Tanggal 1 April 2017, tepat pukul 4:00
pagi saya sudah mandi dan menyediakan sarapan pagi untuk diri sendiri. Pagi
ini, saya akan ke Kapit untuk memberikan Ceramah Teknik Menjawab Bahasa Melayu STPM
Penggal 2 kepada pelajar Prauniversiti di Zon Kapit. Daerah Kapit merupakan
destinasi wajib saya untuk berkongsi ilmu dan kepakaran kerana jiwa saya
terlalu dekat dengan masyarakat di Kapit. Saya merupakan anak pedalaman yang
menuntut ilmu di Bahagian Kapit pada suatu masa dahulu, dari Darjah 1 hingga
Tingkatan Enam. Jika dikira, bekas tapak kaki saya di bumi Kapit mungkin
berjuta-juta kerana disitulah bermulanya sejarah hidup saya. Oleh itu, jika
tidak dijemput, saya akan menawarkan diri untuk berjumpa dengan guru-guru dan
pelajar-pelajar yang mengambil subjek Bahasa Melayu kerana saya ikhlas membantu
demi kecemerlangan anak-anak didik di daerah itu. Walaupun sumbangan saya
hanyalah kepada subjek Bahasa Melayu namun harapan saya untuk menyuntik
semangat kepada anak-anak didik di Kapit sentiasa membara.
Saya bangga menjadi anak Kapit kerana saya tahu hampir kesemua anak-anak Kapit yang berjaya dalam hidup asalnya sama iaitu hidup bergelut dengan kemiskinan dan ketiadaan. Mereka tidak pernah dilimpahi kemewahan dan kesenangan. Belajar di asrama yang usang sambil ditemani cahaya lilin. Hidup terikat dengan peraturan warden asrama. Akan tetapi, kerana peraturan-peraturan itulah kami maju membawa diri ke hadapan. Kami hidup berdikari. Makan maggie dalam baldi, kami kongsi bersama sebagai alas perut. Itulah sejarah hidup kami yang tidak sama dengan sejarah hidup rakan-rakan di bandar. Lantaran itu, hati saya selalu teringatkan Kapit. Walaupun belum ada kesempatan berkhidmat sepenuhnya di Kapit, sepanjang 20 tahun perkhidmatan menjadi guru ini nama Bahagian Kapit tidak pernah lenyap dari ingatan saya. Apabila melihat anak-anak Kapit yang berjaya dan berjawatan tinggi, saya tumpan bangga dan gembira. Walaupun mereka tidak mengenali saya atau menegur serta menyapa, saya tetap mendoakan agar lebih ramai anak-anak dari Bahagian Kapit seperti mereka. Belia berilmu harus beranak-pinak di Bahagian Kapit untuk memacu pembangunan di kawasan itu agar setanding dan seiring dengan tempat-tempat lain di Malaysia.

PERJALANAN MENGUJI KESABARAN
Pukul 5:20 pagi, saya memandu kereta
ke Warf Ekspres Kapit di tepi Sungai Rejang. Sepanjang perjalanan, saya begitu
bersemangat sambil mendengar lagu baharu nyanyian Malique ft Dayang Nurfaizah
berjudul “Pejamkan Mata”. Saya ulang lagu itu sehingga lima kali, barulah
sampai ke destinasi. Selepas mengunci kereta saya pun pergi untuk membeli tiket
ekspres, malangnya saya dikhabarkan oleh penjual tiket bahawa tiket sudah
habis. Saya merayu supaya dibenarkan masuk. Rayuan saya dilayan. Saya terpaksa
berdiri dengan sekurang-kurangnya untuk tempoh 3 jam untuk sampai di Kapit.
Niat hati saya untuk membaiki slaid power point ceramah saya hancur musnah.
Walau bagaimanapun, demi akan-anak didik di Kapit, saya gagah berdiri. Saya
kuatkan semangat dengan mengimbau kenangan semasa kecil, saya dan kawan-kawan
saya merupakan anak-anak yang lasak dan tahan dengan segala macam kesakitan.
Jika dahulu saya mampu berenang untuk pergi ke sekolah, mengapa berdiri selama
tiga jam itu menjadi masalah? Hati saya tersenyum tetapi kaki saya mulai
lengguh. Saya mungkin lemah kerana usia.
Lebih kurang dua jam perjalanan,
ekspres yang dinaiki pun sampai di Pekan Song, tempat saya dilahirkan. Hati
saya berdoa agar ada penumpang yang keluar supaya saya mendapat tempat duduk.
Saya berjalan ke tempat Kelas Ekonomi setelah diberitahu tidak ada penumpang
yang akan keluar dari kelas perniagaan. (Naik ekspress pun seperti naik kapal terbang,
ada kelas ekonomi dan kelas perniagaan). Nasib saya lagi malang, tempat duduk
di kelas ekonomi penuh. Seorang pun penumpang tidak keluar, semuanya pergi ke
Kapit. Hati saya tertanya, apakah acara penting yang sedang berlangsung di
Kapit pada pagi ini? Saya duduk di tangga ekspres. Tiba-tiba sekumpulan
penumpang dari Pekan Song masuk ke dalam ekspres. Keadaan menjadi sesak.
Seorang nenek duduk di tepi saya. Kemudian, seorang lagi nenek, tiba-tiba masuk
dan berdiri di tepi kami. Saya pada mulanya, tidak mahu memberikan tempat duduk
di tangga itu kerana kepenatan berdiri selama dua jam dari Sibu, mulai
bersimpati. Mahu tidak mahu saya berdiri sambil mempersilakan nenek itu duduk.
Dia amat berterima kasih sambil memegang tangan saya dan mengusap rambut saya.
(Cara orang Iban menzahirkan kasih sayang kepada anak muda). Saya berasa amat terharu.
Apa yang saya kesalkan, anak-anak muda
yang duduk di kerusi empuk ekspres langsung tidak mahu memberikan tempat duduk
kepada orang-orang tua dan ibu yang mengendong anak. Mereka seolah-olah tiada
perasaan simpati terhadap orang sebegini. Lebih memilukan lagi, 3 orang remaja
yang asyik berswafoto tanpa memperdulikan orang lain dalam ekspres. Inilah
sikap masyarakat sekarang. Apabila saya menoleh ke barisan belakang, lebih
kurang 6 barisan diduduki oleh sekumpulan wanita yang berpakaian seragam. Mereka
mungkin terdiri daripada kakitangan kerajaan. Di sebelah mereka ada dua orang
ibu yang sedang mendukung anak kecil. Seorang pun tidak memberikan peluang
untuk mereka duduk. Pihak pengusaha ekspres yang tamak mengaut untung tetap
juga mengutip tambang buat ibu mengandung dan warga tua seperti dua orang nenek
di tepi saya. Akan tetapi, hari ini mungkin Allah murahkan rezeki mereka
berdua, saya membayarkan tambang untuk mereka. Rasa kasihan amat mendalam
apabila saya melihat mereka batuk tidak henti-henti. Apabila saya bertanya,
mereka memberitahu pergi ke Kapit untuk mendapatkan rawatan. Saya kata hari ini
hari Ahad, klinik tak buka. Mereka berdua tertawa. Mereka kata hospital tak
pernah tutup di Kapit. Saya pula macam tak pernah pergi ke sekolah. Mudah-mudahan
mereka sentiasa sihat walafiat. Amin.
CERAMAH DI SMK KAPIT
Saya keluar dari Ekspres pada pukul
9:00 pagi. Kedatangan saya disambut oleh seorang guru yang amat baik dan
bertanggungjawab iaitu Cikgu Teoh Say Beng. Saya dengan Cikgu Philip Nyipa dan
tiga orang pelajar dari SMK Belaga di bawa ke Dewan SMK Kapit. Saya terharu
dengan kedatangan guru dan pelajar dari SMK Belaga. Mereka sanggup menghabiskan
masa dengan perbelanjaan sendiri dan melalui perjalanan yang jauh semata-mata
untuk mendengar ceramah saya. Walaupun bibir saya tidak mengucapkan rasa
kekaguman itu tetapi hati saya mendoakan agar mereka mendapat sesuatu untuk
dibawa balik ke SMK Belaga dan dikongsikan dengan rakan-rakan di sana. Saya
mulakan ceramah saya pada pukul 9:40 pagi. Sepanjang sesi ceramah berlangsung,
pelajar-pelajar menunjukkan sikap yang amat positif. Mereka tidak pergi ke
tandas. Mereka tidak berbual-bual dengan kawan. Mereka memberikan tumpuan
sepenuhnya kepada ceramah yang saya sampaikan. Ceramah saya mengandungi tiga
bahagian. Setiap bahagian memerlukan masa satu jam 15 minit untuk dilangsaikan.
Semua perkara itu pula amat penting untuk dikongsikan. Apa-apapun, saya tetap
akan menghabiskan semua slaid sebelum waktu menunjukkan pukul 2:30 kerana pada
pukul 3:15 saya akan balik ke Sibu.
Tuhan selalu mempermudahkan kerja saya
apabila sampai di Kapit. Masa yang sentiasa cemburu apabila di tempat lain
menjadi amat mesra apabila saya berada di SMK Kapit. Walaupun tergendala
disebabkan minum pagi dan makan tengahari, ceramah saya tetap sampai ke titik
noktahnya. Saya amat berterima kasih dengan Penolong Kanan Tingkatan Enam SMK
Kapit, Cikgu Jargalia Lidek yang juga merupakan guru Bahasa Melayu STPM yang
banyak membantu melancarkan majlis. Beliau seorang guru yang amat rajin dan
bertanggungjawab. Pelajar-pelajar beliau amat menyayangi beliau. Komitmen tinggi
yang ditunjukkan menyebabkan saya mengagumi beliau. Guru-guru seperti beliau
harus beranak-pinak di Bahagian Kapit kerana anak-anak didik amat memerlukan
guru-guru yang komited dan berdedikasi. Beliau seperti guru-guru yang mengajar
saya 25 tahun dahulu sewaktu saya menuntut di SMK Kapit (1992-1993). Jika bukan
kerana jasa Cikgu Mat Yaakub, Cikgu Shahran Haris, Cikgu Mustafa Mohammad,
Cikgu Gan, Cikgu Subramaniam, Cikgu Letcheumanan, Cikgu Sammy, Cikgu Nobert
Rabar Sumuk, dan sebagainya, tidak mungkin saya akan menjadi seperti hari ini.
Cikgu Jargalia merupakan guru yang sehebat mereka.
SAFARI BERAKIT
Sebaik sahaja menjejakkan kaki ke Warf
Ekspres Kapit barulah saya tahu orang Kapit sedang berpesta. Acara Safari
Berakit merupakan acara tahunan di Bahagian Kapit. Bandar Kapit yang selalunya
sunyi, dipenuhi oleh lautan manusia. Kenderaan memenuhi segenap ruang untuk
menyaksikan perlumbaan bot laju dan pelbagai acara yang dilangsungkan.
Malangnya, saya tidak dapat melihat semua itu kerana perlu menyampaikan
ceramah, yakni tujuan utama saya ke Kapit pada hari itu. Disebabkan takut tiada
tempat duduk, sebaik sahaja terjun dari ekspres saya terus membeli tiket
ekspres untuk pulang. Alhamdulillah, tiket ekspres masih ada. Saya beli tiket
kelas peniagaan dengan harga RM30.00. Sebenarnya, saya pasang niat untuk
bermalam. Saya arahkan seorang kawan untuk cari hotel yang masih ada bilik
kosong. Akan tetapi, semua hotel di Bandar Kapit penuh. Niat untuk bermalam
tidak menjadi. Meriahnya Kapit semasa sambutan hari April Pool. Gerai-gerai
jualan bersusun di jalanan yang menjual pelbagai barangan, pakaian, makanan,
dan minuman. Pasukan RELA yang bertugas terlihat ketegasan dan ketangkasan
mereka. Begitu juga dengan petugas Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS).
KASIHAN ORANG KAPIT
Setelah 56 tahun negara kita merdeka,
masyarakat di Kapit masih bergantung kepada pengangkutan air sebagai jalan
pengangkutan utama. Jalan raya masih belum sampai ke Kapit juga. Kini, usia
saya sudah menjangkau 43 tahun, niat untuk memandu kereta sendiri balik ke
kampung halaman sendiri, masih juga hadir dalam mimpi dan fantasi. Sampai
bilakah akan menjadi realiti? Hanya Tuhan Maha Mengetahui. Apabila melihat
orang ramai bersesak-sesak naik ekspres sehingga sanggup duduk di atas atap,
mengadai nyawa sendiri, saya menjadi terharu mengenangkan nasib masyarakat di
Bahagian Kapit. Saya amat berharap agar pihak yang terbabit menyengerakan
pembinaan jalan raya dari Sibu ke Kapit.
Sesungguhnya, Kapit merupakan tanah yang mampu memberikan rezeki kepada
kerajaan jika dimajukan. Kemajuan terencat disebabkan masalah pengangkutan.
Janganlah disisihkan daerah ini dari pembangunan. Hasil balak yang dikeluarkan
dari daerah Kapit tolonglah pulangkan balik untuk menyiapkan pembinaan jalan
dan jambatan bagi menghubungkan Kapit dengan bandar-bandar utama lain di
Sarawak. Kejadian ekspres dan bot karam yang selalu berlaku saban tahun mungkin
dapat dielakkan jika ada jalan raya. Keadaan kesesakan yang amat parah apabila
tiba musim gawai dayak kerana 95% penduduk di Kapit merupakan kaum Iban.
Kesukaran balik ke kampung halaman untuk meraikan Hari Gawai Dayak
kadang-kadang menyebabkan kita boleh membatalkan hasrat. Bukannya tak nak balik
ke kampung tetapi ekspres sentiasa penuh dengan penumpang menyebabkan niat itu
terhalang.
Tatkala orang lain bermandikan sinar neon berkerlipan pelbagai warna, masih ada penghuni rumah panjang di Bahagian Kapit yang bertemankan cahaya pelita. Orang lain ghairah menonton Gegar Vaganza, mereka cuma mendengar radio AM yang mendesir sahaja. Bunyi cengkerik bersahut-sahutan. Pergi ke pekan, terpaksa mengadai nyawa meredah jeram.
Masyarakat di Kapit bukannya antikemajuan dan antipembangunan. Mereka inginkan Komuter dan LRT. Mereka mahu kapal terbang MAS, Air Asia, dan Maswing mendarat di tanah mereka. Walau bagaimanapun, sampai bilakah mimpi-mimpi mereka menjadi realiti? Ruang pembangunan sedikit terhalang disebabkan masalah pengangkutan. Semoga pihak-pihak berwajib menelusuri dan meneliti hal ini dengan lebih tekun dan terperinci memandangkan usia kemerdekaan negara sudah melebihi setengah abad. Tidak meminta bukannya tidak suka. Tidak menagih bukannya tidak sedih. Tidak mendesak bukannya tidak terdesak. Hati mereka penuh harap agar mereka tidak terys tersisih dari arus permodenan negara. Alangkah moleknya, jika didirikan sebuah kolej kemahiran di Bandar Kapit untuk memberikan peluang kepada anak-anak tempatan mempelajari ilmu baharu tanpa perlu berhijrah ke tempat lain. Pada masa ini, kadar penghijrahan anak-anak muda dari Bahagian Kapit ke tempat-tempat lain amat tinggi kerana mereka perlu mencari peluang dan ruang di tanah orang untuk meraih rezeki. Sebilangannya, terus menetap di tempat lain kerana di kampung halaman sendiri tidak menyediakan peluang pekerjaan dan pelbagai kemudahan. Itulah nasib penghuni di bumi Kapit.

SEMOGA BERJAYA ANAK-ANAK
Tepat pukul 2:40 petang, ceramah saya
di SMK Kapit pun berakhir. Selepas mengambil gambar, kami dihantar ke Warf
Ekspres Kapit. Kita-kira pukul 3:15 petang, ekspres pun bertolak ke Sibu. Saya
berharap perkongsian ilmu dengan anak-anak di SMK Kapit, SMK Kapit No.2, SMK
Selirik, dan SMK Belaga pada hari ini akan menghasilkan sesuatu yang bermakna.
Mereka perlu berjaya untuk melahirkan lebih ramai golongan yang berpendidikan
dan berilmu di Bahagian Kapit. Semoga terbit sinar keinsafan di hati muda
mereka untuk terus mara ke hadapan dengan penuh yakin demi diri, keluarga dan
bangsa. Mereka tidak boleh gagal kerana perjuangan masih belum selesai.
Tanggungjawab untuk mengangkat martabat dan darjat Bahagian Kapit terletak di
bahu mereka juga pada suatu masa nanti. Sesungguhnya, kejayaan itu mudah
digapai andai strateginya betul dan sasarannya mengena. Anak-anakku, hiduplah
dengan cita-cita serta harapan yang tinggi kerana orang yang sebegitu sentiasa
berusaha untuk mengapai bintang di angkasa. Jangan terperuk di ceruk rasa
rendah diri yang menebal kerana orang sebegitu pergerakannya akan tersekat dan
terperangkap di sangkar kegagalan sampai bila-bila.
Catatan Pendidik Bangsa
Cikgu Zulkarnain Farihin
SMK Sibu Jaya, Sibu Sarawak.