JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



03 Februari 2011

ISU BAHASA : RAKYAT PATRIOTIK PATUT BANGGA BERTUTUR DALAM BAHASA MELAYU



Rakyat  bukan Melayu negara ini, khususnya yang berketurunan Cina begitu sensitif apabila ada pihak yang mempersoalkan semangat patriotisme mereka atau kesediaan mereka menjadi rakyat yang memiliki jati diri terhadap negara ini. Lantaran itu, pernahkah mereka bertanya pada diri sendiri kenapa masih ada orang Melayu yang sangsi terhadap pendirian sesetengah daripada mereka. Saya hanya mahu ajukan satu persoalan saja. Apakah semua mereka yang mengakui sebagai warga negara ini tahu apa itu jati diri sebagai rakyat Malaysia? Bolehkah sesetengah daripada mereka menunjukkan sikap bahawa mereka menerima sepenuhnya jati diri itu yang antaranya menerima bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara ini dan menghayatinya?

Kenapakah sehingga kini pun masih terdapat pelbagai puak yang sengaja memperlekehkan penggunaan bahasa Melayu hingga ada yang tidak langsung menunjukkan rasa menghormati kepada bahasa kebangsaan negara yang mereka sendiri akui sebagai tanah tumpah darah mereka?  Persoalannya ialah kenapa selepas 53 tahun merdeka pun masih ramai tidak mengambil kisah penggunaan bahasa kebangsaan negara ini? Sebagai warga negara yang taat setia, mereka sepatutnya berbangga dengan bahasa kebangsaan negara mereka sendiri. Apa kesetiaannya kalau bahasa kebangsaan negara sendiri pun mereka tidak berusaha mempelajari dan menggunakannya. Bahasa Melayu yang mereka pelajari di sekolah Cina pun hanyalah untuk lulus peperiksaan saja. Selepas menduduki peperiksaan, mereka terus melupakannya dan langsung tidak bertutur dalam bahasa Melayu. Maka itu, Kementerian Pelajaran patut mulai tahun ini menetapkan semua pelajar yang mengambil mata pelajaran Bahasa Melayu diwajibkan lulus ujian lisan seperti ditetapkan untuk Bahasa Inggeris.

Kalau mahu lulus Bahasa Inggeris, pelajar dikehendaki juga lulus ujian lisan bahasa Inggeris, kenapa ujian demikian tidak boleh diadakan untuk bahasa Melayu juga? Kini ramai di antara mereka memberi alasan usaha kerajaan meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris untuk terus mengabaikan bahasa Melayu. Kenapa demikian? Penguasaan bahasa Inggeris tiada kena mengena dengan pengabaian bahasa Melayu. Seperti yang pernah dinyatakan Prof Dr Teo Kok Seong dari Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) UKM, bahawa bahasa adalah medium untuk meningkatkan perpaduan dan semangat nasionalisme. “Bahasa Malaysia ialah bahasa kebangsaan kita dan diperkenalkan demikian ke persada dunia. Walaupun dalam masa sama kita pelajari bahasa Inggeris, ia bukanlah bertujuan mengetepikan bahasa Malaysia,” katanya.  Apakah keadaan ini yang menyebabkan akhbar Melayu hanya dibaca oleh orang Melayu saja? Edaran akhbar Melayu kepada orang bukan Melayu tidak sampai lima peratus pun dari jumlah keseluruhan edarannya dengan hanya dua peratus dibaca orang Cina dan tiga peratus orang India.

Apakah kesimpulan yang kita boleh buat dari perkembangan akhir-akhir ini hinggakan risalah iklan pelbagai barangan dan pembinaan rumah hanya diadakan dalam bahasa Inggeris dan Mandarin. Seperti juga sesetengah kopitiam yang dilanggan orang Melayu pun tidak menghormati bahasa Melayu dengan menggunakan bahasa Inggeris dan Mandarin saja di kedai-kedai itu. Apakah mereka bukan beroperasi di Malaysia? Apakah jati diri mereka sebagai rakyat negara ini? Salahkah kalau orang Melayu beranggapan bahawa ada orang Cina sememangnya tidak mahu mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara ini. Kita tidak pula persoalkan malah jauh sekali mahu menyekat mereka mempelajari dan menggunakan bahasa ibunda mereka. Tetapi dalam mereka berterusan menggunakan bahasa ibunda tidakkah mereka boleh berusaha dan menunjukkan kesungguhan mahu mendaulatkan juga bahasa kebangsaan negara ini? Apakah ini pun suatu kehendak yang melampau? Mereka ini begitu sensitif apabila semangat patriotisme mereka disangsikan tetapi sedikit pun tidak mahu berusaha mengguna dan faham bahasa Melayu?

Bilakah agaknya kita boleh mengharapkan keseluruhan rakyat keturunan Cina dan India akan bertutur dalam bahasa kebangsaan negara ini dalam perbualan harian mereka. Perkara ini adalah suatu kebiasaan di Indonesia yang mana rakyat berketurunan Cina akan bertutur bahasa Indonesia walaupun sesama orang Cina? Kita sudah merdeka lebih 53 tahun. Apakah kita perlu menunggu 50 tahun lagi baru dapat mengharapkan hal ini akan berlaku? Tetapi kalau kita lihat dari pelbagai tindak tanduk sesetengah mereka, lagi 100 tahun pun tentunya akan ada rakyat negara ini yang masih tidak mahu mengiktiraf bahasa Melayu. Mereka memberi alasan kononnya orang Melayu sendiri pun tidak bertutur bahasa Melayu. Ini sebenarnya tidak harus dijadikan alasan kerana sememangnya orang Melayu akan dapat bertutur bahasa Melayu pada bila-bila masa. Usaha kerajaan hendak menggalakkan bahasa Inggeris tidak seharusnya dijadikan alasan kenapa mereka tidak mahu mendaulatkan bahasa Melayu.

Buat masa ini pembelajaran bahasa Melayu sebagai subjek di sekolah Cina tidak diberikan penekanan. Mereka sebenarnya lebih mengutamakan bahasa Inggeris selain Mandarin. Sebab itulah guru yang mengajar bahasa Melayu dikehendaki juga tahu bertutur Mandarin. Anehnya syarat ini tidak pula dikenakan ke atas guru yang mengajar bahasa Inggeris. Mereka tidak perlu tahu berbahasa Mandarin. Kenapa guru bahasa Melayu didiskriminasikan demikian? Inilah yang patut direnungi kalau mereka benar-benar cintakan negara ini sebagai tanah tumpah darah sendiri.

SUMBER
BERITA HARIAN
3 FEBRUARI 2011

ISU PENDIDIKAN : CABARAN-CABARAN DALAM PERUBAHAN DASAR PENDIDIKAN


Abad Ke-21 dijangkakan akan mengalami perkembangan pesat lagi mencabar dalam bidang ekonomi, politik dan sosial. Perkembangan ini berlaku di seluruh dunia tidak kira sama ada di negara maju atau negara sedang membangun. Ramai pihak berpendapat bahawa perubahan tersebut sedikit sebanyak mempunyai kaitan yang rapat dengan perkembangan bidang pendidikan. Alvin Toffler seorang penulis terkenal pernah menyatakan bahawa 'the illiterate of the 21st century are not those that cannot read or write, but those that cannot learn, unlearn and relearn.' Menurutnya pendidikan di abad ini lebih mencabar dan mestilah berupaya melahirkan pelajar yang kreatif dan inovatif, mampu menyelesaikan masalah dan berfikir secara kritikal. Ini memberi gambaran bahawa pendidikan tidak lagi berkisar hanya memberikan pengetahuan asas 3M (membaca, menulis dan mengira) kepada kanak-kanak. Tetapi mestilah boleh melahirkan orang yang berilmu pengetahuan dan mempunyai pelbagai kemahiran bagi menghadapi cabaran di abad ini.

Bagi mencapai hasrat tersebut pendidikan perlu bersifat dinamik dan holistik yang sentiasa segar serta berubah mengikut keperluan masa dan persekitarannya. Memandangkan ianya berkait rapat dengan perkembangan individu, keperluan masyarakat dan proses pembinaan negara bangsa maka usaha penambahbaikkan dan perubahan dasar perlu dilakukan dengan cepat bagi memenuhi keperluan semasa. Sekiranya kita menyingkap kembali sejarah ketamadunan dunia maka kita dapati ianya bermula dengan masyarakat pertanian yang memberi menekankan kepada aktiviti bercucuk tanam dengan kehidupan yang ringkas dan mudah. Bagaimanapun dalam abad ke-19 tamadun dunia telah berubah kepada masyarakat industri yang mempunyai ciri-ciri pengkhususan dan memberi keutamaan kepada hasil pengeluaran atau produksi komoditi. Kini masyarakat dunia di abad ke-21 telah berubah kepada zaman baru yang dikenali sebagai 'knowledge age' atau k-ekonomi. Keperluan baru ini menekankan tentang peri pentingnya maklumat, kreativiti dan inovasi dalam memberi perkhidmatan baru kepada masyarakat.

Perubahan ini juga menekankan perlunya pendekatan berfikir secara kreatif, strategi penyelesaian masalah dan melibatkan aktiviti ekonomi berbentuk global. Zaman maklumat ini memberi ruang kepada setiap individu untuk mengembangkan bakat dan potensi mereka melalui techology-powered knowledge dan peluang kepada semua pihak untuk mengikuti pendidikan sepanjang hayat. Perubahan kepada zaman k- ekonomi yang menekankan keperluan maklumat dan bercirikan globally networked adalah sangat berkait rapat dengan perkembangan ICT. Oleh itu sering dikatakan bahawa mana-mana negara yang dapat menguasai teknologi maklumat dan mempunyai kemudahan jaringan ICT maka mereka dianggap mempunyai kelebihan dan seolah-olah memiliki kuasa tambahan. Sementara itu negara-negara yang mengabaikannya akan ketinggalan dalam persaingan di peringkat global ini. Seorang lagi penulis terkenal yang telah mengupas tentang perubahan dan cabaran abad ke-21 ialah Thomas Friedman dalam bukunya The World Is Flat : A Brief History of the Twenty-First Century.

Menurutnya ekonomi dunia adalah sangat terikat serta terjalin rapat antara satu negara dengan yang lain dalam suatu bentuk ekosistem ekonomi. Ini bermakna jika berlaku krisis ekonomi dalam sebuah negara ia akan memberi kesan kepada negara lain. Sebagai contoh ialah krisis pinjaman perumahan yang baru-baru ini berlaku di Amerika Syarikat maka tempiasnya turut terkena dan dirasai oleh negara-negara lain. Keduanya, terdapat kecenderungan bertambah lebar jurang perbezaan ekonomi antara negara maju dan negara sedang membangun. Perkembangan tidak sihat ini akan membawa pada kepada berlakunya ketegangan sosial, konflik, munculnya kumpulan pelampau dan menjadikan dunia seolah-olah tidak selamat. Ketiganya ialah wujudnya isu kepanasan global yang membawa kepada kemarau panjang atau perubahan iklim yang boleh menjejaskan bidang pertanian. Selain itu pertambahan mendadak jumlah penduduk dunia yang seolah-olah tidak dapat dikawal terutama di negara-negara sedang membangun. Keadaan ini menyebabkan bertambahnya kadar kemiskinan dan melebarnya perbezaan dalam strata masyarakat.

Menurut Friedman ketiga-tiga isu besar tersebut sebenarnya boleh dikurangkan atau tangani melalui transformasi dan perubahan dasar pendidikan. Jelasnya pendidikan turut memainkan peranan penting dan menjadi kunci utama kepada kejayaan ekonomi dan kelestarian dunia dalam abad ke-21 ini. Perkembangan pendidikan di negara kita juga tidak terlepas daripada keperluan masyarakat serta persekitaran politik, sosial dan ekonomi pada masa tersebut. Ini dapat dibuktikan dengan terbentuknya Dasar Razak 1956, Dasar Rahman Talib 1961 dan Dasar Pendidikan Kebangsaan 1970 adalah berkait rapat dengan tuntutan dan keperluan negara pada masa itu. Sebagai sebuah negara yang baru mencapai kemerdekaan sudah tentulah dasar pendidikan yang bentuk pada masa itu adalah bertujuan untuk membina sebuah negara bangsa yang kuat, bersepadu dan dapat bersaing dengan negara-negara lain. Tambahan pula negera kita terdiri daripada rakyat pelbagai kaum, agama dan latar belakang maka sudah tentulah dasar pendidikan berpaksikan kepada usaha untuk mengukuhkan perpaduan rakyat terutamanya di kalangan kanak-kanak.

Bagi menangani perubahan dan cabaran baru di peringkat global maka negara kita juga tidak terlepas dari memperkenalkan dasar-dasar baru dalam bidang pendidikan. Oleh itu baru-baru ini Menteri Pelajaran Tan Sri Mahyuddin Yassin telah mengumumkan pelaksanaan Transformasi Kurikulum yang bertujuan untuk meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran yang berbentuk kreatif dan inovatif serta menarik minat pelajar-pelajar. Selain itu diperkenalkan dasar 'Satu Pelajar Satu Sukan' yang bertujuan untuk meningkatkan minat dan keupayaan pelajar dalam bidang permainan dan sukan supaya mereka lebih cergas dan aktif. Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Mengukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) pula bagi mengembalikan semula peranan utama bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu di samping meningkatkan keupayaan pelajar dalam menguasai bahasa Inggeris. Dasar-dasar baru ini akan mula dilaksanakan pada tahun ini. Sementara itu dasar menghadkan 12 mata pelajaran dalam peperiksaan SPM dan penambahbaikkan peperiksaan UPSR dan PMR adalah jelas untuk meningkatkan kualiti pendidikan supaya dapat melahirkan pelajar-pelajar yang seimbang dan mampu mengembangkan potensi diri mereka.

Dengan kata lain dasar ini mengubah persepsi pendidikan supaya tidak hanya berorientasikan peperiksaan semata-mata tetapi berupaya melahirkan modal insan cemerlang yang sangat diperlukan oleh negara. Satu lagi dasar baru ialah mewajibkan lulus mata pelajaran Sejarah dalam peperiksaan SPM mulai 2013. Ini bertujuan untuk meningkatkan semangat patriotik dan menanamkan rasa cintakan negara seperti kata bidalan 'jika tak kenal maka tak cinta.' Usaha menanam cintakan tanah air melalui pendidikan turut menjadi amalan di negara-negara lain. Seperti yang dinyatakan tadi cabaran baru dunia sekarang ini ialah melalui knowledge age atau k-ekonomi. Dalam hal ini sebenarnya kita telah bersedia dan bertindak lebih awal. Sejak awal 1980-an apabila bermulanya ledakan teknologi maklumat maka sekolah-sekolah kita telah mula memperkanal dan menggunakan peralatan komputer. Kini penggunaan ICT begitu meluas sekali di mana makmal komputer telah didirikan di semua sekolah.

Guru-guru diberi kemahiran melalui latihan dan penggunaan LCD, laptop dan internet di mana pelajar-pelajar kita telah mendapat manfaat yang besar. Negara akan bertambah maju jika ramai di kalangan penduduknya dapat menguasai kemahiran teknologi maklumat dan menggunakan kemudahan ICT dalam semua urusan. Sesungguhnya zaman knowledge age dan k-ekonomi merupakan perubahan global dan cabaran baru ini perlu ditangani melalui perubahan-perubahan dasar pendidikan.



Oleh :
TAN SRI ALIMUDDIN MOHD. DOM
Bekas Ketua Pengarah Pelajaran

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
03 FEBRUARI 2011

ISU KENEGARAAN : MALAYSIA TIDAK SAMA DENGAN MESIR DAN TUNISIA


Sebuah laman web pro pembangkang tempoh hari mengusik 'nakal' dengan tanda soal dalam satu artikelnya: Adakah Malaysia akan menjadi seperti Mesir dan Tunisia? Dakwa laman itu, persoalan tersebut dibangkitkan oleh 'kebanyakan rakyat Malaysia' (siapa, parti atau negeri mana tidak disebut) ekoran kebangkitan rakyat di dua negara terbabit. Bagaimanapun pada beberapa perenggan awal lagi, artikel dalam laman web itu mengalah. Mengakui bahawa ia tidak akan berlaku kerana negara Asia Tenggara tidak berdepan masalah pengangguran. Rakyat pula tidak kebuluran manakala Malaysia pula terus mengamalkan demokrasi dengan pilihan raya yang memberikan rakyat kuasa memilih kerajaan.

Berpengalaman luas sebagai Menteri Luar, malah pernah bekerja di bawah empat Perdana Menteri dan kini dengan Datuk Seri Najib Tun Razak, menteri paling kanan dalam Kabinet Malaysia, Datuk Seri Dr. Rais Yatim menegaskan: "Apa yang berlaku di Mesir ketika ini langsung tidak berkaitan dengan nilai perjuangan rakyat di Malaysia." Ketika ditemui Utusan Malaysia di Bangunan Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur semalam, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan itu memberitahu, di bawah pimpinan Najib dan kepimpinan lima Perdana Menteri sebelum ini, negara mengecap peringkat-peringkat pencapaian hebat untuk rakyatnya. "Tidak ada seorang pun perintah sampai 30 tahun atau 25 tahun tanpa proses demokrasi. "Tapi yang saya lihat di sana, (Presiden Hosni) Mubarak adalah orang yang menggunakan sistem itu untuk menafikan hak-hak rakyatnya tetapi di sini kita bebas. Kebebasan kita telah dikecapi oleh pembangkang. Jadi barang siapa yang mengatakan bahawa kononnya bahang Mesir akan berlaku di Malaysia, ia adalah buta dan tuli," kata beliau.

Dengan tidak lama lagi Malaysia akan melaksanakan pilihan rayanya, disusuli terdekat Pilihan Raya Negeri Sarawak serta Pilihan Raya Umum dalam tempoh beberapa bulan lagi sama ada pada 2011, 2012 atau 2013, pada masa itulah kerajaan dan pembangkang boleh masuk gelanggang dan mengambil inisiatif demokrasi mereka sendiri. Dan kata Rais, tidak timbul isu orang ramai berkumpul sehingga ratusan ribu kerana isu di Mesir tidak ada kaitan langsung dengan isu di Malaysia. "Pendapatan negara kita bertambah walaupun nilai-nilai dan harga tinggi dalam masa tertentu seperti harga getah dan sawit melambung tinggi serta pendapatan Felda yang tidak kurang RM3,000 sebulan bagi satu keluarga, ia sesuatu yang sangat bersifat kesyurgaan bagi negara di Timur Tengah, bukan di Malaysia. "Tinggal lagi kata-kata orang tua, sang ikan tidak tahu di dalam air sehingga ia berada di atas pasir," ujarnya sinis.

Menyingkap tragedi di Mesir, kata Rais, ia terjadi sebegitu kerana perjumlahan sentimen rakyatnya lebih dari tiga dekad telah tidak diberi penjurusan keluar. Misalnya, hak untuk berhimpun selama ini tidak ada langsung. Demikian juga hak untuk bersuara. Tidak ada media, televisyen dan radio. Malah akhbar tidak dibenarkan sama sekali. Kata menteri itu: "Presiden itu sebenar-benarnya berkuasa autokratik dengan tidak pernah menjuruskan pada kebajikan masyarakat seperti yang kita buat di Malaysia, Indonesia dan negara-negara membangun lain. Dan dalam banyak hal, mereka lebih teruk daripada negara-negara yang berpenghulukan tentera. "Hal ini sudah nampak dan jelas bukan sahaja di Mesir, malah negara-negara lain yang memiliki kesan autokratik harus membuat penilaian hak demokrasinya untuk memberi pulangan kepada rakyat."

Rais turut menarik perhatian bagaimana pelajar Malaysia di Mesir perlu melihat kembali keilmuan yang diperoleh daripada universiti di negara berkenaan. "Ini kerana kebanyakan keilmuan yang diberi adalah untuk membawa fahaman ultra di Mesir. Ia seperti 'senjata makan tuan' ekoran kebanyakan ideologi yang diajar adalah untuk memberontak, berkasar dan bersifat Talibanisme. "Ini sekadar pandangan untuk masa depan pelajar dan sebaik-baiknya ia disebarkan dengan membuat kajian tidak hanya di Mesir. Namun pulangan yang diterima di Mesir ini, saya lihat pulangan yang tidak dapat dikawal lagi oleh Mubarak," katanya. "Dalam soal ini juga, 'tempias' pasti terkena pada Israel yang selama ini menganggap Mesir rakan segandingannya. Apakah rejim baru di Mesir dapat membuat polisi-polisi baru terhadap Israel, soal beliau. "Oleh itu kalaulah ada suara-suara nakal yang ingin mengaitkan perkembangan di Mesir dengan Malaysia atau untuk mendapat sedikit 'dividennya', saya kira mereka bermimpi di tengah hari kerana isu-isu yang timbul tiada kaitan langsung dengan di sini," katanya.

Namun barangkali 'mereka' akan berkata pula bahawa hak dari kebebasan sejagat tidak ada dan mungkin tidak cukup di Malaysia. Menjawab persoalan ini, ujar Rais: "Kita nak tanya yang mana tidak ada, yang mana tidak cukup?" Contoh terdekat, parti-parti pembangkang mempunyai akhbar sendiri dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) sendiri tidak berupaya untuk menentukan hak-haknya lagi. Apa pun, isu di Timur Tengah khususnya di Mesir tidak ada alasan untuk Pas, DAP atau PKR membangkitkannya sebagai sesuatu yang logik di Malaysia. PKR yang sedang berkecai pastinya sedang sibuk untuk memperbetulkan diri. Bukan dengan hujah biasanya, tetapi 'hujah selamat diri'. Itu terserah kepada mereka. Namun daya berkeyakinan dalam rangka kepimpinan pertengahannya mempunyai pandangan yang lebih lunak daripada apa yang disuarakan oleh Nik Abdul Aziz Nik Mat dan konco-konconya.

OLEH
ZULKIFLI JALIL

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
03 FEBRUARI 2011

ISU KENEGARAAN : SYUKURI KESTABILAN DAN KEMAKMURAN YANG DIKECAPI OLEH RAKYAT MALAYSIA


Kini, situasi yang sukar bukan sahaja dihadapi oleh rakyat Mesir tetapi juga berpuluh-puluh ribu warga asing yang terperangkap dalam krisis politik negara itu. Perhimpunan bantahan di bandar-bandar utama negara itu mengakibatkan keadaan semakin kacau-bilau. Kerajaan Mesir pimpinan Presiden Hosni Mubarak bagaikan tidak mampu lagi menguatkuasakan peraturan dan undang-undang. Dalam keadaan huru-hara inilah pencuri dan penjenayah lain mengambil kesempatan untuk merampas segala harta dari tempat awam. Ketiadaan penguat kuasa undang-undang juga adalah kesempatan bagi mereka membalas dendam. Sekarang ramai yang berusaha meninggalkan Mesir.

Hidup dalam keadaan tidak menentu di Mesir sekarang amat memeritkan. Kerajaan kita sudah mengambil tindakan udara dan darat untuk membawa keluar kesemua pelajar dan rakyat kita dari bumi tamadun Firaun itu. Pengalaman lebih 11,000 pelajar kita yang akan pulang dari negara bergolak itu mungkin dapat menceritakan betapa bertuahnya hidup di Malaysia. Kekacauan yang melanda Mesir kerana mahu menggulingkan pemerintahan Mubarak menimbulkan ketidaktentuan terhadap rakyat dan ekonomi negara itu. Apa yang sedang berlaku di Mesir harus kita ambil sebagai iktibar. Ini kerana, tidak mustahil kejadian yang sama boleh berlaku di negara kita. Sebab itu kita harus bersyukur dan dimohon lindungan Tuhan agar tragedi seumpama itu tidak berlaku di Malaysia.

Bayangkan jika negara kita terjerumus dalam gelora rusuhan dan pergaduhan antara kaum lontaran hasutan pihak tertentu dari dalam dan luar negara. Tiada siapa yang beruntung, sebaliknya negara kita memerlukan lebih banyak masa untuk proses memulihkan hubungan kaum dan membangunkan ekonomi semula. Masalah politik tidak wajar diselesaikan melalui rusuhan dan demonstrasi jalanan. Insaflah bahawa kestabilan dan kemakmuran hidup yang kita kecapi di negara ini jangan digadaikan. Peristiwa rusuhan di Mesir dan negara-negara lain sebelum ini patut menguatkan keazaman kita rakyat Malaysia untuk mengeratkan hubungan antara kaum. Selain perpaduan antara kaum, kepimpinan atau kerajaan juga adalah faktor penting dalam menjamin kestabilan negara. Kita harus bersyukur kerana mempunyai kerajaan yang bertanggungjawab mengurus dan mentadbir undang-undang dan sosio-ekonomi negara dengan teratur.

Kita percaya gandingan sokongan rakyat dan kerajaan mampu mengekalkan kedaulatan dan maruah negara ini. Kita tidak perlu mencontohi Mesir atau negara yang menggulingkan kerajaan secara demonstrasi jalanan kerana kita ada sistem untuk memilih pemimpin dan kerajaan. Sistem pilihan raya adalah cara yang terbaik jika kita ingin mengubah kepimpinan negara. Adalah menjadi tradisi kita melakukan peralihan kuasa berjalan dengan baik dan lancar tanpa kekerasan. Syukurlah kestabilan negara kita.

SUMBER : 
UTUSAN MALAYSIA
03 FEBRUARI 2011