17 Januari 2012

ISU NEGARA : ANTARA STRATEGI KEPOLISAN DAN KEMATANGAN RAKYAT

Bersama Shamrahayu A Aziz
Profesor Madya di Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim,
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)


Agenda perubahan yang dibawa kerajaan, terutama dalam hal perundangan dan hak asasi menjadi titik tolak kepada perubahan dalam banyak perkara. Ia bukan saja merangkumi perubahan dalam undang-undang, tetapi juga menghendaki perubahan dalam pemikiran dan pembawaan diri pihak berkuasa serta ahli masyarakat keseluruhannya.  Proses rundingan antara polis dan penganjur perhimpunan sempena keputusan kes perbicaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Isnin minggu lalu menjadi titik permulaan. Apa yang berlaku itu penting untuk kita membuat analisis permulaan berkenaan Rang Undang-Undang Perhimpunan Aman yang diperkenalkan di Parlimen dan menjadi undang-undang sekiranya diluluskan kelak. Dalam meneroka perubahan undang-undang, anjakan juga perlu berlaku kepada pemainnya; iaitu pihak berkuasa, terutama polis dan orang ramai. Perubahan yang dituntut daripada orang ramai ialah, terutama kematangan dalam menuntut dan menjalankan hak. Mereka juga perlu matang dalam menghadapi situasi yang tidak dijangka dalam sesuatu perhimpunan seperti elemen provokasi.

Dalam perhimpunan besar, kita tidak boleh memperkecilkan elemen provokasi, sama ada daripada penggunaan kata-kata, ucapan atau slogan yang dibawa atau juga keganasan. Kita melihat perkara ini berlaku ketika perhimpunan tempoh hari.  Agak sadis apabila tiada pihak yang mengaku bertanggungjawab. Mungkin pihak penganjur tidak mengetahui mengenai perkara ini tetapi itulah kemungkinan yang tidak dijangka berlaku dalam satu-satu perhimpunan ramai.  Inilah juga kebimbangan pihak polis selama ini. Sudah tentu polis tidak mahu seorang pun cedera. Pembaca juga maklum, sekiranya keganasan berlaku kesannya bukan kecil.  Di sinilah pentingnya juga pihak keselamatan mengenal pasti pihak penganjur. Sekiranya sesebuah perhimpunan dibuat tanpa menamakan pihak tertentu sebagai penganjur, keadaan mungkin tidak dapat dikawal.  Peserta dalam keghairahan perhimpunan berkenaan mungkin bertindak atas kehendak sendiri. Dalam keadaan ini, pihak berkuasa tidak dapat menentukan pihak bertanggungjawab bagi mengadakan rundingan.  Di sinilah perlunya undang-undang menetapkan supaya setiap perhimpunan hendaklah dianjurkan oleh pihak yang boleh dikenal pasti. Ia boleh memudahkan urusan menjaga dan menjamin keselamatan kerana proses rundingan boleh disempurnakan dengan adanya pihak yang bertanggungjawab sebagai penganjur.

Ini mungkin antara alasan untuk Rang Undang-Undang Perhimpunan Aman 2011 tidak membenarkan protes jalanan, walaupun ia mendapat bantahan beberapa pihak, termasuk Majlis Peguam.  Jika kita lihat amalan kepolisan yang terkini di Amerika Syarikat, polis mengambil pendekatan strategic incapacitation atau ‘strategi melumpuhkan’ dalam menangani protes jalanan. Strategi ini menghalang berlakunya protes jalanan tanpa penganjur yang dikenal pasti.  Berbalik kepada soal perubahan, pihak pelaksana juga perlu berubah. Dalam perkara berkaitan perhimpunan, strategi kepolisan perlukan perubahan seiring dengan perubahan undang-undang. Dalam melalui fasa perubahan strategi kepolisan ini, sudah tentu apa yang masih perlu diutamakan oleh pasukan polis ialah keselamatan awam. Walaupun mungkin ada antara kita yang mahukan polis menjadi ejen pemudah dalam pelaksanaan hak mereka, golongan ini harus ingat bahawa pihak polis juga menggalas tanggungjawab memastikan setiap individu masyarakat (termasuk mereka yang tidak menyertai perhimpunan) dapat menjalankan aktiviti harian dengan sempurna. Polis juga bertugas menjamin persekitaran aman serta memastikan keselamatan harta benda dan juga keselamatan jiwa atau nyawa, bukan hak untuk berhimpun saja.  Sekiranya berkaitan mahkamah pula, walaupun tidak begitu ketara, pihak polis juga perlu mengambil kira kemuliaan badan kehakiman; membolehkan mahkamah menjalankan tugas dengan baik dan sempurna.  

Walaupun benar jika dikatakan mahkamah yang menjalankan keadilan perlu menerima kritikan bagi menjamin keputusan adil, tetapi kita tidak boleh menggalakkan penghinaan mahkamah, terutama melalui tuduhan yang tidak dapat dibuktikan seperti hakim dibeli oleh pihak eksekutif.  Usaha untuk mengimbangi tanggungjawab yang digalas polis ini bukanlah sesuatu yang mudah. Jika kita meletakkan diri kita di situ pun, kita akan mendapati ia perkara berat dan memerlukan penelitian menyeluruh. Oleh itu, sedikit sebanyak pihak pelaksana juga memerlukan undang-undang yang memberikan ruang untuk mengimbangi tanggungjawab berkenaan. Peruntukan undang-undang yang membenarkan polis meletakkan syarat tertentu mungkin boleh membantu. Orang ramai harus memahami perkara ini dan tidak harus melontarkan tuduhan tanpa asas terhadap pasukan polis. Polis pula tidak harus meletakkan syarat perhimpunan yang boleh menafikan hak yang disandarkan kepada Perlembagaan. Perubahan yang berlaku dalam strategi kepolisan negara dan kematangan rakyat menjadi penentu kepada pelaksanaan undang-undang berkaitan perhimpunan yang akan diluluskan kelak. Suka juga saya tegaskan bahawa, tugas pasukan polis tidak akan berkesan sekiranya tidak mendapat sokongan atau bantuan daripada orang ramai, termasuk peserta dan penganjur perhimpunan. Kedua-dua pihak harus bekerja sama – bukan untuk kepentingan mereka saja tetapi untuk menghormati hak orang lain dan juga menjaga keamanan negara.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
BERITA HARIAN
17 Januari 2012

ISU SOSIAL : KESEPADUAN SOSIAL PRASYARAT MODERAT

Oleh :

PROF. ULUNG DATUK DR. SHAMSUL AMRI BAHARUDDIN, Pengarah Pengasas di Institut Kajian Etnik (KITA), UKM, dan; ANIS YUSAL YUSOFF, Felo Penyelidik Utama di UKM.


Semenjak terjadinya rusuhan etnik 13 Mei 1969, Malaysia telah menjadikan 'perpaduan nasional' sebagai matlamat akhir utama untuk dicapai, khususnya, melalui Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang dilancar pada tahun 1971. Apabila DEB tamat pada 1990 perpaduan yang diidamkan itu masih belum tercapai. Pada 1991 rakyat Malaysia diperkenalkan pula oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad, Perdana Menteri ketika itu dengan Wawasan 2020 yang berteraskan konsep Bangsa Malaysia, suatu bentuk perpaduan yang dijangkakan akan dicapai pada tahun 2020. Sehingga tahun 2009, tiada sebarang tanda-tanda jelas di mana perpaduan yang diharapkan itu akan dicapai. Maka diperkenalkan pula konsep 1Malaysia oleh Datuk Seri Najib Tun Razak untuk merangsang masyarakat Malaysia ke arah perpaduan. Sebenarnya dalam tempoh 42 tahun (1969-2011) lalu, biar pun perpaduan yang kita impikan sangat-sangat itu belum tercapai, namun kita telah mencapai sesuatu yang signifikan yang menjadikan Malaysia negara contoh kepada banyak negara di Asia, Afrika dan Amerika Latin.

Malah laporan yang dihasilkan oleh Institut Ekonomi dan Keamanan Antarabangsa yang berpangkalan di Sydney dan yang bertanggungjawab menghasilkan Global Peace Index 2011 menunjukkan Malaysia menduduki tempat ke 19 daripada 153 negara sedunia yang berjaya mengekal suasana aman dan kestabilan politik. Malah Malaysia didapati jauh lebih baik daripada jiran-jiran di rantau Asia Tenggara, termasuk Singapura. Apa yang sebenarnya telah dicapai oleh Malaysia dalam tempoh 42 tahun itu ialah suatu 'kesepaduan sosial' (social cohesion) yang merupakan prasyarat kepada perpaduan yang kita inginkan. 'Kesepaduan sosial' inilah sebenarnya yang menjadi tiang seri kepada konsep equilibirium yang disebut oleh Najib, sebagai anak kunci masyarakat moderat Malaysia yang diperagakan beliau apabila menganjurkan gagasan Global Movement of the Moderates (GMM, atau ). Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia, semenjak ditubuhkan pada Oktober 2007, telah membina suatu korpus ilmu dan maklumat mengenai 'Kesepaduan Sosial' (KS), sebagai suatu model sosial, yang boleh menjadi suatu pakej pelengkap kepada gagasan GMM, anjuran erdana Menteri, dan boleh mengisinya secara konkrit.

Pakej yang dimaksudkan ini mengandungi lima komponen penting dalam kerangka konsep Kesepaduan Sosial (KS) yang bersifat umum:

1. Konsep;
2. Kerangka analisis bersifat struktural-sejarah;
3. Penginstitusian dan bentuk institusi-institusi 'perkongsian kuasa' teras KS;
4. Dasar awam, pelaksanaan dan sistem penilaian mendalam;
5. Alat-alat untuk memantau KS secara berterusan (R&D Sosial; Sistem Amaran Awal dan Indeks Ikatan Sosial).

Pakej Kesepaduan Sosial (PADU) ini boleh dimanfaat sebagai alat untuk memulakan perundingan (engagement) dan tolak ansur di meja bulat perundingan di antara pihak yang berbalah tanpa mana-mana pihak mengalami untung rugi. Dalam usaha KITA untuk memasyarakatkan ilmu, korpus ilmu yang dibina berteraskan Kesepaduan Sosial ini telah dibentangkan di beberapa persidangan dalam dan luar negara, dan dibincangkan dalam rancangan bual bicara TV dan radio. Ada beberapa pihak yang telah menyatakan minat untuk bekerjasama dengan KITA untuk membawa pakej ini untuk diaplikasikan di luar Negara, khususnya di Timur Tengah, yang kini berdepan dengan suatu krisis sosial amat gawat, justeru itu memerlukan suatu penyelesaian aman. Salah sebuah syarikat yang mempunyai syarikat bersekutu antarabangsa, iaitu, Digital Daya yang berpangkalan di Washington D.C (Amerika Syarikat), Dubai (Emiriyah Arab Bersatu) dan Kuala Lumpur (Malaysia), iaitu E-MAM Kapitan Sdn. Bhd. telah menyatakan hasrat mereka untuk menggunakan pakej ini sebagai input penting dalam pembinaan 'Taman Intelektual' yang mereka sedang usahakan bersama Muzium Negeri Pahang di Pekan.

Melalui kerjasama penting ini, sebuah pusat global mengenai Kesepaduan Sosial yang telah dicadangkan namanya sebagai 'Global Social Cohesion Center Malaysia, Pekan' (GSCCMP) akan di bina dalam 'Taman Intelektual' ini. Melalui pusat ini nanti kerja-kerja mendalami hasil kajian rintis pakej kesepaduan sosial ini dapat diperkemaskan sebelum dieksport keluar negara. Sebenarnya inilah julung kalinya sebuah institusi penyelidikan bersifat sains sosial di Malaysia berjaya menampilkan sebuah 'model sosial,' iaitu, Pakej Kesepaduan Sosial (PADU), untuk diguna pakai oleh sesiapa saja yang berminat membina keamaanan dan kestabilan secara berterusan dalam sesebuah komuniti atau masyarakat. Dalam konteks domestik, PADU juga adalah suatu pakej yang mempunyai nilai tambah tinggi kepada mereka dalam sektor swasta, khususnya, terhadap mana-mana projek korporat yang melibatkan masyarakat, seperti projek pembangunan perumahan, hartanah, CSR, dan projek filontrofi. Ianya boleh menjadi daya tarikan kepada pelanggan dan mempunyai potensi untuk meningkatkan keuntungan.

Dalam sektor awam pula, kementerian-kementerian, jabatan-jabatan kerajaan, malah GLC juga, boleh memanfaatkan PADU ini ke arah menguntungkan masyarakat secara jangka panjang dan juga untuk meningkatkan keuntungan kepada GLC. Sumbangan UKM, melalui KITA dengan bantuan E-MAM ini diharapkan dapat membantu usaha murni Perdana Menteri dalam mengetengahkan konsep kesederhanaan atau wasatiyyah beliau melalui gerakan global moderat yang akan dilancarkan pada 17 Januari ini di Kuala Lumpur. Ini sebenarnya adalah hadiah Malaysia kepada dunia dan diharapkan kerjasama dengan E-MAM sebagai sebuah syarikat swasta yang prihatin dengan pembangunan masyarakat dan pembinaan negara bangsa akan mencapai kejayaan yang diharapkan.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
17 Januari 2012
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...