ialah sikap tidak dapat terima kritikan. Inilah yang menghalang kebebasan media serta menafikan media sebagai mata dan telinga masyarakat.

SASARAN

Ini membuatkan media sentiasa menjadi sasaran tindakan mahkamah. Perjuangan pihak tertentu kononnya untuk membebaskan media menganggap ketiga-tiga akta itulah angkaranya. Hakikatnya kita boleh melihat sendiri sepanjang sepuluh tahun ini misalnya hampir tidak ada media dikenakan tindakan bawah akta tersebut. Tetapi kita boleh melihat peningkatan jumlah tindakan mahkamah yang diambil terhadap media. Tindakan saman fitnah kini menjadi satu fenomena. Media tempatan menjadi sasaran tindakan mahkamah. Padahal media melaporkan mengenai individu yang mempunyai hubungan langsung dengan masyarakat. Semua ini menjejaskan kedudukan media sebagai estet keempat. Kebebasan media untuk berkhidmat kepada masyarakat telah disekat dengan cara demikian.

SUMBER
MINGGUAN MALAYSIA
16 OKTOBER 2011


ISU ICT : BAHANA RAKAM GAMBAR TERLAMPAU

Johardy Ibrahim


PLITVICE LAKES, CROATIA

Kagum sungguh dengan keupayaan pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) dapat mengesan dan memberkas penggodam emel dan telefon bimbit selebriti Hollywood yang dihadap ke mahkamah Rabu lalu. Cekap dan pantas Biro Siasatan Persekutuan (FBI) yang mengendalikan 'Operasi Hackerazzi'. Gambar-gambar peribadi pelakon jelita Scarlett Johansson dalam keadaan separuh bogel terpampang di Internet. Ia asalnya dirakam menggunakan telefon bimbit oleh Scarlett di bilik tidurnya dan telah digodam oleh Christopher Chaney, 35, dari Jacksonville, Florida. Gambar berkenaan terdedah di Internet pada bulan lepas, memaksa Scarlett membuat aduan rasmi kepada pihak berkuasa. Chaney semasa diwawancara oleh stesen WAWS di Florida pada Khamis lalu, mengaku dirinya menjadi 'ketagih' untuk menyelongkar hal ehwal peribadi selebriti-selebriti. Selain Scarlett, antara selebriti yang turut digodamnya ialah pelakon Black Swan, Mila Kunis; pelakon High School Musical, Vanessa Hudgens; penyanyi Christina Aguilera dan pelakon Still Standing, Renee Olstead. ''Ia bermula sebagai ingin tahu dan ia bertukar menjadi suatu ketagihan untuk melihat di balik tabir apa yang berlaku pada orang yang anda lihat di layar perak setiap hari," katanya. ''Saya hampir lega bila mereka (pihak berkuasa) datang dan mengambil komputer saya... kerana saya tidak tahu bagaimana hendak berhenti," kata Chaney.

Lelaki ini didakwa dengan 26 pertuduhan berkaitan jenayah siber terhadap selebriti Hollywood selepas siasatan selama 11 bulan oleh FBI. Jika sabit kesalahan, Chaney berdepan dengan hukuman penjara sehingga 121 tahun. Terdapat beberapa persoalan bila memikirkan kes ini, sama ada daripada psikologi lelaki penggodam tersebut hinggalah kepada wujudnya 'harta karun' yang tersorok dalam emel atau telefon bimbit selebriti yang disebut itu. Berdasarkan pengakuan Chaney, jelas dia telah menyalahgunakan kepintarannya menggunakan sains komputer untuk menerobos dan mencuri maklumat dalam emel peribadi orang lain. Kemahiran seumpamanya tidak ramai miliki tetapi boleh dipelajari terutama yang mahir matematik (aliran sastera seperti saya boleh kirim salam!). Di Malaysia, bakat-bakat seumpamanya (mahir sains komputer dan 'tahu' kaedah menggodam) sememangnya ada. Beberapa bulan lepas, satu serangan terancang terhadap laman web kerajaan berlaku. Ia bermotif politik. Chaney kata dia buat begitu sebab 'ketagih'. Inikah gejala yang selalu berlaku bila seseorang itu merasakan dirinya terlebih pandai, dan berani membuat sesuatu yang di luar kebiasaan, semata-mata untuk memenuhi 'rasa ingin tahu' dan 'mencari cabaran lebih besar'. Apa kaedah untuk membendung penyakit sebegini?

Tiada! Hendak tazkirah atau hantar ke kem pemulihan, kita belum ada pengalaman untuk memastikan ia benar-benar berjaya. Penggodam terkenal Kevin Mitnick diburu oleh FBI yang kisahnya dibukukan serta digambarkan dalam dua filem iaitu Freedom Downtime dan Takedown. Dia dipenjara lima tahun, lapan bulan daripadanya dikurung seorang diri. Dia dilarang menggunakan komputer selama beberapa tahun dan kini dilaporkan telah kembali berbakti kepada masyarakat dengan berfungsi sebagai juruperunding keselamatan komputer, penulis dan penceramah. Bagaimana FBI dan agensi-agensi penguatkuasaan lain di Amerika Syarikat berupaya mengesan, memburu dan memberkas penggodam-penggodam ini, adalah sesuatu yang harus diambil serius oleh pihak berkuasa Malaysia untuk belajar dari mereka. Selain jenayah nyata seperti merompak atau berkaitan pengganas, jenayah siber kini berada di tahap membimbangkan. Menurut kaji selidik Ponemon Institute dan ditaja oleh ArcSight, anak syarikat Hewlett-Packard baru-baru ini, kos keseluruhan akibat serangan siber terhadap sektor awam dan swasta meningkat begitu besar tahun ini berbanding tahun lepas. Kerugian kewangan dianggarkan dari serendah AS$1.5 (RM4.5) juta hingga AS$36.5 juta (RM1.09 bilion) secara purata setiap tahun.

PERSEDIAAN

Itu daripada sudut pertama iaitu penggodam dan bahaya sebenar yang kita hadapi dalam era teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) ini. Jelas kita perlu persediaan sewajarnya. Persoalan kedua ialah mangsa itu sendiri. Dalam konteks selebriti, pelbagai hujah dan rasional telah dikemukakan mengenai fungsi seorang selebriti dan privasi yang boleh dimilikinya. Benar orang akan berkata, apa bezanya gambar separuh bogel Scarlett tersebut berbanding lakonannya dalam filem? Ini kita kena faham budaya Hollywood. Apa dia buat dalam filem, dianggap sebagai kerjaya. Malah dibayar mahal untuk mendedahkan badan. Tetapi gambar diri sendiri yang dirakam di kamar tidur, adalah hak milik peribadi. Itu hujah Scarlett. Itu mentaliti mereka. Harap selebriti di Malaysia turut mengerti bahawa mentaliti sebegini tidak boleh jalan di negara kita yang masih mengutamakan nilai ketimuran dan Islam. Soalan lain ialah mengapa perlu mengambil gambar sendiri dalam keadaan sedemikian? Hendak mencuba kamera telefon? Kemudian apa? Melihat sendiri kecantikan tubuh badan dan tergiur sendiri? Atau berhasrat mengirimnya kepada individu lain? Kalau penerimanya orang yang bertanggungjawab, maka selamat sejahteralah. Kalau tidak, jutaan orang akan melihat gambar anda di Internet.

Baru-baru ini seorang teman memberitahu bahawa terdapat satu sistem dalam telefon pintar yang masih 'menyimpan' memori data atau imej walaupun telah dipadamkan. Tidak ramai tahu hal ini. Ia menjadi bahaya bila kita menjual telefon itu kepada seseorang yang berpengetahuan 'mencantumkan semula' memori tersebut. Gambar rahsia itu boleh menjelma balik. Bermulalah mimpi ngeri. Terdapat butang arahan khusus untuk memadamkan sama sekali memori tersebut, bergantung kepada jenis telefon pintar yang anda miliki. Namun kawalan keselamatan terbaik ialah tidak merakam gambar pelik, aneh apalagi lucah menggunakan telefon. Ia mungkin datang balik menghantui diri anda, sama seperti terkena pada selebriti-selebriti Hollywood tersebut. Lagipun, apa yang seronok sangat mengambil gambar bogel diri sendiri seperti dilakukan oleh Scarlett? Lainlah kalau hendak lihat ada atau tidak panau di belakang badan, ada juga logik kamera digunakan.

SUMBER
MINGGUAN MALAYSIA
16 OKTOBER 2011


ISU ANTARABANGSA : KISAH DI SEBALIK PRESTIJ NOBEL


SUASANA DI MAJLIS 
PENANUGERAHAN HADIAH NOBEL

Setiap tahun dunia akan menantikan siapakah yang bakal terpilih menerima anugerah Hadiah Nobel yang diiktiraf sebagai anugerah paling berprestij dalam bidangnya. Anugerah tersebut yang merangkumi enam kategori iaitu keamanan, kimia, fizik, kesusasteraan, ekonomi dan perubatan sememangnya wajar dalam usaha mengiktiraf pengorbanan dan titik peluh mereka yang telah melakukan jasa kepada manusia sejagat. Namun di sebalik mesej dan pengiktirafan, ia juga tidak dapat lari dari kontroversi terutama melibatkan Hadiah Nobel Keamanan. Hadiah Nobel telah dimulakan sejak tahun 1901 berdasarkan wasiat pencipta dan ahli kimia terkemuka Sweden, Alfred Nobel. Beliau yang dilahirkan pada 21 Oktober 1833 dan meninggal dunia pada 10 Disember 1896, juga seorang ahli perniagaan, hidup kaya raya kerana kebijaksanaannya selain memegang hak cipta terhadap 355 paten ciptaannya. Namun ciptaannya yang paling diingati sehingga kini adalah bom dinamit berkuasa tinggi yang membuatkan beliau digelar sebagai Merchant of Death (ahli perniagaan maut) oleh akhbar-akhbar di Barat pada zamannya. Berikutan satu kesilapan laporan kematiannya oleh sebuah akhbar Perancis dengan tajuk "Ahli perniagaan maut akhirnya meninggal dunia" walhal yang mati adalah abangnya Ludvig, telah membuatkan Nobel menulis semula wasiatnya. Beliau bertindak menukar wasiat sebelum kematiannya sebagai satu usaha menebus kesilapannya mencipta dinamit yang telah disalahguna untuk tujuan peperangan.

BIAYA


PEMENANG HADIAH NOBEL 2011

TAWAKKUL KARMAN, ELLEN JOHNSON SIRLEAF, 
LEYAH GBOWEE 

Oleh itu Nobel mewasiatkan 94 peratus dari hartanya yang berjumlah 31 juta kronors bersamaan dengan AS$ 186 juta (RM595 juta) nilai sekarang untuk membiayai lima kategori Hadiah Nobel. Hadiah Nobel ekonomi hanya diperkenalkan pada tahun 1969. Malangnya Nobel tidak sempat untuk menyaksikan penubuhan majlis Hadiah Nobel apabila meninggal dunia setahun kemudian. Mereka yang bertanggungjawab terhadap wasiat Nobel, Ragnar Sohlman dan Rudolf Lilljequist berjaya menubuhkan Yayasan Nobel pada 1897.

PENGURUSAN

Tidak berapa lama kemudian kedua-dua mereka melantik Norwegian Nobel Committee, yang dilihat tindakan pelik kerana ia bukan melibatkan jawatankuasa dari Sweden tetapi Norway yang bertanggungjawab menobatkan siapa pemenang Hadiah Nobel Keamanan. Namun pemilihan ini dilakukan berdasarkan amanah wasiat Nobel. Setiap anugerah Nobel juga mempunyai pengurusannya sendiri. Sebagai contoh, Royal Swedish Academy of Sciences bertanggungjawab dalam pemilihan penerima Hadiah Nobel dalam fizik, kimia dan ekonomi. Ahli jawatankuasa Nobel di Karolinska Institutet pula bertanggungjawab memilih pemenang Hadiah Nobel dalam bidang perubatan manakala Swedish Academy pula mencari penerima Hadiah Nobel dalam kesusasteraan. Setiap pemenang menerima hadiah pingat emas, segulung diploma dan wang tunai berdasarkan keuntungan yang diperoleh Yayasan Nobel setiap tahun.

PEMENANG

Bagi tahun ini pemenang menerima wang tunai sebanyak AS$1.45 juta (RM4.49 juta). Berdasarkan syarat, pemenang mestilah terdiri daripada mereka yang masih hidup dan tidak boleh dikongsi melebihi dari tiga orang. Untuk pemenang kali ini, buat pertama kali dalam sejarah tiga wanita iaitu Ellen Johnson Sirleaf, Leymah Gbowee dan Tawakkul Karman terpilih sebagai penerima Hadiah Nobel Keamanan, atas semangat dan usaha tanpa keganasan dalam memperjuangkan keselamatan dan hak wanita dalam kehidupan dan pekerjaan. Sirleaf merupakan Presiden Liberia yang juga wanita pertama di Afrika dilantik menjawat jawatan tersebut. Manakala Gbowee pula merupakan aktivis keamanan yang bertanggungjawab menganjurkan gerakan keamanan bagi menamatkan perang saudara di Liberia pada 2003. Bagi Tawakkul pula, beliau digelar sebagai 'Ibu Revolusi' oleh rakyat Yemen. Beliau yang juga seorang wartawan dan kemudian ahli politik, dikenali dengan semangat tinggi dalam memperjuangkan kebebasan bersuara dan media. Namanya semakin dikenali di peringkat antarabangsa berikutan gelombang kebangkitan rakyat yang melanda negara itu awal tahun ini.

KONTROVERSI

Walaupun niat pengajuran Hadiah Nobel ini adalah untuk mengiktiraf ciptaan, penemuan, jasa dan sumbangan seseorang terhadap kehidupan manusia sejagat, namun ia tetap tidak dapat lari daripada kritikan dan kontroversi. Kebiasaannya akan berlaku kritikan hebat berikutan pemilihan pemenang kategori Hadiah Nobel kerana ada yang beranggapan terdapat mereka yang lebih hebat berbanding pemenang yang dipilih. Selain itu kritikan juga dilemparkan kerana kebanyakan penerima hadiah tersebut mempunyai kaitan dan kepentingan politik selain ia terlalu tertumpu kepada mereka yang berasal dari Barat. Bagaimanapun sebelum pergi lebih jauh, kontroversi juga terpalit kepada organisasi yang bertanggungjawab dalam Hadiah Nobel iaitu Yayasan Nobel.

JEJAS IMEJ

Selain bertanggungjawab di' belakang tabir' memilih siapa yang layak menerima anugerah berprestij ini, Yayasan Nobel sebenarnya terpalit dengan pelbagai kontroversi yang mungkin boleh menjejaskan kredibilitinya. Antara isu yang paling menjejaskan imej yayasan tersebut adalah, ia dikatakan mengaut keuntungan lumayan walaupun hanya berurusan sebagai badan yang bertanggungjawab menguruskan harta dan wasiat Nobel. Namun kini ia bertindak lebih sebagai badan pelaburan walaupun dikatakan untuk menjana dana bagi tujuan majlis penganugerahan, hadiah pemenang dan aktiviti pengurusan. Lebih mengejutkan yayasan ini mendapat pelepasan cukai dari kerajaan Sweden sejak 1946 dan Amerika Syarikat (AS) sejak 1953 Berlandaskan keistimewaan yang diberi, yayasan ini menjadi sebuah pertubuhan yang sangat menguntungkan dan pada tahun 2009 dianggarkan jumlah kewangan yayasan tersebut meningkat kepada AS$560 juta (RM1.73 bilion).

GANDHI

Salah satu peristiwa yang menjadi kekesalan kepada dunia mahupun pihak ahli jawatankuasa Hadiah Nobel adalah meminggirkan pejuang kemerdekaan India, Mahatma Gandhi sebagai salah seorang pemenang hadiah berprestij itu. Gandhi pernah dicalonkan untuk menerima Hadiah Nobel Keamanan sebanyak lima kali iaitu pada 1937,1938,1939,1947 dan 1948. Namun paling menyedihkan pada tahun 1948 yang juga merupakan tahun dimana Gandhi dibunuh, malangnya pihak jawatankuasa Hadiah Nobel enggan memberikan hadiah tersebut kepada mana-mana calon yang terpilih atas alasan tiada yang layak. Kekesalan ini kemudiannya dinyatakan oleh Setiausaha Ahli Jawatankuasa , Norwegian Nobel Committee, Geir Lundestad pada 2006. "Gandhi mungkin boleh menerima hakikat tidak menerima Hadiah Nobel tetapi pihak kami tidak mungkin boleh menerima kesilapan yang telah dilakukan,"ujar Lundestad. Beberapa orang lagi turut dikaitkan dengan kesilapan sebegini antaranya Presiden terakhir Czechoslovakia, Václav Havel, pejuang kemerdekaan Palestin, Sari Nusseibeh dan bekas Presiden Filipina, Corazon Aquino.

SUMBER
MINGGUAN MALAYSIA
16 OKTOBER 2011