Rencana ini ditulis
oleh :
Rejal Arbee
Penulis ialah Felo
Kanan di UKM
rejal@mcoba.org
Baru-baru ini penaung
diraja Persatuan Pengajar Bahasa Inggeris Malaysia (Melta), Raja Zarith Sofiah
Sultan Idris Shah menyatakan keresahannya terhadap kemerosotan penguasaan
bahasa Inggeris dalam kalangan rakyat negara ini dengan menyorot kepada
kemungkinan ada rakyat yang menganggap tidak patriotik untuk mempelajari bahasa
itu. Baginda juga berkata, ada dalam
kalangan mereka itu tidak dapat menerima bahawa menguasai bahasa kedua tiada
kena mengena dengan cinta kepada negara. Tanggapan baginda itu tidak salah,
bahkan mungkin ada alasan. Malangnya, kenyataannya itu diputarbelitkan sebuah
stesen radio swasta yang diketahui mengabaikan penggunaan bahasa Melayu untuk
dijadikan bahan perbincangan satu rancangan bual bicara edisi petangnya, Khamis
lalu.
Stesen radio itu
dengan sengaja memberikan tanggapan lain daripada kenyataan Raja Zarith Sofiah
untuk dijadikan bahan perbincangan dengan pendengarnya. Tajuk yang digunakannya
ialah apakah perisytiharan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi kedua negara
ini tindakan tidak patriotik dengan menyorot kepada apa yang dinyatakan Raja
Zarith Sofiah itu. Tiada siapa pun pernah menimbulkan perlunya bahasa Inggeris
dijadikan bahasa rasmi kedua negara sebagai usaha memaksa rakyat memberi
tumpuan terhadap penguasaan bahasa itu. Jauh sekali berpendirian usaha
menguasai bahasa Inggeris adalah suatu perkara tidak patriotik. Ramai mengakui penguasaan bahasa Inggeris
memang merosot dan perlu dibaiki supaya dapat dikuasai sejumlah besar rakyat
negara ini sekiranya mahu melonjak menjadi negara maju berpendapatan tinggi
menjelang 2020 nanti.
Diakui kita sebagai
negara yang bergantung kuat kepada perdagangan antarabangsa harus dapat
menguasai bahasa itu dengan baik. Bahasa Inggeris sudah dianggap sebagai bahasa
antarabangsa. Ini tiada siapa pun menafikan termasuk pencinta bahasa Melayu.
Tetapi untuk menyatakan kononnya hanya dengan mengisytiharkan bahasa Inggeris
sebagai bahasa rasmi baru rakyat akan berusaha untuk menguasainya adalah syor
melampau, lebih-lebih lagi dikaitkan dengan semangat patriotik seseorang kepada
negaranya. Seperti diharapkan pengendali acara bual bicara radio itu, ramailah
antara mereka yang menelefon memberi pandangan mempersoalkan kenapa penguasaan
bahasa Inggeris mahu dikaitkan dengan perasaan patriotik. Corak perbincangan
itu lebih menjengkelkan dengan kebanyakan pemanggil menyokong syor menjadikan
bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi kedua negara ini.
Mereka termasuk
ketiga-tiga pengacaranya tidak pula menyatakan apakah hanya dengan
perisytiharan itu baru rakyat memberi tumpuan penguasaan dan penggunaan bahasa
Inggeris? Tidak dinafikan ramai antara lulusan sekolah kebangsaan termasuk
graduan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) amat lemah penguasaan bahasa itu
sehingga ada yang gagal mendapat pekerjaan di sektor swasta. Yang perlu
dilakukan ialah meningkatkan pembelajaran bahasa Inggeris sejak peringkat
sekolah rendah lagi. Usaha ini sudah dilaksanakan Kementerian Pelajaran dengan
menambah masa pelajaran bahasa Inggeris daripada 240 minit seminggu kepada 330
minit. Demikian pula bagi pelajar di IPTA perlu diberi perhatian untuk
menguasai bahasa itu dengan baik sebelum diberi ijazah. Sehingga kini
sebahagian besar graduan IPTA tidak diterima berkerja oleh syarikat swasta kerana
penguasaan bahasa Inggeris amat lemah.
Malangnya oleh kerana
kelemahan itu ramai antara mereka dianggap tidak boleh berfikir dengan baik.
Pihak swasta seolah-olah mahu menyamakan pengetahuan dan kepintaran minda
seseorang dengan penguasaan bahasa Inggeris. Kurangnya penguasaan bahasa itu
mahu disamakan dengan daya pemikiran yang lemah. Apa kena mengena penguasaan
bahasa Inggeris dengan kepintaran minda seseorang tidak pula dinyatakan. Baiknya
usaha meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan graduan sudah
dilaksanakan di beberapa IPTA. Usaha itu diharap bukan saja menyekat
kemerosotan penguasaan bahasa Inggeris tetapi meningkatkan penguasaannya dalam
kalangan ramai rakyat. Tentu usaha itu tidak memerlukan bahasa Inggeris
diisytihar sebagai bahasa rasmi kedua.
Walaupun tanpa
perisytiharan sedemikian ramai antara rakyat, khususnya kelas menengah dan yang
tinggal di bandar besar terus mengagungkan bahasa Inggeris lebih-lebih lagi
pihak swasta hingga ada yang tergamak mengabaikan terus penggunaan bahasa
Melayu. Bukan setakat itu saja, hingga
sekarang ini pun masih ramai rakyat tidak boleh bertutur bahasa Melayu atau
memahaminya. Ruangan ini sudah beberapa kali menimbulkan isu kurangnya
perhatian sesetengah rakyat negara ini terhadap penggunaan bahasa Melayu kerana
tidak fikir mereka perlu mengetahuinya kerana hanya mahu bergaul sesama bangsa
tanpa mahu berinteraksi dengan rakyat yang berlainan kaum.
Oleh itu ramai
lulusan sekolah Cina masih tidak dapat menguasai bahasa Melayu walaupun lulus
dalam mata pelajaran itu pada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Mereka
mempelajarinya hanya kerana terpaksa untuk lulus SPM bukan kerana mahu
memahaminya atau boleh bertutur dalam bahasa kebangsaan itu. Mahkamah masih perlu menyediakan jurubahasa
kepada tertuduh keturunan Cina atau India kerana mereka tidak boleh memahami
pertuduhan yang dibaca dalam bahasa Melayu. Apakah kesimpulan yang boleh kita
ambil daripada keadaan demikian ini? Bukankah
keadaan ini sudah berleluasa walaupun tanpa bahasa Inggeris diisytihar sebagai
bahasa rasmi. Apa agaknya yang akan berlaku jika pengisytiharan demikian
dilaksanakan? Tentu lebih ramai rakyat negara ini akan terus mengabaikan
penggunaan bahasa Melayu. Mungkinkah ini yang dikehendaki orang sebegini?
Sila berikan komen
anda. Terima Kasih.
Sumber
Berita Harian
7 Jun 2012