Begitu menarik sekali
apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan ancaman militan
Islam di rantau Asia Tenggara telah banyak berkurangan hasil daripada kerjasama
dan persefahaman antara negara yang terkena tempias sama ada secara langsung
atau tidak.
Mengambil contoh
kerjasama antara Malaysia, Filipina dan Indonesia, kejayaan mengurangkan
pengaruh kumpulan militan yang bersimpati dengan perjuangan Al-Qaeda tidak
dapat dinafikan telah membawa kesan positif yang begitu ketara.
Beliau membuat hujah
tersebut pada sesi bertajuk An Insight, An Idea with Najib Tun Abdul Razak yang
disiarkan oleh penyiar antarabangsa CNN sempena Forum Ekonomi Dunia (WEF) di
Davos, Switzerland, beberapa hari lepas.
Hujah tersebut
disokong oleh kejayaan Kuala Lumpur sebagai perantara rundingan antara Manila
dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) sehingga berjaya merungkai kemelut
yang telah berlarutan lebih empat dekad yang mengorbankan lebih 120,000 nyawa.
Tiada pihak yang
boleh menafikan bahawa keamanan dan kestabilan di selatan Filipina adalah satu
suasana yang tidak akan memberi peluang kepada kumpulan radikal dan militan
Islam untuk berkembang dan mempengaruhi pihak yang bersimpati dengan ideologi
mereka.
"Itu merupakan
sumbangan besar ke arah keamanan dan pewujudan Islam lebih sederhana di Asia
Tenggara," tegas Najib. Malah tidak keterlaluan juga jika diandaikan Asia
Tenggara bukan lagi boleh dilabelkan sebagai pusat pengganas militan Islam.
Asia Tenggara kini boleh dijadikan model bagaimana untuk menangani masalah
tersebut.
Negara yang dikatakan
mempunyai masalah dengan kumpulan radikal atau militan Islam perlu mengambil
iktibar dengan pendekatan sederhana yang diamalkan oleh beberapa negara Asia
Tenggara. Amerika Syarikat, Britain, Perancis dan Jerman umpamanya sering
berhadapan dengan isu ini tetapi kurang berjaya menangani atau mengurangkan
ancaman yang dihadapi setiap hari.
Jika beberapa tahun
lepas negara maju ini sering membuat tuduhan bahawa ancaman keganasan global
sering didalangi oleh anasir dari Dunia Ketiga seperti Afrika, Arab dan juga
Asia, tetapi hari ini sebaliknya pula yang berlaku iaitu pengganas
kebanyakannya berasal dari negara maju.
Perancis umpamanya
yang mempunyai penduduk seramai 65 juta orang dan menampung kumpulan penduduk
Yahudi dan Islam terbesar di Eropah dalam keadaan yang sentiasa genting kerana
komposisi penduduk yang bertentangan. Peristiwa keganasan yang mengorbankan
tujuh nyawa di Toulouse pada tahun lepas adalah manifestasi ancaman yang
dihadapi Perancis saban hari. Keganasan tersebut didalangi oleh Mohamed Merah
seorang rakyat Perancis yang berasal dari Algeria.
Kini Kanada pula
menghadapi ancaman keganasan yang didalangi oleh rakyat mereka sendiri.
Kejadian rampasan di Kompleks Pengeluaran Gas dan Minyak (OGPC) In Amenas,
Algeria yang dikatakan diketuai oleh pengganas rakyat Kanada adalah satu
perkembangan yang agak mengejutkan.
Walaupun belum
mendapat pengesahan muktamad, Perdana Menteri Algeria, Abdelmalek Sellal telah
menamakan Shadad Muhammed Amin dan juga Abdallah sebagai rakyat Kanada yang
mendalangi serangan yang mengorbankan 37 tebusan termasuk dua rakyat Malaysia.
Kanada sebenarnya
tidak pernah sunyi dengan ancaman keganasan yang didalangi oleh rakyat mereka
sendiri. Mengikut kenyataan agensi risikan Kanada CSIS, pada ketika ini seramai
250 rakyat mereka sedang diawasi kerana disyaki terlibat dengan aktiviti
keganasan. CSIS juga mengesyaki seramai 60 rakyat Kanada telah menyertai
kumpulan radikal lain di Afghanistan, Yemen, Pakistan dan Somalia.
Masalah yang dihadapi
oleh Kanada yang mempunyai penduduk imigran yang pelbagai, aktiviti keganasan
tidak hanya tertumpu kepada satu kumpulan etnik sahaja. Rakyat mereka yang
telah didakwa berasal dari berbagai negara dan keturunan seperti Afrika Utara
(termasuk Algeria), Parsi, Arab dan Asia Selatan.
Perdana Menteri
Kanada Stephen Harper telah melabelkan kegiatan militan Islam sebagai ancaman
keselamatan paling meruncing yang dihadapi oleh negaranya dan sebagai salah
satu usaha kekangan beliau telah melancarkan Projek Kanishka pada tahun 2011.
Projek yang mengambil masa lima tahun ini memberi tumpuan khas kepada kaedah
menangani ancaman militan Islam rakyat Kanada.
Sudah tiba masanya
masyarakat antarabangsa menilai kembali strategi menangani keganasan kerana
senario telah banyak berubah. Masalah yang dihadapi oleh Kanada bukan satu kes
yang terpencil kerana ia juga sedang dihadapi oleh negara maju yang lain.
Rakyat Kanada yang
terlibat dengan keganasan adalah daripada kumpulan imigran generasi kedua dan
ketiga yang begitu sebati dengan cara hidup majoriti penduduk Amerika Utara.
Jika selama ini AS,
Britain, Perancis dan juga Jerman sering membuat tuduhan penduduk imigran yang
terlibat dengan keganasan adalah dari kumpulan yang tidak mahu menerima cara
hidup negara yang didiami, tetapi hari ini dalil tersebut tidak lagi boleh
digunakan.
Menarik dalam hal ini
dikaitkan sekali lagi saranan Najib untuk menangani keganasan yang diutarakan
dalam wawancara khas CNN. "Pada masa lalu terdapat tindakan bersifat
militan yang 'tidak dapat dielakkan', tugas pada masa kini ialah mengadakan
perbincangan dengan golongan fundamentalis Islam dan memujuk mereka untuk mengamalkan
pendekatan Islam sederhana," tegas beliau.
Jika diterjemahkan
saranan tersebut, pendekatan sederhana bukan sahaja perlu dipraktiskan oleh
masyarakat beragama Islam, tetapi juga oleh masyarakat antarabangsa apabila
berhadapan dengan isu militan Islam.
Sumber : Utusan
Malaysia
Tarikh : 31 Januari
2013