PENULIS: Dr Noradilah Md Nordin, Pengarah, Pusat Sejahtera,
Universiti Malaysia Pahang
TARIKH DIKELUARKAN : 29 Mac 2022
SUMBER: BERITA HARIAN ONLINE
Secara
umum masyarakat selalu berpandangan murid perempuan lebih bijak berbanding
lelaki. Hal ini disimpulkan berdasarkan kepada laporan kemasukan ke institut
pengajian tinggi yang mana pelajar perempuan lebih ramai. Sebagai contoh,
enrolmen atau jumlah kemasukan pelajar perempuan ke universiti awam adalah
lebih tinggi berbanding lelaki bagi tiga tahun berturut-turut iaitu pada tahun
2015, 2016 dan 2017. Ini ditambah pula dengan peratusan kelulusan pelajar
perempuan dalam peperiksaan awam misalnya Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau
Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM). Misalnya jika kita lihat keputusan
SPM 2017, murid perempuan menunjukkan prestasi akademik yang lebih baik
berbanding murid lelaki. Malah, kecemerlangan mereka tidak hanya terhenti di
bangku sekolah tetapi juga diteruskan sehingga ke peringkat pengajian tinggi.
Keadaan
ini membuatkan kita yakin, murid perempuan lebih bijak berbanding lelaki. Namun
begitu, pandangan ini kurang tepat kerana ia hanyalah gambaran awal sahaja. Ia
juga sebenarnya memberitahu kita mengenai dominasi dan ketidakseimbangan
pencapaian antara murid perempuan dan lelaki. Sebenarnya, keadaan ini perlu
difahami seiring dengan aspek perkembangan psikologi murid. Dari sudut
perkembangan psikologi, situasi ketidakseimbangan jantina dalam pencapaian akademik
sangat berkait rapat dengan faktor kecerdasan emosi.
Murid lelaki lambat matang
Kematangan
kecerdasan emosi antara murid lelaki dan perempuan adalah berbeza. Pelajar
perempuan dilihat lebih cepat matang berbanding lelaki. Oleh kerana tahap
kecerdasan emosi yang tinggi, murid perempuan lebih cepat pandai dalam mengurus
diri sendiri terutamanya membabitkan proses berfikir, berkongsi pendapat,
mengawal perasaan dan bertindak mengikut kesesuaian masa dan keadaan. Contohnya,
ketika sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) dijalankan murid perempuan lebih
mudah untuk berkongsi sesuatu perkara dengan rakan dan guru mengenai apa yang
mereka fikirkan dan rasai. Mereka juga lebih mudah bertanya sekiranya tidak
memahami isi kandungan mata pelajaran atau arahan yang diberikan oleh guru.
Situasi ini seterusnya akan meningkatkan lagi motivasi murid untuk hadir ke
sekolah, berdisiplin serta konsisten dalam menyiapkan sesuatu tugasan yang
diberi oleh guru mereka. Oleh itu, murid perempuan lebih cepat menyesuaikan diri
dengan permasalahan yang sedang dialami, membantu meningkatkan kemahiran
menyelesaikannya dan dapat memperbaiki tahap perkembangan kognitif mereka.
Murid lelaki mengabaikan emosi
Murid
lelaki kerap mengabaikan emosi mereka sendiri seperti mengabaikan kegelisahan
atau kerisauan sekiranya tidak memahami sesuatu topik ketika sesi pengajaran
dan pembelajaran dijalankan. Mereka sukar berkomunikasi dengan guru dan
rakan-rakan mengenai permasalahan yang dialami. Sekiranya keadaan itu
berterusan, murid akan cepat berasa bosan dan sesi PdP dalam kalangan murid
lelaki akan menjadi pasif seperti mereka tidak mahu terbabit dalam aktiviti
pembelajaran, enggan menyelesaikan tugasan yang diberikan oleh guru dan
lain-lain lagi. Permasalahan ini sekiranya tidak dikawal pada peringkat awal,
murid lelaki akan lebih terdedah dengan masalah disiplin seperti ponteng
sekolah atau kelas, melawan guru, merokok, bergaduh sesama rakan dan lain-lain
lagi. Semua ini akhirnya akan meningkatkan lagi keterbatasan untuk perkembangan
intelek mereka. Oleh sebab itu, tidak hairanlah mengapa murid lelaki kurang
cemerlang dalam pembelajaran berbanding perempuan disebabkan lemahnya
kecerdasan emosi. Jadi, selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dalam
memperkembangkan potensi murid secara menyeluruh, elemen intelek perlu juga
seiring dengan kecerdasan emosi. Dalam hal ini, peranan guru-guru amatlah besar
bagi memastikan murid lelaki tidak ketinggalan dalam proses pembelajaran.
Kemahiran guru mempelbagaikan pendekatan dan aktiviti pembelajaran yang
bersesuaian perlu ditingkatkan kerana kadar kematangan kecerdasan emosi murid
lelaki dan perempuan adalah berbeza.
1. Sediakan aktiviti pembelajaran
Secara
umum, guru perlu meningkatkan minat murid dengan memastikan sesi pengajaran dan
pembelajaran tidak pasif. Murid lelaki cepat berasa bosan sekiranya guru hanya
menyampaikan isi pelajaran tanpa diselangi dengan aktiviti yang bersesuaian
dengan sifat dan personaliti mereka yang sukakan cabaran, menunjukkan kebolehan
dan kemahiran. Sebagai contoh, guru boleh menyediakan aktiviti pembelajaran
berbentuk pertandingan secara berkumpulan bagi menggalakkan murid bertanya. Hal
ini juga meningkatkan proses komunikasi antara murid dan guru. Menerusi kaedah
itu, murid lelaki akan lebih tertarik dan mengambil bahagian dalam sebarang
aktiviti semasa sesi PdP dijalankan.
2. Sokongan ibu bapa
Ibu
bapa juga perlu berperanan meningkatkan potensi murid dalam pembelajaran.
Sebagai contoh, ibu bapa boleh memberi sokongan motivasi dengan sentiasa
memberi galakan kepada anak-anak terutamanya murid lelaki untuk membuat ulang
kaji di rumah dan menyiapkan tugasan yang diberi oleh guru.
3. Berkomunikasilah dengan anak
Selain
itu, ibu bapa perlu meluangkan masa untuk berkomunikasi dengan anak-anak
berkenaan permasalahan yang dihadapi dalam pembelajaran mereka. Ini adalah
kerana, murid lelaki akan lebih rasa dihargai apabila ibu bapa mengambil berat
akan kesukaran yang dialami dan seterusnya akan meningkatkan motivasi mereka
untuk terus berusaha dengan lebih baik dan berjaya. Konklusinya, guru dan ibu bapa sama-sama perlu memainkan
peranan penting dalam meningkatkan kecerdasan emosi murid. Dengan ini
diharapkan kita akan membantu merapatkan jurang perbezaan kecemerlangan pembelajaran
antara murid lelaki dan perempuan.