Peranan sekolah sebagai tempat menimba ilmu dan membentuk sahsiah tidak pernah berubah sejak dahulu. Guru berkhidmat dengan jiwa yang tulus untuk memastikan setiap pelajar mendapat peluang pendidikan yang sempurna. Dalam bilik darjah, guru berusaha menanam nilai murni, memupuk semangat tanggungjawab dan membimbing pelajar agar menjadi insan yang berakhlak mulia. Walau begitu, cabaran mendidik generasi hari ini tidak sama dengan dahulu. Persekitaran sosial, pengaruh rakan sebaya dan keterbukaan media digital memberi kesan besar terhadap pembentukan tingkah laku pelajar. Sebahagian kecil daripada mereka terperangkap dalam budaya negatif hingga menimbulkan masalah disiplin.
Isu disiplin pelajar yang semakin membimbangkan tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menuding jari kepada pihak sekolah. Guru bukan sahaja mengajar, malah mereka mendidik dengan penuh kasih sayang dan tanggungjawab. Tindakan guru menegur atau mendisiplinkan pelajar tidak bermaksud menghukum, sebaliknya bertujuan membentuk peribadi yang baik dan bertanggungjawab. Guru ialah insan yang paling hampir dengan pelajar selepas ibu bapa, namun mereka tidak dapat berfungsi sepenuhnya tanpa sokongan dan kerjasama daripada rumah.
Ibu bapa memainkan peranan yang amat penting dalam mencorakkan keperibadian anak-anak. Didikan moral dan sahsiah perlu dimulakan sejak usia kecil agar menjadi asas kukuh kepada pembentukan jati diri. Anak-anak yang dibesarkan dengan nilai sopan santun, hormat kepada orang tua dan kesedaran moral yang tinggi lebih mudah menyesuaikan diri dengan peraturan sekolah. Jika ibu bapa menyerahkan sepenuhnya tanggungjawab pendidikan kepada sekolah, maka wujudlah jurang dalam pembentukan nilai dan disiplin. Pendidikan di rumah dan pendidikan di sekolah harus bergerak seiring kerana kedua-duanya saling melengkapi.
Sekolah masih selamat dan terurus kerana realitinya, daripada berjuta-juta pelajar di seluruh negara, tidak sampai satu peratus yang terlibat dalam masalah disiplin berat. Angka ini menunjukkan majoriti pelajar masih beradab, menghormati guru serta patuh kepada peraturan. Golongan yang bermasalah hanyalah segelintir kecil yang sering mendapat perhatian luar biasa daripada media hingga menimbulkan tanggapan yang tidak tepat terhadap keseluruhan sistem pendidikan. Sebagai pemimpin sekolah, saya sentiasa melihat ramai pelajar yang menunjukkan akhlak terpuji, berusaha gigih dalam pelajaran dan sentiasa menghargai bimbingan guru.
Dalam menghadapi isu disiplin, kita tidak boleh mencari kesalahan semata-mata. Yang salah bukan menteri, bukan pengarah pendidikan, bukan pengetua atau guru besar, bukan guru dan bukan juga ibu bapa. Pendidikan bukan medan untuk mencari siapa yang patut dipersalahkan. Jika semua pihak saling menuding jari, pelajar akan terus terpinggir daripada bimbingan yang diperlukan. Kita harus kembali kepada semangat muafakat dan nilai tanggungjawab bersama. Sekolah akan kekal selamat apabila guru, ibu bapa, pelajar dan masyarakat bergerak dalam satu arah untuk melahirkan generasi yang berdisiplin dan berakhlak.
Anak ialah harta dan pelaburan paling berharga bagi setiap ibu bapa. Setiap tingkah laku mereka mencerminkan nilai yang diasuh di rumah. Jika anak melakukan kesilapan, mereka perlu ditegur dan dibimbing dengan tegas tetapi berhemah. Menegur bukan bermaksud membenci, sebaliknya menunjukkan kasih sayang yang mendalam terhadap masa depan anak itu sendiri. Ibu bapa tidak sepatutnya terlalu memanjakan anak hingga setiap teguran guru dianggap ancaman. Apabila ibu bapa mula mempertikaikan tindakan guru mendisiplinkan anak, wibawa guru akan terhakis. Lebih membimbangkan apabila ada ibu bapa yang datang ke sekolah dengan kemarahan, ugutan dan surat mahkamah hanya kerana tidak berpuas hati terhadap tindakan disiplin.
Keadaan sebegini menyebabkan guru berasa takut untuk menegur pelajar. Jika guru hanya dibenarkan mengajar tanpa mendidik, nilai kemanusiaan dalam pendidikan akan hilang. Guru akan mengajar sekadar memenuhi tuntutan kurikulum tanpa jiwa dan kasih sayang. Pendidikan tidak akan berjaya jika guru terpaksa bekerja dalam suasana penuh ketakutan dan tekanan. Oleh itu, ibu bapa perlu memahami bahawa disiplin ialah bentuk kasih sayang yang bertujuan membentuk manusia yang berguna kepada diri, keluarga, masyarakat dan negara.
Selain guru dan ibu bapa, masyarakat juga mempunyai peranan besar dalam memastikan keselamatan dan keharmonian sekolah. Setiap individu perlu melihat pelajar sebagai tanggungjawab bersama. Masyarakat yang prihatin akan menasihati anak muda dengan penuh hikmah apabila melihat kelakuan yang tidak sopan di luar sekolah. Semangat gotong-royong, rasa hormat terhadap institusi pendidikan dan sokongan terhadap program pembangunan sahsiah akan menjadikan sekolah tempat yang dihormati dan disayangi.
Sebagai pemimpin sekolah, saya percaya bahawa sekolah akan terus menjadi tempat yang selamat jika semua pihak bersatu hati dan saling mempercayai antara satu sama lain. Keberkesanan pendidikan tidak bergantung kepada satu pihak semata-mata. Ia memerlukan sinergi antara kepimpinan sekolah, keprihatinan guru, kebertanggungjawaban ibu bapa dan kesedaran pelajar. Kerjasama ini akan mewujudkan suasana pembelajaran yang kondusif, harmoni dan selamat untuk semua.
Dalam menghadapi cabaran dunia moden, kita tidak boleh berputus asa mendidik. Walaupun segelintir pelajar masih melakukan kesilapan, itu tidak bermakna sistem pendidikan telah gagal. Setiap anak berhak mendapat peluang untuk berubah dan dibimbing. Tugas kita ialah memastikan mereka tidak terus hanyut. Sekolah yang berfungsi dengan penuh tanggungjawab dan masyarakat yang menyokong dengan sepenuh hati akan terus menjadi benteng terakhir dalam membentuk generasi berakhlak dan berdisiplin.
Kesimpulannya, sekolah masih selamat andai semua bersepakat. Pendidikan ialah tanggungjawab bersama yang tidak boleh digalas oleh guru semata-mata. Selagi guru diberi kepercayaan untuk mendidik, ibu bapa bersedia untuk bekerjasama dan masyarakat menghargai usaha sekolah, maka masa depan anak bangsa akan terjamin. Marilah kita berganding bahu membina semula semangat hormat, kasih sayang dan amanah dalam pendidikan agar sekolah terus menjadi tempat yang selamat, sejahtera dan menyemai benih insan berguna untuk negara tercinta.

