Rencana ini ditulis oleh
Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom
Pengerusi Yayasan Guru Malaysia
Berhad.
"BAGI saya boleh … 'anytime'
cikgu boleh merotan atas kesalahan yang difikirkan perlu, syarat merotan di
bawah paras lutut dan kemudian harus dirotan di hadapan murid lain."
Demikian pandangan seorang pembaca dalam ruangan 'facebook.com/utusan_online'
yang disiarkan dalam akhbar Utusan Malaysia baru-baru ini. Kini cadangan guru
dibenarkan merotan pelajar yang melanggar disiplin sekolah telah banyak
dibincangkan dalam akhbar dan media sosial. Walaupun ada pendapat yang
menentang namun ada juga yang menyokong kerana merasakan guru mempunyai peranan
besar membantu menangani salah laku pelajar. Menurut mereka jika masalah
disiplin tidak ditangani dengan betul ketika pelajar berada di bangku sekolah
dikhuatiri boleh menimbulkan masalah lebih besar apabila mereka meninggalkan
sekolah nanti.
Sesungguhnya amat merisaukan apabila
melihat angka statistik dan pemaparan melalui media massa gejala sosial di
kalangan remaja. Misalnya isu 'mat rempit,' apa yang mereka lakukan bukan
sahaja membahayakan diri sendiri tetapi turut menjejaskan keselamatan orang
lain. Lebih membimbangkan mereka sudah berani mencabar pihak berkuasa dan
merempit di tempat yang terbuka. Ada ketikanya orang awam turut dikasari hanya
kerana cuba menasihati perbuatan yang tidak berfaedah itu. Ini belum lagi
dikira jumlah penagih dadah yang kian bertambah. Kesan daripada penagihan dadah
boleh menimbulkan gejala sosial lain seperti berlaku kes jenayah, penyakit HIV
dan kemerosotan nilai diri sebagai seorang insan. Penagihan bukan sahaja
menjadikan diri mereka tidak terurus tetapi sanggup pula mencederakan orang
lain malah ibu bapa sendiri sekiranya apa yang dikehendaki tidak ditunaikan
terutama keinginan mendapatkan wang.
Jenayah lain seperti pecah rumah, curi
motosikal, meragut, bergaduh dan gengsterisme kerap dilaporkan dalam akhbar.
Perbuatan ini bukan sahaja berlaku di bandar besar tetapi turut berlaku di
kampung dan kawasan pedalaman. Tidak dinafikan gejala itu mungkin mula bertunas
ketika mereka berada di bangku sekolah. Sering kita mendengar isu ponteng,
membuli, mencuri, vandalisme dan bergaduh berlaku di kalangan pelajar.
Sekiranya tidak dicegah daripada awal ia boleh memudaratkan apabila mereka
terus melakukannya selepas meninggalkan bangku sekolah nanti. Bagi mencegah dan
mendidik pelajar yang melanggar disiplin ada yang mencadangkan dikembalikan
semula hukuman rotan atau corporal punishment. Tambah mereka semua guru
seharusnya dibenarkan merotan pelajar. Bagi mereka hukuman itu tidak akan
menimbulkan tentangan jika dilakukan dengan betul. Buat masa ini hanya pengetua
atau guru yang diberikan kuasa boleh merotan pelajar dengan syarat dilakukan di
tempat tertutup, direkodkan dan ibu bapa dimaklumkan akan hukuman itu.
Namun demikian ada yang mempertikaikan
pendapat tersebut mempersoalkan mengapa peraturan lapuk itu ingin dihidupkan
semula. Menurut mereka keadaan dan zaman telah banyak berubah. Hukuman rotan
boleh menimbulkan banyak mudarat dibandingkan dengan kebaikan. Dari sudut
psikologi emosi pelajar yang dirotan boleh terganggu, malu kepada rakan dan
merasa rendah diri terutama apabila bersua dengan guru yang merotan mereka.
Lebih bahaya boleh menimbulkan perasaan dendam terhadap guru dan sekolah. Kerap
kita mendengar kereta guru dirosakkan, perbuatan vandalisme dan perasaan benci
kepada sekolah. Walaupun tujuannya murni iaitu untuk mendisiplinkan pelajar
tetapi boleh memberi kesan sebaliknya. Lebih parah mungkin boleh berlaku
kejadian mencederakan guru dan merosakkan harta benda sekolah.
Sesungguhnya untuk menangani salah
laku pelajar Kementerian Pelajaran telah mengeluarkan garis panduan melalui
Peraturan- Peraturan Pelajaran (Disiplin Sekolah) 1959, iaitu Perkara 8.3.1.
(b) di mana guru boleh merotan pelajar lelaki sahaja dihadkan di tapak tangan
atau di punggung dengan arahan Guru Besar tanpa mendatangkan kecederaan. Hukuman
rotan semata-mata bertujuan mendidik dan dilakukan di tempat tertutup.
Dijelaskan juga kebenaran merotan ini bermakna hukuman deraan lain seperti
menampar, mencubit, menumbuk, mengetuk atau tindakan lain yang seumpamanya
adalah dilarang sama sekali. Berbeza di negara maju di mana terdapat peraturan
yang dinamakan student rights atau 'hak asasi pelajar' di mana mereka diberi
perlindungan ketika berada di sekolah termasuk tidak boleh dikenakan sebarang
deraan fizikal. Ini bermakna pelajar tidak boleh dirotan dan menjadi suatu
kesalahan sekiranya dilakukan oleh guru atau pentadbir sekolah. Mereka ada
kaedah tertentu bagi menangani pelajar yang bermasalah seperti melalui sesi
kaunseling atau merujuk terus kepada ibu bapa pelajar tersebut.
Sesungguhnya dalam sistem pendidikan
kita kaedah merujuk pelajar kepada kaunselor telah lama dipraktikkan. Setiap
sekolah mempunyai kaunselor yang terlatih. Melalui Surat Pekeliling Iktisas
Bil. 1/1985 Penubuhan Jawatan Kuasa Bimbingan Pelajar Sekolah bertujuan memberi
peluang kepada pelajar yang bermasalah termasuk melanggar disiplin mendapat
perkhidmatan kaunseling. Melalui perbincangan dan bimbingan secara profesional
dijangkakan pelajar itu akan sedar kesalahan yang dilakukan dan tidak
mengulangi lagi perbuatan tersebut. Hakikatnya guru perlu berhati-hati ketika
merotan pelajar kerana jika mendatangkan kecederaan serius mereka boleh didakwa
di mahkamah sekiranya ibu bapa membuat aduan polis.
Mereka boleh didakwa mengikut Seksyen
31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih
RM20,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya sekali. Walaupun niat
merotan itu murni iaitu untuk mendidik pelajar tetapi boleh mendatangkan
mudarat dan menjadi mimpi ngeri kepada guru jika dilakukan secara berlebihan. Justeru
semua guru adalah guru disiplin. Ini bermakna semua guru bertanggungjawab dan
berperanan membimbing, menasihati dan menunjuk ajar pelajar. Ibu bapa dan komuniti
pula perlu terlibat dalam menangani permasalahan tersebut. Keprihatinan semua
pihak terhadap salah laku pelajar hari ini akan berupaya mengurangkan jumlah
gejala sosial di kalangan remaja di masa akan datang.
Pohon bersandar, pohon cemara,
Menderu angin, bergoyang dahan,
Jangan sekadar, membaca sahaja,
Tulislah komen, berilah cadangan.
Sumber
Harian Metro
25 Julai 2012