Rencana ini ditulis
oleh :
Nor Affizar Ibrahim
Kehadiran Hari Wanita
Kebangsaan kali ini sememangnya istimewa ketika seri Syawal masih berbahang dan
aura sambutan kemerdekaan negara ke-55 kian terasa. Bertemakan Wanita Pencetus
Ekonomi Baru, ia ternyata selaras dengan manifestasi kerajaan terhadap sumbangan
wanita dalam pembangunan ekonomi keluarga. Hakikatnya, dalam memastikan
pembangunan berjalan lancar, peranan wanita tidak boleh diketepikan. Sumbangan
wanita dalam pelbagai aspek kehidupan meliputi ekonomi, sosial dan politik di
kebanyakan negara bukan lagi sekadar bualan kosong, tetapi kenyataan. Kedudukan dan pencapaian wanita di Malaysia
pada hari ini amat membanggakan jika dibandingkan 10 tahun atau 20 tahun lalu”
- Wan Hasmah Wan Mohd, Ketua Pengarah JPW
Di Malaysia misalnya,
dulu wanita hanya dikaitkan dengan status suri rumah tetapi segala-galanya
berubah seiring pembangunan negara. Dalam bidang ekonomi, pembabitan wanita
tidak hanya ‘bertarung’ membebaskan diri daripada prasangka dan kongkongan,
malah mereka sudah menjadi sebahagian penggerak ekonomi diri dan negara. Isu
diskriminasi wanita tidak lagi mencengkam golongan Hawa pada hari ini,
sebaliknya, integrasi ekonomi dunia seiring dengan kemajuan teknologi yang
pesat, sudah membentuk realiti ekonomi wanita dalam pelbagai cara. Wanita terus mengorak langkah mengharungi
cabaran memastikan kehadiran dan bakat mereka disedari dan diiktiraf. Dengan
kebanjiran tenaga kerja wanita serta meningkatnya pendapatan dan kekayaan
golongan ini, peranan wanita semakin berpengaruh baik dalam hal rumah tangga,
organisasi mahupun negara.
Yang pasti, sumbangan
wanita boleh dibanggakan sejak kebelakangan ini. Penyertaan wanita dalam tenaga
buruh meningkat daripada 44.7 peratus pada 1995 kepada 46.4 peratus pada 2009
dan sasaran sehingga 55 peratus menjelang akhir Rancangan Malaysia Kesepuluh-10
(RMKe-10). Perumpamaan ‘tangan wanita
yang menghayun buaian boleh menggegarkan dunia’ dapat dilihat sebagai gambaran
paling tepat untuk menggambarkan kesungguhan wanita di negara ini, khususnya
dalam memastikan kestabilan negara dan kedudukan ekonomi. Ketua Pengarah
Jabatan Pembangunan Wanita (JPW), Wan Hasmah Wan Mohd, berkata hakikatnya sudah
ramai menyedari potensi wanita dan memanfaatkan kehadiran mereka dalam
pembangunan dan kemajuan ekonomi di negara ini. Atas alasan itu, sambutan Hari
Wanita Kebangsaan 2012 memilih tema Wanita Pencetus Ekonomi Baru yang
mengiktiraf peranan dan sumbangan wanita dalam pembangunan ekonomi keluarga.
“Kedudukan dan
pencapaian wanita di Malaysia pada hari ini amat membanggakan jika dibandingkan
10 tahun atau 20 tahun lalu. Usaha mencapai taraf negara maju dan berpendapatan
tinggi melalui Model Baru Ekonomi (MBE) menjadikan wanita berperanan besar
menggalas cabaran dalam era globalisasi dan terus menyokong pembangunan negara.
Justeru, inilah signifikan tema itu dipilih. Ketika ini, wanita membentuk 49.1
peratus atau 14.03 juta populasi daripada 28.55 juta penduduk Malaysia. Seramai
9.03 juta (64.3 peratus) wanita adalah pada usia produktif iaitu 15 hingga 64
tahun,”
Wan Hasmah berkata,
dalam tiga tempoh Rancangan Malaysia, sumbangan wanita ketara dalam pembangunan
sosial dan ekonomi negara. Sepanjang tempoh itu, pelbagai usaha diambil
kerajaan dengan menyediakan persekitaran kondusif bagi memastikan penyertaan
wanita lebih berkesan dalam pembangunan negara. Golongan wanita kian terserlah sebagai
usahawan berjaya, turut dilengkapkan dengan pakej sesuai supaya mampu bersaing
dalam persekitaran ekonomi moden. Sehubungan itu, sempena sambutan Hari Wanita
Kebangsaan 2012, ada isu khusus yang bakal dibincangkan seperti sumbangan
wanita dalam pembangunan ekonomi negara, pembabitan wanita dalam pasaran kerja
dari pelbagai perspektif, prospek kembali bekerja dan aturan kerja fleksibel.
Jika dibandingkan
negara lain seperti Vietnam dan China, peratusan jumlah tenaga kerja wanita di
Malaysia masih rendah. Ini berlaku kerana ramai wanita berhenti kerja atas
faktor tertentu. Ini tidak boleh dibiarkan berlaku dan kita perlu pastikan,
menjelang 2015 dianggarkan 55 peratus wanita produktif berusia 18 hingga 60
tahun mesti berada dalam pasaran kerja. Wan Hasmah berkata, menyedari
permasalahan itu sempena sambutan Hari Wanita Kebangsaan 2012, portal Microsite
TalentWanita akan dilancarkan. Portal berkenaan berfungsi sebagai pengantara
kepada wanita yang meninggalkan pasaran pekerjaan untuk kembali bekerja.
SUMBER
Berita Harian Online
14 September 2012