JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



20 Mac 2017

CATATAN CIKGU ZUL : “HANTU SEKOLAH”, GOLONGAN MINORITI YANG TAK SEDAR DIRI


Semua orang wajib pergi ke sekolah. Sejak berumur 5 tahun lagi kita telah dihantar ke TASKA oleh ibu bapa kita. Kemudian, kita masuk TADIKA sebelum memasuki Tahun 1. Mengapakah kita dihantar ke sekolah? Mengapakah ibu bapa sanggup bersusah payah bangun pada pukul 5:00 pagi untuk menyediakan sarapan dan segala persiapan untuk kita sebelum ke sekolah? Mengapakah ayah sanggup bersusah payah mencari rezeki dan menghulurkan wang saku RM5.00 sehari sekurang-kurangnya untuk kita bawa ke sekolah? Apabila kita sampai di sekolah, kita diajar pelbagai ilmu oleh guru-guru kita. Jika kita malas kita akan ditegur. Jika kita rajin kita akan dipuji. Cikgu jadikan kita contoh kepada pelajar-pelajar lain. Di sekolah banyak undang-undang. Kita tidak boleh bercakap kasar. Kita tidak boleh ponteng sekolah. Kita tidak boleh melawan guru. Kita tidak boleh merokok. Jika kita melakukan kesalahan, kita akan didenda. Ibu bapa kita akan dipanggil. Jika kesalahan berat kita mungkin akan digantung sekolah. Walaupun begitu, kita tetap juga dipaksa bersekolah oleh guru-guru dan ibu bapa kita. Mengapa?

Walau bagaimanapun, ramai pelajar tidak tahu tujuan mereka datang ke sekolah. Mereka menghabiskan masa di sekolah dengan melakukan pelbagai masalah. Apabila guru menegur mereka melawan. Tindakan demi tindakan dikenakan tetapi perangai tetap juga tidak berubah. Nama mereka menjadi sebutan dalam kalangan warga sekolah. Pelajar yang sebegini bukannya banyak tetapi populasi golongan minoriti yang tak sampai 5% daripada jumlah pelajar di sesebuah sekolah ini memang boleh menaikkan darah guru. Semasa guru mengajar mereka bersenda gurau. Semasa aktiviti kokurikulum mereka ponteng. Pendek kata, perkara yang bermain di minda pelajar-pelajar ini semuanya yang negatif. Saya gelarkan pelajar-pelajar ini “Hantu Sekolah”. Perangai orang yang tidak pernah pergi ke sekolah pun tidak seperti mereka. Sepanjang masa mereka berada di sekolah, golongan ini menyisihkan diri daripada semua guru dan pelajar kerana mereka cenderung melakukan sesuatu yang boleh mencetuskan pelbagai masalah. Golongan ini boleh bergaduh pada bila-bila masa kerana perangai samseng “tahi kucing” mereka. Siapakah yang rugi?

GURU TIDAK RUGI SATU SEN PUN

Apabila “Hantu Sekolah” ini melakukan masalah, yang bersusah payah menyelesaikan masalah mereka ialah guru-guru terutamanya Pengetua, Penolong Kanan HEM, guru-guru disiplin dan pelbagai pihak yang lain. Jika mereka memberikan kerjasama, mudahlah jalan penyelesaiannya. Akan tetapi, jika mereka degil dan tidak mengaku, maka jalan penyelesaian kadang-kadang menjadi buntu dan melibatkan pelbagai saksi untuk tampil. Apabila ibu bapa mereka dipanggil pula satu lagi senario akan muncul. Ibu bapa yang baik dan memahami tugas guru, akur dengan keputusan pihak sekolah manakala ibu bapa yang jenis menyebelahi anak-anak mereka, guru menjadi sasaran cacian dan makian mereka walaupun anak mereka yang bersalah. Guru akan dihina sehingga soal gaji guru dan imej sekolah akan dijadikan senjata untuk menyerang guru. Biarpun begitu, guru tidak pernah melawan. Mereka tetap juga menunjukkan jalan yang betul dan lurus. Mereka berusaha juga menyelesaikan masalah. Mereka tidak pernah mengalah. Kadang-kadang saya sedih melihat sikap segelintir ibu bapa yang suka bertindak melulu menyerang guru di sekolah. Mereka terlalu percaya kata-kata anak-anak mereka sehingga mengambil keputusan terburu-buru dan akhirnya yang malu diri mereka sendiri.

Datang ke sekolah untuk bersekolah. Bersekolah untuk mendapatkan ilmu. 
Ilmu itu penting untuk masa depan. 
Tiada ilmu, tiadalah masa depan.  

Segelintir “Hantu Sekolah” ini terlalu dimanjakan. Cara didikan yang mendewa-dewakan anak di rumah menjadikan mereka seolah-olah anak raja juga di sekolah. Mereka menganggu pelajar-pelajar lain dengan pelbagai ugutan, ancaman, dan sebagainya sehingga mencetuskan pergaduhan. Apabila kes menjadi besar mereka boleh menjadi pengelipur lara yang bijak berseloka dan bercerita. Mereka tidak pernah salah. Merekalah makhluk Tuhan paling beriman! Akan tetapi, saya kagum dengan ramai ibu bapa yang memiliki anak-anak sebegini memang bersetuju dan akur dengan tindakan pihak sekolah. Mereka memberikan sokongan kepada pihak sekolah. Mereka memarahi anak mereka yang melakukan kesalahan itu. Mereka memohon maaf kepada mangsa dan guru-guru. Mereka tebalkan muka untuk datang berbincang dengan pihak sekolah tentang masalah anak mereka. Golongan ibu bapa yang sebegini masih ramai lagi. Golongan yang tahu tugas guru-guru di sekolah dan faham tujuan dan matlamat mereka menghantar anak mereka ke sekolah. Walaupun mereka berpangkat dan berkedudukan tinggi dalam masyarakat, apabila dipanggil untuk berbincang tentang anak-anak, mereka sedia memberikan kerjasama. Tahniah dan syabas diucapkan!

YANG RUGI AWAKLAH JUGA

Sepanjang pemerhatian saya sebagai seorang guru yang telah berkhidmat selama 20 tahun, golongan “Hantu Sekolah” ini biasanya tidak ada yang betul-betul berjaya dalam hidup. Hampir 90% pintu masa hadapan mereka akan tertutup sebaik sahaja menerima keputusan SPM. Mereka gagal subjek Bahasa Melayu atau Sejarah. Pada masa itu, barulah mereka ibarat sudah terhantuk baru terngadah. Yang sedar diri akan kembali ke pangkal jalan. Mereka membetulkan segala kesilapan. Mereka susun kembali langkah kaki. Mereka berubah untuk tidak menjadi “hantu” lagi. Ada yang berjaya juga walaupun terpaksa membazirkan banyak masa tetapi nawaitu mereka betul untuk membaiki diri agar tidak terus sesat dalam hasutan nafsu dan syaitan. Sesungguhnya, Tuhan sentiasa memberikan peluang untuk semua orang yang sering melakukan kesilapan untuk berubah dan kembali ke pangkal jalan.


Guru itu pendidik.
Hormati mereka. Tiada guru
yang mahu pelajar-pelajarnya
gagal dalam hidup. Jahat kita
dia lindungi. Silap kita
dia betulkan. Sakit pening kita
pun dia ambil tahu. Tak ada
buku dia belikan. Kita yang
pura-pura tak nampak
jasa guru kita. 

Yang sedih, ramai yang terus menjadi ‘Hantu’ selepas gagal itu. Mereka bukan lagi menjadi “Hantu Sekolah” tetapi bertukar status menjadi “Hantu Ibu Ayah” dan “Hantu Masyarakat”. Mereka terus menerus sesat dan sesat dalam perjalanan hidup. Jalan hitam, curam, dan menyakitkan tetap dijadikan pilihan. Selepas menyusahkan guru, mereka menyusahkan ibu bapa dan masyarakat pula. Golongan inilah yang mencetuskan pelbagai masalah sosial dalam masyarakat. Mereka melayan nikmat dunia dengan cara yang menyanggah undang-undang negara. Ramai yang menjadi penjenayah dan tidak kurang pula yang menjadi penagih dadah. Bagi golongan ini, kebahagian akan sentiasa menjauhi mereka. Kesejahteraan hidup akan melarikan diri daripada mereka. Kasih sayang tidak bertakhta dalam hati mereka. Hidup mereka mungkin dilimpahi kemewahan tetapi mereka kehilangan banyak nikmat dunia sama ada mereka sedar mahupun tidak. Mereka sebenarnya penghuni bumi yang paling rugi.

Kadang-kadang saya jadi terharu apabila melihat jalan hidup “Hantu Sekolah” ini selepas 5 hingga 10 tahun kemudian. Bumi ini tidak seluas manapun. Lambat laun kita akan bertemu juga. Apabila saya melihat pekerjaan yang mereka lakukan timbul pertanyaan dalam hati saya, kalau dahulu mereka menggunakan peluang yang ada semasa bersekolah dengan sebaik-baiknya, mereka pasti tidak hidup sesusah itu. Anak-anak muda seperti mereka tidak sepatutnya hidup dihimpit kemiskinan dan kemelaratan. Jika ibu bapa mereka, saya bersetuju kerana ibu bapa mereka mungkin tidak pernah pergi ke sekolah. Mengapa mereka gagal dalam hidup? Pertama, mereka terlalu sibuk bercinta. Orang bersekolah mengejar ilmu untuk membina masa depan tetapi mereka datang ke sekolah untuk memilih calon suami atau calon isteri. Mereka hanyut dengan dunia cinta yang tidak kemana. Akhirnya, mereka mendirikan mahligai tanpa memiliki rumah, kereta, pekerjaan tetap, dan ilmu untuk menjadi ayah dan ibu. Rumahtangga yang dibina jarang yang kekal hingga ke hujung nyawa. Selepas setahun dua, mereka bercerai dan anak-anaklah yang menjadi mangsa. Masalah mereka akan disambung pula oleh anak-anak mereka selepas itu nanti. Itulah malapetaka yang menimpa jika kita menjadi “Hantu Sekolah”.

JADILAH MANUSIA HEBAT

Saya selalu mengimpikan sebuah sekolah yang dihuni oleh pelajar-pelajar yang hebat dan berakal. Semua orang yang datang ke sekolah tahu tujuan dan matlamat mereka datang ke sekolah. Mereka bersaing secara sihat untuk mendapatkan ilmu pengetahuan dan kecemerlangan. Mereka dahagakan kejayaan. Mereka gunakan sepenuh masa persekolahan dengan menaikkan nama dan mengangkat imej sekolah. Mereka tidak melakukan masalah disiplin. Pencapaian akademik mereka mengagumkan. Prestasi mereka dalam bidang kokurikulum menjadi sebutan. Para guru dan warga sekolah dapat fokus terhadap tugas mengajar sahaja tanpa menyelesaikan masalah disiplin yang memeningkan kepala. Pelajar-pelajar yang datang ke sekolah semua bersahsiah tinggi. Mereka tidak pernah lupa tanggungjawab terhadap diri, keluarga, bangsa dan negara. Mereka mengutamakan hubungan dengan Yang Maha Esa. Walaupun saya tahu impian saya ini tidak mungkin akan menjadi realiti tetapi saya ingin golongan pelajar yang hebat ini bertambah dari sehari ke sehari. Saya tidak mahu golongan yang datang ke sekolah tidak tahu makna dan tujuan mereka datang ke sekolah.

Anak-anakku, jika sekarang anda 
tinggal di rumah yang berharga RM200,000 
yang dibeli oleh ayah anda dengan hasil titik 
peluhnya yang tidak mempunyai pekerjaan tetap. 
Anda harus bermimpi untuk menghadiahkan 
kepadanya sebuah rumah yang berharga RM1 juta. 
Anda mampu jika anda berusaha untuk 
menjadi orang yang cemerlang. 
Orang yang cemerlang hanya 
dilahirkan di sekolah.

Orang yang tahu tujuan mereka datang ke sekolah akan berusaha membaiki segala kekurangan dan membina keyakinan diri. Mereka mempunyai cita-cita dan impian. Mereka ingin mengembirakan hati ibu bapa, guru-guru, dan rakan-rakan dengan pelbagai kejayaan dan kecemerlangan yang dirangkul. Mereka impikan gelaran “Pelajar Terbaik” yang dijulang dalam majlis-majlis anugerah dari peringkat sekolah hingga ke peringkat antarabangsa. Mereka sentiasa bersikap matang dan bersemangat waja. Golongan ini selalu memandang jauh ke hadapan kerana bagi mereka peluang yang datang cuma sekali. Masa itu emas, alangkah ruginya jika disia-siakan. Saya tahu ramai ibu bapa dan pelajar yang sependapat dengan saya kerana mereka tahu hanya dengan ilmu sahaja mereka mampu meneroka masa depan dengan bergaya.

Catatan Pendidik Bangsa
Cikgu Zulkarnain Farihin
SMK Sibu Jaya, Sibu Sarawak