JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



29 Ogos 2010

KARANGAN STPM: KEPENTINGAN PENYELIDIKAN ATAU KOLOKIUM

SOALAN KARANGAN

Pelajar-pelajar tingkatan enam telah diminta melakukan penyelidikan dan kolokium ekoran pelaksanaan dasar baru sistem pendidikan tingkatan enam di Negara kita. Pada pendapat anda, apakah kebaikan dan kelemahan yang wujud dalam melaksanakan dasar ini kepada pelajar-pelajar tingkatan enam.

Dalam dunia yang dilingkari kemajuan sains dan teknologi ini, kita acapkali disogokkan dengan pelbagai isu yang melingkari ruang lingkup kehidupan kita. Antaranya ialah isu pelajar-pelajar tingkatan enam yang diwajibkan melakukan penyelidikan dan kolokium. Hal ini bertepatan dengan usaha untuk mendedahkan mereka kepada budaya dan sistem belajar di universiti nanti. Penyelidikan dan kolokium yang perlu dijalankan oleh pelajar tingkatan 6 ini merupakan sesuatu yang baharu tetapi memberikan manfaat yang banyak kepada pelajar. Oleh itu, kebaikan dan keburukan yang wujud daripada fenomena ini akan dibincangkan demi kepentingan bersama.

Sudah terang lagi bersuluh, kebaikan utama ialah kita dapat memupuk budaya penyelidikan dalam kalangan pelajar-pelajar tingkatan enam. Penyelidikan dapat melahirkan pelajar yang kreatif dan inovatif. Sifat-sifat ini perlu ada dalam generasi muda agar mereka mampu berdaya saing dan bijak menyelesaikan masalah yang mereka hadapi. Dengan cara ini mereka akan menjadi lebih berdikari dan matang dalam mendepani cabaran dan rintangan hidup. Akibatnya, mereka mampu menyumbang kepada negara pada masa depan. Jelaslah bahawa, penyelidikan dan kolokium mampu melahirkan pelajar yang kreatif dan inovatif.

Sudah jelas lagi nyata, kebaikan perdana yang perlu diteliti ialah penyelidikan dan kolokium mampu memupuk budaya bersatu padu dalam kalangan pelajar. Mereka melakukan penyelidikan secara berkumpulan di bawah seliaan seorang guru. Sesebuah kumpulan terdiri daripada pelajar yang pelbagai bangsa, agama dan kepercayaan. Mereka akan bekerjasama dan berbincang pada setiap masa untuk menyiapkan penyelidikan yang mereka lakukan. Dengan ini, benih-benih perpaduan dapat dipupuk dalam jiwa mereka. Oleh itu, secara tidak langsung konsep 1 Malaysia dapat direalisasikan melalui cara ini. Tuntasnya, generasi yang bersatu dapat dilahirkan melalui pelaksanaan penyelidikan dan kolokium.

Seterusnya, kebaikan lain yang tidak kurang pentingnya ialah penyelidikan dan kolokium dapat melatih pelajar membuat penulisan secara ilmiah. Penulisan ilmiah amat perlu jika mereka berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti. Hal ini demikian kerana mereka perlu menyiapkan beberapa tugasan yang diberikan oleh pensyarah. Pendedahan pada peringkat awal sebegini akan membantu mereka menghasilkan kerja yang berkualiti semasa menuntut di universiti kelak. Tambahan pula, untuk membolehkan mereka menamatkan pengajian di universiti, mereka perlu menjalankan penyelidikan. Oleh hal yang demikian, jelaslah bahawa penyelidikan dan kolokium yang dijalankan banyak membawa manfaat kepada pelajar-pelajar Tingkatan enam.

Pelaksanaan dasar mewajibkan pelajar tingkatan enam menjalankan penyelidikan dan kolokium mempunyai beberapa kelemahan. Kelemahan utama ialah kekurangan guru untuk membimbing para pelajar. Keadaan ini menyebabkan pelajar menjalankan penyelidikan tanpa tunjuk ajar daripada guru. Mereka tidak mengikuti prosedur yang betul semasa menjalankan penyelidikan. Akibatnya, kualiti penyelidikan yang dihasilkan tidak diragui. Hal ini demikian kerana mereka tidak mendapat bimbingan sepenuhnya daripada guru atau fasilitator mereka. Ringkasnya, ketiadaan pakar untuk membimbing pelajar melakukan penyelidikan, usaha ini mungkin tidak akan menjadi realiti.

Di samping itu, kelemahan yang tidak boleh dikesampingkan ialah masa untuk menjalankan penyelidikan dan kololium memang mengambil masa yang lama. Keadaan ini telah menyebabkan para pelajar hilang minat untuk melakukan penyelidikan. Hal ini demikian kerana mereka kena melakukan pelbagai perkara dan merujuk banyak buku untuk berjaya. Pada masa yang sama pula mereka terpaksa menumpukan perhatian kepada pelajaran untuk menjamin keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan. Dalam hal ini dapatlah dirumuskan bahawa penggunaan masa yang lama telah menyebabkan para pelajar hanya menjalankan penyelidikan atau kolokium sambil lewa sahaja.

Sama ada kita sedar atau tidak, kelemahan yang seterusnya ialah kolokium dan penyelidikan ini dijalankan secara samba lewa oleh pelajar-pelajar dan guru-guru. Mereka hanya meniru penyelidikan yang telah dilakukan oleh orang lain yang diperoleh dari internet dan sebagainya. Oleh itu, matlamat kerajaan untuk melahirkan pelajar-pelajar yang mahir membuat penyelidikan dan kolokium tidak berjaya sepenuhnya. Akibatnya, budaya suka meniru dan mencedok hasil karya orang lain ini akan menjadi pegangan kepada para pelajar apabila mereka menjejakkan kaki ke universiti kelak. Natijahnya, mahasiswa yang kita lahirkan merupakan mahasiswa yang tidak mengamalkan budaya berfikir tetapi hanya tahu meniru atau hidup atas hasi titik peluh orang lain.

Oleh itu dapatlah kita rumuskan bahawa penyelidikan dan kolokium ini amat penting kepada pelajar-pelajar tingkat enam di seluruh negara kita. Sesungguhnya, usaha ini merupakan satu cara kerajaan untuk melahirkan pelajar yang berkualiti selaras dengan aspirasi Wawasan 2020. Dengan itu, masyarakat harus berkesedaran supaya memberikan sokongan sepenuhnya kepada usaha-usaha yang dilaksanakan untuk membudayakan penyelidikan dan kolokium dalam hidup mereka. Kita percaya bahawa dengan usaha yang gigih, ikhlas, dan penuh tanggungjawab, sudah pasti usaha itu akan membuahkan hasil, bak kat pepatah “di mana ada kemahuan di situ ada jalan”.