JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



20 Mei 2023

SIKAP KITA YANG SUKA MEMBANDING-BANDINGKAN SEKOLAH ADALAH SALAH


Orang kita memang suka membuat perbandingan mudah. Mereka suka membuat perbandingan tanpa melihat perkara-perkara lain yang menyebabkan situasi atau perkara yang berlaku dalam diri seseorang, sesebuah organisasi, dan sebagainya. Sejak saya mula mengajar pada tahun 1997 hingga sekarang, masyarakat masih membanding-bandingkan sesebuah sekolah dengan sekolah yang lain terutamanya dari segi pencapaian dalam kurikulum, kokurikulum, dan kes-kes disiplin yang berlaku di sekolah. Perbandingan ini dibuat oleh mereka yang suka membuat konkulsi dengan hanya melihat satu aspek. Sebagai contohnya, sekolah yang sentiasa mempamerkan Gred Purata Sekolah yang cemerlang dalam Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dianggap mempunyai guru-guru yang bijaksana dan rajin mengajar. Sekolah yang tidak dapat mencapai GPS seperti yang disasarkan akan dianggap 'tidak baik', 'tidak cukup usaha' dan lebih menyedihkan apabila guru-guru yang mengajar dianggap 'tidak berusaha'. Sekolah-sekolah ini selalu disindir dan dijadikan contoh oleh segelintir individu tanpa berbasa basi. Mereka langsung tidak melihat aspek-aspek lain yang menyebabkan sekolah-sekolah tersebut gagal mencapai GPS yang disasarkan. 

Budaya suka membanding-bandingkan ini telah merasuk jiwa masyarakat hingga menjadi topik utama di kedai kopi atau di meja mesyuarat. Yang akan terus ditekan dan tertekan ialah warga guru yang mengajar di sekolah tersebut. Masyarakat pula sentiasa memandang rendah hingga sanggup memindahkan anak ke sekolah lain yang konon-kononnya memiliki tenaga pengajar yang lebih bagus. Hakikatnya, tenaga guru yang diamanahkan mengajar di semua sekolah adalah sama. Mereka mendapatkan ilmu di universiti yang sama dan memperoleh ijazah yang sama. Walau bagaimanapun, terdapat banyak kekangan yang menyebabkan pencapaian antara sekolah A dan sekolah B berbeza. Biar kita ambil contoh, sekolah A merupakan sekolah yang mempunyai prasarana yang lengkap dan kebanyakan ibu bapa yang menghantar anak bersekolah di sekolah A ialah ibu bapa yang berkemampuan membeli kelengkapan belajar dan memberikan sumbangan kepada sekolah untuk meningkatkan kualiti pembelajaran. Persatuan PIBG di sekolah A amat kuat. Segala keperluan guru disediakan kerana ibu bapa di sekolah A semuanya atau 90% berkemampuan. 

Sekolah B pula terletak di luar bandar yang rata-ratanya ibu bapa daripada golongan B40. Yuran PIBG pun hanya RM15.00 setahun. Itupun ramai yang tidak mampu membayar. Jangankan Yuran PIBG, baju Pendidikan Jasmani, Buku Kerja, Buku latihan pun tidak terbeli. Pakaian sekolah pun ada yang tetap guna walaupun sudah sendat. Ibu bapa mereka kebanyakannya bekerja jauh. Anak-anak mereka tidak menghadiri kelas tuisyen dan mereka tidak pernah dipaksa belajar apabila di rumah. Ibu bapa mereka sedar tentang kepentingan pelajaran tetapi bersikap acuh tidak acuh memberikan dorongan kerana persekitaran hidup yang tidak ada persaingan. Saya sendiri berhadapan dengan situasi ini sejak tahun 2016 selepas berpindah daripada sebuah sekolah yang berprestasi cemerlang di bandar. Apabila sampai di sekolah baharu saya terkejut. Perbezaannya amatlah ketara terutamanya dari segi mentaliti pelajar terhadap kepentingan pendidikan. Jika ditanya cita-cita, mereka hanya menyebut bidang pekerjaan yang terlalu sensitif untuk saya tulis di sini. Jika saya tanya 100 orang pelajar hanya 10 orang sahaja yang menyebut menjadi Peguam, Doktor, Saintis, Jurutera, Arketik, dan Juruterbang. Yang lain tidak. Apabila disenaraikan pekerjaan tersebut, mereka kata mereka tidak akan mampu. Mereka terlalu merendah diri.

Kita harus faham situasi dan keadaan di sesebuah sekolah. Saya pernah mengajar selama lebih kurang 19 tahun 5 bulan di sekolah yang mempunyai kemudahan yang lengkap. Kelas tempat belajar baharu, luas, dan bersih. Bilik guru amat selesa dan serba serbi ada. Dalam bilik guru kami, tersedia mesin fotostat yang boleh digunakan bila-bila masa. Sekolah saya itu dahulu mempunyai Dewan yang boleh memuatkan 3000 orang pada suatu-suatu masa. Terdapat dewan kuliah untuk mengajar dan sebagainya. Kemudian, tahun 2016 saya dipindahkan ke sebuah sekolah kategori luar bandar yang mempunyai 3000 orang pelajar. Sekolah itu tiada dewan. Kemudahan yang ada amat terhad. Bilangan pelajar dalam sebuah kelas antara 35 hingga 45 orang. Tahun kedua saya di sekolah itu, hampir semua bilik ditukar menjadi bilik darjah kerana bilangan pelajar yang bertambah. Tahun 2020 pula, saya dipindahkan lagi ke sebuah sekolah yang memang betul-betul di luar bandar. Bangunan lama dan usang. Kemudahan asas amat menyedihkan. LCD untuk mengajar pun guru-guru berebut. Kelas sangat kecil (saiz bangunan tahun 1980-an). Jendela semua sudah tiada. Memang serba kekurangan. Jika diberikan peruntukan untuk membaik pulih kerosakan, RM1 juta, belum tentu cukup kerana sistem pendawaian di sekolah sudah lama. Perkara seperti ini harus diambil kira apabila kita membuat perbandingan. 

Kesedaran tentang kepentingan pendidikan dalam kalangan ibu bapa dan komitmen guru-guru di sekolah rendah yakni asas awal kanak-kanak menerima pendidikan juga harus dilihat dengan terperinci sebelum kita membuat perbandingan. Kelemahan pelajar dalam subjek teras amat ketara selepas berlakunya COVID-19 dan pemansuhan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR). Majoriti pelajar yang masuk ke Tingkatan 1 masih tidak tahu membaca atau dengan istilah buta huruf. Guru-guru yang mengajar selalu mengeluh. Salibus KSSM pula menekankan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) tetapi pelajar masih tergagap-gagap membaca. Mereka bergantung penuh kepada guru untuk memulihkan atau mengasah kemahiran asas itu dahulu. Bayangkan betapa susahnya guru Matematik menyampaikan isi pelajaran kerana subjek Matematik KSSM amat sukar. Subjek lain pun begitu! Situasi ini hanya guru-guru di sekolah pedalaman dan luar bandar yang merasai dan mengalami. Orang hanya melihat dan membuat konklusi selepas menganalisis keputusan peperiksaan dengan mencadangkan itu dan ini atau menyalahkan usaha pihak sekolah. Pahitnya hanya mereka yang mengalaminya tahu. Mereka bukan tidak berusaha. Usaha mereka terpaksa berhadapan dengan kekangan masa untuk memperbetul kelemahan-kelemahan asas yang tidak sepatutnya. 

Adalah tidak salah jika kita membuat perbandingan sekali sekala tetapi perbandingan itu harus membawa manfaat kepada sekolah yang dibandingkan. Jangan sesekali membandingkan pencapaian antara sekolah-sekolah dengan niat menyalahkan atau menghukum hingga memalukan atau menjatuhkan maruah tenaga pendidik di sesebuah sekolah. Yang membandingkan juga perlu menjaga tutur kata, jangan sampai ada hati yang terguris dan jiwa yang terhiris. Percayalah, tiada sesiapapun guru di mana-mana sekolah yang mahu melihat anak didik mereka gagal menunjukkan pencapaian yang cemerlang dalam peperiksaan terutamanya SPM dan STPM. Mereka sentiasa mahu anak didik mereka lebih berjaya daripada mereka selepas menamatkan alam persekolahan. Namun begitu, ramai pelajar dalam usia muda diuji dengan pelbagai kisah hidup yang boleh menitiskan air mata. Ramai yang menjadi mangsa perceraian, hidup terhimpit dalam kemiskinan, dan banyak lagi permasalahan yang menyebabkan mereka mengabaikan pelajaran. Hanya guru yang memahami mereka. Guru bukan tidak mendorong. Guru pun bukan tidak memotivasi. Kelas intervensi diadakan untuk meningkatkan pencapaian. Jika begitulah keputusan yang diperoleh kita redha tetapi yang tidak redha ialah orang yang diluar sekolah. 

Subjek Matematik Bunuh Masa Depan Pelajar?


Ketika menjadi Penolong Kanan Pentadbiran yang banyak menguruskan hal ehwal berkaitan dengan akdemik, perkara yang amat merungsingkan para guru ialah prestasi pelajar dalam subjek Matematik. Keadaan ini semakin buruk apabila Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) mula diperkenalkan. Pencapaian pelajar dalam ujian topikal, peperiksaan peringkat sekolah dan peperiksaan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia, memang mendukacitakan. Bayangkan, pelajar aliran sain tulen pun hanya mencapai markah kurang daripada 30 peratus wahal subjek lain mereka mendapat markah melebihi 60 peratus. Apabila keputusan SPM diumumkan, beza pencapaian pelajar dalam SPM sebenar dengan peperiksaan percubaan SPM tidak terlalu jauh. Pelajar yang memperoleh Gred F atau Gagal adalah banyak. Guru-guru yang mengajar di sekolah pelajar terpilih seperti Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan sekolah-sekolah di bandar mungkin tidak berhadapan dengan masalah ini. Akan tetapi, kami yang mengajar sekolah di luar bandar dan pedalaman dapat melihat masalah ini dengan nyata.

Adakah guru subjek Matematik tidak pandai mengajar?

Pada pandangan saya, prestasi pelajar yang lemah dalam subjek Matematik tidak boleh disandarkan kepada guru semata-mata. Saya melihat guru (di sekolah saya) memang berusaha mengajar pelajar menggunakan pelbagai kaedah dan strategi. Mereka mengadakan pelbagai program seperti ceramah teknik menjawab daripada pakar atau guru cemerlang Metematik. Mereka juga mengadakan Kelas Intervensi Matematik. Walau bagaimanapun, usaha berganda tanpa mengenal lelah dan jemu ini masih tidak mencapai sasaran untuk meningkatkan jumlah pelajar lulus dalam subjek Matematik. Pencapaian mereka secara puratanya tidak berubah hingga mencapai tahap kepujian dan cemerlang. Perkara yang diajar pada hari ini, apabila diulang lagi keesokan hari, hampir 90 peratus pelajar gagal menjawab dengan betul. Mereka lupa semuanya. 

Prestasi pelajar dalam subjek Matematik ini semakin buruk selepas mereka menjalani Pengajaran dan Pembelajaran dari Rumah (PdPR) akibat bahana COVID-19. Pelajar-pelajar di kawasan pedalaman dan luar bandar berhadapan dengan masalah peranti dan liputan talian yang lemah untuk mengikuti PdPR dengan lancar dan berkesan. Yang mempunyai peranti dan liputan talian yang baik pula tidak mempunyai pembiayaan yang mencukupi untuk membeli kouta Internet. Apabila keadaan ini berlaku, memang ramai pelajar yang tidak dapat mengikuti pengajaran dan pembelajar secara penuh. Setelah keadaan pulih pada awal tahun 2022, mereka terus masuk ke Tingkatan seterusnya. Bayangkan, semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berlangsung mereka berada pada Tingkatan 3, selepas sesi bersemuka dibolehkan mereka terus masuk Tingkatan 4 wahal salibus di Tingkatan 3 sebenarnya mereka belum kuasai. Apabila berada di Tingkatan 4 pula, mereka perlu memilih aliran sains tulen, aliran sains sosial, atau aliran MPV. Walau bagaimanapun, subjek Matematik merupakan subjek Teras yang harus dipelajari oleh semua pelajar. 

Sedih Mendengar Keluhan Pelajar

Saya selalu berbual-bual dengan pelajar berkaitan dengan pencapaian mereka dalam subjek Matematik yang tidak memuaskan. Mereka akui kelemahan dan memberitahu bahawa mereka sudah melakukan yang terbaik tetapi subjek itu benar-benar susah untuk dikuasai. Saya cuba membandingkan Matematik zaman saya sekolah dahulu dengan Matematik KSSM (Soalan Matematik Tingkatan 4 dan Tingkatan 5), memang amat ketara cara penyoalan dan teknik menjawab. Matematik KSSM lebih berfokus kepada kehidupan, soalannya pun panjang-panjang kerana dimasukkan dengan elemen Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT). Saya memang kasihan dengan pelajar yang menduduki SPM sesi 2020/2021, sesi 2021/2022, dan sesi 2022/2023. Kumpulan ini merupakan kumpulan pelajar yang betul-betul terkesan semasa PKP berlangsung dahulu terutamanya pelajar di sekolah-sekolah luar bandar dan pedalaman.

Pelajar sentiasa diingatkan tentang keperluan subjek Matematik untuk melanjutkan pelajaran dan memohon pekerjaan. Mereka memang sedia maklum. Walau bagaimanapun, semangat mereka selalu hilang apabila berhadapan dengan soalan-soalan Matematik semasa peperiksaan. Oleh itu, saya menyeru agar kita sama-sama melihat permasalahan ini dengan lebih terperinci kerana masa depan pelajar yang sedia ada pada hari ini wajar kita perjuangkan. Didikan ibu bapa sejak kecil amatlah dituntut dalam menyemai minat anak terhadap Matematik. Ya, ramai ibu bapa bukanlah guru. Akan tetapi, zaman ini merupakan zaman globalisasi, jutaan video pembelajaran Matematik terdapat di media sosial. Jika minat terhadap Matematik sudah tertanam kukuh, saya yakin masalah ini dapat diatasi sedikit demi sedikit. Sesungguhnya, prestasi pelajar yang lemah dalam Matematik  amatlah merugikan negara pada masa hadapan. 

Pelajar Perlu Berusaha dan Bersikap Positif

Saya dahulu memang lemah dalam Matematik. Akan tetapi, setelah menyedari kelemahan itu saya luangkan masa belajar Matematik dengan lebih banyak berbanding subjek lain. Yang mana boleh dihafal, saya hafal. Saya juga analisis soalan peperiksaan SPM dengan melihat soalan mana yang selalu keluar, saya akan fokus kepada bahagian itu. Ketika zaman saya sekolah dahulu, Internet, Modul, Media Sosial, dan Youtube memang tiada. Guru-guru pun tidak mendedahkan kami dengan analisis seperti guru-guru sekarang. Tahap kerajinan guru dahulu dan guru sekarang tiada beza dalam membantu pelajar. Saya bulan menyebelahi guru tetapi saya yakin jika pelajar bersikap positif dan fokus, mereka boleh memperoleh sekurang-kurangnya tahap kepujian dalam subjek Matematik. Apabila bercakap dengan pelajar pun saya selalu menekankan, usaha sendiri harus melebihi 100 peratus jika mahu berjaya menguasai subjek Matematik.

Pelajar zaman sekarang amat beruntung, mereka boleh belajar Matematik menggunakan video di Youtube dan TikTok. Ramai guru yang berpengalaman dan berkemahiran membuat video mengajar dengan amat baik. Penyampaian mereka mudah difahami. Jika pelajar luangkan 1 jam sehari belajar menggunakan kemudahan ini, saya yakin dalam tempoh sebulan tahap pengetahuan berkaitan dengan subjek Matematik akan bertambah. Yang utama, jangan kalah dengan godaan Permainan Komputer, berbual-bual menggunakan WhatsApp, ataupun membaca gosip artis curang dan bercerai di Facebook. Perkara-perkara ini sentiasa membuat 90 daripada pelajar hilang fokus. Saya selalu bertanya secara suka-suka tentang isu artis, pelajar boleh jawab dan terangkan A hingga Z dengan  betul. Namun begitu, jika diberikan soalan Matematik atau subjek lain, dia termenung merenung siling, meniarap atas meja, akhirnya mengantuk. Jika sikap mereka berubah, saya yakin bukan subjek Matematik sahaja yang cemerlang, mereka akan memperoleh A+ dalam semua subjek.

Nota
Tulisan ini merupakan pandangan peribadi saya tentang isu ini. Jika ada kesilapan atau kekurangan saya mohon maaf. Jika ada kemasalatan, ambilah untuk penambahbaikan demi masa depan pelajar yang tercinta.