Rencana ini ditulis oleh :
TAN SRI LEE LAM THYE
Ahli Majlis Penasihat Promosi Kesihatan Mental.
Promosi dan peningkatan kesihatan mental di kalangan rakyat
Malaysia dari semua golongan umur harus diberikan keutamaan dan dijadikan
sebahagian agenda utama kesihatan nasional berkaitan isu-isu kesihatan yang
perlu ditangani. Masalah kesihatan mental terutamanya yang berkaitan tekanan
mental hendaklah ditangani segera supaya stress, kemarahan dan keganasan,
kemurungan dan cubaan bunuh diri dapat dielakkan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai mendedahkan baru-baru
ini bahawa masalah kesihatan mental dalam kalangan kanak-kanak dan remaja di
negara ini berada pada tahap membimbangkan.
Prevalen masalah kesihatan mental dalam kalangan orang dewasa
adalah 11.2% dalam tahun 2006 berbanding 10.6% dalam 1996 dan prevalen masalah
kesihatan mental di kalangan kanak-kanak dan remaja adalah 20.3% berbanding
13.0% dalam 1996. Selain itu, prevalen masalah kesihatan mental di kalangan
wanita 12.1% dan di kalangan lelaki adalah 10.4%. Prevalen masalah kesihatan
mental paling tinggi di kalangan kumpulan umur 70 -74 tahun, iaitu 19.5% dan
diikuti dengan kumpulan umur 16 - 19 tahun adalah 14.4%. Prevalen masalah
kesihatan mental lebih tinggi di kalangan mereka yang bujang adalah 13.1% dan
diikuti balu 12.2% dan bercerai adalah 13.6% berbanding yang statusnya
berkahwin sebanyak 10.5%. Selain itu, prevalen masalah kesihatan mental paling
tinggi di kalangan mereka yang tiada pendidikan iaitu 16.6%.
Peningkatan pada tahap tekanan dan tanggungjawab sosial yang rumit
adalah di antara faktor-faktor yang menyebabkan lebih ramai orang mengalami
masalah mental. Tekanan yang berlebihan akan memberi kesan yang serius kepada
kesihatan mental dan kehidupan seharian kita. Tiada negara atau individu yang
terkecuali daripada gangguan mental dan kesannya ke atas keadaan psikologikal,
sosial dan kesan terhadap ekonomi juga tinggi. Kesihatan mental tidak lagi
boleh diabaikan sebaliknya ia perlu diberikan perhatian sama seperti masalah
kesihatan lain.
Kesihatan mental bukan sekadar berkenaan
penyakit mental. Ia
adalah perasaan kesejahteraan, keupayaan menghadapi cabaran dan untuk
memastikan sikap positif terhadap diri sendiri.
Promosi kesihatan mental boleh diperkenalkan di sekolah untuk
menyediakan pelajar-pelajar menghadapi tekanan mental di sekolah dan kaedah
menanganinya dengan baik, terutamanya semasa menduduki peperiksaan. Di antara
aktiviti untuk mempromosikan kesihatan mental yang boleh dilakukan di sekolah
termasuklah meningkatkan pemahaman mengenai kesihatan mental di kalangan warga
sekolah melalui sesi ceramah, pameran dan kuiz atau pertandingan yang boleh
dilakukan sebagai aktiviti kurikulum tambahan yang melibatkan PIBG dan
kelab-kelab sekolah. Lebih ramai kaunselor yang terlatih dengan kemahiran dan
teknik untuk memimpin dan membantu pelajar-pelajar menangani masalah tekanan
atau stress sangat diperlukan. Isu kesihatan mental dalam kalangan pelajar
perlu ditangani segera. Sekiranya mereka tidak mendapat bantuan, negara kita
akan menanggung beban satu generasi yang menghadapi masalah kesihatan mental
yang serius di dalam suasana persaingan global yang kian meningkat.
Kita tidak dapat menidakkan bahawa sistem persekolahan yang
berorientasikan peperiksaan menyebabkan tekanan daripada ibu bapa ke atas
anak-anak untuk berjaya di sekolah. Kita perlu menerapkan sikap percayakan diri
sendiri kepada anak-anak supaya kegagalan atau kekecewaan dapat dilihat sebagai
peluang untuk mencuba lagi dan bukan sebagai kekurangan atau kelemahan diri. Pendidikan
dan promosi ke atas kesihatan mental yang bertujuan mengekang peningkatan
masalah psikososial dalam kalangan masyarakat, adalah amat penting, selari
dengan aspirasi kita untuk menjadi negara maju yang sudah semestinya akan
memberi tekanan hebat kepada kita untuk menjalankan tanggungjawab dalam
kehidupan seharian.
Gangguan mental dan penyakit mental lain
adalah satu peringatan
pahit di dalam kehidupan yang tidak sepatutnya kita abaikan di dalam usaha
untuk mencapai status negara maju.
Sumber
Utusan Malaysia
11 Oktober 2012