Ada satu ciri yang menyebabkan seseorang itu dihormati dan mempunyai pengaruhnya tersendiri. Ciri tersebut adalah berilmu. Semakin tinggi, ilmu seseorang itu, semakin tinggilah pengaruhnya dan semakin ramai orang ingin mendekatinya. Orang yang berilmu ada di mana-mana. Namun, paling sinonim untuk mudah dicari ialah di menara gading. Di universiti-universitilah ramai golongan cerdik pandai dan berilmu. Gelaran paling tersohor bagi golongan berilmu di universiti ialah profesor. Profesor mencapai tahap kualiti keilmuan yang amat istimewa mutunya. Namun, apakah peranan mereka sebenarnya? Adakah sekadar untuk mengeluarkan graduan-graduan bagi memenuhi pasaran kerja? Itu hanya sekadar peranan asas yang diketahui umum. Tetapi ada lagi peranan ahli akademik yang lebih besar dan bermakna untuk membentuk masyarakat agar lebih maju ke hadapan.
Saban hari, ahli-ahli akademik akan mengenal pasti permasalahan masyarakat dan membuat kajian bagi mencari satu penyelesaian. Ahli akademik bekerja 24 jam. Ilmu yang ada diterjemahkan melalui kajian-kajian mereka. Ahli-ahli akademik memegang satu prinsip iaitu menyatakan kebenaran meskipun pahit. Kajian-kajian yang diperoleh akan dinyatakan secara telus dan jujur serta tidak memihak kepada sesiapa. Mengkritik apa yang tidak betul berdasarkan ruang lingkup ilmu mereka. Menyokong jika ia memberi kebaikan kepada masyarakat secara keseluruhannya. Itulah pegangan ahli akademik. Tidak kira sama ada ia tidak dipersetujui oleh mana-mana pihak, yang benar tetap benar, yang batil tetap batil. Ahli akademik tidak mengikut telunjuk mana-mana pihak. Malahan, ahli-ahli akademik juga menjalankan perundingan bagi membantu sektor korporat dan masyarakat.
Tidak kurang juga yang memberi khidmat kepada masyarakat secara percuma seperti memberi ceramah dan sesi kaunseling. Itulah peranan ahli akademik yang cukup besar untuk membentuk satu budaya masyarakat yang mapan dan maju ke hadapan. Di negara-negara lain, ramai ahli akademik dilantik dengan pelbagai jawatan tertinggi kerajaan. Umpamanya, Ben Bernanke yang sebelum ini merupakan profesor di Universiti Princeton, kini mengetuai Rezab Persekutuan Amerika Syarikat. Ramai juga ahli akademik yang memenangi Hadiah Nobel. Antaranya ialah Profesor William Sharpe, Profesor Paul Krugman, Profesor Peter Diamond, Profesor Dale Mortensen dan Profesor Christopher Pissarides. Di Malaysia, ahli akademik juga diiktiraf. Mereka dilantik untuk pelbagai jawatan dan gelaran seperti Profesor Diraja, Profesor Emeritus dan ahli Suruhanjaya-Suruhanjaya Diraja. Terbaru, gelaran Profesor Ulung diberikan kepada tiga ahli akademik. Pengiktirafan tertinggi mengatasi naib canselor.
Justeru, apabila ahli akademik digelar pelbagai perkataan yang kurang baik seperti profesor kangkung, ada sesuatu yang tidak kena dalam masyarakat kita. Adakah ini bermakna, golongan ilmuwan pun sudah tidak dihormati dan disanjungi? Sedangkan gelaran profesor diberi oleh orang lain dan dinilai oleh panel yang terdiri daripada profesor-profesor yang terkemuka. Malangnya, masih ada lagi yang menyebut gelaran sebegini. Gelaran seperti ini tidak membantu memupuk satu budaya yang baik dalam masyarakat. Setahu penulis, tidak pernah kedengaran gelaran-gelaran ini diberikan kepada profesor-profesor di luar negara. Dunia barat amat menyanjungi ahli akademik. Alangkah moleknya jika kita meniru sikap mereka yang baik ini. Satu perkara yang cukup pelik apabila ahli akademik diberi gelaran yang bukan-bukan, walhal masyarakat kita dikenali sebagai masyarakat yang bersopan santun dan sentiasa menjaga tutur kata.
Adakah ini bermakna, budaya bersopan santun dan hormat menghormati semakin pudar dalam kalangan masyarakat kita meskipun kepada golongan berilmu?
Oleh ROHAMI SHAFIE
UTUSAN MALAYSIA
29 JANUARI 2011