Johardy Ibrahim
Satu faktor filem
Hollywood sentiasa memukau imaginasi penonton ialah kemahirannya mengadunkan
elemen realiti dengan fantasi, terutama yang berkaitan dengan status sebenar
teknologi yang dimiliki manusia hari ini. Filem Terminator lakonan Arnold
Schwarzenegger contohnya, mengisahkan robot yang direka menyerupai manusia atau
separuh manusia, separuh robot Robocop lakonan Peter Weller. Ketahuilah bahawa
ia bukan khayalan semata-mata tetapi ratusan saintis di seluruh dunia sedang
berusaha membina robot seumpamanya. Seorang daripada saintis itu ialah Henrik
Scharfe, seorang profesor di Universiti Aalborg di Denmark. Tatkala
saintis-saintis lain memperkenalkan robot manusia sama ada berbentuk wanita
atau haiwan, Scharfe membina robot yang menyerupai dirinya sendiri! Beliau
menamakannya sebagai Geminoid-DK.
Scharfe asalnya tidak
dikenali di luar pagar universitinya tetapi dengan penyiaran ciptaannya dalam
YouTube serta penampilan di sidang-sidang sains dan teknologi, beliau dan
Geminoid-DK semakin menarik perhatian. Dalam bahasa Jerman, media menggelarkan
robotnya itu sebagai doppelgänger, bermaksud 'orang yang dilihat berada di dua
tempat pada waktu yang sama secara paranormal'. Namun Geminoid-DK ini tiada
kaitan langsung dengan paranormal, atau normal sekali pun. Robot ini sebenarnya
dibangunkan oleh saintis Jepun, Hiroshi Ishiguro. Diistilahkan sebagai robot
siri Geminoid menjadi perhatian kerana ia direka dengan kulit menyerupai
manusia. Robot Scharfe itu mungkin telah memajukan lagi teknologi ciptaan
Ishiguro tersebut. Berdasarkan video, pergerakan robot tersebut dengan Scharfe
yang sebenar, ia benar-benar mengagumkan.
Robot Geminoid-DK ini
dibina menyerupai Scharfe dari segi gaya rambut dan warna, pandangan mata dan
gaya bahunya digerakkan. Ia dikawal menerusi kendalian kawalan jauh secara
komputer (buat masa ini, sebelum teknologi mengizinkan ia berfungsi secara
sendirian suatu masa nanti). Persoalan apakah robot ini boleh menggantikan
manusia suatu masa nanti, telah menjadi isu yang dibahas hangat oleh saintis
dan pemikir sejagat. Konsepnya dipaparkan dengan ketara dalam filem Terminator
apabila watak Sarah Connors mahu membunuh saintis asal yang mencipta robot itu,
yang datang dari masa depan untuk memusnahkan Bumi.
Palsu
Inilah yang dilakukan
oleh Scharfe. Sebagai pengarah Pusat Computer-Mediated Epistemology di
Universiti Aalborg, beliau mengkaji falsafah pengetahuan teknologi robot,
memusat kepada persoalan apakah pengetahuan 'sebenar' berbanding pengetahuan
'palsu' atau 'tidak mencukupi'. Scharfe berhasrat untuk menggunakan robot
tersebut bagi mengkaji 'keupayaan emosi yang ditanggung; antara robot dan
manusia, selain 'kewujudan bercampur' iaitu kaedah separuh digital, separuh
realistik bagi manusia untuk menjadikan robot sebagai wakilnya (ingat filem
Surrogate lakonan Bruce Willis).
Robot Scharfe ini
juga akan mengkaji bagaimana perbezaan budaya dalam cara manusia berinteraksi
dengan robot, misalnya di Amerika Syarikat (AS), robot dianggap sebagai
berpotensi mengancam (mungkin dipengaruhi filem Terminator) atau semata-mata
satu lagi alat yang akan membantu kehidupan manusia, sebagaimana ciptaan
komputer atau peti ais. Hakikat itu berbeza dengan Jepun, yang semakin menerima
kewujudannya sebagai sebahagian daripada masyarakat. Kajian saintifik yang
sedang dijalankan oleh Scharfe ini mendorong pemilihannya dalam senarai 100
orang paling berpengaruh majalah Time bagi 2012. Felo IBM, David Ferrucci yang
mengulas mengenai robot Scharfe ini menyifatkan ia membolehkan manusia memikirkan
peranan teknologi dalam kehidupan mereka dan sempadan antara manusia dengan
mesin-mesin.
Ferrucci ialah ketua
kumpulan yang mereka cipta komputer super Watson, iaitu sistem komputer yang
boleh menjawab soalan secara langsung secara suara. Beliau mengaitkan robot
Scharfe dengan Watson yang namanya diambil sempena Presiden IBM, Thomas J.
Watson. ''Apabila kami membangunkan komputer Watson yang bertanding dalam
program Jeopardy!, kami memikirkan secara mendalam sama ada hendak melakukan
anthropomorphize atau memasukkan ciri-ciri manusia pada sesuatu yang bukan
manusia. Akhirnya, kami memasukkan suara dan muka padanya. Keputusan itu
mendatangkan reaksi kuat daripada penonton, reaksi berbentuk positif dan juga
negatif. Bagi Ferrucci, pengalaman Watson dan robot Scharfe adalah pernyataan
bagaimana kuatnya rasa ingin tahu manusia mengenai diri mereka sendiri dan
dalaman mereka sendiri.
''Berikan sesuatu
objek suatu wajah atau suara dan kita paparkan ciri kemanusiaan kita padanya.
Tetapi mesin bukan musuh atau kawan. Ia adalah alat. Mengkaji dan memikirkannya
secara teliti membantu kita mempelajari lebih lagi mengenai diri kita sendiri
dan cara terbaik untuk membentuk masa depan kita," kata Ferrucci. Di
Malaysia, secara umumnya minat terhadap sains robotik kian meningkat dan ia
boleh dilihat pada penyertaan pelbagai peringkat dalam pertandingan mereka
cipta robot. Ia wajar diberi dorongan lebih kuat oleh pihak berwajib. Siswa-siswi
harus mengambil kesempatan daripada penekanan yang diberikan oleh kerajaan menerusi
pelbagai bentuk insentif dan geran penyelidikan termasuk agensi-agensi
berwenang seperti SIRIM. Kita memerlukan lebih ramai saintis, pakar teknologi
dan sesungguhnya kita sudah terlalu ramai ahli politik di kalangan
mahasiswa-mahasiswi. Cukuplah.
Sila berikan komen
anda. Terima kasih.
Sumber :
Utusan Malaysia
6 Mei 2012